Sunday, July 25, 2010

NGO MELAYU PERLU TAMPIL PENDIRIAN MENGENAI PERPADUAN MELAYU

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu perlu tampil melahirkan pendirian masing-masing sama ada menyokong atau sebaliknya cadangan supaya UMNO dan PAS duduk semeja bagi membincangkan mengenai perpaduan Melayu.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussein berkata ini termasuk golongan ulama, profesional, persatuan, pihak universiti dan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG).

Anggota Majlis Tertinggi Umno itu berkata mereka boleh melahirkan pendirian itu menerusi forum dan resolusi serta konvensyen untuk diserahkan kepada kedua-dua pemimpin parti berkenaan untuk dipertimbangkan.

Sehingga hari ini hanya segelintir sahaja yang berani tampil untuk membuat pendirian tetapi ia jauh daripada mencukupi, kata Dr Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan.

"Soal perpaduan Melayu dan masa depannya tidak boleh diserahkan kepada pemimpin kedua-dua parti politik itu (sahaja)," katanya ketika berucap pada majlis pertemuan dengan veteran UMNO di Bachok, hari ini.

PERBICARAAN KES CERAI ISTERI KEDUA SULTAN KELANTAN 8 OGOS

Perbicaraan pengesahan lafaz cerai talak tiga oleh Sultan Kelantan Sultan Ismail Petra ibni Almarhum Sultan Yahya Perta terhadap isteri kedua baginda, Cik Puan Elia Suhana Ahmad, disambung 8 Ogos ini.

Hakim Syarie Abdullah Man menetapkan tarikh itu selepas menolak permohonan plaintif Datin Nik Rorhana Wan Abdul Rahman untuk meminda penyataan tuntutan yang dibuat pada 30 Jun lepas.

Peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Elia Suhana, 31, yang dinamakan sebagai defendan berkata, keputusan itu dibuat dalam prosiding yang dijalankan secara tertutup di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini.

Beliau berkata, Nik Rorhana ingin menambah beberapa fakta mengenai lafaz cerai yang dibuat oleh Sultan Kelantan selepas 12 Februari lalu.

"Hakim menolaknya dan hanya ingin membicarakan (kes) lafaz cerai yang dibuat oleh Sultan pada 12 Feb lepas, dan lafaz pada tarikh tersebut telah difailkan oleh plaintif," katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar mahkamah.

Pada 3O Jun lepas, mahkamah menangguhkan perbicaraan kes tersebut selepas membenarkan permohonan Nik Rorhana meminda penyataan tuntutannya.

Setakat ini, dua saksi telah memberi keterangan pada perbicaraan kes tersebut, termasuk Nik Rorhana yang diwakili peguam Zainul Rijal Abu Bakar.

Sultan Kelantan didakwa telah melafazkan cerai berkenaan ketika baginda masih dirawat di Hospital Mount Elizabeth, Singapura pada 12 Februari lalu di hadapan beberapa saksi.

Elia Suhana telah mengemukakan bantahan awal terhadap permohonan pengesahan lafaz cerai terhadapnya yang difailkan oleh Nik Rorhana 9 Mac lalu, bagaimanapun, ia ditolak oleh mahkamah pada 23 Mei lepas.

KWAM - PELAJAR TERCICIR DARIPADA SENARAI BANTUAN BOLEH RAYU

Pelajar yang tidak tersenarai sebagai penerima bantuan menerusi tabung Kumpulan Wang Amanah Pendidikan (KWAPM) di Kelantan masih berpeluang menerima bantuan di bawah tabung wang ihsan.

Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa berkata beliau yakin masih ramai pelajar yang gagal mendapat bantuan menerusi KWAPM walaupun skim itu sudah lama diperkenalkan untuk membantu rakyat miskin di Kelantan dalam bidang pelajaran.

"Ibu bapa yang masih belum menikmati kemudahan bantuan itu kerana nama anak-anak mereka tercicir daripada senarai, masih boleh merayu menerusi bantuan lain, termasuk tabung wang ihsan," katanya.


