Wednesday, September 22, 2010

KELAKAR, PAS HANYA DAPAT REPLIKA CEK SAHAJA...

Hanya replika cek dengan angka RM4 bilion, diserah kepada Kerajaan PAS Kelantan oleh syarikat yang mendakwa mendapat kebenaran membangunkan kawasan luar pesisir Pantai Geting, Tumpat dengan kos lebih RM300 bilion.

Nik Din Nik Mat yang juga adik Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, berkata beliau terkejut apabila dijemput menerima replika cek berkenaan, sedangkan beberapa pegawai kerajaan negeri turut hadir pada majlis anjuran syarikat itu, Ahad lalu.

Saya tidak tahu ada acara pemberian RM4 bilion itu kerana dijemput syarikat berkenaan hanya untuk menghadiri majlis makan.

Syarikat berkenaan hanya menyediakan replika cek dan tidak menyerahkan cek sebenar.

Saya diberitahu, wang terbabit hanya diserah apabila projek di Tumpat itu berjalan, katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Ahad lalu, syarikat tempatan, IDA World Group Sdn Bhd (IDA World) mengejutkan pelbagai pihak apabila mengumumkan sumbangan RM4 bilion kepada PAS Kelantan untuk membantu kerajaan negeri membangunkan prasarana beberapa jajahan di negeri ini.

Sementara itu, Nik Aziz menjelaskan, beliau dan kepemimpinan PAS Kelantan tidak tahu sumbangan RM4 bilion daripada syarikat tempatan itu.

Saya tidak tahu mengenai perkara itu dan setakat ini, pihak berkenaan tidak mengadakan pertemuan dengan saya mengenai pemberian itu.

Sebagai ketua parti (PAS), saya tidak tahu menahu mengenai perkara ini, hanya pagi ini saya mengetahui mengenainya, katanya selepas merasmikan Forum Model Baru Ekonomi (MBE) Merujuk Kepada Negeri Kelantan, di Kota Bharu, semalam.

KANSER SERVIKS ANCAMAN KEDUA TERTINGGI DI KELANTAN

Kanser serviks atau barah pangkal rahim merupakan kanser kedua tertinggi yang mengancam nyawa wanita di Kelantan selepas kanser payu dara, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan (JKK) Dr Mohd Kamil Hassan.

Beliau berkata berdasarkan laporan tersebut, kejadian kanser serviks di negeri ini adalah 7.3 bagi setiap 100,000 penduduk, berbanding dengan Pulau Pinang iaitu 13.1 bagi setiap 100,000 penduduk dan Pahang (6.7/100,000).

"Mengikut laporan Cancer Registry 1999-2003, kanser serviks merupakan kanser yang kedua tertinggi menyerang kaum wanita di Kelantan selepas kanser payu dara.

"Kanser serviks adalah berkait rapat dengan jangkitan Human Papillomavirus (HPV), oleh itu pelalian (imunisasi) bagi mencegah jangkitan HPV dalam kalangan wanita telah dikenal pasti sebagai salah satu strategi bagi program pencegahan kanser serviks di samping pengesanan awal melalui ujian Pap Smear dalam kalangan wanita," katanya di Kota Bharu. hari ini.

Beliau berkata pemberian imunisasi HPV boleh memberi perlindungan kepada para gadis yang belum dijangkiti virus itu dan seterusnya melindungi hampir 80 peratus wanita daripada mendapat kanser serviks.

"Bagi mencegah kanser tersebut, kerajaan telah memulakan program suntikan imunisasi HPV kepada semua pelajar perempuan Tingkatan satu ataupun remaja perempuan berumur 13 tahun (dengan kebenaran ibu bapa) pada tahun ini".

Dr Kamil berkata memandangkan imunisasi HPV hanya boleh memberi perlindungan hampir 80 peratus daripada mendapat kanser serviks, adalah perlu bagi wanita menjalani ujian Pap Smear bagi mengesan kanser tersebut untuk diberikan rawatan segera.

