Wednesday, September 15, 2010

PAS NYATAKAN SOKONGAN DAN TAAT SETIA KEPADA SULTAN KELANTAN

Parti Islam SeMalaysia (PAS) menyatakan sokongan dan taat setia terhadap pemasyhuran Tuanku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru berkuatkuasa Isnin lepas.

Timbalan Presiden Pas, Nasaruddin Mat Isa berkata pemasyhuran Tuanku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang ke-29 bagi menggantikan ayahandanya Sultan Ismail Petra yang sedang gering itu adalah mengikutperundangan negeri dan sah.

"Parti PAS menyatakan sokongan kepada pelantikan ke bawah Duli Yang Amat Mulia Tuanku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru dan (kami) patik-patik sekalian mengharapkan pelantikan ini memberi satu ruang baru untuk memajukan terus negeri Kelantan yang telah diurustadbir lebih 20 tahun olehkerajaan PAS dan sokongan parti tidak berbelah bahagi," katanya pada sidangakhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Nasaruddin berkata pemasyhuran oleh Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu bertepatan dengan Artikel 6, Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan yang memberi kuasa pada Majlis Perajaan Negeri (MPN) berbuat demikian.

Beliau berkata Artikel 6 menyatakan bahawa tidak ada sesiapa boleh dilantik dan disahkan menjadi Sultan Kelantan melainkan pengesahan dan pelantikan tersebut dibuat oleh MPN.

Sehubungan itu, Nasaruddin yang juga anggota Parlimen Bachok dan mewakili beberapa anggota Parlimen negeri Kelantan yang turut menyatakan sokongan itu mengajak rakyat Kelantan turut memberikan taat setia serta sokongan padu terhadap pemasyhuran tersebut.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata pemerintahan di bawah Tuanku Muhammad Faris Petra, seorang raja berjiwa rakyat dan menunjukkan kecenderungan kepada agama Islam itu diyakini akan terus membawa kemajuan serta kemakmuran kepada negeri Kelantan.

Salahuddin yang juga anggota Parlimen Kubang Kerian berkata dengan pemasyhuran itu, kemelut yang melanda Istana Kelantan dianggap sudah selesai.

Anggota Parlimen Kuala Krai Dr Mohd Hatta Ramli berkata semua pihak termasuk PAS tidak berhak menyentuh atau membuat spekulasi dalam soal pemasyhuran seorangSultan kerana ia adalah hak eksklusif istana serta urusan MPN.

Pada Selasa, seorang anggota MPN Kelantan yang juga seorang peguam terkenal,Datuk Mohd Shukri Mohamad berkata majlis pemasyhuran Tuanku Muhammad Faris Petrasebagai Sultan Kelantan yang baru tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah.

PEMASYHURAN – NIK AZIZ & SUK TIDAK CAKAP BENAR?

Tuanku Ismail Petra yang masih berkerusi roda bersama Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid menerima kunjungan rakyat jelata pada majlis rumah terbuka di Istana Mahkota, Kubang Kerian, Kota Bharu, kelmarin.

Ha...ha...Tan Sri Annuar Musa tewas pukulan K.O. dengan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

‘Pertabalan’ oleh Annuar terhadap waris Sultan Kelantan beberapa tahun lalu tidak ke mana-mana bagaikan jauhnya api dari panggang, berbanding dengan apa yang dilakukan Menteri Besar Kelantan itu.

Nik Aziz lebih smart dan usahanya berjaya mengetepikan Tuanku Ismail Petra – sekaligus membolehkan Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan yang baru berkuat kuasa 13 September 2010 (Isnin).

Cuma yang tidak terjawab sehingga sekarang ialah apakah benar Menteri Besar Kelantan, itu tidak tahu tarikh dan waktu majlis pemasyhuran tersebut?

Apakah Nik Aziz cuba menyorokkan majlis pemasyhuran Sultan Kelantan yang baru itu?

Kenapa beliau melakukan demikian? Bimbang majlis dibatalkan dan usahanya menabalkan Tengku Muhammad Faris akan gagal?

Pengisytiharan pemasyhuran itu diumumkan Menteri Besar Kelantan itu di Balairung Seri Istana Balai Besar di sini pada pukul 12.30 tengah hari hari berkenaan.

Turut hadir Tengku Bendahara Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra, Pengerusi Majlis Perajaan Negeri Kelantan yang juga Tengku Laksamana Kelantan, Tengku Abdul Halim Almarhum Sultan Ibrahim, Pengelola dan Ketua Istiadat Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad, pembesar-pembesar negeri dan semua anggota Parlimen dan Anggota Dewan Undangan Negeri Kelantan.

Menurut sumber, seramai 15 anggota MPN hadir pada mesyuarat pagi ini kecuali dua anggotanya iaitu Ahli Parlimen Gua Musang yang juga kerabat diraja Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah dan adinda bongsu Sultan Kelantan Tengku Amalin A'Ishah Putri.

Khabarnya bonda Tengku Muhammad Faris, Tengku Anis juga juga tidak hadir.

