Friday, July 29, 2016

RUU 355 - PAS Hairan MPM Ambil Pendirian Bercanggahan Amat Ketara


Oleh DATUK TAKIYUDDIN HASSAN
Setiausaha Agung PAS

Parti Islam SeMalaysia (PAS) telah meneliti kenyataan yang telah dibuat oleh Ketua Biro Undang-Undang dan Perlembagaan , Majlis Perundingan Melayu (MPM),Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman pada 25 Julai 2016 bertajuk “MPM- Usah Dibelakangkan Punca Kuasa”.

2. PAS tidak bersetuju dengan pandangan MPM bahawa Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 diluluskan oleh Parlimen mengikut *Perkara 76A, Perlembagaan Persekutuan* .

Perkara 76A adalah peruntukan yang bertajuk *”Kuasa Parlimen untuk memperluaskan kuasa perundangan Negeri”* di mana Parlimen boleh membuat undang-undang untuk membenarkan Badan Perundangan Negeri membuat undang-undang mengenai perkara yang tersenarai dalam Senarai Persekutuan .

3. Kami berpandangan Parlimen meluluskan Akta 355 pada tahun 1965 dengan mengambil *punca kuasa* daripada *Senarai II – Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan*. Secara khususnya bahagian yang relevan adalah *Butiran 1* iaitu:

_”…..keanggotaan , susunan dan tatacara mahkamah syariah, yang hendaklah mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang yang menganut agama Islam Dan hanya berkenaan dengan mana-mana perkara yang termasuk dalam perenggan ini, *tetapi tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan kecuali setakat yang diberikan oleh undang-undang persekutuan ;…. “*

4. Berdasarkan peruntukan di atas dan selaras dengan kedudukan Akta 355 sebagai *Akta Persekutuan*, maka tiada tempat lain melainkan Parlimen sahaja yang boleh membuat sebarang pindaan kepadanya .

*Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat (Standing Order) Dewan Rakyat* jelas memperuntukkan kaedah sesuatu RUU dikemukakan untuk meminda sesuatu undang-undang yang sedia ada bolehlah dibuat sama ada melalui *tindakan pihak Kerajaan* mahupun melalui *Rang Undang-undang daripada Ahli Bukan Kerajaan* (Peraturan 49) .

Daripada blog OhSedapnya
5. Oleh itu usul yang dikemukakan oleh *YB. Marang* yang bertujuan untuk meminda Akta 355 dan diizinkan oleh Speaker untuk dibentangkan ke Dewan Rakyat pada *26 Mei 2016* adalah *mengikut dan menepati Peraturan 49* tadi serta peruntukan-peruntukan lain yang berkaitan dengannya. Dengan itu RUU tersebut adalah mengikut peraturan dan *bukanlah suatu yang tidak berperlembagaan (unconstitutional)* seperti yang didakwa oleh MPM.

6. Adalah juga jelas berdasarkan Peraturan Majlis Mesyuarat ini, *TIDAKLAH DISYARATKAN* Usul untuk *membawa RUU* (termasuk Akta 355) oleh *Ahli Bukan Kerajaan memerlukan perkenan daripada Sultan ataupun Majlis Agama* seperti yang didakwa oleh MPM.

7. Sukalah juga ditarik perhatian bahawa langkah meminda Akta 355 adalah bertujuan *memperkasakan lnstitusi Mahkamah Syariah* di semua negeri­ negeri di seluruh negara dengan *mempertingkatkan Bidangkuasa Jenayah* daripada yang sedia ada ke tahap yang lebih sesuai dengan perkembangan semasa . Langkah ini juga selaras dengan *Titah Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agung* semasa

*lstiadat Pembukaan Penggal Keempat, Parlimen Ketiga Belas* pada *7 Mac 2016* yang lalu yang amat wajar dipatuhi, iaitu:

_”Beta menyokong penuh segala inisiatif bagi mendaulatkan Islam sebagai agama Persekutuan dan dalam masa yang sama agama­-agama lain boleh diamalkan dengan bebas dan damai di negara ini. *Beta berharap langkah-langkah ke arah memperkukuhkan institusi agama dan kecekapan perlaksanaan undang-undang pentadbiran agama Islam melalui pemerkasaan mahkamah syariah dapat disegerakan* ….”

8. PAS agak hairan kenapa dalam suasana majoriti umat Islam secara peribadi mahupun organisasi menyokong hasrat meminda Akta 355 dengan tujuannya yang amat jelas ini, MPM mengambil pendirian yang amat ketara bercanggahan dengannya .

 Sepatutnya MPM menjadi antara ejen bagi memperjelaskan perkara ini dalam masyarakat terutamanya orang-orang Melayu.

9. Oleh itu PAS menyeru MPM dan semua pihak yang merasa berkepentingan dengan cadangan Pindaan Akta 355 ini supaya membuat kajian terperinci mengenainya.