Beliau menyatakannya selepas menyampaikan bantuan KWAPM kepada sekolah-sekolah dalam bahagian Ketereh sempena Program Juara Rakyat bahagian itu, di Sekolah Kebangsaan Bechah Keranji, semalam.

Beliau berkata langkah itu menunjukkan kerajaan begitu prihatin dalam menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira fahaman politik, dan menurutnya kira-kira 30 buah sekolah dalam bahagian Ketereh menerima bantuan menerusi tabung itu.

Sementara itu Annuar yang juga bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata di bawah Program Juara Rakyat, UMNO sedang mengambil pendekatan baru untuk mendampingi rakyat menerusi lawatan dari rumah ke rumah penduduk kampung setiap minggu.

"Sehingga kini, 500 buah rumah di kawasan Ketereh sudah dilawati melibatkan pelbagai peringkat pemimpin di dalam bahagian itu turun padang untuk meninjau permasalahan rakyat," katanya.

RAMADAN MUSIM PALING RAMAI PASANGAN NIKAH DI SEMPADAN

Oleh Azman Abdul Hamid di Narathiwat (Berita Minggu)

Pasangan dari Malaysia yang bermasalah untuk berkahwin, paling ramai bernikah di wilayah selatan Thailand ini adalah pada Ramadan, kata pegawai Islam di sini. Pasangan terbabit yang sudah terlanjur, tidak mendapat persetujuan ibu bapa untuk berkahwin dan perlu mengganti wali untuk melangsungkan pernikahan.

Setiausaha Agung Majlis Agama Islam Naratwhiwat, Mohd Sudi Wamee, mendedahkan fenomena ini bukan hanya membabitkan pasangan dari Malaysia, malah sejauh Myanmar, Brunei, Laos, India, Pakistan, Bangladesh dan China.


“Poligami bukanlah sebab utama pasangan berkenaan datang ke sini untuk bernikah," katanya.

Punca utama ialah mereka terlanjur hingga wanita hamil dan ibu bapa tidak bersetuju mereka berkahwin. Bulan puasa paling ramai pasangan Malaysia yang bernikah di sini,” katanya kepada Berita Minggu.

“Purata tiga pasangan berkahwin sehari dan paling ramai sehingga lima atau enam pasangan,” katanya. Ramadan dijangka bermula kira-kira dua minggu lagi.

Beliau juga berkata, pasangan terbabit tidak segan silu mengaku terlanjur, manakala lelaki berpoligami turut mengesahkan tidak mendapat izin isteri pertama menyebabkan mereka membuat keputusan bernikah di sempadan.

“Kami mensyaratkan pasangan sedemikian memberi keterangan dalam borang daftar kahwin mengenai sebab mahu bernikah di sini dan mereka membuat pengakuan itu.

Wanita berstatus janda mesti tunjuk surat nikah, balu perlu bawa surat kematian suami, manakala anak dara wajib bersumpah atas nama Allah tidak pernah kahwin.

“Bagi wanita terlanjur, kami tidak ubah tarikh, walaupun dia sudah hamil lima bulan. Tarikh bernikah tetap pada hari itu,” katanya.

Ketika menjelaskan mengapa pegawai agama tetap membantu pernikahan pasangan bermasalah dari negara luar, Imam Besar Masjid Jumiah, Hussein Azam Tarip, berkata selagi cukup syarat, mereka akan menikahkan pasangan berkenaan.

“Kita tanya mengapa mereka datang berkahwin di sini dan mereka beritahu semuanya. Jika kita tidak nikahkan, apa akan jadi? Keterlanjuran akan lebih parah dan kita, yakni imam akan tanggung dosa yang mereka lakukan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Gabenor Narathiwat, Aziz Hussain, pula berkata, pihak berkuasa di sini dan Kelantan juga mempunyai kerjasama dari segi memantau perkahwinan. Pejabat agama di Narathiwat dan Kelantan memantau dan merekodkan, selain membuat keputusan benarkan perkahwinan.

“Kita benarkan saja perkahwinan itu, jika patut. Tak usah panjangkan masalah,” katanya.

