Friday, January 14, 2011

Bayi Tujuh Bulan Lemas Dalam Kolam Terbiar

Seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan maut apabila terjatuh ke dalam sebuah kolam ikan terbiar ketika ibunya sedang memasak dalam kejadian di Kampung Atas Banggol, Kok Lanas, kelmarin.

Ibu mangsa, Zurina Ismail, 39, berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 1 petang ketika anaknya, Mohd Danial Rozmi, ditingggalkan bermain seorang diri di ruang tamu rumahnya.

"Masa tu saya tengah memasak, Mohd Danial tengah main kat ruang tamu, saya di dapur, tinggalkan dia bermain seorang diri dalam beberapa minit saja tetapi bila saya keluar semula ke ruang tamu saya tengok Mohd Danial dah tak ada," katanya.

"Saya terkejut apabila dengar jiran saya menjerit memanggil nama saya, dalam kekalutan saya menjengah keluar rumah dan melihat jiran menunjuk ke arah kolam yang terletak kira-kira empat meter dari rumah, sebelum ternampak Mohd Danial terapung di dalamnya," katanya.

Zurina berkata dengan pertolongan jirannya beliau kemudian mendapatkan anaknya lalu bergegas ke Klinik Pulai Chondong, Machang untuk rawatan bagaimanapun disahkan telah meninggal dunia dan dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) untuk bedah siasat.

Kelantan Akan Bayar Insentif Kepada KAFA Sebelum 29 Jan

Kerajaan Kelantan telah memutuskan untuk membuat bayaran insentif sebanyak RM200,000 kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dalam satu majlis sebelum perlawanan Liga Malaysia bermula 29 Jan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Negeri, Abdul Fatah Mahmood, berkata mesyuarat mingguan Exco kelmarin juga memutuskan untuk membayar insentif kepada Persatuan Bola Sepak Melayu Kelantan (PBSMK) RM100,000 kerana berjaya membawa balik piala Emas Raja-Raja kembali ke Kelantan selepas menjuarai kejohanan piala itu baru-baru ini.

"Kita akan menjelaskan bayaran imbuhan kepada kedua-dua persatuan itu sebelum perlawanan sulung Liga Malaysia bermula 29 Jan ini," katanya di Kota Bharu.

Beliau juga yakin, pihak Perbadanan Stadium Negeri Kelantan akan dapat menyiapkan kerja-kerja membaik pulih stadium Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, termasuk lampu limpah dan padang bagi membolehkan perlawanan bola sepak diadakan pada sebelah malam sebelum tarikh berkenaan.

Katanya, ini sebagai memenuhi syarat-syarat piawaian yang dikehendaki Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Sebelum ini, FAM memutuskan KAFA menganjurkan perlawanan bola sepak untuk musim ini pada sebelah siang sekiranya gagal membaikpulih dan menaikkan taraf stadium itu mengikut piawaian.

Mengenai cadangan KAFA untuk memajak Stadium selama 30 tahun dengan nilai RM10 juta seperti diumumkan Presidennya, Tan Sri Annuar Musa, Abdul Fatah berkata, setakat ini pihak kerajaan negeri belum menerima cadangan secara rasmi daripada pihak berkenaan.

Katanya, pada mulanya difahamkan kertas kerja cadangan itu akan dibawa dalam mesyuarat Majlis KAFA, tetapi ditarik balik tanpa diketahui alasannya.