PAS juga sedia berdialog dan mengadakan konsultasi dengan mana-mana pihak dalam hal ini demi mencapai persefahaman positif di samping mengelakkan polemik di kalangan masyarakat yang merugikan semua pihak.

Bertarikh: 26 Julai, 2016.

Wednesday, July 27, 2016

Kecoh Kedai Jam Di Kota Bharu Kena Saman Gara-Gara 'Gambar Seksi'


Seksi sangat ke iklan ni?

Ia bukan terpampang di billboard atau di banner yang dipasang sepanjang laluan awam tetapi hanya di kedai jam dalam sebuah premis.

Gara-gara memaparkan memaparkan dua keping poster iklan wanita yang dikatakan seksi dalam premis berkenaan, sebuah kedai  jam tangan di Kota Bharu didenda.

Antara iklan itu adalah poster yang menggambarkan bintang Bollywood Aishwarya Rai berpakaian hitam sedikit terdeah dan menggayakan jam tangan Longines.

Poster lain menunjukkan seorang lelaki dan seorang wanita yang duduk rapat antara satu sama lain dengan wanita itu memakai baju merah tanpa lengan. Kedua-dua mereka memakai jam tangan Guess.

Tindakan pihak berkuasa tempatan mengenakan kompaun kepada seorang peniaga di sebuah pusat beli-belah di Kelantan kelmarin,  menimbulkan perbahasan di kalangan bukan Islam.

Pada 25 Julai, satu saman dikeluarkan kepada seorang peniaga jam yang beroperasi di tingkat bawah sebuah pusat beli-belah di Kota Bharu kerana melanggar syarat-syarat (gambar seksi) ditetapkan MPKB (Majlis Perbandaran Kota Bharu).

Menurut laporan Oriental Daily, seorang peniaga jam tangan di sebuah pusat beli-belah di Kota Bharu didenda kerana melanggar Seksyen 107 (2) Akta Kerajaan Tempatan 1976 menerusi paparan dua keping poster iklan wanita yang dikatakan seksi dalam premisnya.
*      
Peniaga terbabit mendakwa, ini bukan kali pertama beliau didenda kerana kira-kira 10 saman diterimanya sejak mula menjalankan perniagaan itu pada 1990.

Berikutan iru,  beliau hanya boleh memohon lesen perniagaan bagi premis baru selepas membayar semua denda berjumlah RM2,000 yang akhirnya diberikan potongan harga sehingga RM400.

Kesan daripada saman terhadap ‘iklan seksi’  adalah bukti undang-undang syariah turut memberi kesan kepada orang bukan Islam.

Masalahnya, isu ini dikaitkan dengan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) yang dibentangkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

MCA Kelantan melihat saman terhadap kedai jam berkenaan sebagai perkara yang perlu dilihat secara serius.

Parti itu akan meningkatkan kesedaran rakyat terhadap cadangan pindaan yang dibentangkan oleh Presiden PAS itu dibimbangi golongan bukan Islam tidak lagi dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Hu...MPKB tidak punya kuasa untuk menutup kedai
Bagi pemimpin parti itu, tiada apa yang mampu menghalang penggubal undang-undang persekutuan lain daripada mencadangkan pelaksanaan hukum hudud ke atas orang bukan Islam.

Ahli Jawatankuasa Pusat AMANAH Hu Pang Chow pula berkata saman itu memberikan  tempoh sehingga 1 Ogos untuk menanggalkannya, jika tidak premis perniagaannya akan ditutup selama-lamanya.

Hu menjelaskan, pihak majlis perbandaran tidak mempunyai kuasa untuk menutup premis perniagaan itu sambil menambah bahawa kuasa mereka terhad sekadar untuk tidak memperbaharui lesen perniagaan, walaupun terpaksa menunggu hingga akhir tahun untuk berbuat demikian.

"Di bawah undang-undang sekarang atau undang-undang majlis tempatan, tidak ada peraturan yang menyatakan kamu tidak boleh meletakkan sebarang poster. Melainkan ia adalah poster bogel, maka itu adalah berbeza.

"Tetapi jika poster ini boleh dipamerkan di seluruh negara, mengapa tidak di Kelantan?" soal Hu.

Hu juga mendakwa bahawa kejadian seumpama itu banyak kali belaku dan beliau sentiasa menasihatkan pemilik untuk mencabar saman berkenaan di mahkamah.

Bagaimanapun, beliau berkata, kebanyakan pemilik perniagaan takut untuk menentang kerajaan negeri.

Beliau mendakwa bahawa atas sebab itu MPKB terus mengeluarkan saman kerana ia tahu pemilik perniagaan tidak akan mencabar tindakannya.

"Oleh kerana saya pernah menjadi ahli Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) selama lima tahun, saya tahu sikap mereka (MPKB), mereka tidak akan mengalah.


"Mereka akan terus dengan keputusan dan mendesak pemilik membayar saman atau mereka tidak akan memperbaharui lesen perniagaan," kata Hu.

