Ramalan harakahdaily.net sebahagian besar benar apabila menyebut mengenai kedudukan Tan Sri Annuar Musa.
Mulai semalam, Annuar kembali menjadi orang politik biasa. Beliau digugurkan menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan. Ia kini disandang Datuk Mustapa Mohamed.
Memang benar Annuar orang Tun Abdullah Ahmad Badawi dan sewajarnya Presiden UMNO yangh baru meletakkan pula orang kepercayaannya.
Annuar hanya akan dikenali sebagai bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan. Dia kini ialah Ketua Bahagian UMNO Ketereh.
Seorang lagi yang melonjak ialah Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek yang terus mengekalkan kedudukannya sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan.
Kijang yakin gandingan mantap – Mustapa dan Awang Adek – akan membawa perubahan kepada UMNO Kelantan.
Kini ditunggu ialah siapakah orang kepercayaan Mustapa di Kelantan, khususnya Bendahari dan Ketua Penerangan.
Harakahdaily kelmarin menyebut “Hari akhir Annuar Musa di Perhubungan Umno Kelantan!”
Menurut harakahdaily.net kelmarin:
“Hari akhir Annuar Musa di Perhubungan Umno Kelantan!”
Jumaat 24 April 2009 | 28 Rabiul Akhir 1430 Hijrah
Nampaknya debar Perhimpunan Agung Umno pada Mac lalu belum lagi reda. Debaran bagi mereka tewas dan tidak bertanding pada persidangan tersebut semakin kencang.
Hukuman seterusnya menanti mereka esok. Bagi yang masih berada di kerusi Pengerusi Perhubungan Umno Negeri, namun tidak mendapat sebarang tempat pada persidangan tersebut debaran sudah mengocak jantung.
Lebih-lebih lagi kedudukan mereka di atas ihsan presiden Umno sebelum ini. Kini Dato' Seri Najib Razak perlukan pasukannya sendiri. Bukan lagi orang Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Antara yang mungkin bakal menerima berita duka esok, Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Tan Sri Annuar Musa. Mesyuarat Majlis Tertinggi baru diadakan esok.
Semua orang tahu beliau rapat dengan Abdullah. Menurut cerita hubungannya bermula ketika Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood dirawat di luar negara.
Menurut sumber, dari situlah hubungan erat Annuar dan Abdullah bersemi. Kehadiran Annuar menyebabkan Dato' Mustapa Mohamad terpinggir.
Sedangkan Mustapa berjaya memulihkan reputasi Umno dan BN Kelantan pada pilihan raya 2004.
Kerusi yang diduduki Mustapa di Perhubungan Negeri ditukar Abdullah. Keringat Mustapa apabila hampir menumbangkan PAS pada pilihan raya umum ke-11 seperti dipersiakan.
Mustapa seolah-olah diperlekehkan Abdullah. Annuar dibawa menggantikan tempat Mustapa.
Pernah disingkir Mahathir.
Sedangkan Annuar pernah disingkirkan Dr Mahathir sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan. Annuar berada di posisi itu sejak awal 1990-an.
Turut terpinggir bersama Annuar ketika itu, Tuan Hashim Tuan Yaakub, Dato' Dr Nik Husien Nik Abdul Rahman dan Dato' Ismail Mamat.
Tempat Annuar diganti Dato' Zaid Ibrahim pada 16 Januari 2003. Mustapa sebelum itu menggantikan Tengku Razaleigh Hamzah di Perhubungan Umno Kelantan.
Biar pun Ku Li senang dengan slogan 'makan gaji buta' yang ditulis di merata tempat bagi memperhodohkan wajah kerajaan PAS, namun beliau tetap gagal menawan Kelantan pada pilihan raya umum 1999.
Sebaliknya ketika di bawah Ku Li, PAS dan KeADILan mendapat lonjakkan semula selepas agak gersang pada pilihan raya 1995.
Menjelang pilihan raya 1999, Ku Li berjanji mahu mengulangi lagi kejayaannya merampas Kelantan pada 1978. Namun impian itu tidak berpijak di alam nyata.
Kehadiran Ku Li di pentas politik Kelantan tidak lagi seghairah ketika berada dalam kabinet di era Tun Razak Husien.
Sentuhan Mustapa lebih berjaya berbanding Ku Li. Beliau melonjatkan pengaruh Umno sehingga dapat menawan 22 kerusi Dun dan sembilan kerusi parlimen.
Annuar orang Abdullah
Annuar didatangkan Abdullah bagi mengemudikan Umno Kelantan untuk menghadapi pilihan raya umum ke-12.
Hampir empat tahun Annuar berhempas pulas sebagai Pengerusi Umno dan Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada). Namun Umno di Kelantan makin gerhana.
Pelbagai isu dalaman membelit Umno Kelantan. Antara paling ketara diperkatakan dakwaan duit peruntukan pilihan raya yang ditinggalkan Mustapa di Perhubungan semakin mengempis.
Biar pun satu demi satu masalah berlaku, Abdullah masih mempertahankan Annuar. Di sepanjang tempoh itu, acap kali kedengaran khabar angin rombakan di Perhubungan Umno Kelantan.
Beberapa nama muncul, antaranya Dato' Fatmi Che Salleh dan Dato' Dr Awang Adek Hussin.
Angin kencang yang sudah lama bertiup hanya mungkin menjadi ribut esok.
Esok nasib Annuar dalam politik akan ditentukan. Beliau pernah diselamatkan dalam isu penyelewengan dana program pembangunan rakyat termiskin (PPRT) ketika menerajui Kementerian Luar Bandar.
Khabarnya dana itu melibatkan wang kerajaan lebih RM35 juta.
Dan pada pemilihan 24 Mac lalu, Annuar tidak bertanding sebarang jawatan. Ini menggambarkan Annuar sudah merasakan hubungan dinginnya dengan Najib.
Kalau benarlah begitu, maka hari ini detik akhir Annuar berada di puncak kuasa di Kelantan.
Ada ahli nujum meramal Awang Adek bakal mengetuai Badan Perhubungan Umno. Manakala timbalannya mungkin Fatmi.
Mustapa pula sudah selesa di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Annuar pastinya akan terus mengigit jari.