Tuesday, March 20, 2012

Isu Air - MTRK Desak Exco Kelantan Letak Jawatan

Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) mendesak Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Md Anizam Abd Rahman agar meletak jawatan atas alasan telah gagal untuk menyelesaikan masalah bekalan air di negeri itu.

Presiden MTRK, Che Azmi Mohd Ali berkata, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat harus memecat Md Anizam ekoran kelemahan Exco itu dalam menguruskan peruntukan disediakan Kerajaan Pusat kepada kerajaan negeri berjumlah RM600 juta.

“Md Anizam perlu bertanggungjawab terhadap kegagalan itu.

"Kerajaan Pusat telah membantu kerajaan negeri sehingga kini kira-kira 40 peratus rakyat Kelantan masih belum menikmati kemudahan air bersih, malah masih menggunakan sumber air sungai, perigi dan telaga tiub,” katanya.

Beliau berkata, MTRK juga menggesa Suruhanjaya Pencengahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan wujud penyelewengan dalam Syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) membabitkan peruntukan bagi mengatasi masalah air di Kelantan.

“SPRM harus menyiasat secara menyeluruh ke atas agensi berkenaan (AKSB) ekoran banyak projek yang dirancang membabitkan perbelanjaan yang besar dan banyak daripadanya gagal,” katanya pada sidang media selepas membuat aduan di SPRM di Putrajaya.

Katanya, aduan itu dibuat berdasarkan laporan yang mendedahkan beberapa penyelewengan agensi berkenaan melalui dokumen bertajuk ‘Fakta Kelemahan Pengurusan AKSB Sekarang (2008 hingga 2011)’.

“Saya menerima laporan itu daripada seseorang yang tidak dikenali. Saya terkejut apabila membaca laporan itu kerana berkemungkinan berlaku penyelewengan dalam syarikat AKSB,” katanya.

Beliau turut menyatakan dalam laporan itu menunjukkan Projek Air Tidak Berhasil (NRW) yang membabitkan kos RM130 juta bermula Julai 2008 hingga Ogos 2011 gagal menterjemahkan sebarang impak positif.

Sinar Harian