Saturday, October 23, 2010

TUDUHAN KHALWAT TERHADAP CALON PAS – APA NI UMNOONLINE?


Dengan bangganya, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor baru-baru ini menasihatkan ahli UMNO jangan baca blog lain – termasuk blog proUMNO – tetapi hanya umnoonline untuk mendapatkan berita yang tepat mengenai UMNO.

Jadi ahli UMNO yang ‘patuh’ kepada arahan mungkin dapatkan berita hanya melalui umnoonline, termasuk mengenai Galas.

Namun, apa yang mengejutkan, semalam umnoonline dikatakan membuat fitnah terhadap calon PAS Dr Zulkefli Mohamad yang beliau pernah ditangkap berkhalwat.

Ini bermakna bahawa calon PAS ini menjadi sasaran umno-online tidak sampai 24 jam selepas diumumkan bertanding dalam pilihan raya kecil DUN Galas.

Dalam reaksinya terhadap laporan itu, Dr Zulkefli yang juga pemangku Yang Dipertua PAS Gua Musang menafikan perkara itu.

Malah, katanya, Ramelah yang dilaporkan itu adalah ibunya.

Dr Zulkefli, lulusan ijazah sarjana muda perubatan dan pembedahan, Universiti Malaya pada tahun 1992 dan mengendalikan klinik sendiri di Chiku 3, Gua Musang, menjelaskan isterinya bernama Zainab Jalar.

Malaysiakini yang memetik kenyataan Dr Zulkifli menyebut, media rasmi Umno yang memetik laporan beberapa blog mendakwa Dr Zulkefli pernah ditangkap khalwat dengan 'isterinya' sekarang, Ramelah Mat Jusoh.

"Fitnah semata-mata, - boleh buat semakan di mana-mana pejabat agama di Kelantan dan seluruh Malaysia," katanya dalam jawapannya melalui SMS kepada Malaysiakini.

Selain mendakwa Dr Zulkefli pernah ditangkap berkhalwat, umnoonline juga cuba memperlekehkan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sebelum ini mengenakan syarat untuk menjadi calon adalah bukan perokok dengan memberikan gambaran seolah-olah beliau adalah perokok.

"Saya tidak merokok. Semoga Allah mengampuni dosa mereka yang membuat fitnah," kata Dr Zulkefli.

Dr Zulkefli diumumkan sebagai calon PAS oleh Nik Aziz di Gua Musang malam semalam.

Beliau adalah bekas calon PAS yang bertanding menentang Ketua Umno Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dalam pilihan raya umum 2008 tetapi tewas.

Berusia 44 tahun, Dr Zulkefli merupakan anak ketujuh daripada 10 adik beradik.

Persoalannya kenapakah umnoonline berharapkan blog lain yang bukan menjadi pilihan Tengku Adnan untuk dijadikan sumber berita?

Saya tabik kepada blog parpukari dan the unspinners dalam kerja mereka untuk Galas tetapi kedua-duanya kalau menurut analogi Tengku Adnan tidak layak untuk dijadikan rujukan kerana tidak ‘setanding’ umnoonline.

Lebih malang, apa yang dipetik oleh umnoonline itu disifatkan ‘berunsur fitnah’ dan boleh memalukan UMNO (ikut standard Tengku Adnan).

Dengan kedudukan ini, tidakkah perbuatan umnoonline ini dengan sendirinya memalukan Tengku Adnan yang mengharapkan portal berita umno itu sebagai sumber rujukan utama dan boleh dipercayai?

Bergantung kepada Tengku Adnanlah untuk memperbetulkan keadaan ini kerana beliau juga yang meletakkan umno-online kononnya satu-satunya online yang perlu dirujuk mengenai apa sahaja berkenaan UMNO.

Cuma sedikit memalukan ialah portal yang sepatutnya menjadi rujukan menjadi sebaliknya dan kini didakwa membawa ‘fitnah’ kepada calon PAS Galas.

Jangan perkecilkan perkara ini kerana ia akan menjadi bahan kempen untuk menempelak UMNO!

TINGKAT PENDAPATAN 20,054 PESERTA LADANG KONTRAK

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bercadang meningkatkan pendapatan 20,054 peserta ladang kontrak di seluruh negara sepanjang Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

Penasihat Projek Berimpak Besar (HIP), Ladang Kontrak (MOA), Meriam Lebam berkata, 30peratus daripada jumlah itu kini sudah memperoleh pendapatan RM2,000 sebulan.