Tengku Muhammad Faris Petra menerima watikah pemasyhuran Raja Kelantan daripada Nik Abdul Aziz Nik Mat (tengah) di Balairung Seri Istana Balai Besar di Kota Bharu, Isnin lalu.

Nik Aziz berkata, Majlis Perajaan Negeri Kelantan yang dipengerusikan Tengku Abdul Halim telah bermesyuarat pada pukul 9 pagi 13 September itu di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Kota Darul Naim di sini bagi membuat keputusan itu.

Sebagai mewakili rakyat jelata, Nik Abdul Aziz melafazkan taat setia yang tidak berbelah-bahagi terhadap Sultan Kelantan.

Apa yang menarik dalam perkembangan ke arah pemasyhuran itu ialah sehingga 10 September (Sabtu), Nik Aziz mengatakan beliau belum menerima surat rasmi dari Istana mengenai pemasyhuran Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan.

Jadi bila sebenarnya tarikh beliau menerimanya? Apakah pada pagi yang diadakan mesyuarat sebelum pemasyhuran itu?

Menjawab soalan wartawan, beliau mengatakan: “Saya kalau boleh tidak mahu komen sebarang perkara berkaitan Istana (Kelantan).” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Nik Abdul Aziz menyatakan perkara itu mengulas laporan Utusan Malaysia yang memetik sumber bahawa Pemangku Raja Kelantan dipercayai akan dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan Isnin ini bagi menggantikan ayahandanya, Tuanku Ismail Petra yang gering sejak setahun lalu.

Istiadat pemasyhuran itu dikatakan bakal berlangsung di Balairong Seri Istana Balai Besar di sini bermula pada pukul 11.30 pagi.

Pengelola Istana DiRaja Kelantan Datuk Abdul Halim Hamad juga enggan mengesahkan mengenai istiadat pemasyhuran itu.

“Saya tidak mahu mengesahkan dan juga tidak mahu menafikan perkara itu. Saya juga tidak mendapat perintah daripada Pemangku Raja untuk mengeluarkan sebarang kenyataan tentang perkara itu,” katanya.

Bagaimanapun, anggota Exco kerajaan negeri Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengatakan beliau ada menerima surat berkenaan. "Saya mengakui menerima surat untuk ke majlis jamuan, itu saja.,”

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri itu berkata surat tersebut menjemput beliau menghadiri jamuan Aidilfitri bersama Pemangku Raja di Istana Balai Besar pada Isnin ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Aiseri Alias ketika ditemui pada majlis rumah terbuka di kediamannya pada Ahad 11 September 2010 enggan menafi atau mengiyakan perkara tersebut. "Tunggulah, kita akan beritahu. Kita tidak membiarkan media kerana mereka rakan rapat kita,” katanya.

KENYATAAN FITNAH - PEJABAT SULTAN KELANTAN BUAT LAPORAN POLIS

Abdul Halim membuat laporan polis di Kota Bharu, semalam.

Pejabat Sultan Kelantan semalam, membuat dua laporan polis terhadap kenyataan fitnah yang didakwa dibuat Tengku Merjan Sultan Yahya Petra dan Tengku Muhammad Fakry Sultan Ismail Petra, mengenai pemasyhuran Tuanku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan ke-29 yang disempurnakan kelmarin.

Laporan itu dibuat Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad, di Balai Polis Kota Bharu, kira-kira jam 4 petang.

Menerusi dua laporan polis itu, Abdul Halim mendakwa kenyataan Tengku Merjan dan Tengku Muhammad Fakhry yang disiarkan beberapa media tempatan pada Ahad dan Isnin lalu, berkaitan pemasyhuran itu adalah satu tuduhan amat berat dan fitnah yang disengajakan.

Antara lain, beliau (Tengku Merjan) berkata, sebarang tindakan menyingkirkan Sultan (Tuanku Ismail Petra) di luar cara ditetapkan Perlembagaan negeri adalah satu kudeta dan boleh dikategori sebagai penderhakaan mengikut Kanun Keseksaan.

“Tengku Muhammad Fakhry pula berkata, usaha memasyhurkan Tengku Muhammad Faris Petra adalah satu penderhakaan dan menyalahi undang-undang,” katanya dalam laporan polis itu yang salinannya diedar kepada media di Kota Bharu, semalam.

GELARAN 'TUANKU' SULTAN ISMAIL GUGUR

Gelaran ‘Tuanku’ yang dipakai bekas Sultan Kelantan dan ‘Tengku’ pada Raja Perempuan Kelantan sebelum ini gugur secara automatik berikutan pemasyhuran anakanda sulung baginda berdua, Tuanku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan di Istana Balai Besar semalam.

Berikutan pengguguran gelaran tersebut, Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra kini bergelar Sultan Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra.

Sementara itu, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid pula diberi gelaran Raja Perempuan dengan nama yang dikehendaki oleh baginda sendiri.

