Tuesday, March 3, 2009

PANDANGAN NIK AZIZ DITOLAK

Nik Aziz sudah tidak kebal. Pandangannya akhir-akhir ini sering ditolak.
Pemimpin kanan PAS memberikan reaksi berbeza berhubung cadangan mengadakan kaedah rundingan untuk memilih barisan pemimpin tertinggi parti pada muktamar, Jun ini.

Naib Presiden PAS Mohamad Sabu berkata cadangan tersebut sewajarnya dibincangkan dalam mesyuarat PAS terlebih dahulu sebelum diluluskan.

"Perkara tersebut belum dibincangkan lagi," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau diminta mengulas cadangan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengadakan syura dalam muktamar kali ini bagi mengelakkan persaingan sengit khususnya antara dua kumpulan besar, pro-muzakarah dengan Umno dan pro-Pakatan Rakyat.

Bagi mengelakkan persaingan sengit khususnya selepas wujud dua kumpulan besar - pro-muzakarah dengan Umno dan pro-Pakatan Rakyat - mursyidul am PAS mencadangkan kaedah berunding untuk memilih barisan pemimpin tertinggi parti.

Nik Aziz berkata PAS bercadang menggunakan kaedah syura pada muktamar ke-55 yang dijadual Jun ini.

Langkah itu disarankan kerana PAS seboleh-bolehnya mahu mengurangkan sebarang perselisihan dalam parti itu, termasuk dalam soal pemilihan pemimpin, lapor Bernama.

Katanya, kaedah syura - iaitu perbincangan bagi mencapai persetujuan bersama - berkemungkinan besar digunakan dalam pemilihan muktamar kali ini.

"Seboleh-bolehnya kita tak mahu ada perselisihan, nak lari daripada
berselisih pun tak boleh kerana manusia ni tak sama, tapi kalau cara syura boleh (kurangkan perselisihan), tak apalah, asalkan syura tu tak bercanggah dengan asas bermesyuarat," Nik Aziz dipetik berkata.

Tambahnya, beliau berharap muktamar tahun ini dapat diadakan di
sebuah negeri tempat PAS baru bertapak.

Sejak kemenangan besar parti itu bersama PKR dan DAP pada pilihanraya umum, PAS berdepan dengan pergeseran dalaman yang besar susulan usaha mengadakan rundingan tertutup dengan Umno pertengahan tahun lepas.

Barisan pemimpin kanan PAS yang menentang rundingan sulit itu kemudian digelar "kumpulan Erdogan" - mereka yang percaya parti itu wajar mengutamakan kerjasama dalam gabungan pembangkang.

Perbezaan terbuka sesama mereka merebak secara lebih terbuka dalam perbahasan-perbahasan di muktamar PAS di Ipoh, waktu itu Perak turut dikuasai parti tersebut, Ogos tahun lalu.

Perselisihan itu terus muncul termasuk sewaktu ura-ura mengambil alih kerajaan persekutuan daripada BN - atau projek 16 September - yang pernah diusahakan oleh penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menjelang pilihanraya kecil Kuala Terengganu yang ditandingi PAS, pertengahan Januari lalu, persaingan dua aliran tersebut terus sengit sehingga mendorong presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuat keputusan saat akhir mengutamakan calon pilihannya.
Mohamad Sabu berkata, seingatnya pemilihan pemimpin tertinggi parti pernah berlaku secara syura tetapi tidak pasti tarikhnya.

Bagaimanapun, tambah bekas tahanan ISA itu, pertandingan dalam pemilihan nanti "tidak memberi masalah besar kepada PAS" kerana ia merupakan amalan biasa.

Seorang lagi naib presiden PAS Ahmad Awang dan ketua Pemuda PAS Salahudin Ayub bersetuju dengan cadangan mursyidul am PAS itu.

"Saya mengalu-alukan cadangan tersebut dan kita akan memikirkan kemungkinan cadangan tersebut boleh dilaksanakan," kata Ahmad, yang juga pesuruhjaya PAS Perak.

Tambahnya, kaedah syura pernah dicadangkan pada pemilihan 2004 tetapi ia tidak menjadi kenyataan kerana calon-calon yang bertanding tidak bersedia.

"Maka pertandingan berjalan seperti biasa," katanya.

Ditanya mengapa Nik Aziz mencadangkan perkara tersebut kali ini, Ahmad berkata:

"Saya rasa mursyidul am menyedari pada pemilihan 2006, satu dua hari sebelum pemilihan, ada (pemimpin) yang rancak berkempen sehingga suasana (pemilihan) berakhir dengan ada pihak yang tidak berpuas hati.”

Walaupun bersetuju dengan saranan Nik Aziz, Salahudin bagaimanapun menyifatkan idea itu masih "terlalu awal" untuk dibincangkan.

"Amalan ini (syura) adalah cara kita, mengutamakan syura sebagai asas perbincangan dan membuat pemilihan parti," katanya.

"Tetapi jangan salah faham, perundingan adalah satu musyawarah dan pertandingan juga satu syura."

Ahli parlimen Kubang Kerian itu sebelum ini mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatannya dalam pemilihan parti tersebut. Tidak pasti sama ada beliau berminat bertanding jawatan lebih tinggi.