Hu sudah  menasihat pemilik untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap majlis perbandaran tetapi tidak pasti sama ada nasihatnya akan diendahkan.

Hu berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan pemilik tidak lama lagi dan akan menasihatkannya supaya mengambil tindakan undang-undang.

Setiausaha MCA Kelantan, Datuk Lua Choon Hann yang dipetik The Star Online pula berkata, dakwaan PAS selama ini kononnya undang-undang syariah tidak akan dikuatkuasakan ke atas golongan bukan Islam tidak benar.

Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Ekonomi MCA Kelantan itu mendakwa penguatkuasaan kerajaan negeri pimpinan PAS itu sememangnya menyasarkan bukan Islam dan menganggap mereka sebagai pelanggar undang-undang.

“Tiada apa yang mampu menghalang penggubal undang-undang persekutuan lain daripada mencadangkan pelaksanaan hukum hudud ke atas orang bukan Islam seperti yang berlaku di Aceh, Indonesia,” kata Lua.

Beliau merujuk pelaksanaan undang-undang syariah di Aceh yang membenarkan sebatan di khalayak ramai ke atas golongan bukan Islam atas kesalahan termasuk menjual dan meminum arak serta berjudi.




  

Monday, July 25, 2016

Ayam RM30 Seekor - Penjual, Pemborong Atau KPDNKK Yang Bersalah?


‘Take it or leave  it’. Cakap orang putih sikit...

Demikian isu penjualan ayam di Kelantan sehingga menjadi RM30 seekor pada musim perayaan baru-baru ini. Pembeli atau pengguna tiada pilihan!

Sepanjang perayaan Aidilfitri lepas, harga ayam di negeri Kelantan  dilaporkan dijual secara terus kepada pengguna tanpa ditimbang berbanding harga kawalan RM7.90 sekilogram.

Kenapa mereka berani berbuat demikian?

Notis terhadap peniaga boleh dikeluarkan. Saman juga boleh dikeluarkan.

Tetapi bagaimana dengan kawalan dan penguatkuasaan? Musim perayaan dengan sendirinya akan menyebabkan kenaikan permintaan.

Perbuatan itu dikesan dalam pemeriksaan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan di pasar berkenaan baru-baru ini.

Pengarahnya Datuk Abdul  Ghani Harun berkata pada 9 Julai lalu hasil pemeriksaan itu mendapati ada peniaga meletakkan tanda harga RM8 bagi sekilogram ayam namun menjualnya dengan harga RM12 sekilogram.

"KPDNKK Kelantan mengesan kebanyakan peniaga menaikkan harga ayam sejak Khamis lepas dan kita menerima 16 aduan dari seluruh negeri berhubung kes berkenaan," katanya kepada pemberita selepas operasi tersebut.

Justeru, katanya, pihaknya mengeluarkan 17 notis tunjuk sebab kepada peniaga ayam di pasar tersebut mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Beliau berkata peniaga yang diberikan notis diminta memberi  jawapan dalam tempoh dua minggu berhubung kesalahan yang dilakukan bagi mengelak mereka dikenakan tindakan mahkamah.

Kerana permintaan tinggi, jika harga dinaikkan, pengguna tetapp membelinya.

Namun di mana keberkesanan penguatkusaan selain jaminan bekalan mencukupi?

Benarkah apa yang disebut oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan bahawa bekalan mencukupi untuk musim perayaan?

KPDNKK menyenaraikan 21 jenis barangan termasuk ayam dengan harga RM7.90 sekilogram di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan sempena Aidilfitri berkuat kuasa dari 16 Jun hingga 6 Julai ini, namun harga tetap naik, kenapa?

Siasatan oleh KPDNKK sendiri  mendapati peniaga mendakwa terpaksa menaikkan harga ayam kerana dibeli dengan harga yang tinggi daripada pemborong.

Kesemua  cawangan KPDNKK termasuk di Pasir Mas, Gua Musang, Kuala Krai, Tanah Merah turut diarah supaya menjalankan pemeriksaan harga ayam.

Apakah pemborong menjadi ‘punca masalah’? Apa tindakan KPDNKK terhadap mereka.

Kemudian kelmarin (24 Julai 2016), Ab Ghani  berkata seramai 24 peniaga ayam di Kelantan akan dihadapkan di Mahkamah Sesyen di Kota Bharu pada 12 September depan.

Mereka diheret ke mahkamah  atas kesalahan mencatut iaitu mengenakan harga ayam yang melampau pada perayaan Aidilfitri ini. Kes berkenaan dikesan hasil pemeriksaan harian selama dua minggu bermula 9 Julai dan berakhir semalam.

"Peniaga yang terbabit kebanyakannya di Pasar Siti Khadijah selain beberapa pasar lain termasuk Pasar Chabang Tiga Pengkalan Chepa. Mereka bukan hanya mengenakan harga yang melampau tetapi juga bersikap biadap kepada pelanggan," katanya.