"Kita mensasarkan dalam tempoh RMK-10, 40 peratus daripada jumlah itu akan memperoleh lebih RM2,000 sebulan," katanya kepada pemberita pada majlis perasmian bengkel pembangunan industri keledek Vitato dan pendaftaran peserta ladang kontrak di Tok Bali Pasir Puteh, semalam.

Lebih 100 peserta dari empat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kelantan menyertai bengkel berkenaan yang dirasmikan oleh Pengarah FAMA Wilayah Timur, Mohd Zaimi Abdul Razak.

Meriam berkata mereka akan digalakkan menyertai 13 jenis tanaman jangka panjang termasuk durian dan tanaman jangka pendek termasuk tembikai, ubi dan sayur-sayuran.

Beliau berkata sebahagian daripada mereka mengusahakan tanaman itu melebihi satu hektar.

Katanya dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memperuntukkan RM100 juta bagi tujuan pemasaran dan meningkatkan pendapatan peserta.

Mohd Zaimi pula berkata kemungkinan besar pihaknya akan memperkenalkan khasiat ubi keledek vitato sebagai makanan bayi kerana ia mempunyai vitamin A yang tinggi setanding dengan khasiat makanan bayi yang terkemuka yang dijual di pasaran tempatan sekarang.

Beliau berkata kajian mengenainya sedang giat dilaksanakan di samping kuih tradisional seperti cakar ayam.

Katanya pihaknya akan bekerjasama dengan jabatan-jabatan kerajaan yang berkaitan seperti pejabat pertanian dan LPP supaya mengusahakan tanaman itu secara berskala besar kerana ia sangat berpotensi untuk dikomersialkan.

Mohd Zaimi berkata pada masa ini hanya 250 tan metrik dihasilkan menerusi ladang di Kelantan dan Terengganu sejak diperkenalkan dua tahun lepas dan ia jauh daripada mencukupi daripada daripada keperluan sebenar untuk memenuhi permintaan.

PELAJAR PERLU DICAMBAH MINAT MENGENAI BIOTEKNOLOGI

Warga pendidik diminta memainkan peranan dalam usaha membantu mencambahkan minat pelajar dalam bidang bioteknologi bagi memberi gambaran dan sumber rujukan yang jelas agar mereka lebih memahami tentang bidang itu.

Ketua Pegawai Eksekutif TESDEC, Datuk Mohd. Alim Muda berkata, bidang bioteknologi yang merupakan antara bidang pemacu ekonomi negara terpenting itu dilihat mampu memberi pelbagai peluang pekerjaan pada masa kini.

Katanya, warga pendidik khususnya guru biologi dan pakar kaunselor perlu memberi pendedahan berkenaan memandangkan masih ramai yang terlepas pandang akan manfaat dan nilai sebenar industri tersebut.

"Bioteknologi adalah satu salah satu daripada bidang sains yang dapat membantu meningkatkan kualiti hidup manusia daripada pelbagai aspek namun masih ramai yang tidak mengetahuinya.

"Pelbagai peluang pekerjaan dalam industri ini perlu diisi merangkumi penyelidikan, pengusahaan, tenaga pengajar, harta intelek, pemasaran dan sebagainya," katanya ketika berucap dan merasmikan BioEducation Monsoon Camp (BMC) 2010 di Ri-Yaz Heritage Marina Resort dan Spa Pulau Duyung dekat Kuala Terengganu kelmarin.

Program anjuran BiotechCorp dengan sokongan Kolej TESDEC dan Jabatan Pendidikan negeri Terengganu ( JPNT ) tersebut disertai seramai 80 warga pendidik dan kaunselor dari negeri Terengganu.

MASYARAKAT SIAM BERTERIMA KASIH KEPADA PM

Masyarakat Siam di Malaysia berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana mengiktiraf mereka sebagai sebahagian daripada bangsa Malaysia.

Anggota Jawatankuasa Persatuan Siam Malaysia Boonsom Suwanmanee berkata pihaknya terharu apabila Najib, dalam ucapan dasar ketika merasmikan Perhimpunan Agung Umno semalam menyebut masyarakat Siam sebagai bersama dalam serumpun Kadazan, Bidayuh, India Muslim, Melanau dan berpuluh suku kaum lain.