Katanya pada tahun lepas, seramai 25,320 atau 50.67 peratus daripada 49,970 wanita di negeri ini telah menjalani ujian Pap Smear dengan 5 atau 0.02 peratus daripadanya dikesan positif kanser serviks.

"Diharap lebih ramai wanita tampil (mengambil) ujian Pap Smear yang boleh dilakukan di mana-mana Klinik Kesihatan atau Hospital Kerajaan secara percuma atau klinik swasta," katanya.

RM4b - PEMUDA UMNO BUAT LAPORAN POLIS

Pergerakan Pemuda Umno Kelantan Rabu membuat laporan polis agar siasatan dijalankan berhubung laporan media mengenai sebuah syarikat I'DA World Group Sdn Berhad memberi sumbangan sebanyak RM4 bilion kepada kerajaan PAS Kelantan.

Ketua Penerangan Pemuda Negeri Che Othman Che Wil bersama 20 penyokong Umno membuat laporan polis itu di Balai Polis Kota Baharu pada pukul 3.30 petang.

Katanya Pemuda Umno meminta polis menyiasat pelaksanaan super mega projek yang dimaksudkan syarikat itu dengan pemberian sumbangan begitu besar.

"Pergerakan pemuda Umno memohon agar pihak berkuasa dan agensi penguatkuasaan berkenaan dapat menyiasat, meneliti dan memberi perhatian kepada perkara itu kerana timbul keraguan dengan jumlah wang yang diberikan," katanya selepas membuat laporan itu.

Che Othman berkata banyak keraguan timbul berhubung sumbangan wang sebanyak itu yang dianggapnya ada unsur-unsur rasuah di sebalik pemberian sumbangan oleh lembaga syarikat terbabit.

Semalam, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata beliau tidak tahu dan tidak terlibat secara langsung mengenai kewujudan dan pelaksanaan projek Super Mega Sri Tujuh (S7) yang melibatkan kawasan seluas 576 hektar, di Tumpat.

Kerajaan PAS Kelantan hari ini menyenaraihitamkan syarikat yang didakwa mempunyai niat tertentu terhadap negeri itu berikutan pengumuman sumbangan RM4 bilion kepada PAS Kelantan.

TUANKU MUHAMMAD FARIS PETRA BERKENAN GUNA GELARAN SULTAN MUHAMMAD KELIMA

Sultan Kelantan, Tuanku Muhammad Faris Petra berkenan untuk menggunakan gelaran Sultan Muhammad Kelima untuk penggunaan rasmi Istana dan kerajaan negeri bagi menggantikan nama baginda.

Pengelola Istana DiRaja Kelantan Datuk Abdul Halim Hamad berkata penggunaan gelaran itu berkuatkuasa sejak pemashyuran Al-Sultan sebagai Sultan Kelantan pada 13 Sept lalu.

"Al-Sultan Kelantan telah mengampuni perkenan menggunakan gelaran itu dan ianya akan menjadi nama rasmi bagi gelaran Baginda untuk sebarang majlis dan gelaran yang harus dipakai oleh pihak media bagi mengelakkan penggunaan nama yang pelbagai," katanya kepada pemberita di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata baginda berkenan untuk menggunakan nama itu atas kehendak sendiri dan untuk mendapatkan berkat kerana nama Sultan Muhammad telah digunakan oleh keturunan baginda sejak dahulu lagi.

Katanya penggunaan gelaran Sultan Muhammad I bermula pada 1800 hingga 1835 oleh Sultan Kelantan pada ketika itu dengan nama asal baginda ialah Long Muhammad dan merupakan putera sulung kepada baginda Long Yunus yang memerintah Kelantan sejak 1765hingga 1795.

Abdul Halim berkata baginda Long Senik Long Tan menggunakan gelaran Sultan Muhammad Kedua (Sultan Muhammad Mulut Merah) pada 1836 hingga 1886.

