“Kita tak nak PAS jatuh diambil oleh UMNO yang lebih rakus dengan pelbagai masalah seperti GST dan 1MDB. Tiga tahun kita beri ruang kepada pemimpin negeri Kelantan (selesaikan pelbagai isu tapi) yang disiapkan adalah tugu peringatan banjir."
Apakah yang menyebabkan beliau memilih AMANAH?
Apakah antara matlamat beliau menyertai AMANAH?
Husam mahu AMANAH mengambil alih pemerintahan PAS di
Kelantan.
Ia kerana katanya PAS dilihat gagal menyelesaikan masalah
yang berlaku di negeri itu, malah isu berkaitan cukai barangan dan perkhidmatan
(GST) dan 1MDB, parti Islam itu dilihat hanya "goyang kaki" tanpa
mengambil apa-apa tindakan.
“(Rakyat Kelantan) nak minta izin AMANAH ambil alih
pemerintahan Kelantan. Kita tak nak PAS jatuh diambil oleh UMNO yang lebih
rakus dengan pelbagai masalah seperti GST dan 1MDB.
“Dan PAS pula goyang kaki. Tiga tahun kita beri ruang
kepada pemimpin negeri Kelantan (selesaikan pelbagai isu tapi) yang disiapkan
adalah tugu peringatan banjir.
“Kita tidak marah bina tugu tetapi lebih baik siapkan
dulu rumah mangsa banjir,” katanya.
Baginya, AMANAH adalah parti yang meneruskan perjuangan
asal PAS.
Kenapa pula dengan PAS? “PAS telah dikhianati oleh orang
PAS sendiri," kata Husam berucap mengumumkan ‘perpindahannya yang sebelum
ini tanpa kelab’ selama beberapa bulan.
Husam menyatakannya pada majlis Makan Malam Ambang
Merdeka bersama YB Datuk Husam Musa di Cyberjaya di Cyberjaya.
ADUN Salor itu membuat keputusan menyertai AMANAH juga
selepas mendapat pandangan ramai orang yang ditemui yang menyarankannya
menyertai AMANAH.
Mereka termasuk individu yang ditemui di dalam teksi,
pasar atau lapangan terbang. Maknanya Husam mendengar pendapat termasuk mereka
yang di bawah atau kalangan rakyat biasa.
Husam dipecat daripada PAS pada 6 Mei lalu selepas sering
mengkritik kepimpinan parti, termasuk Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan
Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaacob yang juga timbalan mursyidul am parti
berkenaan.
Selepas empat bulan 'berlayar' tanpa arah yang jelas,
Husam kini menyarung 'jersi' baru kerana berpendapat “berjuang bersendirian
ternyata bukan suatu pilihan” untuk bekas mahasiswa Universiti Malaya itu.
Husam antara sekumpulan besar kumpulan sederhana yang
disingkirkan perwakilan dalam pemilihan PAS di Kuala Selangor pada 2015.
Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor
dipecat keanggotaannya dalam PAS April lalu, susulan lantang mengkritik
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung dakwaan wujud kerjasama
PAS-Umno.
AMANAH bergabung dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan
DAP dalam Pakatan Harapan.
Walaupun tidak begitu mengejutkan pengumuman rasmi
penyertaan Husam dalam AMANAH dinanti kerana sebelum ini pembabitannya dengan
parti serpihan PAS itu sekadar khabar angin saja.
Selepas membuat sedikit alu-aluan Husam dengan tenang dan
bersahaja mengumumkan penyertaannya ke dalam AMANAH.
Katanya selepas dipecat daripada PAS beliau tidak berasa
gelisah atau resah.
“Kita semua tenang dengan Islam, kita senang dengan
perjuangan Islam oleh itu kita masuk PAS. (Kemudian selepas dipecat) sekarang
ada AMANAH, ia menenteramkan hati saya.
"Ia bertepatan dengan apa yang al-Quran beritahu -
"jangan kamu bimbang dan takut (jika bersama Islam". Sekarang saya
masuk AMANAH supaya hati saya tenteram.
"Saya berdiri di sini dengan nama Allah, bertawakal,
saya serahkan diri pada perjuangan AMANAH," katanya di hadapan kira-kira
500 hadirin yang hadir di majlis makan malam Di Ambang Merdeka itu.
Kemunculan di atas pentas AMANAH malam tadi bukanlah kali
pertama buat Husam.
Pada Januari 2015 lalu beliau pernah berucap dalam majlis
makan malam AMANAH di Petaling Jaya.
Dalam ucapannya Husam yang pernah dilihat sebagai
pemimpin pelapis di Kelantan selepas Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata
ada pihak yang membandingkan kepimpinan PAS dan AMANAH.
Bagaimanapun kata Husam, dalam kepimpinan merit utama bukanlah
tinggi rendah ilmu agama mereka sebaliknya kepintaran bacaan politik serta
komitmen, pengorbanan dan "suluhan perjuangan" masing-masing.
"Mohamad Sabu (presiden AMANAH) pernah masuk
penjara. Adakah orang seperti ini tak ada langsung nilai kepimpinan sehingga
yang kita besarkan adalah kelulusan agama padahal merit pada kelulusan itu tak
ada," katanya.
Mohamad Sabu menyifatkan penyertaan Husam tepat padanya
kerana parti itu memerlukan individu yang mahir mengenai ekonomi.
“Dari segi angka, saya jauh kalah dengan Husam. Orang
seperti dia (boleh) banyak mainkan peranan,” katanya.
Mohamad turut menyeru supaya Husam membawa lebih ramai
lagi rakan-rakannya ke dalam AMANAH dalam usaha parti baru itu menuju ke
Putrajaya dan selaras dengan prinsip parti itu, Islam rahmat kepada semua.
“Husam, jangan datang seorang, ajak ramai-ramai. (Kita
kena) bekerjasama dengan semua pihak untuk betul-betul realisasikan
Islamrahmatan lil amin,” katanya.
Sementara itu pada sidang media selepasnya Mohamad
berkata AMANAH akan bermesyuarat untuk membincangkan posisi yang sesuai untuk
diberikan kepada Husam.
"Kami akan bincang termasuk (dalam) mesyuarat bagi
mencari posisi sesuai bagi orang berpengalaman dan berpengaruh seperti Husam
ini," katanya.