Oleh Datuk HusamMusa
(Bekas Naib Presiden
PAS, ADUN Salor)
Bumi untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak
berpijak semakin mengecil.
Jika tuntutan oleh International Petroleum Investment
Company (IPIC) milik Abu Dhabi melalui Mahkamah Arbitrasi Antarabangsa London
berjaya, Malaysia akan dihempap oleh beban kewangan sebesar RM 26.7 bilion atau
AS$6.5 bilion!
Seawal 2014, Gabenor Bank Negara Malaysia melalui dua
memorandum telah memberikan amaran kepada kerajaan pimpinan Najib risiko
gegaran kewangan besar yang akan ditanggung oleh negara dari 'aktiviti' 1MDB.
Kini, pra gegaran itu sahaja sudah menggegarkan!
Antara isu dalam hubungan 1MDB dan rakan niaganya IPIC
ialah salah pembayaran oleh 1MDB.
Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) seperti dalam
laporannya, mengesahkan - sejumlah AS$1.3 bilion atau RM 4.51 bilion telah
dibayar kepada Aabar BVI yang didaftarkan di British Virgin Island tanpa
kelulusan lembaga pengarah 1MDB.
Selain itu, dokumen 1MDB menunjukkan satu lagi pembayaran
kepada 1MDB berjumlah AS$2.1 bilion turut dibuat.
PAC mendapati, pembayaran dibuat kepada Aabar BVI tanpa
kelulusan tembaga pengarah 1MDB!
Bukan jumlah wang yang kecil. Bahkan, sudah tersangat
besar.
Bagaimana 1MDB telah tersalah bayar wang sebesar itu?
Wang itu sepatutnya dibayar oleh 1MDB kepada anak
syarikat IPIC bernama Aabar Investments PJS tetapi telah dibayar kepada Aabar
yang lain - iaitu Aabar BVI!
Beza Muhyidin dan Mahyidin
Namanya seakan sama, ejaan sahaja berbeza. Tetapi, si
bodoh dari kutub pun tahu, ia dua entiti yang berbeza.
Seperti kata bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri
Muhyidin Yassin, 1MDB gagal membezakan antara Muhyidin dan Mahyidin.
Inilah yang menyebabkan IPIC dan Aabar meneruskan
tuntutannya selepas beberapa kali mengeluarkan kenyataan 1MDB telah memungkiri
komitmen seperti perjanjian. Aabar yang sebenar tidak dibayar.
Hasilnya, wang sejumlah AS$3.47 bilion atau bersamaan
RM14.2 bilion dikebas orang!
Soalnya, siapakah 'orang' itu?
Mengikut kenyataan Presiden dan CEO 1MDB, Arul Kanda
Kandasamy pada akhir April tahun ini, ada kemungkinan 1MDB telah 'ditipu secara
besar-besaran (massive fraud)' atau 'kerjasama tali barut dari dalam' 1MDB
sendiri (collaboration from our side).
Bukankah kenyataan Arul itu berat? 1MDB ditipu!
Bersekali dengan perdana menteri ditipu kerana beliau
mempunyai kedudukan tertinggi dalam 1MDB.
Tidak begitu bagi Najib yang cukup tenang.
Dalam jawapannya di Parlimen pada April tahun ini - hanya
berbeza hari dengan kenyatan Arul Kanda - 'terlalu awal untuk menyimpulkan
adanya unsur penipuan'.
Kenapa terdapat kesimpulan yang begitu ketara perbezaan
antara dua kenyataan ini?
Satu, 1MDB ada kemungkinan ditipu kerana membuat
pembayaran yang salah.
Satu lagi, cuba menolak adanya unsur penipuan.
Jika bukan kerana ditipu dan niat buruk melarikan wang
itu, kenapa pembayaran itu dibuat?
Bukan sekali, tetapi empat pembayaran.
Tanpa kelulusan lembaga pengarah.
Seperti kura-kura
Jika sedikit sahaja semakan dibuat oleh 1MDB sebelum
pembayaran dibuat, tidak ada nama Aabar BVI dalam senarai anak syarikat IPIC
seperti laporan tahunannya bagi tahun 2011 sampai 2014 dan dalam laporan
interim bagi tahun 2015.
Jika Arul Kanda mengatakan ada kemungkinan unsur jenayah
dalam salah pembayaran sebesar ini, apa tindakan yang telah Arul Kanda lakukan?
Laporan polis?
Laporan kepada PM?
Apa pula tindak balas PM?
Mengarahkan polis menyiasat?
Adakah PDRM akan bergerak seperti kura-kura jika PM telah
mengarahkan mereka memberkas siapa jua yang terlibat?
Adakah polis Malaysia begitu tidak cekap sehingga tiada
apa dilakukan ke atas jenayah sebesar ini?
Apa langkah menteri kewangan atau PM untuk menuntut
semula wang itu?
Kenapa perdana menteri tidak mengguna pakai Laporan PAC
dan bertindak ke atas pengurusan yang telah melanggar arahan Lembaga Pengarah?
Apa pun, mengikut Artikel 117, MNA 1MDB, kuasa pemutus
dalam 1MDB tidak lain dan tidak bukan adalah perdana menteri sendiri.
Kenapa beliau tidak bertindak?
Kerana dari awal lagi salah pembayaran itu telah
dirancang?
Perlindungan kuasa tertinggi
Tanpa perlindungan kuasa tertinggi, tidak mungkin bekas
CEO 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berani melakukan jenayah sebesar
itu.
Jika ia memang dirancang, adakah wang sebesar RM14 bilion
tidak pulang semula ke pangkuan perancangnya?
Sudah tentu dua figur dalam IPIC dan Aabar PJS yang telah
dipecat, iaitu Khadem al Qubaisi dan Mohamed al Husseiny mempunyai jawapannya
ke mana wang itu telah diagih-agihkan.
Tetapi kerana perdana menteri kita tidak berminat untuk
tahu ke mana wang yang telah dibayar oleh rakyat Malaysia dan negara ini
dilarikan oleh Aabar BVI atas sebab yang ia sendiri tahu, pihak berkuasa kita
tidak diarahkan untuk menyoal siasat kedua-dua mereka.
Najib tidak kelihatan agresif mempertahankan kepentingan
negara.
Kita telah kehilangan tempat pergantungan untuk negara
kita dibela oleh kita sendiri.
Kita hanya bernasib kerana dunia di luar kita meneruskan
dinamika dan perputaran. IPIC dengan tuntutannya, telah banyak membantu kita
rakyat Malaysia dalam memahami isu 1MDB.
Bagi yang berdosa ke atas rakyat dan negara ini, akhirnya
mereka akan membilang hari hanya dengan jari.