PAS
memecat Husam berkuat kuasa 23 April lalu.
Perkara
itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib PAS Dr Sanusi Daeng Mariok
selepas mempertimbangkan kes ini daripada semua aspek serta mengambil kira
kepentingan parti dan perjuangannya.
Dengan pemecatan ini, Husam kini bergerak sebagai wakil
rakyat bebas.
Bagi Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (Mapan)
Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff, keputusan
Jawatankuasa Tatatertib PAS memecat Husam adalah tindakan berani yang berjaya
memulihkan imej parti dari diperkotak-katikkan.
Tindakan ini juga satu tamparan kepada pelbagai pihak
yang mendakwa PAS tidak akan mengambil tindakan ke atas Husam kerana bimbangkan
pengaruhnya.
"Keputusan PAS memecat Husam memang sangat wajar
dilakukan kerana terlalu banyak kenyataan dan tindakan yang dibuat olehnya
sejak kalah dalam pemilihan parti pada tahun 2015 yang bercanggah dengan
tatatertib parti, “ katanya semalam.
Keputusan PAS memecat bekas naib presiden Husam yang
dilihat amat rapat dengan bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik
Abdul Aziz Nik Mat, adalah selaras dengan peruntukan undang-undang parti.
Husam pernah menjadi pembantu politik Nik Aziz, sangat
lantang dalam isu-isu alam sekitar terhadap pengurusan PAS Kelantan.
Husam
dipecat telah melanggar Fasal 82(1)(b), (c), (d), (e) dan (f) Perlembagaan PAS.
Menurut
Fasal 82 (1)(b) ahli PAS perlu taat dan patuh kepada perlembagaan, aturan dan
peraturan parti Islam itu, manakala Fasal 82 (1)(c) dan (d) pula ialah ahli
perlu taat dan patuh kepada arahan-arahan dan perintah-perintah parti serta
melaksanakan kewajipan-kewajipan ditugaskan parti sedaya upaya.
Manakala
fasal 82 (1)(e) adalah menjaga dengan cermat segala rahsia-rahsia parti dan (f)
mengamal akhlak Islam.
Bekas
naib presiden PAS itu dilihat lantang mengkritik Datuk Seri Abdul Hadi
Awang berhubung isu kerjasama parti Islam itu dengan UMNO serta kepimpinan
parti berhubung isu hudud.
Malah,
Husam sebelum ini juga dilihat sepentas dalam program parti serpihan PAS
sempena majlis makan malam anjuran AMANAH Kelantan di Petaling Jaya, Januari lalu.
Selain
itu, Husam sering mengkritik kerajaan PAS Kelantan melalui pelbagai isu,
khususnya isu balak yang ‘melemaskan’ kepimpinan PAS Kelantan.
Persoalannya,
kenapa begitu lama PAS perlu menyimpan keputusan pemecatan itu dan semalam baru
diumumkan?
Walaupun
PAS belum lagi memaklumkan secara rasmi kepadanya tetapi beliau menerima khabar
pemecatan itu daripada sumber tidak rasmi menerusi laman sosial, aplikasi
Whatsapps dan SMS.
ADUN
Salor itu mengakui sedih apabila
mengetahui PAS memecat keahliannya.
“Tanpa saya sedari, air mata saya menitis.
Sebak bercampur pilu,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Bagaimanapun,
Husam yang juga bekas naib presiden PAS berkata beliau menerima keputusan parti
itu dengan hati terbuka.
Beliau
juga hanya akan mengeluarkan kenyataan rasmi kepada media selePAS menerima
surat pemecatan rasmi daripada PAS.
PemudaPAS Kelantan menyatakan ‘syukurnya’ kerana parti Islam itu memecat bekas naib
presidennya yang sering mengkritik parti dan kerajaan negeri Kelantan.
Ketua
Pemudanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, mereka menyokong keputusan Jawatankuasa
Tatatertib PAS memecat ADUN Salor itu.
“Tindakan
ini juga tentunya merupakan satu pembebasan terhadap Datuk Husam Musa untuk
bergerak melalui wadah yang dipilihnya sendiri,” katanya dalam satu kenyataan
semalam.
Apakah
pemecatan Husam itu akan mendatangkan kesan kurang baik kepada PAS?
Bekas rakan seperjuangan Husam menyifatkan perkembangan terbaru
dalam PAS itu akan menambah pergolakan dalam parti berkenaan.
Ahli Parlimen Parit Buntar, Mujahid Yusoff Rawa - bekas
ahli jawatankuasa PAS pusat - berkata, jangkaan tersebut adalah berdasarkan
'kekuatan' Husam dalam parti, terutama di Kelantan.
Mujahid, yang kini menduduki kerusi Naib Presiden Parti
Amanah Negara (AMANAH) berpendapat, PAS pastinya telah menimbang kesan dan
manfaat mempunyai ahli penting seperti Husam sebelum memutuskan untuk memecat
beliau.
"Bagaimanapun, pemecatan beliau hanya akan
menyebabkan pergolakan seterusnya bukan sahaja PAS di Kelantan tetapi juga
parti itu secara keseluruhan. Pastinya menarik untuk melihat perkembangan
seterusnya di masa depan,” tambahnya.
Bagi
Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Datuk Dr Khairuddin Aman Razali, pemecatan
Husam yang juga ADUN Salor itu juga tidak akan menjejaskan kekuatan parti.
“Tindakan
disiplin terhadap mana-mana ahli (dalam PAS) perkara biasa. Setiap organisasi
mesti bertindak selaras dengan kepentingan parti yang dianggotai.
“Jika
seorang ahli diambil tindakan meskipun dia seorang pemimpin besar, organisasi
akan terus melayarkan bahteranya kerana kekuatan bukannya terletak pada
individu tetapi pada dasar hala tuju organisasi,” katanya.
Husam menunggu keputusan rasmi PAS sebelum membuat sebarang ulasan mengenai pemecatan itu.
Ke mana agaknya arah perjuangan Husam selepas ini?