Ab Ghani berkata peniaga berkenaan akan didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang memperuntukan denda tidak melebihi RM100,000 dan bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM250,000, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Ab Ghani berkata harga ayam di negeri ini telah kembali normal dengan harga jualan sekitar RM8 sekilogram.

Beliau berkata terdapat 207 ladang ternakan ayam telah dikenal pasti, selain 80 premis pemprosesan ayam dan 756 peruncit yang beroperasi di negeri ini.

"Kita akan buat pemantauan berterusan bagi mengenal pasti senario semasa pasaran ayam di negeri ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ab Ghani berkata bermula 1 Jan hingga 23 Julai lepas, sejumlah 465 kes membabitkan pelbagai kesalahan dikesan dengan nilai kompaun berjumlah RM62,000.

Dalam isu ini, jangan menuding jari kepada penjual dan pemborong sahaja.

Pemantauan dan penguatkuasaan bagaimana?

KPDNKK yang mengatakan bekalan mencukupi dan menjadi barangan terkawal, kenapa boleh berlaku?

Apakah ada apa-apa ketirisan?

Umno Kelantan Beli Tanah 2.27 Hektar Bina 50 Rumah Kekal


Badan Perhubungan UMNO Kelantan membeli tanah seluas 2.27 hektar di Mukim Manjor, Kuala Krai bernilai RM420,550 bagi membina kira-kira 50 Rumah Kekal Baharu (RKB) untuk mangsa banjir di jajahan tersebut.

Pengerusinya,  Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata ia bagi menyelesaikan pembinaan rumah kepada mangsa banjir yang masih belum mendapat kediaman yang dijanjikan kerajaan Persekutuan selepas rumah mereka musnah dalam kejadian banjir besar pada 2014.

"Ini merupakan fasa akhir pembinaan rumah (yang dipertanggungjawabkan kepada kerajaan Persekutuan). Pembinaannya akan dilaksana Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan sebuah rumah dianggarkan bernilai RM65,000.

"Setakat ini, kerja-kerja tapak sedang giat dilaksanakan di kawasan itu manakala kerja pembinaan rumah dijangka dimulakan pada hujung Oktober," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Kelantan di Bangunan UMNO Kelantan di Kota Bharu,  Ahad malam.

Jun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyerahkan kunci rumah kekal kepada 31 keluarga mangsa banjir di Jajahan Kuala Krai.

Susulan banjir besar itu, kerajaan pusat memikul tanggungjawab membina 1,141 rumah untuk penduduk terjejas dengan lebih 800 daripadanya telah siap.

Saturday, July 23, 2016

Kami Seperti Tiada Wakil Rakyat – Peringatan Penduduk Kg Laut Kepada MB


Insiden pengambilan kawasan penempatan penduduk Kampung Laut, dalam Dewan Undangan Negeri Pasir Pekan untuk projek tapak warisan tanpa sebarang makluman dan perundingan wajar menjadikan mereka terasa seperti hilang tempat mengadu dan bergantung.

"Selama ini kami bekerja keras malah ada yang bersabung nyawa untuk menangkan wakil rakyat dan parti supaya jadi pembela kami dikala kami dianiaya dan ditindas.

MB yang juga ADUN Pasir Pekan...semuanya dah selesai.
"Nasib kami sungguh sedih kerana ketika kami dipersiakan dan hak kami cuba diceroboh tiada mereka yang kami harapkan itu menjaga nasib kami," kata wakil penduduk Haji Mohd Nordin Adam kepada MalaysiaDateline.

Kekecohan tercetus Isnin lalu apabila Menteri Besar (Datuk Ahmad Yakob) dan pegawai-pegawai negeri bersetuju hadir ke majlis dialog berkaitan pengambilan tanah yang didiami penduduk di Kampung Laut untuk didirikan tapak warisan melalui satu projek di bawah pembangunan wilayah Timur (ECER).

Menurut Haji Nordin, apa yang dikesalkan ialah pemberitahuan tentang pengambilan tanah-tanah berkenaan langsung tidak dibuat di peringkat awal.

"Semua termasuk MB datang memberitahu segalanya telah selesai dan rancangan ini telah digazetkan.

"Proses berikutnya hanyalah tarikh pengambilan dan perundingan tentang jumlah pampasan," katanya.

Beliau selaku Ketua PAS Cawangan Kampung Laut mengingatkan bahawa semua orang dalam keadaan tekejut dan amat-amat sedih dengan situasi ini.

"Hasil usaha kami kampung ini terus kekal paling kuat PAS di DUN Pasir Pekan di mana dalam pilihan raya lalu Pas mendapat lebih 80 peratus sokongan di sini.

Tiba-tiba kami berhadapan dengan situasi seperti tiada wakil rakyat yang membela kami," katanya.