Ketika menjelaskan perkara tersebut, jurucakap Istana Kelantan yang juga Ahli Majlis Perajaan Negeri (MPN), Datuk Shukri Mohamed (gambar kanan) berkata, gelaran ‘Tuanku’ dan ‘Tengku’ hanya diberikan kepada Sultan yang memerintah serta permaisuri baginda sahaja.

“Penggunaan gelaran itu termaktub dalam Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Negeri. Kerajaan negeri akan menyembahkan kepada Raja Perempuan (Tengku Anis) untuk menentukan nama yang akan digunakan oleh baginda selepas ini.

“Namun apa-apa keputusan menetapkan gelaran terserah kepada Sultan Kelantan, Tuanku Muhammad Faris untuk gelaran kepada ayahanda dan bonda baginda selepas ini,” kata Shukri pada sidang akhbar di Istana Balai Besar di sini hari ini.

Semalam, Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra yang sebelum ini Pemangku Raja, dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan yang baru berkuat kuasa semalam.

Pengisytiharan pemasyhuran itu diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Balairung Seri Istana Balai Besar di sini pada pukul 12.30 tengah hari.

Pemasyhuran itu dibuat selepas diputuskan oleh mesyuarat Majlis Perajaan Negeri yang dipengerusikan oleh pengerusinya yang juga Tengku Laksamana Kelantan, Tengku Abdul Halim Almarhum Sultan Ibrahim pada pukul 9 pagi semalam di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Kota Darul Naim di sini.

Mengulas lanjut, Shukri berkata, buat sementara waktu gelaran Tengku Mahkota Kelantan dikosongkan sehingga Tuanku Muhammad Faris membuat pelantikan kerana ia adalah kuasa mutlak baginda.

“Sememangnya untuk perjalanan institusi diraja tidak lengkap sekiranya tiada Tengku Mahkota tetapi ia akan kosong untuk sementara waktu sehingga Tuanku melantiknya.

“Gelaran Tengku Temenggong begitu juga, ia di bawah bidang kuasa Tuanku Sultan, bagaimanapun gelaran tersebut tidak mempunyai sebarang kuasa perundangan tetapi pemegang gelaran itu akan hanya mempunyai kuasa sekiranya beliau dilantik sebagai ahli MPN,” katanya.

Menjawab mengenai istiadat pertabalan Tuanku Muhammad Faris sebagai sultan, beliau berkata, ia terpulang kepada baginda untuk menentukannya kerana perkara tersebut di bawah bidang kuasa baginda.

Bagaimanapun katanya, persiapan untuk mengadakan adat istiadat pertabalan itu akan mengambil masa selama tiga bulan.

Beliau turut menegaskan pemasyhuran tersebut tidak boleh dipertikaikan atau dibawa ke mana-mana mahkamah kerana ia mengikut Perlembagaan serta mendapat persetujuan majoriti dua pertiga ahli MPN.

“Pemasyhuran Tuanku Muhammad Faris sebagai sultan tidak boleh dicabar di mahkamah kerana dilakukan mengikut peruntukan Perkara 23A, Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua),” katanya.

MAYAT LELAKI REPUT TEPI SUNGAI BERTAM

Mayat seorang lelaki yang hampir reput ditemui di tepi sungai Kampung Bertam Lama, dekat Gua Musang, pagi semalam oleh dua beradik yang pergi ke kawasan itu untuk menebang buluh.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Saiful Bahri Abdullah, yang mengesahkan mengenaipenemuan itu pada pukul 8 pagi berkata mayat berkenaan ditemui Zarina Mat Yaman, 20 bersama adiknya, Zarini, 17, sebelum melaporkan perkara tersebut kepada polis di Balai Polis Bertam.

Saiful Bahri berkata, dua beradik berkenaan turun ke sungai untuk membasuh kaki selepas menebang beberapa batang buluh dan terkejut apabila nampak mayat terlentang di tepi sungai dalam keadaan bengkak dan berpakaian.

Bagaimanapun, beliau berkata polis yang menerima laporan mengenai perkara berkenaan pukul 9 pagi, bergegas ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan.

"Setakat ini kita belum mendapat kepastian identiti lelaki berkenaan kerana siasatan lanjut masih dijalankan tetapi kita tidak mengesyaki sebarang perbuatan jenayah," katanya semalam.

Saiful Bahri yang enggan mengulas lebih lanjut mengenai penemuan mayat itu berkata, sebelum ini polis ada menerima laporan kehilangan seorang anggota keluarga penduduk tempatan kampung terbabit yang tidak pulang ke rumah sampai sekarang.

"Tetapi kita belum dapat pastikan lagi sama ada lelaki itu ada kaitan dengan laporan kehilangan dari keluarga terbabit sehingga selesai dibuat siasatan," katanya. Mayat lelaki berkenaan dihantar ke Hospital Kuala Krai (HKK) untuk bedah siasat.

