Kenyataan Menteri Besar
Kelantan yang juga Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob bahawa Pas akan bertanding 100 peratus di Kelantan
akan membuka kepada pertandingan tiga penjuru di kebanyakan kerusi Dewan
Undangan Negeri (DUN).
Ini bermakna pada kesemua
45 kerusi DUN, PAS akan bertanding. Ketika ini PAS memiliki 32 kerusi DUN,
UMNO/BN 12 dan PKR hanya satu sahaja.
Ini jika tiada kerjasama
antara PAS dan UMNO. Sebaliknya jika mereka ‘tidur sebantal’, bagaimana pula?
Apakah UMNO sanggup
melepaskan 12 kerusi miliknya sekarang atau bagaimana?
Sebagai parti pemerintah
negeri, PAS wajar memaklumkan demikian tetapi pertanyaan ialah apakah PAS
Kelantan tidak akan bekerjasama dengan UMNO Kelantan jika berpendirian sedemikian?
Apakah PAS yakin menang
jika tidak bekerjasama dengan UMNO/BN atau parti lain, khususnya Parti Pribumi
Bersatu Malaysia (PPBM)?
Atau apakah PAS sudah
nekad ia mahu bersendirian?
Atau apakah kenyataan Ahmad ini hanya gimik pilihan
raya sedangkan sudah ada kesepakatan antara PAS dan UMNO ‘di balik tabir’.
Kenyataan Ahmad yang memaklumkan
bahawa parti Islam itu akan bertanding di semua kerusi di Kelantan dalam
PRU14 akan datang menguatkan lagi spekulasi mengenai apa yang diperkatakan di
Kelantan sekarang.
Cakap-cakap bahawa untuk
kerusi DUN, PAS akan bertanding semua sementara untuk kerusi Parlimen pula,
UMNO akan bertanding di kebanyakan kerusi untuk menjamin Barisan Nasional (BN)
terus memerintah di Putrajaya.
Pakatan dan ‘perjanjian di
balik tabir’ ini bukan lagi sesuatu yang
menjadi rahsia. Ini kerana gerakan-gerakan
UMNO menggunakan ustaz PAS untuk tujuan tazkirah dan ceramah agama pada
majlis-majlis UMNO pada Ramadan ini sudah menggambarkan segala-galanya.
Sejauh mana dan sebanyak
mana PAS akan menyerahkan kerusi Parlimennya kepada UMNO/BN untuk bertanding di
Kelantan masih jadi tanda tanya.
Ketika ini PAS memiliki
sembilan (9) kerusi Parlimen dan UMNO/BN
hanya ada lima (5) kerusi dan apakah PAS akan berkompromi jika UMNO/BN
memberikan laluan kepadanya?
Namun daripada kenyataan
Ahmad ini, amat nyata PAS akan pertahankan apa sahaja yang tinggal baginya di
Kelantan kerana agak sukar untuk PAS pada pilihan raya kali ini, termasuk di
Terengganu dan Kedah.
Dengan terputusnya tahaluf
siyasi antaranya dengan PKR, PAS juga terpaksa ‘berlakon’ di Selangor dan apa
yang dapat dilihat, PAS mengamalkan ‘cara berpolitik mengikut negeri’.
Ketika ia mengatakan
kerjasama politiknya dengan PKR sudah putus, di Selangor dan Kelantan, masih
berlaku.
EXCO PAS masih kekal dalam
kerajaan negeri Selangor dan pegawai PKR yang dilantik ooleh kerajaan Kerajaan
masih berkedudukan dalam jawatan masing-masing.
Mungkin kerana kedudukan
ini Ahmad menegaskan bagi kerusi PKR di Kelantan pihaknya akan meneliti
terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan mengenai perkara tersebut.
“Pas akan bertanding di
semua kerusi yang pernah ditandinginya sebelum ini dan untuk kerusi PKR, kita
akan lihat dulu sama ada ingin letak calon atau pun tidak," katanya
selepas Program Ihya’ Ramadhan Bersama Anak Perantauan Kelantan, malam tadi.
Masa masih ada untuk
melihat sandiwara PAS di Kelantan dan walaupun melihat dirinya kuat, PAS
tentunya tetap bimbang bahawa ia mungkin akan kehilangan kerajaan negeri jika
percaturannya salah.
Peringatan ialah, Jangan
sekali-kali PAS perkecilkan kekuatan AMANAH dan PPBM di Kelantan!