Wednesday, October 13, 2010

MATI MENGEJUT, BUKAN AKIBAT PERGADUHAN

Jenazah Allahyarham Che Karma ditutup dengan bendera Kelantan sambil dipangku oleh rakannya di pekarangan tempat letak kereta, Stadium Shah Alam, semalam. - Gambar ihsan/blog ruang bicara faisa.

Polis mengesahkan kematian seorang penyokong bola sepak pasukan Kelantan selepas menyaksikan perlawanan menentang Selangor malam tadi di Stadium Shah Alam, sebagai mati mengejut.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, mangsa Che Karma Sulaiman, 39, dari Bachok, Kelantan meninggal dunia sebaik tiba di tempat letak kereta selepas menonton perlawanan yang menyaksikan kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan.

"Mangsa sebenarnya mengadu sakit dada kepada rakan-rakannya ketika menonton perlawanan itu, dan telah diberikan rawatan oleh pasukan paramedik, namun sebaik tamat perlawanan, mangsa dikatakan semakin lemah dan terus meninggal dunia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pondok Polis Alam Jaya, di Ijok hari ini.

Sehubungan itu, beliau menolak desas-desus bahawa mangsa mati akibat pergaduhan antara penyokong kedua-dua pasukan malam tadi.

FAM KECEWA MASIH ADA PENYOKONG BERGADUH?

PENYOKONG Kelantan bertindak ganas dan di luar kawalan semasa perlawanan suku akhir Piala Malaysia Selangor menentang Kelantan di Stadium Shah Alam, malam Selasa. Kedua-dua negeri itu terikat dengan keputusan 0-0.

Tak usah kesal dan pilu FAM.

Tak usah merintihlah Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tan Sri Annuar Musa.

Ini dah perkara biasa. Kalau tidak gaduh bukan penyokong Kelantan namanya.


Annuar sendiri pasti tahu sikap penyokong dan penonton Kelantan. Jadi, untuk mengelakkan tidak berlaku insiden, kawallah 'gangster bolasepak Kelantan' daripada memasuki stadium. Jika tidak ia akan berterusan dan selagi itulah nama Kelantan akan buruk!

Annuar semalam melahirkan rasa kecewa dengan sikap segelintir penyokong bola sepak tempatan yang masih lagi berdegil dan tidak mematuhi peraturan hingga mencetuskan pergaduhan di stadium.

"Saya percaya telah banyak kali pihak FAM mahupun pasukan bola sepak negeri memberi nasihat agar penyokong mereka tidak terbabit dengan pergaduhan tetapi sebaliknya masih tetap berlaku. Mereka seolah-olah tidak takut undang-undang," katanya semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai insiden pergaduhan antara penyokong Kelantan dan Selangor pada perlawanan suku akhir pertama bola sepak Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam tadi.

Annuar, yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), berkata beliau tidak menyalahkan Selangor sebagai tuan rumah atas kegagalan mereka mengawal kekecohan itu.

"Pihak tuan rumah sudah mengambil langkah kawalan keselamatan yang secukupnya namun kehadiran penyokong yang terlalu ramai dari pasukan Kelantan menyebabkan pihak keselamatan sukar mengawal penonton," katanya.

Annuar mencadangkan agar susunan tempat duduk penonton perlu diberi perhatian supaya penyokong kedua-dua pihak tidak mempunyai peluang untuk bertembung.

Beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga Che Karma Sulaiman, seorang penyokong pasukan Kelantan yang meninggal dunia akibat sesak nafas sebaik sahaja selesai menyaksikan perlawanan malam tadi.

Jenazahnya disembahyangkan di sini sebelum dibawa ke Bachok, Kelantan petang ini untuk dikebumikan.

Semua kos pengurusan jenazah ditanggung oleh Kafa.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, insiden pergaduhan yang berlaku antara penyokong pasukan Kelantan dan Selangor itu adalah di luar kawalan FAM dan pihak tuan rumah.

"Pihak tuah rumah sudah menyediakan kawalan keselamatan yang secukupnya, malah saya berpuas hati dengannya.

