Monday, August 16, 2010

WANG IHSAN HAK RAKYAT KELANTAN - MUSTAPA

Mustapa Mohamed sumbangan daripada Ambank.

Pemberian wang ihsan berjumlah RM25 juta kepada pelajar di Kelantan membuktikan Kerajaan Pusat tidak pernah menafikan hak rakyat negeri itu, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata sehubungan itu, tidak timbul isu kerajaan Pusat tidak membayar royalti minyak kepada rakyat Kelantan yang dituntut oleh kerajaan negeri itu.

"Peruntukan RM25 juta yang disediakan kepada pelajar Kelantan yang layak menerima wang ihsan itu tahun ini, adalah sebahagian daripada lima peratus daripada hasil minyak yang diperoleh di luar tiga batu nautika perairan negeri ini," katanya selepas berbuka puasa bersama anggota Batalion Pertama Rejimen Sempadan Kem Batu 11 di Jeli.

Terdahulu, beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan menyampaikan bantuan wang ihsan kepada 488 pelajar tingkatan enam Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Gajah dan Air Lanas di kawasan Parlimen Jeli.

Mustapa berkata kerajaan Pusat sudah menunaikan segala tanggungjawabnya dalam menyediakan peruntukan menerusi pemberian wang ihsan, walaupun bukan dalam bentuk royalti.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kerajaan sedang mengkaji keperluan pembinaan benteng atau tembok di kawasan Sungai Golok di sempadan sebelah Kelantan bagi mengatasi masalah tebatan banjir dan keselamatan.

Beliau berkata perkara itu pernah dibangkitkan sewaktu lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini.

Dato Sri Mustapa Mohamed menerima sumbangan daripada Ambank.

Semalam beliau hadir pada Majlis Berbuka Puasa Peringkat Parlimen Jeli di Kompleks UMNO Bahagian Jeli dihadiri lebih 1,000 orang.

Program tahunan UMNO Bahagian Jeli itu dihadiri kepimpinan UMNO bahagian dan cawangan serta ketua-ketua jabatan dan agensi di daerah Jeli.

Program tahun ini turut mendapat perhatian Berita Harian dan Ambank apabila hadir menyampaikan sumbangan kepada tiga buah masjid di parlimen Jeli iaitu Masjid Jedok, Kalai dan Lubok Bongor.

Selain itu, seperti biasa kesemua 103 cawangan turut menerima sumbangan untuk berbuka puasa di sampaikan oleh Mustapa.

Keceriaan majlis berkenaan dirasai sendiri penduduk apabila Mat Mesir atau Dr Sheikh Mohamed Abdel Aziz Ghonim hadir sama memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran sebelum berbuka puasa.

KERAJAAN PAS KELANTAN AKHIRNYA AKAN PERSALAHKAN KERAJAAN PUSAT…

Daripada www.hambali1.blogspot.com

"Bank Negara akan melihat perkara berkenaan dari segi percanggahan undang-undang...Ikut undang-undang negara kita, cuma Bank Negara sahaja boleh keluarkan wang yang boleh diiktiraf, yang sah dalam negara kita," - Datuk Seri Mohd Najib Razak

Apakah Kerajaan PAS Kelantan mahu memainkan sentimen rakyat untuk terus menyalahkan kerajaan Pusat, termasuk dalam isu terbaru iaitu penggunaan Dinar Emas dan Dirham Perak di Kelantan?

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek mengakui isu ini akan menyebabkan pertelagahan baru antara Kerajaan Kelantan dan Pusat.

Malah menurutnya, akan ada rakyat yang akan jadi mangsa kepada dasar baru kerajaan PAS Kelantan ini jika dibiarkan kerajaan Kelantan melaksana dasar itu sewenang-wenangnya.

Persoalannya, apakah dasar itu sengaja diperkenalkan untuk kepentingan politik dan mempertahankan kuasa PAS di Kelantan?

Dan bagaimana pula dengan kenyataan bercanggah antara Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz dan Datuk Husam Musa?

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata semalam, apa yang dilakukan Kelantan itu sebenarnya hanyalah bertujuan politik semata-mata.

Ia tidak lebih daripada untuk meraih simpati rakyat yang akhirnya akan menyalahkan kerajaan Pusat kerana menolak penggunaan dinar dan dirham itu.

