Tuesday, January 4, 2011

Nor Zahidi Berusaha Bantu 2,000 Pesawah Di Tumpat Tak Dapat Tanam Padi

Noor Zahidi Omar (depan) bersama penduduk kampung meninjau kawasan sawah yang dimasuki air masin di Kampung Kubang Bemban, Tumpat, semalam.

Masalah dah berlaku lebih setahun lalu.

Mana Ahli Parlimen PAS Tumpat? Kenapa isu ini berlarutan tanpa adanya pembelaan.

Masalahnya, lebih 2,000 pesawah di beberapa perkampungan di Tumpat tidak dapat mengusahakan tanaman padi sejak setahun lalu dipercayai kerana air masin dari Sungai Golok mengalir masuk melalui satu tali air ke sawah mereka.

Antara kampung terlibat adalah Kampung Jambu, Kampung Teluk Jering, Kampung Naga Ibu, Kampung Bendang Pak Yong, Kampung Kacang Sebidang, Kampung Simpangan, Pulau Ular, Kampung Kubang Bemban dan Julok yang merupakan kawasan perkampungan utama masyarakat Siam.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Pengkalan Kubor Datuk Noor Zahidi Omar, hari ini membuat tinjauan setelah menerima aduan penduduk.

Beliau berkata akan membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat majlis tindakan persekutuan untuk mencari jalan penyelesaian.

"Saya berharap kerajaan persekutuan dapat menyediakan peruntukan secukupnya untuk mengambil tindakan segera membantu pesawah itu," katanya.

"Ini merupakan masalah rakyat, kita tahu untuk menyelesaikan masalah ini memerlukan peruntukan yang besar dan saya akan cuba meminta pihak JPS menyelesaikannya secepat mungkin.

"Kebanyakan pesawah adalah golongan mudah miskin dan miskin, kalau ia tidak diselesaikan golongan mudah miskin akan menjadi miskin dan yang miskin pula akan menjadi miskin tegar," katanya.

Seorang pesawah, Ariffin Awang Chik, 50, berkata walaupun pembinaan tali air itu bertujuan membantu sistem pengairan di situ tetapi ia telah menyebabkan tanah di kawasan tanaman padi menjadi rendah sehingga memudahkan air masin dari Sungai Golok masuk dan merosakkan tanaman padi.

"Dah beberapa musim kami tak dapat tanam padi. Kami cuba untuk terus bercucuk tanam tetapi kami rugi," katanya kepada pemberita di sini Selasa.

Beliau berharap pihak JPS mengambil tindakan segera dengan membina lebih banyak pintu air bagi memastikan aliran keluar masuk dapat dikawal.

Dia yang mengusahakan tujuh hektar sawah berkata, sekiranya masalah itu tidak segera diselesaikan ia akan berulang lagi pada tahun hadapan dan menyebabkan kesemua pesawah mengalami kerugian.

"Saya lihat pintu air yang dibina terlalu kecil dan dibuat ala kadar, saya faham ini melibatkan peruntukan tetapi masalah yang dihadapi penduduk di sini perlu diambil kira kerana kebanyakan kami adalah golongan yang tidak berkemampuan.

"Kami juga mahu supaya Kerajaan PAS Kelantan melihat perkara ini, kami rakyat negeri ini juga dan jangan lepas tangan kepada agensi Persekutuan sahaja. Turun ke bawah dengar masalah yang dihadapi kami," katanya.

Seorang lagi pesawah, Elut a/k Ehock, 55, berkata bahawa sebelum ini petani di kawasan itu sering terdedah kepada kerosakan padi akibat banjir tetapi kerugian dapat diatasi kerana tanaman dapat dijalankan semula sebaik banjir surut.

"Kalau setakat air banjir tidak apa, tapi ini air masin, padi tak boleh kena air masin nanti rosak teruk.

"Bukan itu sahaja, air masin akan meresap masuk ke tanah menyebabkan padi tak mahu hidup walaupun ditanam semula," katanya.

