Monday, July 26, 2010

PARAS AIR STESEN PAM UTAMA KADA PADA PARAS KRITIKAL

Paras air di kesemua stesen pam utama Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) berada di bawah paras kritikal 4.9 meter, kata Pengerusinya Tan Sri Annuar Musa.

Sambil menyifatkan ia pertama kali berlaku dalam sejarah KADA, Annuar berkata penurunan paras air yang mendadak itu telah berlanjutan selama lima bulan, bermula awal tahun ini.

Katanya ia melibatkan tiga rumah pam utama Kada iaitu Rumah Pam Kemubu, Rumah Pam Kasar dan Rumah Pam Lemal.

"Situasi ini tidak pernah berlaku sebelum ini dan ianya pertama kali dicatatkan statistik kita secara berpanjangan, pada kita ini tragedi," katanya kepada pemberita pada sidang media di Kota Bharu, semalam.

Menurutnya paras kedalaman minimum yang diperlukan ialah sekurang-kurangnya 5 meter bagi membolehkan pam penjana air berfungsi mengalirkan bekalan air ke 31,000 hektar sawah di kawasan operasi Kada.

Annuar berkata situasi itu amat dibimbangi kerana ia memberi kesan kepada 53,000 keluarga petani di kawasan rancangan pengairan Kada hilang punca pendapatan dan turut melibatkan pengguna Air Kelantan Sdn Bhd.

Ditanya punca fenomena itu berlaku beliau berkata secara mata kasar ianya berkemungkinan disebabkan pembalakan dan pembukaan tanah secara berleluasa di negeri ini.

Beliau bagaimanapun berkata ianya merupakan satu teori dan perlu dibuktikan melalui penyiasatan pihak bertanggungjawab.

"Soal sungai adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri justeru kita menyeru kerajaan negeri mewujudkan satu badan atau pasukan untuk membuat kajian berkenaan perkara ini atau pihak berkaitan seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan untuk menyiasat bagaimana dan kenapa fenomena ini berlaku," katanya.

Menurutnya sehingga kini Kada mengambil dua tindakan segera mengatasi masalah itu dengan membina empangan mini sementara dan memasang pam sokongan membabitkan kos RM28 juta.

Bagaimanapun, katanya kedua-dua tindakan itu merupakan langkah segera yang hanya bersifat sementara dan masih memerlukan tindakan susulan untuk jangka panjang bagi menyelamatkan industri padi Kada yang kini dikenali sebagai jelapang padi kedua negara selepas Mada di Kedah.

JANGAN BINCANG ISU ISTANA DALAM AKHBAR

Kekanda Sultan Kelantan, Datuk Tengku Rozan Sultan Yahya Petra semalam meminta semua pihak terutama keluarga diraja itu agar tidak lagi mengeluarkan kenyataan berhubung isu Istana Kelantan sehingga dibincangkan di dalam media.

Dalam satu kenyataan di Kota Bharu, semalam, Tengku Rozan yang juga Ahli Majlis Perajaan Negeri dan Ahli Majlis Penasihat Raja Kelantan meminta supaya anggota keluarga diraja itu tidak lagi menghebahkan sebarang isu melalui media.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk kenyataan kekandanya Datuk Tengku Merjan menerusi media semalam yang mendakwa Pengelola Istana Diraja Datuk Abdul Halim Hamad itu berbohong apabila menyatakan telah menghadap Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra beberapa kali di Kota Bharu dan ketika dirawat di Singapura baru-baru ini.

Tengku Rozan dalam kenyataannya juga berharap Tengku Merjan tidak mencampuri urusan pentadbiran Pejabat Sultan kerana setiap pegawai terpaksa mengikut peraturan dalam menjalankan tugas dengan Pengelola Istana sebagai Ketua Pejabat dan menjalankan titah.

"Urusan keluarga tidak patut dicampur adukkan dengan urusan pejabat. Hormatilah Tuanku Sultan yang sedang gering dan pentadbiran negeri perlu berjalan seperti biasa di bawah Yang Maha Mulia Pemangku Raja Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra.

"Kita berdoalah kepada Allah agar diberi petunjuk dan jalan yang lurus untuk kita selesaikan masalah keluarga ini," katanya.