"Ini tindakan politik dan untuk mendapatkan sokongan politik yang kononnya nanti kerajaan Pusat tidak Islamik dan ini jelas untuk mengasak kerajaan Pusat dan perkara ini amatlah mendukacitakan kami," katanya.

Mustapa berkata ketika ini kenyataan Nik Aziz dan Husam ternyata bercanggah mengenai penggunaan dinar dan dirham itu.

Beliau menyifatkan kedua-dua pemimpin PAS itu sudah "terperangkap" dengan isu itu dan untuk mengelakkan mereka dipersalahkan, kerajaan Kelantan akan menyalahkan kerajaan Pusat selepas ini.

Beliau mengingatkan Kerajaan Kelantan agar tidak sewenang-wenangnya membuat peraturan baru seperti penggunaan dinar dan dirham tanpa merujuk kepada kerajaan Pusat.

Mustapa berkata kenyataan Menteri Besar Kelantan bahawa dinar emas dan dirham perak itu akan dijadikan sebagai mata wang alternatif adalah jelas melanggar peraturan Bank Negara Malaysia (BNM).

"Saya nasihatkan kerajaan Kelantan jangan pandai-pandai (buat peraturan). Apa pun nak dibuat perlu berbincang kerana nanti rakyat terkeliru dengan bidang tugas kerajaan Pusat dan kerajaan negeri.

"Soal mata wang ini bidang tugas kerajaan Pusat, bukan kerajaan negeri dan ini apa yang telah dibuat adalah jelas melanggar undang-undang negara. Kita ada perlembagaan dan peraturan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Kelantan di Kota Bharu, semalam.

Tiga hari lalu Nik Aziz melancarkan mata wang syariah dinar dan dirham yang akan digunakan dalam transaksi seharian termasuk pembayaran gaji kepada kakitangan awam.

Kira-kira 1,000 peniaga di bandar ini dilaporkan bersetuju untuk menerima dinar emas dan dirham perak dalam transaksi perniagaan mereka.

Dinar dan dirham itu dikeluarkan oleh anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK), Kelantan Golden Trade.

Pada Jumaat, BNM menegaskan hanya mata wang ringgit sah diperakukan bagi pembayaran barangan dan perkhidmatan di negara ini dan menolak penggunaan dinar dan dirham.

Pada Jumaat juga Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa menyalahkan media yang katanya keliru dengan pelancaran mata wang syariah tersebut sedangkan ia adalah pengenalan kepada sistem pertukaran barang yang menggunakan dinar dan dirham itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam dengan tegas menyatakan hanya BNM sahaja yang boleh mengeluarkan wang yang diiktiraf dan sah di negara ini.

Mengulas mengenai pelancaran mata wang dinar dan dirham Kelantan, Perdana Menteri berkata BNM akan melihat perkara berkenaan dari segi percanggahan undang-undang.

"Ikut undang-undang negara kita, cuma Bank Negara sahaja boleh keluarkan wang yang boleh diiktiraf, yang sah dalam negara kita," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada masjid dan surau Parlimen Pekan, di Pekan, semalam.

Nik Aziz menyifatkan penggunaan dinar dan dirham sebagai alternatif kepada Ringgit Malaysia tidak bertentangan dengan undang-undang dan ia dirangka mengikut peruntukan yang disediakan oleh BNM.

Diminta mengulas lanjut, Najib berkata: "Kita kena lihat sama ada ini bercanggah dengan undang-undang negara atau tidak, saya serah pada Bank Negara untuk mengkaji perkara ini.

"Kita biar Bank Negara buat kenyataan," kata Najib.

Mengikut laporan akhbar semalam, BNM menegaskan hanya mata wang ringgit sah diperakukan bagi pembayaran barangan dan perkhidmatan di negara ini.

Kenyataan itu menolak penggunaan dinar dan dirham yang diperkenalkan di Kelantan.

Bank pusat itu dalam kenyataannya berkata, di bawah undang-undang negara ini, BNM sahaja yang berhak untuk mengeluarkan mata wang di Malaysia.

AKMAL RIZAL BERNIAGA DI BAZAR RAMADAN JITRA

Ketika Ramadan ramai orang mengambil kesempatan untuk menjalankan aktiviti perniagaan bagi menambah sumber pendapatan menjelang hari raya, dan tidak terkecuali pemain bola sepak Kelantan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli.