Katanya, baginda Long Kundor iaitu putera sulung kepada Sultan Ahmad menggunakan gelaran Sultan Muhammad Ketiga sejak 1890 hingga 1891.

Beliau berkata gelaran Sultan Muhammad Keempat telah digunakan oleh baginda Tuan Long Senik yang memerintah Kelantan pada 1900 sehingga 1920.

"Kita akan memaklumkan kepada seluruh jabatan kerajaan negeri penggunaan nama Al-Sultan dan ianya telah diwartakan untuk kegunaan rasmi," katanya.

DENGGI DI KELANTAN MASIH KRITIKAL, 33 LOKALITI WABAK AKTIF DIKESAN

Wabak denggi di Kelantan dilaporkan masih kritikal apabila 33 daripada 177 lokaliti di negeri ini masih dikesan aktif dan berada di dalam fasa pemantauan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan (JKK), Dr Mohd Kamil Hassan berkata sehingga berakhir minggu ke-37 pada 18 September lalu, daerah Kota Baharu masih mencatatkan kes tertinggi iaitu 949 kes diikuti daerah Pasir Mas iaitu 717 kes.

"Sehingga 18 September lalu, sejumlah 2,700 kes demam denggi direkodkan di negeri ini, meningkat sebanyak 1,816 kes atau 205 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

"Sepanjang tempoh tersebut juga, sebanyak 177 lokaliti wabak telah berlaku di mana 144 daripadanya telah berjaya dikawal dan 33 lagi masih aktif atau dalam fasa pemantauan," katanya di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata analisis pecahan kes pula menunjukkan 94 peratus daripada kes denggi dihidapi oleh kaum Melayu dan 58 peratus daripadanya adalah lelaki dan 72 peratus dikesan tinggal di luar bandar.

"Sejumlah 11 peratus terdiri dari kes import (berasal dari luar Kelantan) dan sebanyak 49 peratus daripada kes itu adalah dari kategori usia produktif iaitu 20 sehingga 50 tahun dan 25 peratus adalah pelajar sekolah," katanya.

Dr Kamil berkata sehingga kini sebanyak 50 pasukan kawalan digerakkan terdiri daripada hampir 400 orang anggota kerja lapangan seperti Pakar Kesihatan Awam, Penolong/Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP), Pembantu Kesihatan Awam (PKA) dan Pekerja Rendah Am (PRA).

"Selain itu, sejumlah 143 mesin fogging dan 20 buah mesin Ultra Low Volume (ULV) digunakan termasuk yang dipinjamkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan lebih 280 sesi gotong royong telah dianjurkan di seluruh negeri melibatkan semua pihak dan jabatan kerajaan dan swasta bagi membendung wabak berkenaan daripada terus merebak," katanya.

Beliau berkata penyelarasan kerja-kerja kawalan antara jabatan dilaksanakan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Kelantan dan bagi membantu perancangan kerja lebih berkesan, maklumat kedudukan terkini kes dan lokaliti wabak dihantar setiap hari ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), MKN Kelantan dan semua Pejabat Tanah dan Jajahan di negeri ini.

Selain itu, katanya, kes kematian akibat wabak berkenaan di negeri ini kekal sembilan orang dengan satu kes terbaru berlaku pada bulan ini yang disyaki denggi tetapi belum disahkan sepenuhnya.

RM4b BUAT PAS, HUSAM TIDUR NYENYAK...

Daripada http://hambali1.blogspot.com

Datuk Husam Musa boleh tidur nyenyak. Tidak payah fikir-fikir lagi mana nak cari duit untuk tabung tawan Putrajaya.

