Monday, November 16, 2015

Bersumpah Hingga ‘Hilang Bini’ Antara Hadi & Husam – Dah Gile Ke?


"Biarlah dia sumpah. Biarlah dia bersumpah. Kalau apa yang dia kata itu betul, kami berbohong, mesti dia bersumpah."
 - Datuk Seri Abdul Hadi Awang

Mulanya pemimpin tertinggi PAS ‘underate’ pengaruh Datuk Husam Musa, khususnya daripada Presiden PAS Datuk Abdul Hadi Awang.

Beliau tidak berbuat sesuatu ketika bekas Naib Presiden itu mengkritik Kerajaan PAS Kelantan, seolah-olah PAS Kelantan tiada kaitan dengan tugas-tugas Presiden.

Hadi bagaikan tidak kisah dan tidak mahu masuk campur. Seolah-olah ‘masalah Husam’ ini boleh diselesaikan pemimpin PAS Kelantan.

Namun ternyata anggapan dan tindakan ‘tidak kisah’ terhadap Husam itu membawa bala kepadanya dalam isu pembentukan kerajaan campuran di Selangor, apabila Husam mencabar Hadi mulanya dengan pertanyaan ‘Ya atau Tidak’.

Kemudian ia diikuti pula dengan kenyataan Husam bahawa beliau sanggup ‘bersumpah talak isteri’ bagi membuktikan kenyataannya itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor itu berkata demikian ketika menjawab soalan di majlis “Demo Tanya, Ambo Jawab” di Kota Baru, Kelantan, malam kelmarin.

Menurut Husam, usaha membentuk kerajaan di antara PAS dan Umno sudah berlaku sejak sekian lama.

Hadi pastinya terkejut kerana dia ingatkan Husam ‘hanya berpolitik’ dengan saingannya di peringkat Naib Presiden dalam PAS.

Hadi terperangkap dan terkapai-kapai apabila Husam mencabarnya. Apakah selepas ini Husam mengajak Hadi BERSUMPAH?

Kini kepimpinan tertinggi PAS kacau-bilau. Malah, sehingga ke peringkat membiarkan Ketua Ulama PAS menyuruh Husam keluar parti.  Itupun Hadi diam.

Dalam menangani Husam, nampaknya Hadi masih tidak nampak bencananya kepada PAS keseluruhannya.

Kerana itu Hadi lebih tertumpu antaranya dengan Husam. Bukan antara PAS dan Husam, termasuk isu di Kelantan.

Nampaknya dalam isu Husam di Kelantan, ia bulat-bulat diserahkan kepada Timbalan Presiden, Tuan Ibrahim Tuan Man ‘untuk menyelesaikannya’.

Jalan penyelesaian daripada kritikan Husam ialah Tuan Ibrahim berkata  PAS akan memanggil bekas Naib Presidennya itu bagi memberikan penjelasan berhubung dakwaan mengenai Kerajaan Negeri Kelantan dalam masa terdekat.

“Kita sudah menerima laporan daripada PAS Kelantan dan kita buat keputusan untuk dengar sendiri daripada beliau.  Bagi PAS sendiri, kita kena tengok serta dengar secara dekat dan Husam perlu memberikan penjelasan atas apa yang didakwanya,” katanya kepada Sinar Harian.‎

Apabila disebut  sepatutnya menggunakan saluran betul untuk menyampaikan rasa tidak puas hatinya kerana masih terikat dengan peraturan parti, Tuan Ibrahim pun macam dah mula ‘gelabah’.

“Apa jua yang melibatkan mengenai parti, ahli harus menggunakan saluran yang betul untuk menyuarakannya. Apabila perkara seperti ini berlaku, ia akan menimbulkan polemik dan kesan kepada parti,” katanya Tuan Ibrahim.

Kenapa tunggu hingga Husam buat majlis penerangannya sendiri baru PAS mahu bertindak?

Dalam kes Husam dengan Hadi, kenapa mesti ada cabar-mencabar seprti dilaporkan media?

Lebih memalukan Presiden PAS pun ikut ‘angin Husam’ apabila turut bersetuju agar Husam bersumpah hingga ‘hilang bini’.

Gila ke?

Tidak boleh disekat ke angin Husam tu? Bagaimana kalau Husam cabar Hadi sama-sama bersumpah?

Hadi  semalam  mencabar Husam untuk bersumpah talak isteribagi bukti dakwaan Husam  berhubung usaha pembentukan kerajaan antara PAS dan Umno di Selangor.

Sambil menafikan dakwaan Husam, presiden PAS itu menyifatkan ianya sebagai satu yang ketinggalan zaman.

"Biarlah dia sumpah. Biarlah dia bersumpah. Kalau apa yang dia kata itu betul, kami berbohong, mesti dia bersumpah," katanya kepada pemberita di majlis "Hi-Tea Konvensyen Jelas Bersama Presiden" di Pusat Konvensyen Shah Alam, Selangor semalam.

Persoalannya, apakah sudah tidak ada jalan lain yang boleh dicadangkan Hadi bagi mengatasi kemelut ini?

Apakah Hadi juga emosional dan terjerat dengan dua soalan Husam yang turut disahkan oleh beberapa bekas pemimpin PAS bahawa wujudnya usaha untuk membentuk kerajaan campuran PAS – UMNO di Selangor?

Suasana kelam kabut dalam PAS sebenarnya tidak baik kerana seperti kata penganalisis ZulkifliSulong, selepas sebahagian pemimpin tertingginya lari bagi membentuk Parti Amanah Negara (AMANAH), PAS kini berdepan "fenomena Husam Musa".

Suasana ini bolehlah dinamakan "fenomena harum manis" iaitu PAS terpaksa berdepan dengan serangan ahlinya sendiri yang berpengaruh dari dalam.

Malah,  Dialog "Demo tanyo, kawe jawab" di Kota Baru, Kelantan malam kelmarin memperlihatkan betapa PAS tersepit apabila diserang juga dari dalam parti.

Kira-kira 10,000 orang menonton dialog itu secara langsung dengan kira-kira 5,000 di dalam dan perkarangan dewan Kelab Suara Muda dan lebih 5,000 lagi menontonnya secara atas talian yang dipancarkan menerusi YouTube.

"Sampai jem Youtube," kata menganalisis dan pengkaji politik Ilham Centre, Mohamad Hisomuddin Bakar apabila ditanya apakah reaksi awal tentang dialog bersama Husam itu.

Percayalah, perkembangan ini tidak baik untuk PAS kerana kegairahan AMANAH untuk memasuki Kelantan dan Terengganu ada sebab munasabah.


Apakah ‘fenomena Husam Musa’ membuka jalan lebih luas dan mudah untuk menjayakan kegairahan AMANAH?