Akmal Rizal, 29, turut sama mengambil kesempatan ini dengan berniaga di Bazar Ramadan di Taman Mahsuri dekat sini menjual pelbagai jenis lauk-pauk untuk berbuka puasa.

Ini merupakan kali pertama beliau memulakan perniagaan menjual makanan dan sambutan daripada orang ramai terutama peminatnya amat baik.

"Alhamdulillah, sempena bulan Ramadan dan cuti yang diberikan oleh pihak pengurusan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), sebelum bermulanya sesi latihan menjelang Piala Malaysia diadakan, saya ambil kesempatan yang ada untuk berniaga bagi mengisi masa lapang dan mahu menambah pendapatan.

"Kebanyakan aneka lauk-pauk yang ada adalah lauk kegemaran saya dan yang pastinya resepi ini adalah resepi saya sendiri," katanya di gerainya.

Antara menu yang paling istimewa di gerainya, 'AR 14 Corner' adalah Gulai Ikan Talang dan Sup Gear Box.

Akmal Rizal yang bercita-cita untuk membuka sebuah restoran selepas bersara turut dibantu isterinya, Shahira Mohd Tajuddin, 26, serta dua orang pekerja.

APA, MUKA 'TOK GURU HAJI HADI' TAK KOMERSIL KE?

Teganuku (Thursday, August 12, 2010)

Gambar komersil Nik Aziz - dilelong untuk tabung tawan Putrajaya. Sekeping harga RM6,000 tau...

Orang tua-tua ada berpesan, gambar yang dipamerkan di mana-mana juga jangan sampai dijadikan 'pemujaan'.

Ini kerana jika menjadi pemujaan, ia akan bertentangan dengan ajaran Islam.

Itu pesan orang tua-tua. Itu mungkin dulu-dulu, sekarang mungkin tidak apa. Pedulikan pesan orang tua-tua.

Ada peristiwa menarik pada malam Sabtu lalu. Menurut Spy Leman melalui http://www.mykmu.net/ , ada kalangan dijemput untuk menghadiri upacara pelancaran tabung derma PAS pada Sabtu yang lalu.

Rupanya ia adalah Tabung Impian Rakyat Malaysia ataupun TIRAM yang dilancarkan secara rasmi oleh Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bertempat di Stadium Malawati, Shah Alam.

Tabung ni diilhamkan oleh Datuk Husam Musa bagi mengumpul dana peruntukan untuk persediaan PAS melangkah masuk ke Putrajaya selepas PRU ke13 nanti. Husam juga mensasarkan kutipan sebanyak RM 20 juta untuk tabung TIRAM ini.

Pada malam 7 Ogos itu kutipan derma dikutip melalui cara penjualan meja makan didalam majlis itu. Menariknya, pada akhir majlis tersebut telah diadakan acara lelongan gambar Nik Aziz dan juga lukisan Zunar bagi menambah dana tabung.

Menurut pengacara majlis semua hasil pendapatan dari lelongan gambar tersebut akan didermakan 100% kepada tabung TIRAM.

Lelongan dimulakan dengan gambar lukisan Zunar yang bertajuk ‘Tun Razak Takut Komunis’ dan juga ‘Najib Razak takut kartunis’. Amat menghairankan, gambar lukisan Zunar bertaraf sampah sebegini sanggup dibeli oleh pembida dari kalangan PAS dengan harga sebanyak RM 1500 !

Lelongan seterusnya diikuti dengan sebuah gambar Nik Aziz yang kelihatan sedang berdoa sambil mengalirkan airmata. Pengacara Majlis memberitahu bahawa gambar tersebut telah diberikan nama khas iaitu ‘ Doa Syahdu Tok Guru ‘.

Rupanya, ramai pengikut taksub PAS yang hadir amat menggilai Nik Aziz. Berebut-rebut dikalangan mereka untuuk membeli gambar ‘Tok Guru’ ini hinggakan keadaan menjadi agak kecoh.

Akhirnya, potret Nik Aziz sedang berdoa sambil mengalirkan airmata yang dinamakan ‘ Doa Syahdu Tok Guru ‘ ini dijual dengan harga RM 6,000 sekeping!

