Monday, February 16, 2009

APA JADI ZIN?

Ahli politik jangan buat janji. Begitu juga Menteri.

Jangan berdiam diri. Orang yang terdesak akan melakukan apa saja.

Inilah yang berlaku kepada Menteri Kerjaraya, Datuk Seri Ir. Mohd Zin Mohamed.
Kijang terkejut apabila seorang mangsa kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa pada 6 Disember tahun lalu kelmarin dilaporkan bersemuka dengan Menteri Kerjaraya itu pada satu majlis rasmi.

Ir. Mohd Zin ‘diterpa’ pada satu majlis rasmi semalam dan ‘rakyat’ yang menanti laporan mengenai tanah runtuh mempersoalkan laporan kejadian itu yang masih belum diumumkan.

Dr Mohamed Rafick Khan Abdul Rahman, mencuri peluang pada sidang media selepas majlis perasmian seminar ‘Tatacara Pembangunan Cerun Yang Selamat’ anjuran Lembaga Jurutera Malaysia untuk bertanyakan hal itu menyebabkan sidang akhbar itu dihentikan serta merta.
Perbuatan Dr Mohamaed Rafick itu sewajarnya ditegur oleh Mohd Zin.

“Ini sidang akhbar saya untuk pemberita, awak harus menghormati majlis orang lain. Ini (laporan kejadian tanah runtuh) bukan perkara main-main, saya perlu jelaskan kepada Kabinet terlebih dulu sebelum membuat kenyataan.

“Perkara ini membabitkan banyak agensi kerajaan lain dan saya akan membuat kenyataan mengenai laporan ini apabila tiba masanya. Saya tidak perlu melayan permintaan semacam ini,” katanya menurut laporan Berita Minggu.

Ir. Mohd Zin terus mengakhiri sidang media dan meninggalkan dewan.

Dr Mohamed Rafick, ketika ditemui pemberita selepas itu, berkata beliau nekad bertanya kepada menteri sendiri selepas usaha mendapatkan jawapan daripada pegawai Kementerian Kerjaraya menemui jalan buntu.

Laporan itu sepatutnya diumumkan tiga minggu lalu, dakwa Dr Mohamed Rafick.

Sebelum ini, pada 14 Disember 2008, Ir. Mohd Zin dipetik berkata, laporan penuh mengenai tahap keselamatan di kawasan tanah runtuh sekitar Bukit Antarabangsa akan diketahui dalam tempoh tiga bulan manakala laporan awal akan dikeluarkan dalam tempoh sebulan.

Jelas, apa yang dijan jikan Menteri berkenaan, laporan sepatutnya diumumkan pada 14 Januari lalu.

Ini suatu pengajaran. Kini tidak wajar lagi ada janji politik.

Rakyat mahukan tindakan. Jika ‘belum siap’ atau tergendala, nyatakan. Beranilah berdepan dengan masyarakat!

Rakyat kini tahu bagaimana ‘mendapatkan’ Menteri.

Kijang dah tau, mereka juga tahu apa akan dipersoalkan.