Saturday, April 30, 2016

Pasal Duit, Dr Vida Kurang Percaya Kepada Pengurusan KAFA


"...saya tak bagi mereka (KAFA) duit. Saya pegang duit itu. Bukan saya tidak yakin cuma kurang percaya dengan mereka...sebab mungkin dalam tekanan bayar hutang mereka. (KAFA) guna duit itu."
Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman

Pengasas Vida Beauty, Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman berterus terang bahawa beliau kurang percaya dengan pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dalam soal duit.

Apakah ini punca kemelut antara beliau dengan KAFA sekarang?

Beliau yang dikenali dengan Dr Vida mengakui, kurang percaya dengan ketelusan pengurusan  dalam menguruskan kewangan adalah sebab utama beliau terpaksa mengawal sendiri wang tajaan.

Begitu sekali? Ada sesiapa yang ‘mencucuk’ Dr Vida sehingga bersikap sedemikian?

Malah menegaskan, tindakannya itu telah menjamin pemain-pemain Kelantan menerima gaji sehingga Oktober ini.

Menurut laporan Malaysian Instinct, berikutan itu, beliau menggambarkan, hubungannya dengan Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa ibarat retak menanti belah, namun beliau tiada jalan keluar dan perlu meneruskan komitmen penajaan terhadap skuad The Red Warriors.

“Sebenarnya saya sudah tidak ambil peduli dengannya (Annuar) sebab dia cakap dengan saya dia mahu beritahu kepada masyarakat pasal jumlah tajaan saya. Saya cakap silakanlah. Saya tidak ada masalah. Saya tidak takut dan sebab itulah saya cakap dari dulu mengapa saya mengenakan syarat.

“Sebenarnya, apabila saya letak syarat saya ada perjuangan dan saya ada penegasan mengapa saya perlu buat sedemikian. Seandainya duit diberikan semua apa akan jadi kepada pemain di masa akan datang sebab mungkin dalam tekanan bayar hutang mereka (KAFA) guna duit itu.

“Saya tidak mahu. Saya nak duit saya dibayar untuk gaji pemain. Jadi pemain tidak perlu risau sebab saya dah peruntukkan duit gaji sampai Oktober.

“Cuma saya tak bagi mereka (KAFA) duit. Saya pegang duit itu. Bukan saya tidak yakin cuma kurang percaya dengan mereka,” Dr Vida kepada Utusan Malaysia, semalam.

Dr. Vida turut mengakui, prestasi Kelantan yang tidak dan semua masalah yang menyelubungi dirinya dan KAFA ketika ini sedikit sebanyak membuatkannya merasa bosan.

“Cuma saya macam tiada jalan keluar sekarang. Tengoklah saya kena kutuk macam-macam kalau keluar (berhenti penajaan) namun saya tidaklah mahu keluar penajaan sebab saya kena bantu Kelantan.

“Tapi kena ikut cara sayalah. Jangan sampai saya fikir, susahnya nak uruskan pasukan yang macam dah besar kepala, saya nak buat pasukan sendiri pun boleh,” katanya lagi, yang bagaimanapun menegaskan beliau tidak serik untuk melibatkan diri dalam bola sepak.