Dia mengalami kerugian hampir RM10,000 apabila sawah padinya seluas empat hektar musnah digenangi air masin.

Katanya, jumlah kerugian itu terlalu besar kerana dia bergantung sepenuhnya kepada hasil tanaman padi untuk menyara keluarga dan adalah sukar untuknya mengumpul semula wang sebanyak itu.

"Saya mempunyai tanggungan yang ramai dan bergantung harap kepada hasil tanaman padi, sudah dua musim saya tidak mendapat hasil daripada tanaman padi. Semua ini berpunca daripada tali air yang baru dibina, tujuannya baik untuk memudahkan air keluar masuk tetapi sebaliknya yang berlaku air masin terperangkap dan tidak dapat keluar sepenuhnya," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) Jejulok, Ghazali Isa berkata, air masin yang memasuki kawasan sawah pada setiap kali musim banjir sukar untuk keluar disebabkan laluan yang terlalu sempit dan memakan masa hampir dua minggu untuk kering sepenuhnya.

Beliau berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah membina beberapa buah pintu air tetapi ia terlalu kecil dan tidak mampu untuk mengeluarkan kesemua air masin yang melimpahi kawasan berkenaan.

"Setiap kali musim banjir perkara ini berlaku dan yang terbaru di kawasan sawah seluas 200 hektar di Kubang Bemban di mana taliair baru jalan yang memisahkan antara taliair dengan sungai terlalu rendah sehingga menyebabkan air masin dapat memasuki kawasan sawah.

"Air masin ini menyebabkan kerosakan tanah dan tanaman akan musnah, setiap kali musim banjir memang air akan melimpahi tetapi masalahnya, air ini tidak boleh keluar dengan cepat dan ia akan terus bertakung dalam sawah, ia mengambil masa satu hingga dua minggu untuk kering sepenuhnya," katanya ditemui pemberita di Kubang Bemban semalam.

Amat jelas, pembelaan tetap menjadi tanggungjawab BN walaupun ia bukan menjadi Kerajaan Negeri dan Tumpat dikuasai PAS, kecuali satu kerusi sahaja - Pengkalan Kubor.

Msyarakat Siam seharusnya berterima kasih kepada Nor Zahidi kerana bertindak cepat dan berusaha menyelesaikan masalah mereka.

SPN Negeri Melayu Bersekutu tiada hak lantik SUK?

Bekas Pengarah, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohammed Khusrin Munawi memulakan tugas barunya sebagai Setiusaha Kerajaan Negeri Selangor di Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah (SAAS). 3 Jan. 2011 semalam.

Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN) di bawah Negeri-negeri Melayu Bersekutu iaitu Selangor, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan tidak mempunyai kuasa untuk melantik pegawai perkhidmatan awam divisyen tinggi, kerana kuasa eksekutif itu tertakluk kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), kata seorang penganalisis politik tempatan.

Prof Dr Ahmad Atory Hussein (gambar kanan) dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), berkata ia berlainan bagi SPN di bawah negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu (Johor, Terengganu, Kelantan, Perlis dan Kedah) pula, kerana badan tersebut mempunyai kuasa untuk melantik tiga jawatan tinggi iaitu Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri.

"Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, seharusnya lebih peka mengenai perkara ini dan berhenti mempersoalkan pelantikan Datuk Mohamad Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri baru seperti diumumkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hassan baru-baru ini.

"Cubaan beliau untuk mempersoalkan pelantikan tersebut dilihat satu usaha yang sia-sia kerana hak eksekutif untuk melantik pegawai divisyen tinggi masih tertakluk kepada kerajaan Persekutuan sepertimana termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya hari ini.

Mengulas hasrat Abdul Khalid untuk mengadakan sidang tergempar bagi meminda perlembagaan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor 1959, bagi membolehkan kerajaan PKR negeri mempunyai kuasa untuk melantik jawatan tersebut, Ahmad Atory menegaskan pemindaan tersebut hanya akan mengakibatkan krisis undang-undang yang lebih teruk.