"Kita akan menunggu laporan penuh yang akan dikemukakan oleh jawatankuasa perlawanan sebelum membuat keputusan di peringkat jawatankuasa disiplin," katanya.

Azzuddin berkata, penyokong menyaksikan perlawanan di stadium sepatutnya pergi atas sebab kesukanan, bukannya untuk merosakkan perlawanan yang akhirnya mendatangkan masalah kepada pasukan mereka.

"Sudah banyak kali FAM memberi nasihat kepada penyokong tapi masalah yang sama tetap berlaku," katanya.

Tahun lalu, Kafa dikenakan denda RM50,000 akibat daripada tindakan liar penyokong Kelantan ketika perlawanan akhir Piala Malaysia membabitkan pasukan Kelantan dan Negeri Sembilan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kafa juga terpaksa membayar kos kerosakan Stadium Nasional sebanyak RM138,150.

PENDERMAAN ORGAN DI KELANTAN MASIH SIFAR

Masyarakat Kelantan masih mempunyai tahap kesedaran yang rendah mengenai kepentingan menderma organ disebabkan kurangnya maklumat berkaitan.

Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Datuk Dr. Ghazali Hasni Md. Hassan berkata, dalam tempoh antara 2009 sehingga semalam, hanya 185 individu yang telah menyatakan kesediaan mereka untuk menjadi penderma organ dengan mengisi borang ikrar.

Beliau berkata, kurangnya maklumat berkaitan pendermaan organ dikatakan punca orang ramai tidak mempunyai kesedaran yang tinggi mengenai perkara tersebut.

"Dalam situasi biasa, kecenderungan menderma kepada insan lain tidak berlaku sehinggalah menimpa diri atau ahli keluarga terdekat dan hal tersebut berlaku di mana-mana.

"Misalnya di Kelantan, bilangan penderma darah boleh dibanggakan, malah dalam kes-kes kecemasan kita tidak lagi tercari-cari darah yang sesuai kerana mempunyai penderma tetap tetapi sebagai penderma organ masih sifar.

"Situasi ini bukan sahaja berlaku di sini tetapi di seluruh negara. Mengikut sumber Transplan Nasional, Hospital Kuala Lumpur menujukkan daripada 17 juta rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas, hanya 134,596 orang sahaja yang mendaftar sebagai pengikrar penderma organ," katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Seminar Promosi Pendermaan Organ anjuran Jawatankuasa Perolehan Tisu Organ (Top Team) dan Unit Pendidikan HPRZ II yang dihadiri hampir 100 peserta di Kota Bharu, semalam.

Dr. Ghazali Hasni berkata, seminar itu diadakan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan menderma organ, seterusnya mendaftar sebagai pengikrar penderma organ.

"Negara memerlukan pendermaan organ kerana kebanyakan pesakit menghidap penyakit kronik seperti kegagalan fungsi jantung, paru-paru, buah pinggang dan hati boleh dirawat dengan kaedah pemindahan organ.

"Organ-organ ini pula boleh diperoleh dari penderma kadaver atau yang telah mati dan sebahagian kecil penderma hidup," ujarnya.

Dr. Ghazali Hasni turut mengakui bahawa persepsi dari segi agama dan budaya masih membatasi hasrat seseorang individu untuk mendermakan organ terutama selepas berlaku kematian.

"Sesetengah waris merasakan proses pendermaan menyebabkan kesakitan kepada jasad si mati atau bimbang dengan kecacatan setelah organ dikeluarkan dari jasad.

"Ada juga persepsi menderma organ bertentangan dengan ajaran agama dan khuatir kalau-kalau si mati tidak sempurna sifat pada kehidupan selepas kematian," ujarnya.

Sementara itu, Pakar Perunding Kanan Nefrologi HPRZ II, Dr. Sukeri Mohamad dalam kertas kerja bertajuk 'Mati Otak' memberitahu, pendermaan atau pemindahan organ hanya layak dilakukan terhadap orang yang telah mengalami mati otak.