Sebagai penyokong PAS kata Haji Nordin beliau selalu bergerak ke seluruh negara apabila ada rakyat dizalimi dan ditindas oleh pemerintah zalim Barisan Nasional.

"Saya pernah hadir demo di Johor, Pahang dan banyak kali di ibu negara untuk bersama rakyat tertindas apabila pemerintah sewenang-wenang merampas hak rakyat.

"Malang sungguh ia kini berlaku kepada kita sendiri dan mereka yang kita harap jadi pembela rupanya juga besedia dengan tindakan menzalimi rakyat," katanya.

Beliau agak hairan kerana berdekatan tapak kawasan penempatan penduduk terdapa kawasan tanah milik keretapi (KTM) yang lebih luas daripada kawasan kediaman terbabit.

"Kami berharap pihak terlibat berunding dengan pihak KTM bagi mengelakkan berlaku reaksi di luar jangka daripada penduduk," katanya.


Haji Nordin adalah aktivis PAS yang pernah memegang jawatan Timbalan (waktu itu disebut naib) Ketua Pas Kawasan Tumpat dan sehingga kini merupakan Pengerusi jawatankuasa pengelola Maahad An Nur yang diasaskan almarhum Ustaz Yahya Osman.

Tuesday, July 19, 2016

Sisi Gelap Industri Muzik Cemarkan ‘Negeri Serambi Mekah’


"Selain mengubah dikir barat menjadi lebih ‘panas’, mereka turut mempopularkan lagu daerah berentak dangdut, disko dan pop. Gadis dieksploitasi oleh penerbit sebagai pelaris dengan imej seksi..."

Apakah yang boleh dilakukan oleh pihak berkuasa Kerajaan Negeri  dan kerajaan Pusat untuk membanteras kehadiran lagu-lagu berunsur lucah atau mempunyai dua maksud yang tidak baik?

Kerajaan negeri nampaknya hanya berminat dengan pakaian wanita tetapi tanpa sedari budaya lucah sudah diserapkan kepada golongan belia, khususnya remaja sejak lebih sedekad yang lalu.

Apa tindakan kerajaan negeri khususnya Exco yang banyak bercakap mengenai aurat?

Apakah aurat hanya dari segi pakaian terdedah sahaja?

Bagaimana dengan aurat melalui suara dan pendengaran? Lebih dahsyat ialah wujudnya  budaya lucah dan pengeksploitan terhadap wanita yang disalurkan melalui lagu dan video yang berleluasa di jual di Kelantan dan Pantai Timur?

Ada kerajaan PAS Kelantan ambil kesah?

Ahmad Fadhli...tiada desakan
Begitu juga dengan Pemuda PAS Kelantan, dalam isu anggota Parlimen Taiping Nga Kor Ming yang dikatakan menghina umat Islam yang menyamakan dedak dengan duit raya, beliau lantang menuntut supaya memohon maaf terhadap umat Islam berhubung entri di laman sosial Facebooknya itu.

Namun, perkara mungkar yang berlaku di depan mata, ada di kedai menjual kaset dan video serta pasar-pasar malam di merata negeri berkenaan, Dewan Pemuda PAS tidak pun mendesak pihak berkuasa kerajaan negeri bertindak.

Apakah kemungkaran yang cepat mempengaruhi belia ini tidak penting untuk dibanteraskan berbanding ‘penghinaan Kor Ming’ itu?

Apakah Ketuanya,  Ahmad Fadhli Shaari tidak peka atau bimbang akan hilang sokongan kepada kerajaan negeri jika bertindak.

Tidak pernah kedengaran isu ini dibangkitkan seolah-olah maksiat dan kemungkaran itu ‘dibenarkan’ oleh kerajaan PAS Kelantan yang kononnya memperjuangkan Islam.

Memalukan juga apabila video ‘maksiat’ ini dijual beriringan dengan video ceramah agama dan ceramah politik oleh pemimpin PAS Kelantan. Kenapa boleh diperbuat sedemikian?

Hamzah Hassan mengutamakan mutu sewaktu membuat rakaman di studionya di Kota Bahru, Kelantan
Laporan Utusan Malaysia pada 13 Julai menyebut bahawa industri muzik Kelantan tidak terlepas daripada terpalit kontroversi dengan kehadiran lagu-lagu berunsur lucah atau mempunyai dua maksud yang tidak baik.

Bagaikan barah, penghasilan lagu-lagu tersebut dikatakan bertambah saban tahun.

Malah di YouTube, berlaku lambakan klip-klip video memaparkan wanita seksi dengan aksi mengghairahkan.

Klip itu bebas ditonton sesiapa sahaja.

Situasi tersebut sedikit sebanyak mencemarkan nama baik Kelantan yang mendapat jolokan Negeri Serambi Mekah.

