Sultan Kelantan Sultan Muhammad V semalam mengingatkan rakyat negeri ini supaya sentiasa berwaspada dan peka dengan kemunculan iklim tidak sihat yang cuba dicetuskan oleh anasir anti-golongan berkuasa.
Baginda bertitah anasir itu, jika tidak diawasi, akan cuba mengubah landskap kehidupan harmoni dan damai dengan menampilkan sikap melupakan sejarah mengenai "kontrak sosial" yang telah dipersetujui bersama.
"Anasir ini akan cuba mencetuskan isu-isu berkaitan agama Islam, mencabar kewibawaan raja-raja, kedudukan Bahasa Melayu dan banyak lagi sebagai modal untuk meraih kepentingan diri dan kumpulan.
"Beta menyeru pihak berkenaan supaya hentikanlah daripada bermain api, sikap provokasi yang boleh mencetuskan gelora keadaan dan suasana yang tidak tenteram dalam masyarakat dan negara," titah baginda pada Istiadat Singgahsana sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-42 baginda di Istana Balai Besar di Kota Bharu, semalam.
Baginda turut meminta semua pihak supaya menggembleng tenaga untuk bekerjasama dalam memastikan pertumbuhan ekonomi dapat dicapai pada kadar yang baik. "Pertumbuhan ekonomi global yang lemah dan muram pada tahun ini berbanding pada tahun lepas turut memberi kesan yang tidak baik kepada ekonomi dunia. Inflasi juga semakin meningkat dan merupakan cabaran besar kepada banyak negara," titah baginda.
Sehubungan itu, Sultan Muhammad V bertitah semua pihak perlu bangkit untuk mencapai pendekatan dan penyelesaian yang inovatif ke arah meningkatkan momentum pertumbuhan dan mengekalkan kesejahteraan rakyat.
Baginda juga berharap agar sektor pertanian, penternakan dan perikanan memainkan peranan yang lebih berkesan, peka kepada perkembangan teknologi terkini, mesra alam dan lestari.
Aktiviti pertanian perlu meneroka pendekatan terkini seperti pertanian agronomik dengan pembangunan infrastruktur pertanian seperti jalan dan sistem pengairan perlulah dipertingkatkan untuk memastikan hasil pertanian yang optimum dan tanah-tanah terbiar juga perlulah dimajukan dengan medan guna tanah yang terkini, titah baginda.
Mengenai ancaman banjir, Sultan Kelantan juga berharap rancangan tebatan banjir lembangan Sungai Kelantan yang dilaksanakan kini dapat mengatasi atau mengurangkan banjir di negeri ini.
Belanjawan 2012 Kelantan yang terus menyaksikan peningkatan defisit turut mendapat perhatian Sultan Muhammad V yang meminta kerajaan negeri sentiasa mengambil langkah-langkah positif bagi mengurangkan belanjawan defisit supaya angka defisit tersebut masih dalam jangkauan terkawal.
"Bagi mengurangkan belanjawan defisit, kerajaan negeri seharusnya mengambil pendekatan perbelanjaan berhemah dengan memberi keutamaan kepada perbelanjaan mengikut keperluan sebenar. Kerajaan negeri hendaknya memberi penekanan kepada meningkatkan hasil dan menambahkan punca hasil.
"Suka beta menarik perhatian bahawa dalam mengatur perbelanjaan mengurus dan pembangunan negeri, langkah-langkah bagi mengurangkan defisit perbelanjaan perlulah diberi perhatian walaupun belanjawan defisit adalah suatu kelaziman di kebanyakan negara," titah Baginda.
Baginda turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang merakamkan ucapan tahniah dan melafazkan ikrar taat setia yang disifatkan baginda sebagai pernyataan jujur bagi menjunjung institusi Raja Berperlembagaan dan simbolik kepada hubungan erat antara institusi beraja dan rakyat.
"Semoga negara dan negeri ini berada di dalam kemakmuran, dilindungi dari apa jua bentuk bala bencana, huru-hara dan perkara-perkara yang tidak diingini," titahnya. Pada majlis itu, kira-kira 213 orang dikurniakan pingat, darjah kebesaran dan Jaksa Pendamai.
Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifli Mohd Zin Ahli mendahului senarai dengan menerima Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (Al-Muhammadi I) (SPMK) yang membawa gelaran Datuk.
Turut hadir bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.