Wednesday, November 10, 2010

PROJEK LEMBAH SIRIH BERMASALAH

Kerajaan Pas Kelantan akan mengkaji semula perjanjian Projek Lembah Sireh dekat Kota Bharu yang bermasalah apabila pemaju hanya berjaya melaksanakan 50 peratus projek itu setakat ini.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, kerajaan negeri sehingga kini hanya menerima bayaran sebanyak RM7,357,883 daripada pihak pemaju sejak projek tersebut dilaksanakan.

Beliau berkata, jumlah tersebut adalah sebahagian daripada bayaran yang dipersetujui dalam perjanjian antara kerajaan negeri dan pihak pemaju dengan ada beberapa item yang belum dijelaskan kepada kerajaan.Projek Lembah Sireh melibatkan pembangunan dan pengindahan di tebing Sungai Kelantan yang membabitkan kos kira-kira RM2 bilion.

Pembangunan projek berkenaan membabitkan kawasan seluas 400 hektar meliputi jajahan Kota Bharu dan Tumpat.

Antara komponen yang akan dimajukan termasuk projek perumahan, taman rekreasi, pusat peranginan, hotel, kemudahan marina dan pusat air, taman awam dan jambatan merentangi Sungai Kelantan di Kampung Cina.

Selain itu, ia turut melibatkan pembinaan rumah kedai komersial, pelbagai kemudahan sosial untuk penduduk tempatan, kompleks membeli belah antarabangsa, bangunan pejabat, pusat komersial, lingkaran jalan ke semua arah ke bandar Kota Bharu, water front, laluan pejalan kaki dan jeti awam.

Bagaimanapun sehingga kini, antara bangunan yang terdapat di Lembah Sireh adalah pasar raya Tesco, terminal bas dan beberapa blok komersial yang kebanyakannya masih kosong atau dalam pembinaan.

"Oleh kerana projek ini hanya 50 peratus dapat disiapkan, kita anggap ia sebagai projek yang bermasalah dan kerajaan sedang membuat kajian untuk mendapatkan pulangan seperti dijanjikan dengan keluasan 50 peratus tanah yang telah ditimbus semula," katanya menjawab soalan tambahan Mohd. Adhan Kecik (BN-Bukit Bunga) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Bharu, semalam.

Menjawab soalan sama ada kerajaan bercadang menamatkan perjanjian dengan pemaju memandangkan pecah kontrak berlaku secara serius dan memakan masa yang lama, Ahmad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pentadbiran Awam, Pembangunan Tanah dan Wilayah negeri berkata, ia akan dibincangkan dengan penasihat undang-undang untuk membuat semakan secara terperinci.

"Sebarang tindakan yang diambil hendaklah berasas pada perjanjian dan fakta-fakta yang ada," katanya.

GAJI ADUN DALAM DINAR, DIRHAM

Separuh daripada gaji Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kelantan mungkin dibayar dalam bentuk dinar dan dirham, Dewan Undangan Negeri diberitahu hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa berkata, pihaknya sedia untuk memanjangkan cadangan itu kepada Jabatan Perbendaharaan Negeri untuk diperhalusi.

"Kita cadang bawa perkara ini kepada pertimbangan kerajaan negeri dan juga Jabatan Perbendaharaan Negeri.

"Jika tiada apa halangan, kita mungkin akan melaksanakan separuh bayaran gaji kepada wakil rakyat dalam bentuk dinar dan dirham," katanya menjawab soalan Arifabillah Ibrahim (Pas-Dabong).

Beliau bagaimanapun berkata, cadangan pembayaran separuh bayaran gaji dengan menggunakan dinar dan dirham bergantung kepada pilihan para Adun sendiri.

"Atas pilihan masing-masing, kita boleh bayar menggunakan mata wang itu kepada mereka yang setuju, tetapi bagi yang tidak setuju, kita boleh terus bayar dengan duit kertas," kata Husam.