Wednesday, September 1, 2010

'PERANG SAUDARA' RANTAU PANJANG SUDAH BERAKHIR

‘Air yang dicincang tak akan putus’, itulah kata-kata yang sesuai mengenai kemelut politik yang berlaku di Bahagian UMNO Rantau Panjang.

Ketua Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed sebelum ini mengatakan keutamaannya ialah mengatasi kemelut ini.

Akhirnya 'perang saudara' selama dua tahun UMNO bahagian Rantau Panjang berakhir semalam apabila pihak kepimpinan dan bekas pemimpin bahagian itu bersetuju untuk berdamai demi perpaduan parti.

Pengumuman perdamaian itu dibuat oleh ketiga-tiga pihak iaitu Ketua UMNO bahagian Rantau Panjang, Datuk Abdullah Mat Yassin dan bekas ketua bahagian, Datuk Mohamad Zain Ismail serta bekas Bendahari UMNO bahagian itu, Ghazali Ismail.
Majlis itu berlangsung dalam satu pertemuan dengan anggota jawatankuasa bahagian, penyokong mereka dan disaksikan Bendahari Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Hanapi Mamat di Pusat Kegiatan Kemas Rantau Panjang, Lubok Jong .

Pada 4 Ogos lalu, Mustapa menyatakan keyakinannya Umno Bahagian itu dapat disatukan kembali melalui mesyuarat dan pertemuan semua pihak yang bertelagah.

Mustapa berkata antara perkara yang akan diberi tumpuan dalam mesyuarat ialah mengukuhkan perpaduan anggota dan merangka program-program bagi mengembalikan kekuatannya dalam usaha memenangi pilihan raya umum akan datang.

Perpecahan dalam kalangan pemimpin UMNO bahagian Rantau Panjang yang berlarutan sejak sekian lama telah menyebabkan dua kumpulan pimpinan mengadakan mesyuarat perwakilan bahagian secara berasingan pada Jun lepas.

Satu mesyuarat dijalankan oleh ketua bahagian Abdullah Mat Yassin manakala satu lagi oleh bekas ketua bahagian itu Datuk Mohd Zain Ismail pada hari yang sama.
Berikutan itu Majlis Tertinggi UMNO membuat keputusan meminta Badan Perhubungan UMNO Kelantan mengambil alih pentadbiran bahagian itu.

Mustapa berkata beliau telahpun mengadakan pertemuan dengan biro politik badan perhubungan, dan juga mengadakan perjumpaan dengan ketua bahagian Rantau Panjang.

Menurut Mustapa, mesyuarat perwakilan UMNO bahagian Rantau Panjang yang dijalankan oleh Abdullah adalah sah dan tidak menjejaskan status perwakilan yang dipilih ke Perhimpunan Agung UMNO.

Apa yang berlaku pada masa itu, katanya, ialah satu lagi kumpulan anggota bahagian itu yang tidak mempunyai locus standi telah mengadakan mesyuarat berasingan, "barangkali untuk menunjukkan kekuatan".

"Mesyuarat itu tidak diiktiraf oleh ibu pejabat UMNO. Yang diiktiraf ibu pejabat cuma satu iaitu jawatankuasa yang dipilih pada pemilihan parti 2008 yang lalu," katanya.

Dalam ucapannya semalam, Mohamad Zain berkata, kemelut yang berlarutan sekian lama itu berjaya diselesaikan dengan beberapa perkara yang dibincangkan mendapat tolak ansur daripada kedua-dua pihak.

Perpecahan berlaku di bahagian itu sejak 2008 menyebabkan wujud dua puak iaitu pimpinan Abdullah dan Mohamad Zain.

Berikutan itu, Majlis Tertinggi UMNO memutuskan pada 22 Julai lepas agar Pengerusi Badan Mustapa menyelesaikan masalah itu.

PAKATAN PEMBANGKANG TIADA NIAT LAKSANA HUDUD

Pakatan pembangkang tidak pernah merancang untuk melaksanakan undang-undang Islam termasuk hudud jika ditakdirkan berjaya memerintah negara ini.

Ini kerana parti-parti dalam pakatan itu, termasuk PAS terikat kepada perjanjian bersama yang akan terus mempertahankan dan mengamalkan Perlembagaan sekular sedia ada.

Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin (gambar bawah) yang mendedahkan perkara itu menjelaskan, dasar itu dipersetujui dan ditandatangani oleh semua pemimpin pembangkang termasuk PAS.

"Itulah hakikatnya! Itulah faktanya! Bahawa perjuangan PAS untuk menubuhkan negara Islam dan melaksanakan undang-undang Islam tidak termasuk dalam dasar dan persetujuan bersama pakatan pembangkang.