Bagi aktivis seni dikir barat seperti Yie Arjunasukma, keha­diran lagu dan klip video berunsur lucah perlu dibanteras sebelum ke­adaan menjadi lebih parah termasuk merosakkan minda masyarakat.

Yie Arjunasukma atau nama sebenarnya, Mohd. Sulhie Yusuf berkata, lagu-lagu ‘kotor’ itu pernah popular sekitar 1980-an dan selalunya didendangkan pada waktu tengah malam oleh para pendikir.

“Sebaik sahaja memasuki pukul 12 tengah malam, tukang karut mengubah corak persembahan mereka menjadi lucah dan menggunakan wanita sebagai bahan gurauan.

“Amalan itu berkurangan lewat 90-an apabila pendikir lepasan universiti membuat perubahan dengan membawakan lagu-lagu berunsur nasihat dan kritikan sosial,” katanya.

Antara pelopor kepada lagu berunsur nasihat, kritikan sosial serta kemanusiaan ialah Cikgu Sulizi, Halim Yazid dan Cikgu Naim.

Usaha murni itu mendapat respons positif sehingga mereka diangkat sebagai ikon kepada golongan belia.

Sekitar tahun 2002, industri muzik Kelantan mula diserikan dengan kehadiran ramai penyanyi wanita.

Selain mengubah dikir barat menjadi lebih ‘panas’, mereka turut mempopularkan lagu daerah berentak dangdut, disko dan pop.

Golongan itu yang terdiri daripada gadis dikatakan dieksploitasi oleh penerbit sebagai pelaris.

Imej seksi mereka dijadikan penghias muka depan album selain dijemput sebagai penyanyi duet atau penari latar dalam klip video.

“Sebagai insan yang memperjuangkan seni warisan Kelantan, saya terkilan kerana fenomena ini menyebabkan masyarakat meng­anggap seni muzik Kelantan itu penuh dengan unsur kotor dan lucah.

“Saya mohon kepada rakan-rakan seperjuangan, jangan hanya kerana ingin mengaut untung semata-mata, kita sanggup 'melacurkan seni' kebanggaan kita ini,” kata Yie Arjunasukma.

Sunday, July 17, 2016

Annuar – Parti Baru Dr Mahathir Jadikan Kerja UMNO Lebih Mudah


Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamed merancang penubuhan parti baharu bagi menguatkan blok pembangkang memudahkan kerja UMNO untuk mengenal pasti ‘musuh politik’ yang sebenar.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, perancangan Mahathir itu sangat dialu-alukan kerana sebagai sebuah negara demokrasi berparlimen sudah termaktub dalam perlembagaan kebebasan untuk berpolitik asalkan penubuhan parti maenepati peraturan.

Menurutnya, rancangan Tun M menubuhkan parti dianggap lebih 'gentleman' berbanding berpolitik tanpa parti kerana ia lebih berperaturan dan semua pihak perlu menghormati.

“Terima kasih Tun M sebab dia isytihar secara berperaturan, berparti secara rasmi dan juga isytihar untuk tawan BN secara terbuka, itu lebih memudahkan kita.

“Malah ia satu perkembangan yang baik bagi amalan sistem berdemokrasi selain memudahkan untuk BN buat persiapan awal, kerana kita dah tahu nak lawan siapa pada pilihan raya nanti,” katanya kepada media di Kota Bharu semalam.

Tambahnya, menubuhkan parti baharu lebih baik daripada terus berada dalam UMNO tetapi bersikap ‘tikam belakang’ dan berpura-pura ‘sayang’ kerana ia hanya memberi kesan buruk kepada perjuangan anak bangsa.

“Ini juga satu kejayaan buat Tun M kerana berjaya guna orang yang selama ini beliau telah tawan berkali-kali, berpuluh tahun PKR, DAP kalah kepada beliau dan kini kalah lagi sebab boleh duduk bawah Tun M dalam blok pembangkang.

“Dalam UMNO hidup tetap diteruskan seperti biasa, mereka (Tun M, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Anwar Ibrahim) adalah ‘musuh politik’ yang kita sudah kenal tiada perkara baharu. Kita kena mengalu-alukan mereka dan fikir itu lebih mudah sebab boleh kenal pasti siapa yang jadi pencabar UMNO,” katanya.

Bagaimanapun katanya, tindakan Mahathir menubuhkan parti baharu tetap memberi kesan namun ia bergantung kepada UMNO untuk mendepani cabaran tersebut dengan lebih berhemah.

“Kita kena sedia ‘antibodi’, kalau di luar sana ada ancaman ‘kuman selesema’ kuatkan antibodi, sekurang-kurangnya kita tahu nak berlawan dengan siapa.

Ini normal, sebab kita dah tahu kelemahan dan kekuatan ‘musuh-musuh politik terbabit,” katanya.

Wednesday, July 13, 2016

Baju Berlengan Panjang, Pekerja, Pemilik & Pengusaha Tidak Ada Masalah?