TUS MASIH BERBAKI RM23j, SISWAZAH DISARAN MOHON JADI USAHAWAN

Siswazah di negara ini yang berminat memulakan perniagaan disaran memohon kepada Tabung Usahawan Siswazah (TUS) berikutan tabung itu kini masih mempunyai baki terkumpul berjumlah RM23 juta daripada keseluruhan peruntukan yang disalurkan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Penolong Pengarah Institusi Keusahawanan Negara (INSKEN), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Samsu Kadir berkata sejak 2000 hingga Mei tahun ini hanya seramai 1,347 jumlah permohonan diterima daripada siswazah yang berhasrat mendapatkan pinjaman bagi memulakan perniagaan.

"Daripada jumlah itu sebanyak 659 peserta mendapat kelulusan pinjaman di bawah kerjasama SME Bank.

"Jumlah permohonan yang diluluskan sebanyak 659 permohonan itu yang meliputi 48.9 peratus permohonan daripada jumlah keseluruhan dan hanya 16.7 peratus sahaja daripada peserta yang mengikuti kursus Skim Usahawan Siswazah (SUS) memohon pinjaman TUS," katanya kepada pemberita selepas majlis Latihan Asas Keusahawanan, SUS Siri Kelima di sini, pada Sabtu.

Justeru katanya, MITI kini menggalakkan mana-mana graduan institusi pengajian tinggi supaya merebut peluang menjadi usahawan.

Samsu berkata MITI telah mengadakan pelbagai program latihan seperti SUS dan jumlah peserta SUS dari 2000 hingga 2009 seramai 7,943 orang.

Samsu berkata, sehingga kini terdapat 12 siri pada tahun ini di seluruh Malaysia dan ia merupakan siri kelima diadakan di Kelantan dengan mempunyai peserta seramai 121 termasuk di negeri ini.

"Pihak INSKEN mensasarkan 30 orang bagi setiap program dan sehingga Mei 2010, sebanyak 31 permohonan diterima untuk pembiayaan TUS dan empat daripadanya lulus menerima pinjaman," katanya.

Menurutnya, antara syarat pinjaman yang dikendalikan INSKEN melibatkan syarat kelayakan termasuk peserta perlu berusia 35 tahun ke bawah, wajib menghadiri kursus kendalian MITI, mendapatkan sijil dan menghantar kertas kerja (rancangan kertas kerja INSKEN-Rancangan Perniagaan (RP).

Katanya, had permohonan untuk pembiayaan di bawah TUS ialah RM20,000 hingga RM250,000 dan tempoh bayaran balik maksima sehingga 10 tahun.

Saya Hanya Mahu Membantu FAM - Annuar Musa

Salah seorang calon bagi jawatan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tan Sri Annuar Musa berkata kejayaan beliau menaikkan nama Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) bukan berupa tiket untuk beliau dipilih menjawat jawatan Timbalan Presiden FAM.

"Jauh sekali untuk saya menonjolkan diri sebagai hero dalam bidang pengurusan bidang bola sepak musim ini," katanya yang juga Presiden KAFA, apabila ditanya mengenai kesungguhan beliau bertanding jawatan nombor dua persatuan induk bola sepak negara itu.

Pemilihan barisan kepimpinan baru FAM bagi penggal 2010-2014 akan ditentukan pada 31 Julai ini dan buat pertama kali jawatan Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Ahli Eksekutif (Exco) menjadi rebutan ramai calon dan penyandang.

Selain Annuar yang akan bertanding jawatan Timbalan Presiden bagi mengisi dua jawatan tersebut, calon lain ialah Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Datuk Seri Redzuan Tan Sri Sheikh Ahmad, Datuk Che Mat Jusoh dan Datuk Mokhtar Ahmad.

Seorang lagi calon, Datuk Seri Shahidan Kassim dilaporkan telah menarik diri.

"Apa yang penting penglibatan saya ialah untuk cuba membawa perubahan ke arah penambahbaikan negara dalam bidang bola sepak menerusi satu pasukan dan satu suara dalam FAM," kata Annuar.

Beliau berkata beliau hanya berminat untuk membantu Presiden FAM ke arah kebaikan mutu persatuan di peringkat nasional dan antarabangsa dan tidak berniat untuk mencabar sesiapa.