PEMASYHURAN - UMNO KELANTAN MENARUH HARAPAN TINGGI

UMNO Kelantan berharap pemasyhuran Sultan Kelantan yang baru itu akan memakmur dan membangunkan Kelantan yang kini jauh ketinggalan berbanding negeri lain.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata UMNO menaruh harapan yang tinggi agar Sultan Kelantan dapat menjadikan Kelantan antara negeri yang termaju di negara ini.

"Bagi pihak UMNO Kelantan kita menzahirkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Tuanku Sultan," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri di Dewan Haji Hussin, Perupuk Bachok yang dihadiri lebih 5,000 penduduk Bachok, sebilangan besarnya kaum nelayan.

Dr Awang yang juga Timbalan Menteri Kewangan, berkata kerajaan pusat akan terus menyalurkan pelbagai projek kepada Kelantan mengikut Rancangan Malaysia Kesepuluh, yang sedang diperincikan dan akan diumumkan bulan depan.

Sementara itu, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh berkata dengan pelantikan Sultan Kelantan yang baru itu, pemimpin masyarakat dan politik di Kelantan kini boleh menumpukan kepada pembangunan negeri.

"Kita amat berharap majlis pemasyhuran pelantikan Sultan Kelantan yang baru semalam, menamatkan episod hitam yang membelenggu rakyat," katanya pada majlis terbuka Aidilfitri di kediamannya di Kota Bharu, semalam.

Ketua UMNO Bahagian Kota Baharu itu berkata rakyat amat mengalu-alukan pelantikan Sultan Kelantan yang baru kerana lebih setahun rakyat dibelenggu oleh krisis yang melanda istana, menyebabkan rakyat tertanya-tanya.

Mohd Fatmi berkata walaupun kemelut itu melibatkan keluarga diraja, namun ia sekaligus membantut tumpuan rakyat terhadap kehidupan harian mereka kerana asyik mempersoalkan isu berkenaan.

"Ini secara tidak langsung boleh menjejaskan usaha kerajaan dalam memajukan mereka, terutama di bidang pembangunan," katanya.

KELANTAN KINI ADA DUA SULTAN?

Istana Mahkota, Kubang Kerian merupakan tempat Sultan Ismail Petra bersemayam.

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak mahu 'rumah siap pahat terus berbunyi'.

Namun, pahat tetap berbunyi apabila kekanda Sultan Ismail Petra, Tengku Merjan Sultan Yahya Petra (gambar kanan) mendakwa "Kelantan kini diperintah oleh dua sultan".

Dakwaan itu dibuat ekoran pelantikan anak saudaranya, Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru kelmarin (13 September 2010).

Tengku Merjan mendakwa adindanya itu masih merupakan Sultan Kelantan yang sah kerana baginda tidak melepaskan takhta.

Beliau sebaliknya mendakwa, pelantikan Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru tidak memenuhi syarat dan melanggar Perlembagaan negeri yang menyatakan pemerintah Kelantan hanya boleh digantikan dengan tiga cara sahaja.

"Sultan hanya boleh digantikan sekiranya baginda mangkat, menghilangkan diri dari negeri tanpa alasan yang munasabah dan ataupun jika sultan turun takhta.

"Kesemua syarat tersebut tidak dipenuhi untuk melantik Tengku Muhammad Faris sebagai sultan kerana Sultan Ismail Petra masih ada dan tidak melanggar syarat-syarat yang ada sehingga membolehkan baginda disingkirkan," katanya.

Beliau mengulas pemasyhuran Tengku Muhammad Faris sebagai Sultan Kelantan yang baru menggantikan ayahandanya berkuat kuasa Isnin lalu.

Perisytiharan pemasyhuran Tengku Muhammad Faris itu diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Istana Balai Besar di sini kira-kira pukul 12.30 tengah hari kelmarin.

Upacara tersebut yang diadakan secara tertutup dan ringkas dihadiri oleh lebih 1,000 tetamu jemputan dengan kawalan ketat oleh pihak polis.

Menurut Tengku Merjan, beliau hanya mengetahui upacara pemasyhuran tersebut melalui berita yang disiarkan di televisyen dan tidak menyangka pihak berkenaan sanggup dan berani memperlakukan Tuanku Ismail Petra sedemikian.

Jelasnya, beliau tetap mempertahankan kenyataannya yang dikeluarkan sebelum ini bahawa mereka yang terlibat dalam usaha menyingkirkan adindanya sebagai penderhaka.

Kelmarin beliau menegaskan, pemasyhuran Tengku Muhammad Faris sebagai Sultan Kelantan boleh disifatkan sebagai cubaan rampasan kuasa.

Tengku Merjan berkata, ini kerana Perlembagaan negeri menyatakan pemerintah Kelantan hanya boleh digantikan dengan tiga cara sahaja iaitu jika sultan mangkat, menghilangkan diri dari Kelantan tanpa alasan kukuh lebih daripada setahun ataupun jika sultan turun dari takhta.

Katanya, justeru sebarang tindakan menyingkirkan Sultan di luar daripada cara yang ditetapkan Perlembagaan negeri adalah satu kudeta dan boleh dikategorikan sebagai penderhakaan di bawah Kanun Keseksaan.