Lelongan terakhir di Majlis kutipan derma berkenaan adalah merupakan sebuah lagi gambar Nik Aziz yang berkopiah putih sambil tersengih. Pengacara Majlis juga memaklumkan bahawa gambar ini juga telah diberi nama khas iaitu ‘ Seceria Suria Pagi Tok Guru ‘.

Kita nak tunggu bila pula gambar ‘Tok Guru Haji Hadi’ dijual. Mana satu agaknya gambar beliau menarik untuk dilelong.
Husam mungkin boleh memikirkan hal ini kerana dia kepala dalam mengumpulan tabung TIRAM berkenaan.

Apa muka Haji Hadi tak komersil ke? Presiden PAS ini sebenarnya lebih hebat daripada Nik Aziz sebab ada 'Fatwa Hadi' yang begitu popular di Terengganu kira-kira dua puluh tahun lalu.

PENGHULU GAGAL BERPERANAN SEBAGAI IMAM?

Kerajaan Kelantan kecewa kerana kebanyakan penghulu yang dilantik gagal memainkan peranan sebagai imam dalam menjalankan tugas dan mewujudkan konsep perkhidmatan "dua dalam satu".

Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Penghulu Kelantan Abdul Fatah Harun berkata ini bertentangan dengan matlamat Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mahu penghulu turut berfungsi sebagai imam apabila keadaan memerlukan.

"Kita dapati setakat ini tidak sampai 50 peratus daripada lebih 700 penghulu yang mampu mencapai status yang disifatkan sebagai 'dua dalam satu' itu," katanya selepas menyampaikan sumbangan imbuhan kepada 58 penghulu di Kota Bharu, semalam.

Beliau berkata tugas penghulu yang turut berfungsi sebagai imam itu telah diterap oleh Menteri Besar ketika mula mengambil alih pentadbiran negeri ini pada 1990 lagi.

"Tetapi hasrat pimpinan kerajaan negeri itu belum dapat dicapai sepenuhnya, walaupun ada perubahan yang agak membanggakan," katanya.

Abdul Fatah yang juga timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan, Kebajikan negeri berkata pada masa depan kerajaan akan mengutamakan pengambilan dan penyambungan kontrak jawatan penghulu bagi mereka yang mempunyai ciri-ciri apa yang disifatkan 'dua dalam satu' itu.

NIK AZIZ TERPAKSA 'TELAN' KATA-KATA DR MAHATHIR

Oleh JEFRI ZACHARIAH (Saturday, 14 August 2010 06:39)
Malaysia-Instict.Com
Kelmarin Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat melancarkan matawang syariah, Dinar dan Dirham Kelantan. Ia akan digunakan dalam transaksi seharian termasuk pembayaran gaji kepada kakitangan awam.

Difahamkan, pada masa ini, kira-kira 1,000 peniaga di bandar ini bersetuju menerima dinar emas dan dirham perak dalam transaksi perniagaan mereka.

Tetapi nampaknya Bank Negara awal-awal lagi memberitahu yang hanya mata wang ringgit sah diperakukan bagi pembayaran barangan dan perkhidmatan di negara ini. Kenyataan itu sekaligus menolak penggunaan dinar dan dirham yang diperkenalkan di Kelantan.

Bank pusat itu dalam kenyataannya berkata, di bawah undang-undang negara ini, BNM sahaja yang berhak untuk mengeluarkan mata wang di Malaysia.

OKlah tu, aku taknak berpolemik dalam hal ni. Bukannya berdosa pun kalau guna wang kertas dan bukannya salah pun kalau nak guna dinar serta dirham.

Cuma apa yang aku nak katakan di sini, dengan pelancaran dinar dan dirham Kelantan, akhirnya Nik Aziz secara langsung mengakui pandangan bijak Dr. Mahathir mengenai dinar emas ini.

Seperti yang kita ketahui, Tun Dr. Mahathir dari dulu lagi dah bercakap mengenai kelebihan tersebut namun masa tu tidak ada siapa pun di kalangan orang Pas, mahupun Nik Aziz yang mahu 'menyambutnya'

Ini kerana semuanya ego, maklumlah masa tu Dr. Mahathir kan Perdana Menteri, manalah mereka nak mengakui 'kehebatan' Perdana Menteri yang mereka benci itu.