"Jauh di sudut hati saya, saya ingin membantu apa yang terdaya tugas-tugas yang dijalankan oleh penjawat nombor satu dalam persatuan induk ini," katanya.

FAM JANGAN DILIHAT SEBAGAI ANGKUH

Pok Nik Yeh, Kuala Lumpur (Harakahdaily Online)

Saya adalah antara peminat setia bolasepak tanahair sejak bertahun-tahun lamanya. Malah, saya sentiasa menyeru peminat-peminat bola sepak di Malaysia agar terus memberi sokongan kepada Pasukan Bola Sepak Malaysia kita di corong-corong radio, televisyen, forum-forum dan sebagainya.

Sebelum ini saya hanya sekadar memerhatikan komen-komen sinis penyokong terhadap kerja mulia penjawat utama FAM dari jauh sahaja tanpa mempertikaikan kewibawaan masing2 secara peribadi semasa mereka memegang jawatan tersebut. Namun sejak akhir-akhir ini, apabila Kongres Tahunan FAM yang akan diadakan pada 31 Julai dengan pemilihan pucuk pimpinan baru untuk selama 4 tahun akan datang, tiba-tiba telah menarik minat saya untuk mengikuti perkembangan ini dengan lebih dekat lagi.

Beberapa calon dari kalangan tokoh bolasepak tempatan telah menawarkan diri untuk bertanding didalam berbagai-bagai jawatan tertinggi FAM nanti, mungkin menandakan masih ada minat lagi di kalangan ‘fraternity’ bolasepak Malaysia untuk bersama-sama membantu FAM dalam usaha untuk menaikkan taraf bolasepak tanah air yang sekali lagi akan diterajui oleh Sultan Haji Ahmad Shah. Daulat Tuanku!

Pertandingan untuk merebut jawatan tersebut yang tampak begitu harmoni dan sihat ibarat ianya di dalam suasana kekeluargaan tiba-tiba dikejutkan oleh kenyataan akhbar (Utusan Malaysia 22 Julai 2010) yang dibuat oleh Datuk Che Mat Jusoh, Naib Presiden FAM sekarang yang akan bertanding jawatan Timbalan Presiden yang memberi amaran kepada calon-calon lain yang akan bertanding.

Setelah beberapa kali dibaca dengan teliti kenyataan tersebut, ianya seolah-olah ditujukan kepada calon-calon lain untuk jawatan Timbalan Presiden terutamanya kepada Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa yang (yang pernah memegang jawatan Menteri Belia & Sukan Malaysia) yang dilihat antara calon yang mempunyai peluang yang cerah untuk memenangi jawatan tersebut. Beberapa sindiran dan juga kenyataan yang mempertahankan kewibawaan diri sendiri yang terpapar dengan besarnya menghiasi muka belakang akhbar tersebut telah menimbulkan beberapa persoalan di dalam diri saya dan sudah tentu ramai lagi peminat bolasepak tanah air di luar sana. Apakah motif kenyataan tersebut dikeluarkan?


Pelbagai cemuhan terhadap Datuk Che Mat Jusoh dari kalangan peminat bola sepak muncul seperti cendawan selepas hujan. Sehinggakan Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (Kelate.Net), kelab penyokong bola sepak terbesar di Malaysia, mengeluarkan kenyataan rasmi di laman web mereka, mengecam secara rasmi dan terbuka ke atas kenyataan Datuk Che Mat Jusoh tersebut.

Adakah beliau merasa peluang beliau untuk memenangi jawatan tersebut semakin tipis kerana ada calon lain yang lebih menonjol dan berwibawa dari beliau atau beliau merasa kurang selesa dengan cadangan-cadangan penambahbaikan yang mungkin akan memperkasakan lagi bolasepak negara? Kemungkinankah juga Datuk Che Mat berharap Tuanku Sultan Pahang akan memihak kepadanya kerana mempertahankan apakah yang telah dilakukan oleh FAM setakat ini?