Ahmad Atory berkata, mengikut perkara Perhubungan Antara Persekutuan Dengan Negeri-Negeri, sebarang usaha untuk meminda perlembagaan negeri akan terbatal dengan sendirinya jika ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan menyatakan: "Jika mana-mana undang-undang Negeri tidak selaras dengan sesuatu undang-undang persekutuan, maka undang-undang persekutuan itu hendaklah mengatasi undang-undang negeri dan undang-undang negeri itu adalah tidak sah setakat yang tidak selaras itu."

Sementara itu, pakar perundangan terkenal, Profesor Salleh Buang, berkata adalah mustahil bagi kerajaan Selangor untuk meminda perlembagaan negeri kerana mereka memerlukan majoriti dua pertiga bagi membolehkan proses tersebut berlaku.

"Dalam Perlembagaan Selangor, memang dah tertulis setiap pemindaan perlembagaan memerlukan sokongan majoriti dua pertiga...dan mereka memerlukan sekurang-kurangnya 37 kerusi sebelum boleh meminda perlembagaan," katanya.

Ketika ini, Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempunyai 14 kerusi, DAP (13), PAS (8), manakala Barisan Nasional (BN) mempunyai 21 kerusi, daripada keseluruhan 56 kerusi Dewan Undangan Negeri Selangor.

Menurut Salleh, sekalipun pindaan tersebut berjaya, ia masih tidak akan memberi kesan terhadap pelantikan Mohamad Khusrin kerana sebarang pemindaan Perlembagaan tidak bersifat "retrospective" (ke belakang).

Menurut Salleh lagi, sikap Abdul Khalid yang tidak membenarkan SUK sendiri masuk mesyuarat Exco, seolah-olah cuba menafikan hak Mohamad Khusrin, serta menunjukkan pemimpin itu sendiri cuba membelakangi perlembagaan.

Petrol RON 97 Naik Lagi...10 sen

Harga petrol RON 97 dan minyak tanah masing-masing naik 10 sen seliter kepada RM2.40 dan RM2.50 seliter mulai tengah malam ini

Demikian menurut Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia. - BERNAMA

Pertemuan dengan Agong, Najib tiada kaitan politik: Nik Aziz

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat, berkata pertemuannya dengan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Terengganu, Kuala Lumpur, baru-baru ini, turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, tiada kaitan dengan isu politik.

Menteri Besar Kelantan itu, berkata pemergiannya itu adalah bagi menjunjung perintah Seri Paduka Baginda yang menyampaikan titahnya melalui Tun Abdullah Ahmad Badawi ketika bekas Perdana Menteri itu melawatnya dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia di sini, bulan lalu.

"Saya menghadap baginda bersama beberapa pemimpin termasuk Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, di Istana Terengganu, di Kuala Lumpur atas dasar menghormati dan menjunjung titah perintah Tuanku," katanya dalam satu kenyataan empat perenggan bagi mengelak kekeliruan yang timbul berikutan laporan akhbar hari ini.

Dilaporkan bahawa pertemuan itu antara lain berkisar ke arah mewujudkan kerajaan perpaduan.

Nik Aziz membuat penjelasan itu pada sidang media yang turut dihadiri Abdul Hadi dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

"Adalah sangat tidak beradab dan beretika bagi saya untuk menceritakan apa-apa yang menjadi perbualan ketika menghadap," katanya.

Nik Aziz berkata, ketika beliau berada di hospital USM, beliau telah dikunjungi Abdullah yang membawa titah Tuanku Mizan meminta beliau dan beberapa pemimpin menghadiri majlis santapan malam di Istana Terengganu.

"Atas dasar menghormati dan menjunjung titah Tuanku saya menghadiri majlis tersebut," katanya.

