Oleh Kickdefella (October 17, 2011)
Kelantan Gagal Tarik Pelabur
Oleh AZRAN FITRI RAHIM (Utusan Malaysia)
JUMAAT, 14 Oktober, 2011: Kerajaan Pas Kelantan bukan sahaja gagal untuk menarik sebarang pelaburan baru dalam tempoh 10 tahun ini malah keadaan menjadi lebih buruk apabila ada di antara pelabur sedia ada berpindah ke negeri lain.
Ketua Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP), Hu Pang Chaw berkata, itu adalah hakikat sebenar yang berlaku di negeri ini disebabkan kerajaan yang memerintah tidak dapat mewujudkan suasana yang ‘mesra’ pelabur.
Beliau berkata, negeri ini mempunyai pelbagai kelebihan berbanding negeri-negeri lain tetapi ia tidak pernah digunakan. “Saya tidak marah kepada kerajaan negeri, saya bercakap untuk membaiki kelemahan, banyak turun padang dan jumpa pelabur dari dalam dan luar negara. Mereka pernah bersungut macam-macam masalah dengan saya.
Apabila keadaan ‘tidak menentu’ lebih baik mereka pergi ke negeri lain. “Sejak 10 tahun lalu tiada pelaburan di negeri ini, saya pernah sebut (mengenai masalah pelaburan) ini tetapi nampaknya saya seperti budak di tepi jalan yang tidak diendahkan kerana saya bukan orang besar yang kata-katanya perlu diambil berat,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai entri terbaru dalam laman blog Kickdefella bahawa Pang Chaw tidak akan meninggalkan Pas dan beliau kecewa dengan kegagalan Kerajaan Pas Kelantan melakukan transformasi.
Dalam entri tersebut, penulisnya, Syed Azidi Syed Abdul Aziz berkata: “Tiada siapa dapat menafikan peranan Pang Chaw dalam membawa masuk pelabur dari luar Kelantan dan dari kalangan usahawan Tionghua untuk membantu membangunkan Kelantan.
“Namun kerenah birokrasi dan enakmen-enakmen tertentu yang lapuk dan rigid membuatkan ramai pelabur tidak selesa atau berhadapan dengan masalah di pertengahan jalan.” Pang Chaw berkata, pelabur hari ini boleh pergi ke mana-mana tempat di seluruh dunia yang menyediakan tawaran yang lebih baik kepada mereka.
“Pelabur ada duit, mereka boleh pergi satu dunia, apa kelebihan kita untuk menarik mereka datang. Contohnya Kelantan kalau tidak tunjukkan kelebihan dan keistimewaan pelabur tidak akan masuk.
“Sebenarnya Kelantan kaya dengan sumber asli, penduduk yang ramah dan tanah yang luas, negeri yang penuh dengan sejarah, tetapi semua ini tidak digunakan sepenuhnya,” katanya.”
Saya sendiri terkejut dengan kenyataan Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS Pusat, Saudara Hu Pang Chow yang menyebut bahawa sejak sepuluh tahun tiada pelaburan masuk ke Negeri Kelantan. Kenyataan Hu Pang Chow ini seharusnya membuka mata anak-anak Kelantan terhadap negeri tumpah darahnya ini.
Jika tiada pelaburan yang masuk ke Kelantan sejak sudah hampir sepuluh tahun, mengapa hutan di Kelantan semakin gondol sejak sepuluh tahun terakhir ini. Apakah penggondolan hutan ini bukan kerana terdapat perkembangan pesat yang memerlukan pembukaan kawasan baru?
Tidaklah perlu saya menjawabnya.
Husam, Naib Presiden PAS dan Exco Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri Kelantan, antara yang rapat dengan Hu Pang Chow.
Hu Pang Chow amat arif dengan keadaan ekonomi sebenar di Kelantan. Banyak yang boleh Hu Pang Chow perkatakan jika dia mahu. Itulah sebabnya Hu Pang Chow merasakan PAS seharusnya menumpukan lebih perhatian membangunkan Negeri Kelantan dan bukan menghabiskan air liur dengan retorik agama semata-mata menjelang pilihanrayaSaya pernah menemu bual Hu Pang Chow beberapa kali sewaktu saya berkhidmat di Kelantan. Sedikit sebanyak saya dapat rasakan jerih perih anak dagang ini dalam membantu membangunkan negeri angkatnya untuk dijadikan manifestasi kejayaan parti politik yang dimartabatkannya. Individu seperti Hu Pang Chow sebenarnya adalah satu pemberian kepada rakyat Kelantan.
Saya tidak yakin insiden terbaharu kebelakangan ini akan membuatkan Hu Pang Chow akan tinggalkan PAS dan Kelantan, tetapi tidak mustahil seperti biasa, PAS dan Kelantan yang akan tinggalkan Hu Pang Chow kerana akhirnya parti itu mendapati idelisma Hu Pang Chow ‘lebih PAS dari PAS’.
Dan bila semua itu selesai, Hu Pang Chow akan sedar, pakaiannya sebenarnya lebih hijau dari warna bendera PAS dan darahnya lebih merah dari bendera Negeri Kelantan. Hu Pang Chow juga akan sedar, sejarah hanya mengulangi dirinya dan belaiu adalah pilihan sama ada untuk kekal dengan harga diri serta perjuangannya.
Mungkin kita mahu mendengar banyak lagi cerita dari Hu Pang Chow. Mungkin Hu Pang Chow juga tahu atau pernah mendengar kisah bagaimana seorang Exco Kerajaan Negeri Kelantan mendakwa Ketua Dewan Ulama PAS pada sessi 2007-2009 telah membawa seorang tauke cina ke pejabatnya dengan tujuan mendapatkan kelulusan tertentu. Exco tersebut juga kemudiannya menuduh tauke cina itu cuba menyogok wang kepadanya serta yakin, Ketua Dewan Ulama PAS itu sendiri telah mendapat habuan dari tauke cina itu.
Masih banyak kisah yang akan terungkai.