Saturday, January 7, 2017

Kenapa PAS Kuat Berprasangka, Di Mana Amalan Politik Matang?

 

Namanya parti Islam tetapi Islam PAS boleh berubah-ubah mengikut keadaan dan kehendak kepimpinanan mereka.

Ada waktu ia halal, ada waktu harus dan ada waktu haram.

Kerana itu tidak pelik sama sekali jika PAS  mebelasah habis-habisan pelantikan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail sebagai Penasihat Strategik Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Pada musim ‘haram berkawan dengan DAP sekarang’ sesiapa juga yang mendekati atau dilantik akan dicop sebagai ‘pemakan dedak DAP’. Dan memakan dedak orang kafir itu semestinya haram!!!

Apakah kerana PAS menolak sebarang kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) disebabkan keanggotaan DAP dan AMANAH, iaitu parti yang ditubuhkan bekas pemimpin PAS pada 2015, parti lain seperti PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) pun tidak boleh mendekati DAP?

Kenapa menyekat kebebasan parti lain?


Sedangkan hakikat yang diketahui oleh PAS sendiri, PKR belum memutuskan hubungan dengan DAP, walaupun sebelum ini beberapa siri ceramah menonjolkan pemimpin PAS, PKR dan PPBM secara sepentas yang diadakan baru-baru ini.

Lidah rasmi PAS Harakahdaily menyifatkan pelantikan Saifuddin sebagai penasihat strategik kepada ketua menteri Pulau Pinang, sebagai “dedak” oleh DAP bagi mengikat PKR.

“Dengan kelebihan sebagai kerajaan, DAP menggunakan kesempatan itu memberikan jawatan bagi menggerakkan misinya. Itulah ‘dedak’ yang ditabur supaya individu atau pihak dilantik akan terikat,” menurut komen yang diterbitkan akhbar berkenaan kelmarin.

Lebih jauh Harakahdaily menganggap keputusan melantik Saifuddin sebagai sebahagian usaha DAP menyekat sebarang kerjasama PKR dengan PAS.

Menurutnya, pelantikan “orang penting PKR” dalam pentadbiran DAP itu berlaku ketika PKR “masih menunjukkan sayang dan rindu kepada PAS di mana tidak pernah lafaz talak berlaku”.

“Kebimbangan itulah mendesak DAP membuat tindakan ‘strategik’ mengikat Saifuddin yang baharu sahaja sebelum ini dilantik sebagai Setiausaha Agung PKR.


“Secara halusnya, Saifuddin akan menjadi sekurang-kurangnya sebagai ‘penimbang tara’ terhadap kepentingan DAP di dalam keputusan PKR dan mengukuh dalam koalisi PH-Bersatu,” menurut penulisan itu.

Ia merujuk perjanjian kerjasama antara PH dan PPBM, pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pelik dengan PAS yang kini melihat segala-galanya negatif mengenai DAP dan cuba pula menyekat persahabatan orang lain dengan DAP.

Inikah perangai pemimpin Islam yang kononnya cuba menerap budaya politik matang dan sejahtera?

Jika begini sikap PAS, mereka memang tidak matang. Malah mereka juga tidak menyumbang kepada usaha  membentuk masyarakat sejahtera, sebaliknya mewujudkan suasana masyarakat yang sentiasa mempunyai syak-wasangka kepada kaum dan agama lain.

Perbuatan ini berbahaya kepada masyarakat dan negara berbilang kaum di Malaysia dan pendirian serta perbuatan seperti ini wajar ditolak oleh rakyat jelata.

Benar kata Saifuddin bahawa pelantikannya itu tidak seharusnya menjadi pertikaian seperti yang dibangkitkan Harakahdaily.

Ini kerana Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah melantik beliau bagi mengetuai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sebagai Ketua Tabung Amanah Tok Kenali sebelum ini.

Itu bukan perbuatan memberi dedak dan sebagai usaha berbaik-baik dengan PKR?


Ketika itu tiada pula sebarang pertikaian daripada ahli PAS  walaupun beliau daripada parti lain. atau apakah kerana ia keputusan PAS dan Nik Aziz?

Apakah yang PAS lakukan halal dan yang dilakukan DAP haram?

“Allahyarham Nik Aziz sangat maklum saya pemimpin PKR, tetapi melantik saya sebagai ketua GLC tersebut. Beliau melantik saya kerana berasakan saya ada pengalaman, boleh membantu GLC Kelantan dan memberi kepercayaan kepada saya.

Malah, Nik Aziz turut memberi kepercayaan kepadanya untuk menjalankan program kebajikan untuk rakyat Kelantan.

“Jadi apa yang Guan Eng buat dengan melantik saya (Penasihat Strategik Ketua Menteri) itu adalah perkara yang telah pun PAS buat ketika melantik saya menyandang jawatan itu selama tiga tahun dari 2004 hingga 2007.

“Adakah ketika Guan Eng melantik saya, itu dikatakan ‘dedak’ dan waktu PAS pula bukan dedak. Itu tidak betul,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Pelantikan Saifuddin itu menerima sokongan Biro Politik PKR Pusat dan beliau memulakan tugasnya dari pejabar pentadbiran negeri di Komtar, di tingkat sama pejabat Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Selain menjadi penasihat, Saifuddin juga menganggotai jawatankuasa “Pemerkasaan Melayu” yang ditubuhkan untuk mendekati dan menarik sokongan masyarakat Melayu tempatan kepada PH.

Malah, Timbalan Ketua Menteri I Datuk Rashid Hasnon turut mengakui bahawa usaha ini bertujuan mengukuhkan sokongan orang Melayu terhadap kerajaan negeri.

"Ini strategi dan bukan dedak," katanya. Malah, Saifuddin akan bekerja bersama pasukan yang digelar "Memperkasakan Rakyat di Pulau Pinang", yang termasuk dirinya.

"Tujuan pasukan ini adalah untuk merampas kembali kerusi Melayu yang pembangkang gagal menang pada dua pilihan raya lalu dan memperkukuhkan kerusi yang kita menang tipis," katanya kepada pemberita.

Rashid berkata pasukan itu akan memberi tumpuan kepada 10 kerusi yang dimenangi oleh Umno di Pulau Pinang pada pilihan raya umum lalu.

Berikutan itu Saifuddin menganggap ulasan Harakahdaily itu perlu melihat kebaikan usaha itu bukannya melalui kerangka PAS yang akan mendatangkan suatu mudarat yang besar.


“Saya anggap ianya sebagai analisis yang cetek,” tegas Saifuddin.