Tambah Tengku Merjan, pihak berkuasa di peringkat Persekutuan dan kerajaan negeri mesti campur tangan kerana jika konspirasi tersebut berjaya dilaksanakan akan menyumbangkan kesan yang negatif terhadap negeri yang mengamalkan sistem beraja.

“Jika terjadi sedemikian tiada pemerintah yang mahu mewujudkan jawatan Pemangku Raja lagi kerana jawatan tersebut seolah-olah mempunyai kuasa yang sama dengan Sultan yang mana Pemangku Raja bila-bila masa saja boleh mengambil alih jawatan tersebut,” jelasnya.

Sementara itu, bekas Pengerusi Majlis Perajaan Negeri, Tengku Sri Utama Raja Tengku Abdul Aziz Tengku Mohd. Hamzah berkata, peristiwa yang berlaku merupakan sejarah baru kesultanan Kelantan.

Jelasnya, tidak pernah berlaku dalam sejarah sebelum ini seorang sultan baru dilantik ketika sultan yang sah masih hidup.

"Ini adalah satu sejarah kerana sebelum ini pelantikan sultan yang baru hanya dibuat selepas baginda sultan mangkat," jelasnya.

PELANTIKAN TENGKU MUHAMMAD FARIS TIDAK BOLEH DICABAR - SHUKRI

Seorang anggota Majlis Perajaan Negeri (MPN) Kelantan yang juga seorang peguam terkenal, Datuk Mohd Shukri Mohamad (dua dari kanan) berkata majlis pemasyhuran Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru semalam tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah.

Katanya, ini kerana keputusan itu dibuat oleh Majlis Perajaan Negeri Kelantan berdasarkan Pindaan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri.

"Oleh itu, tiada pihak yang boleh mencabar keputusan MPN dalam urusan pelantikan atau pemasyhuran Sultan Kelantan yang baru kerana ia dibuat mengikut perlembagaan di bawah undang-undang tubuh kerajaan Negeri," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Sultan Kelantan di Istana Balai Besar, di Kota Bharu, semalam.

Hadir sama pada sidang akhbar itu Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad.

Mohd Shukri yang mengaku dititahkan oleh Sultan Kelantan untuk mengendalikan sidang media itu juga turut merujuk kepada kenyataan media yang dibuat oleh seorang peguam dari firma guaman Tetuan Rashid Zulkifli mewakili Sultan Ismail Petra Almarhum Sultan Yahya Petra kelmarin yang mempertikaikan keputusan MPN mengadakan majlis pemasyuran pelantikan Sultan Kelantan yang baru itu.

Beliau berkata, pelantikan Tetuan Rashid Zulkifli sebagai peguam kepada Sultan Ismail Petra masih lagi dipertikaikan dan kini sedang dicabar.

"Ini merupakan suatu perkara yang akan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan melalui petisyen No 1, 2010 dan Petisyen 2, 2010 ekoran ketidak upayaan Sultan Ismail (berikutan kegeringannya)," katanya.

Beliau mendakwa, tetuan Rashid telah gagal mengemukakan apa-apa keterangan perubatan untuk membuktikan Sultan Ismail Petra mempunyai keupayaan yang diperlukan untuk mengarahkan firma tersebut bertindak bagi pihak baginda berhubung dengan prosiding di depan Mahkamah Persekutuan sekarang.

"Tetuan Rashid juga gagal untuk mendedahkan apa-apa keterangan perubatan yang menunjukkan Sultan Ismail Petra mempunyai keupayaan untuk memahami kandungan petisyen dan afidavit yang didakwa difailkan di Mahkamah Persekutuan melalui petisyen no.1 2010 dan petisyen no.2 2010 terbabit," katanya.

Beliau berkata, Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) boleh dan telah dipinda dengan cara perisytiharan oleh Yang Maha Mulia Pemangku Raja Kelantan dengan izin dan persetujuan Majlis Penasihat Raja.

Mohd Shukri mendakwa, kedua-dua petisyen yang didakwa telah difailkan oleh Tetuan Rashid Zulkifli di Mahkamah Persekutuan bagi pihak Sultan Ismail Petra adalah tidak relevan dengan isu sama ada pindaan-pindaan berasaskan Perkara 3 Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kelantan adalah sah atau tidak.

Di KUALA LUMPUR, pakar perlembagaan Profesor Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi berkata, mengikut Perkara 63, Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan, sebarang kekeliruan tentang pemasyhuran Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra sebagai Sultan Kelantan boleh diperjelaskan di bawah Mahkamah Persekutuan.

Pensyarah Undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu berkata Perkara 63 menyebut Sultan Kelantan boleh merujuk kepada Mahkamah Persekutuan jika sebarang keraguan ditimbulkan akibat salah tafsir berkenaan Perlembagaan Kerajaan Kelantan.

"Peruntukan Perkara 23(A) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) jelas menyatakan jika siasatan mendapati raja mempunyai kecacatan besar sehingga menjejaskan keupayaan memerintah, Majlis Perajaan Negeri (MPN) berhak mencari pengganti sultan.