Kalau anda ingat tidak lama dulu, Dr. Mahathir pernah merancang hendak menggunakan dinar emas dalam urusniaga tetapi tidak berjaya dilaksanakan kerana tiada negara lain yang sedia menjalankan urusniaga menggunakannya.

Kata Dr. Mahathir, dinar emas tidak sama dengan matawang kerana kerana ia tidak boleh dimanipulasi di pasaran semasa.

Jelasnya, dinar juga boleh digunakan untuk pelbagai tujuan dari urusniaga harian sehingga kepada urusan perkahwinan dan ibadah haji.

" Sesungguhnya sistem bank dan matawang Barat sudah gagal. Dunia harus kaji untuk menggantinya dengan sistem lain termasuk perbankan Islam dan dagangan dengan matawang khusus seperti Dinar Emas," kata Dr. Mahathir ketika itu

Nah, akhirnya Nik Aziz terpaksa menelan dan mengakui kata-kata Dr. Mahathir.

Malah dalam ucapannya sempena ‘Persidangan Antarabangsa Mengenai Ekonomi Gold Dinar’ , Nik Aziz secara terbuka memuji kehebatan idea Dr. Mahathir itu.

" Saya juga mengesyorkan supaya kerajaan Malaysia mengambil langkah positif, dengan meneruskan cadangan dan landasan yang telah dimulakan oleh Tun Dr Mahathir semasa beliau menjadi Perdana Menteri dahulu, bagi menggunakan emas dalam perdagangan antara negara-negara OIC," puji Nik Aziz.

Itulah, lain kali jangan asyik hentam dan kutuk orang saja

Jika mahu dibandingkan antara Nik Aziz dan Dr Mahathir, perbezaannya amatlah ketara sekali.
Nik Aziz cuma berusia 78 tahun manakala Dr Mahathir sudah pun 84 tahun sehingga kini.

Bermakna Nik Aziz 6 tahun lebih muda daripada Dr Mahathir. Dari segi fizikal pun kita semua dapat melihat Dr Mahathir lebih sihat dan lebih cergas daripada Nik Aziz.

Sungguh pun Dr Mahathir jauh lebih tua daripada Nik Aziz namun Dr Mahathir masih mempunyai ketajaman akal fikiran dengan segala idea-idea bernas yang sukar untuk disangkal oleh sesiapa kecuali musuh-musuh politik "baghal" yang sengaja menolak idea dan ilham yang baik

Sekarang siapa yang malu?

Siapa yang meludah dan siapa yang mahu menelannya kembali?

Uwekkkk!!!!

BEKAS PEGAWAI KEWANGAN KELANTAN BEBAS TUDUHAN

Mahkamah Sesyen di Kota Bharu semalam membebas dan melepaskan bekas Pegawai Kewangan Kelantan Shkori Mohamed atas tuduhan bersubahat membuat tuntutan palsu membabitkan projek Istana bernilai RM267,960.

Hakim Zainal L. Salleh ketika membacakan penghakimannya mendapati keterangan yang ada tidak mencukupi dan pihak pendakwaan gagal membuktikan wujudnya kes prima facie terhadap Shkori, 57.

"Selepas meneliti hujah kedua-dua pihak, saya mendapati tiada keterangan jelas yang membuktikan sabitan bersubahat dan dengan itu tertuduh dilepas dan dibebaskan," katanya.

Selepas keputusan itu, Shkori dilihat mengalirkan air mata sambil dipeluk keluarganya yang memenuhi galeri awam itu.

Mengikut pertuduhan, Shkori didakwa menerima invois palsu 'Tuntutan Membekal Bahan dan Kerja-Kerja Membina bagi menyiapkan Rumah Puyuh di Projek Diraja, Banggol' bertarikh 3 Dis 2008 daripada seorang kontraktor Yusri Che Noh, 37.

Projek dengan keluasan 7,656 kaki persegi itu bernilai RM267,960.

Shkori didakwa bersubahat kerana ketika dokumen tuntutan itu diserahkan kepadanya di Pejabat Perbendaharaan Negeri di sini pada Disember 2008, projek Rumah Puyuh itu tidak dilaksanakan.

Atas pertuduhan tersebut, beliau didakwa mengikut Seksyen 11 (c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan.

Shkori diwakili peguam Ahmad Zaidi Zainal, Zainal Abidin Mustaffa dan T. Kumar manakala pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Ahsan Abdul Latiff.