"KFC yang mempunyai 20 cawangan di Kelantan, termasuk 10 daripadanya di Kota Bharu menunjukkan contoh dengan mula memperkenalkan pakaian seragam baru itu sejak April lalu. Ia dibuat selepas perbincangan dengan kerajaan negeri."

Ada benar dan tidak benar apa yang diperkatakan oleh bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim mengenai langkah kerajaan Kelantan mewajibkan pekerja wanita Islam di restoran makanan segera dan pasar malam memakai baju berlengan panjang.

Bagi  Zaid, yang juga bekas Ahli Parlimen Barisan Nasional Kota Bharu, langkah itu  menunjukkan pentadbiran PAS di negeri itu dalam keadaan terdesak.

Ada persoalan ialah,  apakah majikan dan pengusaha sudah bersedia dengan syarat itu kerana ia membabitkan kos dan menukar budaya berpakaian.


Bagaimana pula dengan syarat terhadap restoran-restoran milik orang Cina dan ‘restoran tom yam’ yang begitu banyak di Kelantan?

Menurut Zaid, kerajaan PAS Kelantan hanya tahu jaga tepikain wanita dan menyelar pembuat dasar di bawah pentadbiran PAS Kelantan yang tidak tahu masalah dihadapi pekerja wanita.

Peraturan itu tidak adil memandangkan ada pekerja wanita yang terpaksa berlengan pendek.

“Mereka (kerajaan negeri) hanya tahu duduk atas kerusi dan keluarkan peraturan. Apa yang mereka tahu? Mereka lebih tertumpu kepada usaha memastikan wanita tutup semuanya.

“Dulu, isu ini tidak menjadi masalah,” katanya, mengulas langkah yang diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia Dan Sukan Kelantan, Datuk Abdul Fattah Mahmood.

Abdul Fatah berkata, kerajaan negeri akan menguatkuasakan peraturan pemakaian sopan dan menutup aurat di restoran-restoran makanan segera di negeri ini berkuatkuasa Januari 2017 nanti.


Menurutnya,  perbincangan dengan pemilik pasar raya dan pemilik perniagaan di negeri ini sudah dilakukan.

Bagi pekerja bukan Muslim, ada syarat khas selagi mana ia menjaga kesopanan dan kesantunan, tidak terlalu seksi sehingga menimbulkan ketidakselesaan kepada pelanggan. Tukang masak misalnya, mempunyai pakaian yang sesuai untuk kerja-kerja di dapur.

Beliau berkata, peniaga di pasar-pasar malam juga akan dibudayakan dengan satu pakaian yang walaupun bukan uniform, tetapi menarik sebagai satu tarikan baharu kepada pelanggan.

“Penguatkuasaan ini akan melibatkan KFC, Mc Donalds, Marry Brown dan restoran makanan segera lain di negeri ini. Di bawah PBT, kita sudah adakan perbincangan agar peniaga mengenakan uniform yang sesuai dengan negeri Kelantan.

“Setakat ini, restoran makanan segera KFC sudah melakukan perubahan itu tahun ini, walaupun belum menyeluruh,” katanya kepada media selepas majlis hari raya bersama mahasiswa Kelantan di JKR 10 di Kota Bharu, 10 Julai lalu.
  
KFC sudah mula mewajibkan pekerja wanitanya memakai baju seragam berlengan panjang di cawangan Kelantan sebagai mematuhi peraturan menutup aurat yang bakal dilaksanakan kerajaan negeri itu tahun depan.

New Straits Times melaporkan KFC yang mempunyai 20 cawangan di Kelantan, termasuk 10 daripadanya di Kota Bharu menunjukkan contoh dengan mula memperkenalkan pakaian seragam baru itu sejak April lalu.


“Syarikat kami tiada masalah mematuhi peraturan kerajaan negeri Kelantan itu dan kami akan memastikan pekerja wanita memakai baju seragam itu sepanjang masa,” kata seorang jurucakap KFC kepada akhbar terbabit.

Abdul Fattah berkata, yang ditakrifkan dengan pemakaian sopan ialah uniform dikenakan menutup aurat patuh syariah menutup bahagian lengan dan labuh di bawah paras punggung.

 “Kita dalam proses mendapatkan penaja untuk menaja apron kepada peniaga-peniaga pasar malam di negeri ini. Ada yang bersetuju kerana secara tidak langsung ia turut mempromosikan mereka,” katanya.

Menurutnya, kerajaan negeri juga akan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Kelantan dengan menyertai kunjung Inspektor Kesihatan (IK) ke gerai-gerai makan untuk memastikan makanan yang dijual bersih.

Zaid pula berkata rakyat Kelantan harus membantah peraturan yang hanya menyusahkan mereka.

Menurutnya, PAS merupakan parti terdesak tanpa apa-apa perancangan. Suka membuat peraturan. Mereka sanggup melakukan apa-apa supaya kekal relevan.