Nik Aziz menyeru media atau mana-mana individu supaya tidak membuat andaian yang tidak menentu dan menghentikan seberang kenyataan yang tidak tepat demi menjaga kehormatan dan nama baik pihak istana.

Abdul Hadi pula berkata, walaupun majlis itu turut dihadiri pemimpin lain termasuk Najib tetapi mereka tidak membincangkan langsung soal-soal politik.

"Tidak ada perjumpaan lain, selain majlis santapan malam itu," katanya.

Hujan Di Negeri Pantai Timur Sehingga Sabtu

Hujan sekejap-sekejap kadangkala sederhana dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu dan Pahang bermula esok sehingga Sabtu.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia kawasan yang terlibat di Kelantan ialah di daerah Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah, Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, Machang dan Kuala Krai manakala di Terengganu pula melibatkan daerah Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman dan di Pahang melibatkan daerah Kuantan.

Hujan sekejap-sekejap kadangkala sederahana yang kini berlaku di Sabah dijangka berlarutan hingga Jummat. Kawasan yang terlibat ialah di Kudat, Pitas, Kota Murudu, Ranau, Kota Belud, Beluran, Sandakan dan Kinabatangan.

Keadaan ini boleh menyebabkan banjir di kawasan yang berkedudukan rendah dan berdekatan tebing sungai, menurut kenyataan itu.

Jabatan itu juga mengeluarkan amaran angin kencang timur laut dengan kelajuan 50 hingga 60 km sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter yang kini berlaku di perairan Kelantan, Terengganu, Samui, Reef North, Layang-Layang dan Palawan dijangka berterusan sehingga Isnin ini.

Angin kencang timur laut dengan kelajuan 40 hingga 50km sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga tiga dan lima meter yang kini berlaku di perairan Pahang, timur Johor, Sarawak (Mukah, Bintulu dan Miri), Tioman, Bunguran, Reef South dan Sulu juga dijangka berterusan sehingga Isnin ini.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora itu merbahaya kepada semua aktiviti perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak, penangkapan ikan, perkhidmatan feri, bot kecil, aktiviti pantai, rekreasi dan sukan laut.

Lima Daripada Sembilan Sekolah Yang Ditutup Akibat Banjir Dibuka Esok

Dua murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Rantau Panjang 1, Nor Ain Razi, 11, (kanan) dan Nur Shahira Yusof, 11, membaca notis dikeluarkan pihak sekolah yang memberitahu sesi persekolahan hanya akan bermula esok untuk memudahkan kerja mencuci bilik darjah yang ditenggelami air akibat banjir di Pekan Rantau Panjang, semalam.
Lima daripada sembilan sekolah yang ditutup akibat banjir sejak Ahad lalu akan dibuka semula mulai esok (Rabu), kata Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Hussain Awang.

Katanya, ini berikutan keadaan banjir keseluruhan di negeri ini pulih dan paras air di Sungai Kelantan dan Sungai Golok semakin surut.

"Lima buah sekolah itu semuanya terletak di Rantau Panjang iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Rantau Panjang 1, SK Rantau Panjang, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Khay Boon, dan SK Lubok Setol.

"Sekolah Kebangsaan Bihai di Gua Musang terpaksa mengambil masa untuk dibuka berikutan jalan menunju ke sekolah itu tidak boleh dilalui kerana tanah runtuh dan jambatan di situ turut rosak...manakala tiga buah sekolah di Tumpat masih digenangi air," katanya di Kota B haru, hari ini.

Beliau berkata ketika ini kerja-kerja membersihkan bangunan sekolah di Rantau Panjang itu sedang giat dijalankan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), dan pihak persatuan ibu bapa dan guru.

Beliau berkata, SK Bendang Pak Yong, SK Simpangan dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Nurul Huda masih ditutup kerana air yang melimpahi tebing sungai di kawasan sekolah berkenaan masih belum surut sepenuhnya.

Mengenai kedudukan sekolah di kawasan perkampungan Orang Asli SK Bihai, Gua Musang itu, Hussain berkata kerja-kerja membaiki kerosakan jalan yang menghubungkan ke sekolah itu sedang dijalankan.

