Thursday, July 15, 2010

'SEMEJA TAK BOLEH, MACAM MANA NAK BERGABUNG' - HISHAM

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata soal UMNO bergabung dengan PAS masih jauh lagi untuk diandaikan buat masa ini.

"Kalau hendak duduk semeja pun tidak boleh, soal hendak bergabung jauh lagilah," katanya.

Beliau yang juga menteri dalam negeri berkata tujuan bagi perbincangan itu hendaklah bagi manfaat semua pihak.

"Soal gabung lagi sedikit masa tak ada timbul," katanya sambil meminta semua pihak tidak 'takut dengan bayang-bayang'.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan komitmen serta kesediaan UMNO untuk bertemu dan menjalinkan kerjasama dengan PAS dalam pelbagai bidang termasuk usaha untuk memperkukuhkan Islam serta kedudukan orang Melayu di negara ini.

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau sedia bertemu dan berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai "apa juga perkara".

Ketika ditemui pemberita semalam, Menteri Besar Kelantan itu berkata tiada halangan untuknya bersua muka dengan Muhyiddin tetapi perjumpaan itu biarlah tanpa diatur mana-mana pihak ketiga sebagai orang tengah.

"Yang moleknya tak payah orang (tengah). Kalau nak jumpa secara peribadi pun tak apa, boleh sangat," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di Kota Bharu semalam..

“Beliau (Tan Sri Muhyiddin) boleh datang sendiri jumpa saya, saya tak kisah, tak perlu hantar orang tengah.

“Jangankan beliau datang nak jumpa saya kat sini, jika ke Kuala Lumpur pun saya boleh pergi,” katanya.

Bagaimanapun menurut Harakahdaily, soalan yang diutarakan pemberita kepada Nik Aziz tiada kaitan dengan hubungan Umno dan PAS, seperti dilaporkan media semalam.

Sebelum ini, Panel Pemikir Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Lokman Nor Adam dipetik sebagai berkata bahawa hasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang mengamalkan dasar Islam akan menjadi kenyataan sekiranya PAS dan UMNO bersatu.

Ekoran daripada itu, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Razak Idris mencadangkan penubuhan satu jawatankuasa khas supaya kerjasama antara UMNO dan PAS terlaksana.


Bercakap dalam sidang media selepas menyampaikan anugerah kecermelangan kepada polis di Putrajaya, Hishammuddin berharap PAS tidak mempolitikkan isu itu.