Apapun, Zaid menyerahkan  kepada rakyat Kelantan sekiranya mereka masih memilih PAS.

Friday, July 8, 2016

Ancaman IS: Pelaburan, Pelancongan Malaysia Tidak Terjejas - Mustapa


Sektor pelaburan dan pelancongan Malaysia tidak terjejas walaupun wujud ancaman kumpulan militan Negara Islam (IS), kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mustapa berkata keyakinan pelabur dan pelancong untuk terus datang ke Malaysia masih tinggi kerana negara ini terkenal dengan kestabilan politik dan ekonomi yang dijana menerusi perpaduan serta toleransi penduduknya yang berbilang kaum dan agama.

"Setakat ini, Malaysia tak terjejas (dengan ancaman militan IS). Kita masih terkenal dengan negara yang aman makmur dan kita tak mahu imej ini tercalar dengan tindak tanduk sebuah kumpulan ekstremis yang nak menghancurkan negara kita.

"Kita tak rela negara kita dihancurkan oleh kumpulan ini...setakat ini sektor pelaburan dan pelancongan tak terjejas dan kita doakan supaya keadaan terus terkawal," katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya di Darul Falah, Batu 10 di Tanah Merah, hari ini.


Isnin lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan serangan bom tangan di sebuah pusat hiburan di Puchong, Selangor didalangi kumpulan militan IS atas arahan anggota kumpulan pengganas rakyat Malaysia di Syria, Muhamad Wanndy Mohamad Jedi.

Siasatan awal polis mendapati dua lelaki tempatan yang ditahan pada 1 Julai lalu berhubung insiden itu memperoleh bom tangan itu dari negara jiran.

Mustapa berkata isu keselamatan tidak boleh dipandang ringan oleh masyarakat kerana ia bakal memberi kesan negatif terhadap pembangunan negara pada masa depan jika tidak dipertahankan.

"Kalau kita porak peranda, kalau negara kita huru hara, kalau kita bertelagah sesama sendiri, kalau kita berperang sesama sendiri maka ini akan melemahkan perpaduan dan ekonomi kita.

"Kita tak mahu negara kita berada dalam satu keadaan yang sukar untuk kita pulihkan. Kita kena jaga sebelum ia berlaku," katanya.

Thursday, July 7, 2016

Rakyat Kelantan Makan Jeruk Buah Banyak Bahan Kimia


Jeruk buah-buahan khususnya dari negara jiran dilihat masih banyak berada di pasaran serta dijual secara berleluasa di negeri ini walaupun dikesan mengandungi ‘Sakarin’ iaitu serbuk hablur putih yang merupakan pemanis tanpa zat.

Meskipun langkah sekatan terhadap jeruk buah-buahan itu sudah dijalankan Jabatan Kesihatan Kelantan, namun jeruk yang mengandungi pemanis 300 kali ganda berbanding gula biasa itu, masih dijual secara berleluasa.

Tinjauan di Pasar Siti Khadijah di sini mendapati ada pelbagai jeruk seperti mangga, cermai, betik, bawang putih dan sengkuang dijual antara RM5 dan RM7 sebotol.

Selain itu, jeruk ini juga banyak dijual di pasar malam atau pasar harian di seluruh Kelantan kerana permintaan yang agak tinggi.

Ada yang mendakwa buah-buahan jeruk itu enak kerana manis dan kelihatan segar serta tahan lama.

Peniaga Azizan Mohamad, 39, berkata ramai pengguna yang tahu kebanyakan jeruk dari negara jiran mempunyai kandungan pemanis sintesis yang tinggi tetapi kerana keenakannya mereka tetap membeli dan memakannya.

Azizan yang lebih 20 tahun menjual jeruk, berkata apa yang beliau faham, kesan sampingan jeruk dengan bahan itu ialah kepada mereka yang ada diabetis dan sebagainya.

Sementara itu, seorang pengguna, Robiah Musa, 48, berkata dia gemarkan jeruk terutama mangga dan betik kerana rasanya yang masam dan manis.

Katanya memang jeruk buatan negara jiran enak dan tidak sama dengan yang diproses di negeri ini.

“Orang ramai sudah pasti mahukan sesuatu yang lebih dalam makanan termasuklah terlebih manis dan perasa walaupun benda itu akan mendatangkan kesan jangka panjang kepada mereka,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Maher berkata pihaknya akan membuat pemantauan lebih kerap dan ketat di pintu masuk di sempadan bagi menghalang kemasukan jeruk buah-buahan ini.

Beliau berkata pihaknya terus berusaha meningkatkan aktiviti pemantauan keselamatan terhadap produk makanan di mana-mana sahaja bagi memastikan pengguna mendapat bekalan makanan yang lebih selamat.

“Kerjasama agensi lain di sempadan akan diperoleh khususnya penguat kuasa yang diberi tanggungjawab mencegah kegiatan penyeludupan,” katanya.