"Jika kerja-kerja pembaikian itu berjalan lancar adalah dijangkakan sekolah berkenaan akan dapat dibuka minggu depan," katanya.

Kegagalan Kerajaan PAS Bekalkan Air Bersih Berlanjutan

Kerisauan mengenai sumber air terjejas dan kegagalan membekalkan air bersih terutamanya di kawasan Hulu Kelantan mempunyai asas yang kuat kerana ia bukan mendatangkan masalah kepada penduduk setempat tetapi juga menjadi punca tersebarnya penyakit berjangkit.

Berikutan itu Kerajaan Pas Kelantan didesak supaya merangka satu pelan tindakan untuk memulihara bukit-bukit di negeri ini bagi memastikan sumber air dan mata pencarian penduduk kampung terutama Orang Asli tidak terjejas.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, masalah bekalan air di negeri ini semakin memuncak malah menurut laporan Jabatan Kesihatan, masalah penyakit berjangkit yang berpunca daripada air semakin meningkat dan antara tertinggi di Malaysia.

Beliau berkata, semua ini berpunca daripada kelemahan Kerajaan Pas Kelantan untuk menguruskan sumber air biar pun telah memerintah negeri ini selama 20 tahun.

"Sebagai contoh, di Jeli masalah yang dihadapi ialah penerokaan bukit-bukit. Sebahagian besar penduduk Jeli bergantung kepada bukit untuk bekalan air bersih, air kesihatan sudah berdekad-dekad.

“Bukit adalah sumber air paling utama tetapi dalam tempoh lima tahun sumber air dari bukit berkurangan dan kualitinya terjejas teruk.

Selain itu Mustapa juga menyeru Kerajaan Kelantan mengawal aktiviti penerokaan hutan kerana bimbang sumber air bukit yang kini dinikmati sebahagian besar penduduk di pedalaman terjejas dan menyukarkan kehidupan mereka.

Mustapa berkata penduduk di pedalaman itu banyak membuat aduan bekalan air bukit atau air tandak itu kini sudah terjejas seperti semakin kekurangan air dan kualiti airnya yang rendah.

"Kerajaan Kelantan perlu berhati-hati dalam setiap aktiviti penerokaan seperti penebangan hutan kerana kesannya akan merosakkan sistem pengaliran air bukit ke kampung-kampung.

"Kini keadaan sudah mula dirasai terutama penduduk di Jeli dan kita bimbang ia bukan sahaja menyukarkan kehidupan penduduk tetapi juga penyakit yang datangnya daripada air tercemar itu," katanya.

Beliau menyatakannya pada Majlis Penyampaian Anak Benih (Tanaman Tutup Bumi) Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan di Kampung Bendang Keladi di Jeli semalam. Turut hadir Pengarah JAS Kelantan, Khairuddin Mohd Idris.

Mustapa, yang juga Anggota Parlimen Jeli, berkata kadar penyakit bawaan air seperti cirit-birit dan taun di Kelantan kini antara yang tertinggi di negara ini dan menuntut agar kerajaan negeri menangani segera keadaan itu.

"Sedihnya Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) turut gagal memberikan perkhidmatan air bersih kepada penduduk di situ yang mahu tidak mahu terpaksa bergantung hidup kepada air bukit itu," katanya.

Beliau berkata kegagalan AKSB itu membuktikan kegagalan ketara kerajaan Kelantan pimpinan PAS untuk memberikan perkhidmatan asas yang sempurna kepada rakyat meskipun sudah memerintah lebih 20 tahun.

“Kalau 20 tahun tidak dapat diselesaikan ini kelemahan yang ketara, kita sebagai rakyat Kelantan berharap isu ini dapat diselesaikan secepat mungkin," katanya.