"Walau bagaimanapun, saya pasti perkara ini akan dipersoalkan oleh pihak tertentu iaitu sama ada pindaan Perkara 23(A) pada 22 Julai lalu dilakukan di bawah keadaan sah atau tidak," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengumumkan pemasyhuran itu di Balai Rong Seri Istana Balai Besar Kelantan yang turut dihadiri Tengku Bendahara Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra.

Bagaimanapun, pemasyhuran tersebut dipertikai kekanda Sultan Ismail Petra, Tengku Merjan Sultan Yahya Petra yang mendakwa pelantikan anak saudaranya itu tidak memenuhi syarat dan melanggar perlembagaan negeri.

Situasi tersebut sekaligus menyebabkan krisis keluarga diraja Kelantan semakin meruncing dan beberapa anggota kerabat yang menyokong Sultan Ismail Petra bertegas mahu membawa kes tersebut ke Mahkamah Khas Raja-Raja di Putrajaya.

Pakar sejarah Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim menegaskan setiap negeri di Malaysia mempunyai perlembagaan tersendiri dan setiap kes harus ditangani mengikut perlembagaan dan undang-undang yang telah termaktub.

"Saya rasa yang paling penting, sejak 31 ogos 1957, setiap raja di negara ini telah menjadi Raja Perlembagaan dan perlembagaan tersebut haruslah dipatuhi.

"Walau bagaimanapun, sekiranya pihak yang menimbulkan keraguan berjaya membuktikan pelantikan tersebut tidak mengikut lunas-lunas perlembagaan, maka ianya tidak sah dan mahkamah berhak menentukan tindakan seterusnya," katanya.

TUANKU ISMAIL PETRA MASIH GERING?

Adinda Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra, Tengku Mohamad berkata keadaan kesihatan Tuanku Ismail masih dalam kegeringan dan memerlukan rawatan berterusan.

Sehubungan itu, beliau menolak khabar angin yang bertiup kencang di kalangan rakyat negeri ini kononnya Tuanku kini dimasukkan semula ke sebuah hospital di negeri ini sejak beberapa hari lalu.

Tengku Mohamad berkata, sebagaimana pesakit angin ahmar dan jantung, baginda memerlukan rawatan lanjut atau susulan yang berterusan.

"Tetapi baginda tidak dimasukkan ke hospital semula sebagaimana dakwaan yang mengatakan demikian," katanya semalam.

Tuanku Ismail Petra gering sejak Mei tahun lalu, dan telah menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian; dan Hospital Mount Elizabeth, Singapura.

Tengku Mohamad menasihati rakyat agar tidak mudah terpedaya dengan khabar-khabar angin serta akur kepada keputusan pemasyhuran Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru berkuatkuasa kelmarin (13 September 2010).

"Kita harap tidak ada lagi pihak yang mempertikaikan keputusan itu dan kena akur dengan peraturan yang ditetapkan mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kelantan," kata beliau.

Tengku Mohamad kesal kerana masih terdapat suara-suara sumbang mempertikaikan keputusan Majlis Perajaan Negeri berhubung pemasyhuran itu.

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Mohd Aiseri Alias berkata pemasyhuran Tengku Muhammad Faris adalah selaras dengan Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan berikutan keadaan ayahanda baginda Sultan Ismail Petra yang gering sejak lebih setahun lalu.

Katanya, mengikut peruntukan Perkara 23A,Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua), menyatakan jika setelah siasatan dilakukan, Majlis Perajaan Negeri berpendapat raja mempunyai kecacatan yang besar, maka seorang pengganti hendaklah dipilih untuk menjadi raja mengikut syarat-syarat tertentu.

"Majlis Perajaan Negeri dalam sidangnya hari ini berpendapat bahawa keadaan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra sekarang ini memerlukan seorang pengganti dipilih dan dilantik untuk menjadi Raja bagi menggantikan baginda mengikut Perkara 23A Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua).

"Keputusan Majlis Perajaan Negeri tersebut telah dibuat secara sebulat suara oleh 15 orang anggota majlis yang hadir pada pagi tadi yang mengikut peruntukan itu telah memilih, melantik dan mengesahkan Yang Maha Mulia Tengku Muhammad Faris Petra menjadi Raja yang memerintah," katanya pada sidang akhbar di Istana Negeri, Kubang Kerian selepas Majlis Penghadapan Penyerahan Watikah Pemasyhuran Kepada Sultan Kelantan yang baru itu.

Pada tengah kelmarin, Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mengumumkan pemasyhuran itu di Balai Rong Seri Istana Balai Besar di sini yang turut dihadiri Tengku Bendahara Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra.

Aiseri berkata Perkara 23A Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan adalah peruntukan pindaan yang telah diwartakan pada 22 Julai lalu setelah Majlis Penasihat Raja bersidang pada 18 Julai bagi membolehkan pindaan Bahagian Yang Kedua undang-undang tersebut melalui Perwawai.

