Wednesday, July 27, 2016

Kecoh Kedai Jam Di Kota Bharu Kena Saman Gara-Gara 'Gambar Seksi'


Seksi sangat ke iklan ni?

Ia bukan terpampang di billboard atau di banner yang dipasang sepanjang laluan awam tetapi hanya di kedai jam dalam sebuah premis.

Gara-gara memaparkan memaparkan dua keping poster iklan wanita yang dikatakan seksi dalam premis berkenaan, sebuah kedai  jam tangan di Kota Bharu didenda.

Antara iklan itu adalah poster yang menggambarkan bintang Bollywood Aishwarya Rai berpakaian hitam sedikit terdeah dan menggayakan jam tangan Longines.

Poster lain menunjukkan seorang lelaki dan seorang wanita yang duduk rapat antara satu sama lain dengan wanita itu memakai baju merah tanpa lengan. Kedua-dua mereka memakai jam tangan Guess.

Tindakan pihak berkuasa tempatan mengenakan kompaun kepada seorang peniaga di sebuah pusat beli-belah di Kelantan kelmarin,  menimbulkan perbahasan di kalangan bukan Islam.

Pada 25 Julai, satu saman dikeluarkan kepada seorang peniaga jam yang beroperasi di tingkat bawah sebuah pusat beli-belah di Kota Bharu kerana melanggar syarat-syarat (gambar seksi) ditetapkan MPKB (Majlis Perbandaran Kota Bharu).

Menurut laporan Oriental Daily, seorang peniaga jam tangan di sebuah pusat beli-belah di Kota Bharu didenda kerana melanggar Seksyen 107 (2) Akta Kerajaan Tempatan 1976 menerusi paparan dua keping poster iklan wanita yang dikatakan seksi dalam premisnya.
*      
Peniaga terbabit mendakwa, ini bukan kali pertama beliau didenda kerana kira-kira 10 saman diterimanya sejak mula menjalankan perniagaan itu pada 1990.

Berikutan iru,  beliau hanya boleh memohon lesen perniagaan bagi premis baru selepas membayar semua denda berjumlah RM2,000 yang akhirnya diberikan potongan harga sehingga RM400.

Kesan daripada saman terhadap ‘iklan seksi’  adalah bukti undang-undang syariah turut memberi kesan kepada orang bukan Islam.

Masalahnya, isu ini dikaitkan dengan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) yang dibentangkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

MCA Kelantan melihat saman terhadap kedai jam berkenaan sebagai perkara yang perlu dilihat secara serius.

Parti itu akan meningkatkan kesedaran rakyat terhadap cadangan pindaan yang dibentangkan oleh Presiden PAS itu dibimbangi golongan bukan Islam tidak lagi dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Hu...MPKB tidak punya kuasa untuk menutup kedai
Bagi pemimpin parti itu, tiada apa yang mampu menghalang penggubal undang-undang persekutuan lain daripada mencadangkan pelaksanaan hukum hudud ke atas orang bukan Islam.

Ahli Jawatankuasa Pusat AMANAH Hu Pang Chow pula berkata saman itu memberikan  tempoh sehingga 1 Ogos untuk menanggalkannya, jika tidak premis perniagaannya akan ditutup selama-lamanya.

Hu menjelaskan, pihak majlis perbandaran tidak mempunyai kuasa untuk menutup premis perniagaan itu sambil menambah bahawa kuasa mereka terhad sekadar untuk tidak memperbaharui lesen perniagaan, walaupun terpaksa menunggu hingga akhir tahun untuk berbuat demikian.

"Di bawah undang-undang sekarang atau undang-undang majlis tempatan, tidak ada peraturan yang menyatakan kamu tidak boleh meletakkan sebarang poster. Melainkan ia adalah poster bogel, maka itu adalah berbeza.

"Tetapi jika poster ini boleh dipamerkan di seluruh negara, mengapa tidak di Kelantan?" soal Hu.

Hu juga mendakwa bahawa kejadian seumpama itu banyak kali belaku dan beliau sentiasa menasihatkan pemilik untuk mencabar saman berkenaan di mahkamah.

Bagaimanapun, beliau berkata, kebanyakan pemilik perniagaan takut untuk menentang kerajaan negeri.

Beliau mendakwa bahawa atas sebab itu MPKB terus mengeluarkan saman kerana ia tahu pemilik perniagaan tidak akan mencabar tindakannya.

"Oleh kerana saya pernah menjadi ahli Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) selama lima tahun, saya tahu sikap mereka (MPKB), mereka tidak akan mengalah.


"Mereka akan terus dengan keputusan dan mendesak pemilik membayar saman atau mereka tidak akan memperbaharui lesen perniagaan," kata Hu.

Hu sudah  menasihat pemilik untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap majlis perbandaran tetapi tidak pasti sama ada nasihatnya akan diendahkan.

Hu berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan pemilik tidak lama lagi dan akan menasihatkannya supaya mengambil tindakan undang-undang.

Setiausaha MCA Kelantan, Datuk Lua Choon Hann yang dipetik The Star Online pula berkata, dakwaan PAS selama ini kononnya undang-undang syariah tidak akan dikuatkuasakan ke atas golongan bukan Islam tidak benar.

Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Ekonomi MCA Kelantan itu mendakwa penguatkuasaan kerajaan negeri pimpinan PAS itu sememangnya menyasarkan bukan Islam dan menganggap mereka sebagai pelanggar undang-undang.

“Tiada apa yang mampu menghalang penggubal undang-undang persekutuan lain daripada mencadangkan pelaksanaan hukum hudud ke atas orang bukan Islam seperti yang berlaku di Aceh, Indonesia,” kata Lua.

Beliau merujuk pelaksanaan undang-undang syariah di Aceh yang membenarkan sebatan di khalayak ramai ke atas golongan bukan Islam atas kesalahan termasuk menjual dan meminum arak serta berjudi.