Indeks Jenayah 2010 di Kelantan Turun 3 Peratus

Indeks jenayah di negeri Kelantan secara keseluruhannya menurun sebanyak tiga peratus pada 2010 apabila mencatat sebanyak 7,116 kes berbanding 7,306 kes tahun sebelumnya.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Asisten Komisioner Mazlan Lazim berkata, angka itu merangkumi keseluruhan kes jenayah termasuk curi, pecah rumah dan sebagainya.

"Setakat ini kes jenayah di negeri ini boleh dikatakan terkawal. Kadarnya menurun sebanyak tiga peratus pada 2010 dengan catatan 7,116 kes berbanding 7,306 kes pada 2009.

"Bagaimanapun di peringkat jajahan Kota Bharu, Kuala Krai dan Gua Musang kadar itu meningkat," katanya tanpa menyatakan perincian peningkatan tersebut.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis serah dan terima tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di Kota Bharu, semalam.

Kerajaan Kelantan Hadiahkan Khairul Fahmi Sebuah Rumah

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyampaikan sumbangan kepada penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat, 21, sambil dibantu EXCO Kerajaan Negeri Kelantan bagi Pembangunan Sumber Manusia, Belia, Sukan dan NGO, Datuk Abdul Fattah Mahmood, pada Majlis Sambutan Kepulangan Wira Negara di Kampung Cherang Ruku semalam.

Penjaga gol pasukan bola sepak negara, Khairul Fahmi Che Mat, 21, yang membantu Malaysia muncul juara Piala AFF Suzuki 2010 baru-baru ini dianugerahkan sebuah rumah oleh kerajaan Kelantan bagi mengenang jasa dan pengorbanan penjaga gol itu.

Pemberian rumah itu diumumkan sendiri oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, selepas majlis meraikan Khairul Fahmi oleh penduduk Kampung Cherang Ruku semalam.

"Sebagai mengenang budi dan menghargai jasa anak muda kita yang berbakti melalui sukan bola sepak membantu negara menjulang piala, maka pihak kerajaan negeri memutuskan menghadiahkan sebuah rumah kepada Khairul Fahmi.

"Kita akan tetap beri hadiah. Itu kenyataan saya (pemberian sebuah rumah) dan segala butiran mengenai pemberian hadiah tersebut akan dilaksanakan oleh Exco bertanggungjawab," katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan Badan Bukan kerajaan (NGO) Negeri Kelantan, Abdul Fattah Mahmood.

Nik Aziz berkata, kerajaan Kelantan begitu berbangga dengan kecemerlangan Khairul Fahmi dan berharap pemain itu akan terus meningkatkan prestasinya pada masa akan datang.

"Dia masih muda dan perlu menjaga diri dengan baik. Dengan bakat yang ada, dia boleh menonjol sampai bila-bila. Kita menghargai bakat dia serta keluarga dia, sebab itu kita berjanji nak beri hadiah rumah kepada dia,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Nik Aziz berkata bersukan adalah satu riadah yang sangat dituntut dalam agama Islam.

"Kita perlu seimbangkan antara tuntutan dunia dan akhirat. Bersukan boleh tetapi kita jangan lupa solat. Solat membentuk keperibadian akhlak yang mulia. Kita jangan terbabit dalam gejala najis dadah.

"Nabi Muhammad SAW dahulu pun bersukan juga. Masa saya berumur 11 tahun ketika zaman perang Jepun saya menunggang kuda dengan beberapa adik-beradik saya. Saya menang ketika itu, kerana terlampau gembira saya angkat kedua-dua tangan dan bila biawak lalu kuda pun terkejut dan saya pun jatuh. Sampai sekarang kesakitan itu masih terasa," katanya.

300 Nelayan Dipastikan Berupaya Peroleh RM1,000 Sebulan

Sejumlah 300 nelayan miskin tegar di Kelantan yang menyertai Projek Penempatan Semula Nelayan yang tersusun akan dipastikan berupaya memperoleh pendapatan lebih RM1,000 sebulan selepas menyertai projek itu pada Ogos depan di Tok Bali Pasir Puteh.

Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kelantan, Wan Adnan Wan Ibrahim berkata mereka dipilih daripada senarai pendaftaran e-Kasih, dengan syarat tidak mempunyai rumah dan tanah kediaman sendiri.

Nelayan-nelayan di Tumpat, Kota Baharu, Bachok dan Pasir Puteh yang masih tidak mendaftar dengan e-Kasih boleh membuat pendaftaran mulai sekarang," katanya semalam.

Katanya bagi mereka yang tidak mempunyai bot dan peralatan menangkap ikan akan dipertimbangkan untuk mendapatkan bantuan daripada kerajaan bagi membolehkan mereka hidup berdikari tanpa bergantung kepada pihak lain.

Wan Adnan berkata isteri para peserta akan diberi peluang bekerja dengan menceburkan diri dalam projek-projek industri kecil dan sederhana (IKS) seperti projek fertigasi tanaman lada bagi menambah pendapatan keluarga.

Wan Adnan berkata Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani meluluskan peruntukan sebanyak RM30 juta bagi melaksanakan projek berkenaan yang bermula awal tahun lepas dan dijangka siap sebelum Ogos tahun ini.

Banjir Di Kelantan Pulih Sepenuhnya

Banjir di Kelantan pulih sepenuhnya apabila kesemua mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan dibenarkan pulang tengah hari semalam.

Setiausaha Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Roslee Mamat berkata dua pusat pemindahan di daerah Rantau Panjang ditutup pada 1 tengah hari.

"Cuaca di Kelantan hari ini cerah tanpa hujan menyebabkan air di beberapa kawasan perkampungan mulai surut dan mangsa dibenarkan pulang tengah hari semalam.

"Kesemua 406 mangsa dari 124 keluarga yang berada di pusat pemindahan pada sebelah pagi tadi dibenarkan pulang secara berperingkat," katanya/

Beliau berkata sehingga petang semalam, kesemua laluan di daerah Rantau Panjang dan Tumpat dibuka semua kepada semua kenderaan.

UPP Kelantan Rampas Beras Siam Bermutu Tinggi


Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kelantan merampas 5,800 kilogram beras Siam bermutu tinggi dilonggokkan berhampiran sebuah setor di Kampung Banggol Stol, Rantau Panjang dipercayai oleh kumpulan penyeludup terancang dalam dua rampasan pada Jumaat lepas.

Komander UPP Kelantan, Mazlan Che Hamid berkata sebuah kereta digunakan untuk memunggah guni-guni berisi beras ke lokasi itu turut ditahan bersama 16 kampit beras yang tertera perkataan "Beras Malaysia" pada guni bagi mengelirukan pihak berkuasa.

"Seorang lelaki yang memandu kereta Proton jenis Gen-2 melarikan diri sebaik menyedari diekori anggota UPP di Kampung Banggol Stol," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Kota Bharu, semalam.

Mazlan berkata rampasan pertama dibuat pada pukul 11 malam 31 Disember lepas oleh sepasukan anggota yang menerima laporan daripada orang awam mengenai penemuan longgokkan guni-guni berisi beras Siam berdekatan sebuah setor di Kampung Banggol Stol.

Beliau berkata sejumlah 100 kampit beras Siam dengan setiap satu beratnya 50 kilogram bernilai kira-kira RM15,000, dipercayai diletakkan penyeludup bagi dimuatkan ke dalam treler ke Kuala Lumpur untuk pasaran, dirampas.

"Berdasarkan maklumat awam juga, tiga jam kemudian pasukannya menahan sebuah kereta jenis Gen-2 yang membawa 16 guni beras Siam bernilai RM2,400 di lokasi yang sama," katanya.

Mazlan berkata kedua-dua rampasan termasuk kereta itu dianggarkan bernilai RM37,400 dan semua rampasan diserahkan kepada Bahagian Pencegahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia Kelantan untuk tindakan lanjut