"Pindaan tersebut amat perlu bagi mengatasi kelompongan dalam Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan berkaitan kegeringan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra yang bermula pada 14 Mei 2009 sehingga sekarang dan dikhuatiri ianya terus berlanjutan," katanya.

Katanya antara kuasa dan syarat pada pindaan itu adalah berkaitan pembuangan, menarik balik atau menurunkan daripada takhta Raja itu atau bakal Raja atau bakal-bakal Raja dan pelantikan dan sifat seseorang bakal atau bakal-bakal Raja kepada takhta kerajaan, Raja Perempuan atau Pemangku Raja ataupun anggota Majlis Pangkuan Raja bagi negeri.

"Saya berharap dengan kenyataan ini akan dapat memperjelaskan lagi tentang keputusan Majlis Perajaan Negeri sebagaimana yang disebutkan tadi," katanya.

JANGAN ADA LAGI 'PAHAT BERBUNYI' - NIK AZIZ

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menganggap pelantikan Tuanku Muhammad Faris Petra ibni Sultan Ismail Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru dapat menyelesaikan kemelut istana negeri ini.

Sehubungan itu, beliau meminta segenap lapisan rakyat Kelantan tanpa mengira bangsa, agar mendoakan semoga negeri ini selamat zahir dan batin serta dunia dan akhirat.

Berikutan pemasyhuran itu juga, beliau tidak mahu ada lagi pihak yang mengungkit isu pelantikan Sultan Kelantan setelah Tuanku Ismail Petra gering sejak lebih setahun yang lalu, seperti kata pepatah 'rumah siap pahat berbunyi'.

"Sekiranya ada lagi tukul dan pahat-pahat berbunyi, kita harap simpan dalam peti masing-masing," katanya di Istana Negeri, Kubang Kerian di Kota Bharu, kelmarin.

Beliau berkata demikian selepas majlis penghadapan dan penyerahan watikah pemasyhuran Tuanku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru pada Isnin (13 September 2010).

Nik Abdul Aziz, yang juga Mursyidul Am PAS, berkata selama lebih setahun beliau menghadapi masalah untuk menjelaskan kepada rakyat mengenai kemelut yang melanda istana Kelantan kerana beliau amat menghormati institusi itu.

KELANTAN KALAH 1-0 KEPADA N SEMBILAN

Juara bertahan musim lepas, Negeri Sembilan memulakan kempen Piala Malaysia musim 2010 dengan menundukkan Kelantan 1-0 pada perlawanan kumpulan A yang berlangsung di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, Kota Bharu malam semalam.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh Abdul Halim Zainal pada minit ke-73.

Dalam satu lagi perlawanan kumpulan A, Selangor PKNS menewaskan KL Plus 1-0 pada perlawanan di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.

Dalam perlawanan kumpulan B pula, Pahang membelasah Terengganu 3-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, dengan gol Pahang dijaringkan oleh Marzuki Yusof (minit ke-12), Mohd Fadzli Baharuddin (min ke-67) dan Mohd Faizol Hussain (min ke-82) manakala gol tunggal Terengganu dijaringkan oleh Abdul Rayjalil pada minit ke-75.

Di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, pasukan tuan rumah terikat tanpa sebarang jaringan dengan Sabah.

Pada perlawanan Kumpulan C, Perak seri 2-2 dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada perlawanan di Stadium Perak, Ipoh.

Shahrizal Saad menjaringkan gol pertama tuan rumah pada minit ke-16 sementara gol kedua dijaringkan oleh Shafudin Adli yang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-78, manakala ATM memperoleh jaringan menerusi Mohd Saiful Mustafa pada minit ke-49 dan V. Jaganathan pada minit ke-67.

Sementara itu pada perlawanan kumpulan D, Juara Piala Malaysia 32 kali, Selangor, membelasah pasukan kelab dari Terengganu, T-Team 3-1 dalam perlawanan di Stadium Shah Alam.

Gol-gol pasukan Red Giants dijaringkan oleh D. Surendran (minit ke-50), Rudie Ramli (min ke-79) dan R. Surendren (min ke-91), manakala gol saguhati T-Team hadir pada minit ke-93 menerusi Rosli Muda.

Di Stadium Utama Negeri, Kangar, Perlis menumpaskan Felda United 3-2.

Gol-gol tuan rumah dijaringkan pada minit ke-49 menerusi Fatrurazi Rozi manakala Ahmad Fakri Saarani menjaringkan dua gol pada minit ke-52 dan minit ke-90.

Felda United memperolehi gol pada minit ke-85 menerusi Azrul Ahmad sementara gol kedua dijaringkan oleh G. Puaneswaran selang seminit kemudian.