Memang tidak dinafikan sebelum ini FAM sentiasa berusaha untuk meningkatkan mutu bolasepak negara dengan membuat berbagai-bagai usaha. Sekalung tahniah juga patut diucapkan kepada FAM kerana telah berjaya memenangi pingat Emas Bolasepak Sukan SEA 2009 selepas penantian selama 20 tahun. Dan tidak pernah juga saya dengar calon-calon yang dimaksudkan mempertikaikan usaha-usaha yang telah dibuat mahupun memperkecilkan jasa-jasa pemegang jawatan dalam badan induk itu selama ini.

Cuma apa yang ingin dikemukakan adalah perkara-perkara baru yang boleh membantu kita untuk mempertingkatkan lagi taraf bola sepak Negara yang pada hemat saya semakin kurang diminati dan semakin disisih oleh rakyat Malaysia. Ianya terbukti apabila stadium kita yang bernilai ratusan juta hanya dipenuhi dengan segelintir penyokong apabila Skuad Malaysia kita beraksi. Apakah cadangan tersebut yang tidak memperlekehkan sesiapa pun dianggap tidak wajar bagi Datuk Che Mat? Saya yakin pendirian Datuk Che Mat itu hanyalah pendirian peribadi beliau dan bukan pendirian rasmi FAM. Ianya seolah-olah menonjolkan kecetekan pemikiran orang yang dikatakan amat berpengalaman dalam arena bolasepak tempatan.

Mungkinkah ada di kalangan pegawai-pegawai kanan FAM sendiri yang bertungkus lumus turun ke negeri-negeri untuk berkempen agar orang-orang lama FAM dikekalkan di dalam pemilihan akan datang? Mungkinkah juga pelbagai janji ditabur dengan menawarkan jawatan tertentu ataupun kurniaan gelaran tertentu akan diberikan sebagai ganjaran sekiranya orang-orang lama ini memenangi jawatan yang ditandingi? Usaha-usaha yang dijalankan itu, sekiranya benar ianya berlaku tidak akan membawa FAM ke arah yang lebih baik. Campurtangan Tuanku Presiden amat ditagih untuk menghindari amalan yang tidak sihat ini agar ianya tidak berleluasa yang mungkin akan menjejaskan nama baik FAM dan juga baginda sendiri.

Ampun Tuanku. Niat baik Tuanku untuk memajukan bolasepak Malaysia tidak seharusnya dimusnahkan oleh orang-orang yang mungkin mempunyai kepentingan peribadi yang sentiasa berselindung disebalik kata-kata manis dihadapan sahaja. Inilah masa nya FAM membuat penilaian semula terhadap semua peringkat jawatan agar ianya tidak menggugatkan usaha-usaha untuk menaikkan taraf, sama ada pasukan kebangsaan ataupun keseluruhan aktiviti-aktiviti yang melibatkan bolasepak tanah air. Apakah KPI mereka boleh dibanggakan?

Anggaplah FAM ini sebagai satu pasukan bolasepak yang sedang bermain. Sekiranya didapati mana-mana pegawai/penjawat tidak dapat menyumbang kepada pasukan, keluarkan mereka dan gantikan dengan orang lain yang mungkin dapat memperbaiki kelemahan yang ada.

Kepada Datuk Che Mat yang saya hormati, saya ingin berpesan, tak usah takut pada bayang-bayang sendiri. Biarlah orang menilai kita dengan apa yang kita telah sumbangkan. Tak payahlah nak bersusah-payah menyebut apakah kejayaan kita kerana ianya dapat dilihat oleh semua lapisan masyarakat. Cukuplah kalau saya tonjolkan kewibawaan Datuk kepada umum untuk melihat taraf liga tempatan yang diterajui oleh Datuk sejak kebelakangan ini. Yang lebih diingati lagi adalah tentang kecamukan jadual perlawanan Liga Malaysia sejak Datuk mengambil alih sebagai Pengerusi.

Kepada 38 orang delegasi yang akan mengundi dalam pemilihan FAM nanti, buatlah pemilihan yang tepat agar ianya dapat memberi suntikan baru yang lebih baik kepada seluruh rakyat Malaysia yang dahagakan kemajuan bolasepak Negara. Saya masih optimistik dan yakin, BOLA SEPAK MALAYSIA AKAN KEMBALI GAH dan GEMILANG DARI KEJAYAAN SEBELUM INI!