"Itu hanya mimpi PAS, kata pemimpin pembangkang (yang lain)! Mimpi yang PAS tidak akan dapat capai selagi bersama pakatan pembangkang.

"Saya percaya ramai ahli akar umbi PAS tidak tahu yang undang-undang Islam tidak akan dilaksanakan, negara Islam tidak akan ditubuhkan serta Perlembagaan sekular sedia ada akan terus diamalkan jika pembangkang memerintah," katanya.

(Untuk lebih jelas baca entri bertajuk Mufaraqahlah (berpisahlah) dalam blognya).

Baru-baru ini, Penyelaras Pakatan Pembangkang, Datuk Zaid Ibrahim menyatakan bahawa PAS tidak akan dapat melaksanakan hukum hudud berdasarkan realiti politik hari ini dan perjanjian antara parti pakatan pembangkang yang berpegang teguh pada Perlembagaan negara.

Jelas beliau, untuk melaksanakan hukum hudud, PAS perlu mendapatkan kerusi paling banyak di Parlimen dan ia juga perlu mendapat sokongan daripada ahli Parlimen yang lain.

Kenyataan Zaid itu dikeluarkan ekoran pertelingkahan antara Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Pengerusi DAP, Karpal Singh berhubung pelaksanaan hukum hudud di negara ini sekiranya pakatan pembangkang berjaya memerintah negara ini.

Sementara itu, Zulkifli yakin dan percaya kebanyakan ahli-ahli akar umbi PAS memang ikhlas bersama dengan parti itu kerana percaya pada perjuangannya untuk menubuhkan sebuah negara Islam.

Dalam pada itu, Zulkifli memuji tindakan Nik Abdul Aziz baru-baru ini yang mendesak supaya pakatan pembangkang menubuhkan negara Islam dan melaksanakan undang-undang syariah apabila memerintah negara kelak.

Tetapi malangnya, kenyataan Menteri Besar Kelantan itu ditentang dan disangkal oleh pimpinan pembangkang termasuk daripada kalangan PAS sendiri.

"Klimaksnya apabila satu Kenyataan Bersama dikeluarkan minggu lePAS memperkukuhkan Perjanjian Bersama Dasar Pakatan Rakyat menolak penubuhan negara Islam dan pelaksanaan undang-undang jenayah Islam," katanya.

Sehubungan itu, Zulkifli menyeru agar ahli-ahli PAS kembali kepada perjuangan asal iaitu menubuhkan negara Islam dan seterusnya menolak kerjasama dengan parti-parti yang tidak sehaluan seperti DAP dan PKR.

KENDERAAN BERAT DILARANG GUNA JAMBATAN SULTAN YAHYA PETRA 1-15 SEPT

Semua kenderaan berat tidak dibenarkan untuk menggunakan Jambatan Sultan Yahya Petra mulai hari ini hingga 15 September ini.

Penolong Pengarah Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), Azman Mohd. Daham berkata, larangan itu bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas keluar masuk ke pusat bandar pada musim perayaan Hari Raya Aidilfitri ini.

Beliau berkata, kenderaan berat yang selalunya dipandu perlahan, dibimbangi akan menambah kesesakan trafik di sekitar laluan keluar masuk menghala ke pusat bandar.

"Sehubungan itu, pemandu kenderaan berat dinasihat menggunakan Jambatan Tendong dan Jambatan Pasir Mas-Salor sebagai laluan alternatif," katanya kepada Utusan Malaysia di Kota Bharu semalam.

Azman berkata, keputusan itu telah mendapat persetujuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri dalam mesyuarat yang diadakan sebelum ini.

"Tiada cara yang dapat mengurangkan kesesakan itu kecuali tidak membenarkan kenderaan berat menggunakan laluan tersebut," katanya.

Bagaimanapun, katanya, lori-lori kecil dan semua jenis bas masih dibenarkan untuk menggunakan jambatan tersebut.

"Larangan adalah untuk sepanjang masa dalam tempoh yang ditetapkan," katanya.

Beliau turut menasihatkan pemandu kenderaan berat yang terlibat dengan projek pembinaan di sepanjang Sungai Kelantan berhampiran Jambatan Sultan Yahya Petra, merancang perjalanan mereka bagi mengelak sebarang kesulitan.

Mengenai kesesakan lalu lintas yang dijangka berlaku di sekitar pusat bandar menjelang hari raya ini berikutan kepulangan anak-anak Kelantan di perantauan, Azman berkata, keadaan trafik akan dikawal oleh anggota polis.

"Seperti tahun sebelumnya, memang akan berlaku kesesakan, tetapi kita yakin pihak polis dapat mengawal keadaan," katanya.