Beliau berkata ucapan Presiden Umno itu selari dengan jaminan beliau ketika berucap di Wat Machimaram Tumpat Kelantan pada 10 Jun lepas bahawa sebagai penyokong kuat Barisan Nasional (BN) masyarakat Siam tidak perlu khuatir kerana kerajaan akan sentiasa membantu mereka dalam pelbagai bidang.

"Harapan saya selepas ini masyarakat Siam juga dapat menikmati taraf Bumiputera sebaik mungkin demi kepentingan negara di samping mempertingkatan taraf pendidikan dan sosio-ekonomi," katanya dalam satu kenyataan.

Boonsom berkata ketika era kepimpinan Tun Mahathir Mohamad juga banyak kemudahan serta bantuan telah disalurkan kepada masyarakat Siam di Malaysia.

"Tun (Mahathir) berasal dari Kedah dan beliau tahu sebenarnya masyarakat Siam adalah kaum Bumiputera," katanya.

PIALA MALAYSIA - KEDAH, KELANTAN SAMA YAKIN

Kedah yakin mampu mencapai kemenangan dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia di tempat lawan menentang Kelantan di Stadium Sultan Muhammad ke-1V, Kota Baharu Sabtu ini walaupun Kelantan dilihat memiliki kelebihan sebagai tuan rumah.

Jurulatih Kedah, Ahmad Yusuf berkata berdasarkan rekod perlawanan Kedah menentang Kelantan dalam Piala FA yang lalu, pasukannya mampu mempertahankan kemenangan bagi memastikan kemenangan berpihak kepada Kedah, sekaligus layak ke perlawanan akhir.

Katanya ini ditambah lagi dengan kembalinya dua tonggak utama Khairul Helmi Johari dan Mohd Sabre Abu yang digantung dalam perlawanan separuh akhir pertama malam tadi, yang akan memantapkan lagi jentera pasukan itu dalam usaha memburu kemenangan.

"Saya akui pemain Kedah mempunyai satu tugas yang berat menentang Kelantan nanti kerana bermain di tempat lawan dan saya rasa pemain saya akan dapat menggalas tanggungjawab ini serta bermain dengan baik di sana bagi memastikan gol kemenangan milik Kedah," katanya kepada pemberita di Alor Setar kelmarin.

Mengenai kegagalan Kedah mengutip sebarang jaringan di tempat sendiri dengan keputusan perlawanan berakhir 0-0, beliau berkata ia disebabkan insiden yang berlaku kepada Mohd Azmi Muslim yang terpaksa dikeluarkan pada minit ke-11 kerana mengalami kecederaan.

Katanya ia menyebabkan corak permain Kedah agak hambar dan beberapa percubaan berbahaya ke gawang lawan oleh Khyril Muhymeen dan Badrol Bahktiar berjaya dihalang oleh pertahanan dan penjaga gol Kelantan.

Dalam perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Darulaman, Kedah gagal menggunakan peluang bermain di tempat sendiri apabila sekadar seri 0-0, sekaligus mengecewakan kira-kira 30,000 penonton setia Hijau Kuning yang hadir.

Ahmad juga menyifatkan masa perlawanan separuh akhir yang terlalu rapat dengan perlawanan suku akhir memberi kesan kepada pemainnya yang belum pulih daripada kecederaan setelah bermain dalam suku akhir kedua menentang Terengganu Sabtu lepas.

Sementara itu, jurulatih pasukan Kelantan, B. Sathianathan berkata terikat tanpa jaringan di tempat lawan memberi peluang kepada Kelantan untuk mencipta gol kemenangan di tempat sendiri.

Katanya Kelantan bermain dengan cukup baik di Stadium Darulaman apabila menguasai perlawanan separuh masa kedua dan menyaksikan pasukan itu melakukan beberapa cubaan menarik dan hampir menjaringkan gol di tempat lawan.

"Bukan mudah untuk menumpaskan Kelantan di tempat sendiri. Saya yakin di Kelantan nanti kami akan memperolehi kemenangan dan sekaligus layak untuk ke perlawanan akhir Piala Malaysia," katanya.