Pada 20 Julai lalu, Pakatan Rakyat dikatakan mahu melancarkan Tabung Impian Rakyat (TIRAM) bernilai RM20 juta bagi mempersiapkan diri mereka ke Putrajaya pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Katanya, pelancaran tabung berkenaan akan dibuat dalam bentuk majlis makan malam untuk pungutan derma dengan mensasarkan kutipan sekurang-kurangnya RM20 juta.

"Sehingga kini, Datuk Seri Anwar dan Tok Guru Nik Aziz sudah mengesahkan penyertaan mereka," kata Husam yang dipetik oleh Harakahdaily.

Husam yang dilantik Pengerusi TIRAM, berkata pada tarikh itu berkata pelancaran tabung dibuat pada 7 Ogos di Stadium Melawati Shah Alam dengan dihadiri pemimpin kanan Pakatan.

Namun sehingga kini tidak diketahui berapa jumlah yang berjaya dikumpul dan sejauh mana majlis makan malam itu mendapat sambutan.

Husam yang juga Exco kerajaan Kelantan,membuat kenyataan itu sebagai reaksi dan penjelasan bahawa PAS mahupun kerajaan negeri tidak pernah membayar sesiapapun sebanyak RM4 juta seperti yang didakwa untuk menjatuhkan kerajaan termasuk bekas perdana menteri Datuk Deri Abdullah Ahmad Badawi (kini bergelar Tun).

Katanya, PAS sejak dari dulu mendapat bantuan kewangan dari sumbangan ahli-ahli mereka untuk membantu perjuangan parti itu dalam menegakkan syiar Islam di negara ini.

Jadi janganlah terkejut kerana kantong PAS kini sudah buncit dan mungkin hampir meletup.

Apa tidaknya, kerana tabung PAS kini menerima RM4 bilion. Wow....banyak perkata boleh buat dengan wang sebanyak itu.

Orang Melayu ‘terkaya’ di dunia yang memiliki syarikat perniagaan dan pelaburan sudah mengumumkan pada satu majlis makan malam di Kota Bharu menganugerahkan PAS RM4 bilion (RM4,000 juta) atau RM4,000,000,000.

Alasan individu dan syarikat berkenaan menderma kepada PAS adalah untuk membantu kerajaan negeri membangunkan prasarana beberapa jajahan yang mundur di negeri ini.

Pengerusi Eksekutif I'DA World Group Sdn Bhd (I'DA World), Abdul Rahim Abdul Wahab (gambar kiri), kelmarin mendakwa sumbangan itu bukan membalas ganjaran diberikan Kerajaan Kelantan kepada syarikat itu membangunkan projek di Tumpat, Kelantan, yang bernilai lebih RM300 bilion.

Diulang, bukan, bukan dan bukan balas ganjaran. Bukan sama sekali. Mana boleh ‘orang Islam’ balas budi macam itu. Berdosa besar.

Dengan kata lain sumbangan I'DA World ini tidak ada kena mengena dengan projek diperoleh syarikat daripada kerajaan negeri yang bernilai lebih RM300 bilion.

Kata Abdul Rahim , anak Kelantan yang kini menetap di luar negara., ia lebih kepada membantu membangunkan beberapa jajahan di negeri ini seperti pekan Rantau Panjang, yang kelihatan mundur dan memerlukan bantuan untuk pembangunan, katanya.

Sesiapa juga termasuk rakan-rakan blogger, jangan nak buat hal dengan meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat.

Baik suruh pihak-pihak yang berwajib menyiasat secara telus dari mana syarikat berkenaan begitu banyak duit, yang mengalahkan ramai Melayu lain yang kaya seperti Syed Mokhtar Albukhary (harta bernilai RM1,100 Juta), Azman Hashim ( RM470 juta), Mokhzani Mahathir ( RM215 juta) atau juga Kamarudin Meranun (RM205 juta) dan jangan lupa Daim Zainuddin!

