Sunday, October 4, 2015

PAS Terpaksa Melangkah Sendirian di Terengganu, Kelantan – Itu Jalan Terbaik


Azan di tengah bersama Raja Bahrin dan Ng Chai Heng (kiri).
Hakikatnya, di Terengganu dan Kelantan, PAS tidak perlu bekerjasama pun dengan PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) apa lagi DAP.

Untuk apa ada kerjasama sedemikian jika tidak menguntungkan PAS?

Sudah nyata, tiada apa yang boleh disumbangkan oleh wakil PKR di Terengganu (DUN Bandar) dan DUN Guchil di Kelantan.

ADUN Bandar, Azan Ismail di Terengganu bukan sahaja sukar untuk ditemui tetapi banyak masa berada di luar. Beliau hanya akan berada di Kuala Terengganu jika ada majlis berkaitan parti.

Yang pasti ialah tiga sidang Dewan Undangan Negeri atau DUN iaitu April, September dan November setiap tahun. Masa lain sukar mencari Azan. Kalau tidak di Kuala Lumpur, beliau mungkin di Kuantan.

Itu dengan PKR. Bagaimana dengan Amanah?

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sudah tegaskan dengan jelas bahawa PAS "tidak mungkin" dapat menerima kerjasama dengan Amanah.

Malah, PAS juga tidak jelas sama ada akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) atau sebaliknya.

Di Terengganu, wakil Amanah hanya di Parlimen Kuala Terengganu walaupun ada ura-ura ADUN Batu Burok dan ADUN Ladang akan menyertainya.

Malah, ketika dalam PAS pun, Ahli Parlimen Kuala Terengganu ini hanya mencipta isu tetapi tidak berkhidmat untuk rakyat.

Untuk sebarang penyelesaian masalah, mereka terpaksa berjumpa dengan Pengarah DUN dan Parlimen Kuala Terengganu dari UMNO.

Lebih menyakitkan hati PAS, gerakan Amanah kini didakwa giat menarik ahli dan meramPAS bangunan milik parti berkenaan.

Semalam Pengerusi Amanah Terengganu, Raja Kamarul Bahrin Shah mencabar  PAS Terengganu untuk menyatakan pendirian sama ada untuk  bersama Barisan Nasional (BN) atau PH.

Raja Bahrin memberi amaran keengganan PAS menyertai PH menyebabkan parti itu ketinggalan di Terengganu berikutan PKR, DAP dan Amanah sudah bersetuju untuk mempercepatkan penubuhan PH demi kepentingan rakyat.

Dalam satu kenyataannya semalam  beliau berkata sekiranya PAS mahu menyertai PH pada masa akan datang, permintaan itu akan dipertimbangkan melalui perbincangan parti komponen PH yang mana buat masa ini disertai oleh DAP, Amanah dan DAP.


“Penubuhan PH di Terengganu adalah atas permintaan akar umbi untuk terus maju ke hadapan dalam usaha untuk menumbangkan kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke 14. Tawaran awal telah pun dibuat pada peringkat Pusat oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, namun mereka (PAS) enggan menerimanya. Jadi PH perlu mengambil langkah seterusnya,” katanya.

Raja Bahrin merujuk kepada kenyataan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Satiful Bahri Mamat di mana beliau dipetik sebagai berkata, Pilihan Raya Umum akan datang perlu kekal pertandingan dua penjuru – BN dan pakatan pembangkang.

Berikutan itu, kata Raja Bahrin: “Pesuruhjaya PAS perlu menyatakan pendirian sekiranya beliau benar-benar mahukan pertandingan dua penjuru,” katanya.

Dalam kedudukan PAS yang tidak jelas, semalam dalam kenyataannya, Tuan Ibrahim berkata, apabila PAS bergabung dengan PKR sebahagian besar kerusi parti itu diserahkan kepada rakan kerjasama dalam gabungan pembangkang. Turut 'diserahkan' ialah jentera dan petugas parti.

Namun katanya, sekiranya PAS bergabung pula dengan Pakatan Harapan bermakna mereka sekali lagi perlu menyerahkan kerusi kepada parti baru dan ia "tidak mungkin berlaku".

"Soal agihan kerusi akan menjadi masalah utama. PAS tidak akan bergabung dengan Pakatan Harapan kerana tindakan DAP terhadap PAS. Melainkan DAP atau PKR sanggup bahagikan kerusi mereka kepada AMANAH.

Tuan Ibrahim sudah memberikan amaran bahawa: "PAS akan tetap meletakkan calon di semua kerusi yang ditandinginya (sebelum ini) kerana itu adalah hak PAS. Jika komponen parti pembangkang lain khususnya AMANAH juga meletakkan calonnya, ia menjadi penyambung tali hayat kepada UMNO atau BN," kata beliau.

Ini bermakna bahawa apa yang dilakukan oleh Pakatan Harapan di Terengganu tidak akan membawa apa-apa keuntungan kepada PAS termasuk tujuan kerjasama.

Tanpa PAS, perjanjian persefahaman telah ditandatangani semalam  yang disertai oleh tiga pengerusi parti negeri iaitu Azam Ismail dari PKR, Raja Bahrin dari Amanah dan Ng Chai Heng bagi pihak DAP.

Persetujuan PKR, Amanah dan DAP di Terengganu menjadikan ia negeri pertama menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi membentuk Pakatan Harapan Terengganu, selari dengan gabungan yang telah pun dibentuk di peringkat Pusat.

MoU itu merupakan inisiatif awal untuk mengelak perlawanan tiga penjuru dalam pilihan raya umum akan datang khususnya melibatkan ketiga-tiga parti.

Ditanya sejauh mana kerjasama PKR dengan PAS, Azan memberitahu pihaknya mengalu-alukan kerjasama daripada mana-mana pihak sambil memberitahu bahawa keputusan untuk bersama Pakatan Harapan bukan dibuat bersendirian, tetapi ia merupakan dasar di peringkat pimpinan.


Walaupun Tuan Ibrahim bercakap secara umum, menurut beliau tindakan tergesa-gesa DAP, PKR dan Amanah membentuk PH menonjolkan kepada rakyat sikap terlalu mementingkan diri sendiri sesetengah pihak yang menjadi punca keretakan Pakatan Rakyat.

Tambah Tuan Ibrahim, PAS berharap tidak akan berlaku perpecahan kerjasama dengan PKR walaupun bibit perpecahan itu mula kelihatan.

Sejak Pakatan Rakyat berkubur, PAS hanya bekerjasama dengan PKR dan memutuskan hubungan dengan DAP.

Perselisihan itu berlarutan ekoran beberapa isu - terutama apabila membabitkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang - dan DAP.

Kata Tuan Ibrahim, ketika ini ada pihak ingin menjadi juara dengan mengawal parti pembangkang lain.

Beliau jelas merujuk kepada DAP.

Dengan adanya DAP dalam pakatan di Terengganu, sedangkan pengaruh parti itu tidak seberapa, amat jelas pada pilihan raya umum akan datang, tidak aka nada pertandingan dua penjuru.

Dengan kedudukan PKR dan DAP yang lemah disamping wakil Amanah yang tidak ke mana, pilihan raya umum akan datang – kerusi DUN dan Parlimen – pastinya akan ditandingi oleh sekurang-kurangnya tiga pihak iaitu BN, PAS dan pakatan pembangkang yang baru.

Dan seperti biasa akan ada pengacau yang meletakkan calon Bebas untuk memeriahkan lagi pilihan raya umum di Terengganu yang dijangka pada 2018.

Daripada teganuku