PERHIMPUNAN MELAYU PERKASA KELANTAN

Tarikh : 25hb September 2010 (SABTU),
Masa : 3.30 Petang
Tempat : Di Hadapan Stesyen Kereta Api, Pasir Mas, Kelantan


Pemidato Utama YABhg. Tun Dr Mahathir Mohamad, (akan di diberi sambutan Panglima oleh 3 ribu motosikal, Kumpulan Budaya Pahlawan bersama sama YB Dato Ibrahim Ali Presiden Perkasa)

'ISLAM DI HINA,MELAYU DI CABAR DAN INSTITUSI RAJA DI PERLEKEH'.

MASANYA SUDAH TIBA, GENGAM BARA API BIAR SAMPAI MENJADI ARANG,

AYUH SEMUA RAKYAT MALAYSIA BERSAMA DI PERHIMPUNAN KERAMAT INI..!!.


http://gerakantimur.blogspot.com/

UMNO JANJI AIR BERSIH JIKA MEMERINTAH

Masalah air bersih yang dihadapi oleh sebahagian besar rakyat Kelantan akan dijadikan agenda utama dalam perjuangan Umno Kelantan membela nasib rakyat jika diberi peluang memerintah Kelantan pada pilihan raya umum ke-13 kelak.

Timbalan pengerusi badan perhubungan Umno Kelantan, Datuk Awang Adek Hussin berkata ini berpunca kegagalan PAS mengatasi masalah itu walaupun diberi peluang memerintah selama 20 tahun di negeri itu.

"Di mana-mana pun saya pergi sama ada di bandar dan di kampung ketika turun padang saya terpaksa menerima rintihan rakyat agar masalah itu (bekalan air bersih) diberi keutamaan," katanya di Bachok, kelmarin.

Awang Adek, yang juga timbalan menteri kewangan, mendakwa walaupun kerajaan pusat sudah meluluskan pinjaman mudah sebanyak RM600 juta kepada kerajaan negeri itu bagi menyelesaikan masalah berkenaan, ia masih gagal ditangani malah semakin membebankan mereka.

Awang Adek berkata sebahagian rakyat Kelantan yang menghadapi masalah itu terpaksa mencari alternatif lain seperti menggali telaga dan membina telaga tiub malangnya air yang diperoleh daripada bawah tanah itu berbau busuk.

Beliau berkata memburukkan lagi keadaan apabila ratusan ribu rakyat Kelantan pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama sanak saudara di kampung halaman masing-masing mengeluh kerana tiada air yang mencukupi.

SUSPEK BUNUH USTAZAH, ANAK DIHADAP KE MAHKAMAH HARI INI

Polis merungkai kes pembunuhan seorang ustazah dan anaknya di rumah mereka di Port Dickson pada 2 September lalu yang dipercayai dilakukan oleh jiran mereka.

Jirannya itu seorang lelaki berumur 34 tahun dikatakan membunuh dan menyamun Norliza Ishak, 35 dan anak lelakinya Amirul Ayman Mohd Yusof, 10, bagi mendapatkan wang untuk melangsaikan hutangnya.

Suspek dijangka dihadapkan ke mahkamah hari ini atas tuduhan membunuh.

Anggota polis mengangkat mayat Norliza Ishak dan anak lelakinya, Amirul Ayman Mohd. Yusof yang ditemui mati dipercayai dibunuh penjenayah yang memasuki rumah mereka di sebuah flat di Jalan Sutera Lama di Port Dickson, Negeri Sembilan, 2 September lalu.

"Jiran mereka dipercayai mempunyai masalah kewangan selepas tidak mendapat kontrak pemasangan paip gas sejak beberapa lama. Hasil samun terhadap mangsa telah digunakan untuk membayar pembayaran suspek yang tertunggak seperti pembayaran rumah, kereta dan sebagainya," kata Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh.

Antara barangan yang disamun suspek ialah dua utas rantai tangan, seutas rantai leher serta loket, wang tunai, komputer bimbit, alat permainan milik anak mangsa dan tiga telefon bimbit.

Suspek kemudiannya ditahan di rumah neneknya di Port Dickson pada 5 Sept lalu.

Osman berkata, lelaki tersebut memang mengenali mangsa kerana dia tinggal bersebelahan dengan rumah mangsa.

"Lelaki terbabit dikatakan telah memperdaya mangsa kononnya rumahnya terkunci dan mahu memasuki rumahnya melalui dapur mangsa. Mangsa kemudiannya membenarkan lelaki itu masuk ke dalam rumahnya.

"Sebaik sahaja masuk, lelaki terbabit telah menghentak mangsa dengan sikunya dan anak mangsa yang melihat kejadian itu telah menjerit yang turut didengar oleh jiran mangsa yang lain tetapi tidak diendahkan," katanya.

Osman berkata, kedua-dua anak beranak itu kemudian ditutup kepala mereka dengan kain sebelum dihumban ke dalam bilik air.

Kedua-dua mangsa dipercayai meninggal dunia kerana tidak dapat bernafas.

Polis turut mendapati kesan kecederaan pada kemaluan mangsa.

Mayat kedua anak beranak itu ditemui oleh rakan Norliza yang datang ke rumahnya pada keesokan hari selepas kejadian.

Suami mangsa ketika kejadian sedang berada di luar negara.