Walaupun Husam tidak terima duit ini namun dengan PAS berada pada kedudukan amat selesa sekarang, pada pilihan raya umum ke 13 nanti, wang akan bertaburan dan boleh digunakan oleh Husam dan pakatan pembangkang. Barisan Nasional (BN) pastinya sukar untuk menandingi jentera PAS.

Pengumuman untuk tabung PAS yang dibuat sejurus selepas penyampaian surat pelantikan kepada 100 kontraktor itu mengejutkan apabila pada majlis makan malam anjuran syarikat itu, pengacara majlis membuat pengumuman sumbangan firma itu kepada Kerajaan Pas Kelantan dengan mempamerkan replika cek memaparkan nilai RM4 bilion atas nama Parti Islam Se-Malaysia.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menafikan beliau tahu-menahu mengenai sumbangan sebanyak RM4 bilion itu tetapi adik NIk Aziz menerima replika bantuan berkenaan. Bernama melaporkan, adik Menteri Besar Kelantan, Nik Din Nik Mat mengesahkan beliau menerima replika cek bernilai RM4 bilion dari I'DA World atas sifat peribadi dan bukannya mewakili parti atau kerajaan Kelantan.

Beliau terpaksa berbuat demikian kerana tiada wakil kerajaan negeri atau Exco yang tampil mewakili Nik Aziz untuk menerima replika cek itu pada suatu majlis di sebuah hotel terkemuka di Kota Bharu, dua hari lepas.

"Oleh kerana tidak ada wakil kerajaan negeri dan parti yang tampil menerima cek (replika) bernilai RM4 bilion itu, maka saya naik ke pentas itu sebagai bertindak atas sifat peribadi," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pulau Melaka kepada Utusan Malaysia.

Nik Din berkata, beliau tidak menaruh prasangka kepada mana-mana pihak dan tampil menerima replika cek itu kerana mengenali salah seorang anggota syarikat itu yang merupakan kawan baik beliau sejak di sekolah.

Berdasarkan taklimat yang disampaikan pada majlis itu, I'DA World dengan modal berbayar RM1 juta mendakwa mempunyai aset lebih AS$2 trilion.

Firma itu bercadang membangunkan Projek Super Mega Seri Tujuh (S7) di Tumpat, dengan anggaran kos pembangunan RM313.71 bilion, selain beberapa projek membabitkan empat negeri iaitu Kedah, Perlis, Perak dan Kelantan membabitkan kos keseluruhannya RM1 trilion.

Antara projek yang mahu dilaksanakan termasuk pembinaan lebuh raya Link Timur-Barat (EWL) yang turut dilengkapi dengan saluran minyak dari Tumpat ke Yan, Kedah; landasan kereta api berkembar dan beberapa terowong pintas melalui Banjaran Titiwangsa.

Anehnya, Nik Aziz berkata, kerajaan negeri tidak pernah meluluskan projek untuk membangunkan Pantai Sri Tujoh, Tumpat seperti yang didakwa oleh Pengerusi Eksekutif I'Da World, Abdul Rahim Abdul Wahab.

"Sebagai ketua parti, saya tidak tahu pasal duit RM4 bilion, baru pagi ini saya tahu. Dia (Abdul Rahim) baru jumpa saya dua hari lepas dan dua bulan lepas juga dia (ada) datang juga. Mengenai projek di Pantai Sri Tujoh, nak lulus (sesuatu projek) kena buat surat, (hantar permohonan) ke Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) dan kemudian ke Exco. Dia kata nak buat projek, saya kata marilah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Forum Model Baru Ekonomi (MBE) di Kota Darul Naim di Kota Bharu semalam.

Jika sebelum ini Husam menganggap RM4 juta untuk menjatuhkan Pak Lah sebagai fitnah, RM4 bilion untuk PAS ini janganlah anggap fitnah kerana replika cek sudah diterima dan ia adalah sumbangan ikhlas daripada orang Kelantan sendiri.

Selamat maju jaya kepada usaha merampas Putrajaya dengan wang RM4 bilion ini.