Saturday, December 24, 2011

Perbalahan Kepimpinan PAS - Cawan Kopi & Piring Akan Meletup!

Pagi ini bekas Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali akan menjawab tuduhan Setiausaha Agung parti Datuk Mustafa Ali yang mengaitkan beliau dengan agenda UMNO.

Mustafa mendakwa beliau mempunyai bukti untuk mengaitkan Dr Hasan dengan agenda UMNO.
Mustafa dipetik sebagai berkata ia merujuk kepada satu pertemuan antara Dr Hasan, bekas timbalan presiden PAS Nasharuddin Mat Isa dan tiga individu lain di sebuah hotel di ibu negara pada bulan Ramadan lepas.

"Nanti saya akan jelaskan. Esoklah. Saya akan buat sidang akhbar esok di rumah saya pukul 11 pagi," kata Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor itu semalam.

Dalam program Soal Jawab TV3 malam kelmarin, Dr Hasan berkata sebagai menegakkan prinsip perjuangannya, beliau tidak kisah jika digugurkan daripada jawatan tersebut serta tidak dipilih semula untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang kerana berpegang teguh kepada prinsip perjuangannya.

Ia merupakan temu bual pertama bersama stesen televisyen milik Umno itu sejak beliau mengecam PAS secara terbuka sejak kebelakangan ini.

Menurutnya: “Yang jelas adalah perjuangan saya mempertahankan Islam, bangsa Melayu dan institusi raja-raja. Bagi saya ketiga-tiga ini merupakan landasan yang sangat penting dari dulu sampai sekarang.”

Kerana pendiriannya itu, Dr Hasan dianggap sudah mula mengisytiharkan perang ke atas partinya sendiri terutamanya apabila mula mempersoalkan keputusan dan dasar parti.

Ditanya sama ada beliau akan meninggalkan PAS berikutan perubahan ini, Hasan berkata: “Saya akan bersama apa jua gerakan berunsur politik atau tidak yang dapat mempertahankan Islam, orang Melayu dan institusi raja.”

Rasanya bertambah hangatlah perbahasan antara pemimpin atas PAS dengan Dr Hasan selepas ini. ‘Ribut dalam secawan kopi’ rasanya bukan sekadar menyebabkan cawan retak tetapi kemungkinan CAWAN DAN PRIRING AKAN MELETUP!

Pertelingkahan dalam PAS ini terserlah lebih kepada pendirian politik dan kepartian, bukan kerana Dr Hasan kecewa tidak dilantik semula dan sebagainya.

Walaupun nampak ada pertelingkahan peribadi antara pemimpin tertentu yang bercirikan kem profesional dengan berpendirian agama, namun cabar mencabar agar Dr Hasan dan Nasharuddin meninggalkan parti itu mengeruhkan keadaan.

Semalam, Ketua Dewan Ulama PAS, Dr Harun Taib bermain kata-kata bahawa apa yang berlaku dalam PAS Dr dan bekas timbalan presiden PAS Nasharuddin Mat Isa umpama kacau air di dalam cawan hingga air itu berkocak.

Katanya : “Biasalah, kita kena letak gula atau susu sebelum kacau air itu hingga berkocak. Apabila letak gula dan susu, baru air itu sedap untuk diminum dan begitu juga dengan apa yang berlaku dalam PAS sekarang.”

Mungkin kepada sesetengah pihak gelora yang berlaku sekarang sedap untuk dibincang dan didengar tetapi apakah kemelut yang melanda parti itu sekarang akan mudah diselesaikan?

Apakah ia tidak meninggalkan kesan lama sebaliknya hanya perkara biasa dalam mana-mana parti politik?

Ramai yang melihat isu ini hanya berkaitan dua individu yang diserang hebat oleh pemimpin tertinggi PAS tetapi kini jelas perang dalam PAS semakin ‘membuka pekong di dada’.

Selama ini busuk yang sedang membusung cuba diselindungi dengan serangan terhadap UMNO dan pemimpinya, selain menggambarkan kerjasamanya dengan PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat berada dalam keadaan yang stabil dan tidak ada masalah.

Namun kini ternyata, apa yang difikirkan semua OK, tidak Ok. Dan PAS sebenarnya sedang berkrisis.

Pada 20 Disember lalu, Dr Hasan mengatakan beliau bukan “duri dalam daging” bagi PAS tetapi mahu PAS kembali ke landasan asal penubuhan supaya perjuangannya terus konsisten dengan usaha memartabatkan Islam yang sebenar.

Ini kerana PAS sekarang seperti tergelincir dari landasan asal perjuangan akibat kekurangan golongan ulama dalam barisan kepimpinannya.

Berikutan PAS sekarang sudah dipenuhi dengan golongan profesional dan akademik yang bersifat sekular berbanding sebelum ini yang menyaksikan parti ini dikuasai golongan ulama, PAS hilang arah!

Ketika ini, menurut Dr Hasan, jawatankuasa pusat parti itu kini lebih ramai dianggotai oleh profesional iaitu sebanyak 65 peratus berbanding golongan ulama yang kini hanya 35 peratus.

Untuk itu beliau berharap anggota parti dapat meletakkan kembali kedudukan ulama sebagai barisan kepimpinan parti kerana hanya golongan ulama sahaja mampu membawa PAS kembali ke landasan perjuangan berdasarkan prinsip Islam.

Bagi Dr Hasan, perjuangannya memastikan matlamat PAS diletakkan kembali di landasan asalnya bagi memastikan semangat perjuangan Islam itu kembali menjadi teras dalam perjuangan PAS.

Jelas Dr Hasan, beliau menghormati peranan golongan profesional dalam parti, tetapi adalah lebih baik sekiranya mereka turut sama berjuang mengembalikan parti kepada matlamat asal perjuangan menegakkan teras Islam.

Beliau bagaikan menyalahkan penyertaan PAS ke dalam Pakatan Rakyat bersama-sama PKR dan DAP menjadi punca perubahan polisi parti daripada perjuangan negara Islam kepada negara berkebajikan.

Namun itu bukanlah faktor utama kerana terdapat lagi faktor lain yang mempengaruhi perubahan tersebut walaupun tidak pernah mencadangkan PAS perlu keluar dari Pakatan untuk kembali kepada matlamat perjuangan asalnya.

Kenyataannya itu mendapat reaksi keras Mustafa dan Naib Presiden Datuk Mahfuz Omar yang menganggap beliau sebagai memberikan pandangan yang begitu negatif dan mengandungi niat jahat terhadap dirinya.

“Datuk Mustafa terus menyerang saya dengan nada yang agak personal, di mana beliau menimbulkan isu-isu yang tidak berkaitan dengan isu pokok, bahkan memberi gambaran kedudukan saya dalam parti tidak bertahan lama,” kata Dr Hasan yang menyuarakan kekecewaannya.

Kelmarin, Mustaffa berkata beliau mempunyai bukti kukuh untuk mengaitkan Dr Hasan yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor dengan agenda UMNO.

Malah Hasan turut menjadi sasaran Mahfuz yang menyifatkan tindakan beliau (Dr Hasan) menyentuh dasar perjuangan Pas sebagai pengisytiharan perang terhadap parti itu dan beliau dinasihatkan agar ‘angkat kaki’.

Nasharuddin pula kelmarin menyelar tindakan pihak tertentu dalam parti itu yang cepat melatah dan menuduh tindakannya menyuarakan pandangan berbeza daripada pucuk pimpinan sebagai terperangkap dalam agenda UMNO.

Daripada www.hambali1.blogspot.com