Wednesday, July 21, 2010

KESEDAR SEDIA RM38j UNTUK 1,000 PENEROKA

Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) akan menaik taraf kemudahan bekalan air paip bagi empat Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) membabitkan peruntukan RM38 juta bagi faedah lebih 1,000 keluarga peneroka.

Pengurus Besarnya, Mohd Arshad Ismail, berkata empat RKT itu meliputi Paloh Satu, Dua, Tiga dan Chalil yang akan dilaksanakan secara berperingkat itu dibahagi kepada dua pakej dan sebanyak RM13 juta sudah dibelanjakan bagi tujuan itu dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) lagi.

Katanya, pelaksanaan itu masih diteruskan sekarang membabitkan pakej kedua RM12.5 juta di mana sejumlah RM6 juta sudah dibelanjakan dan sebanyak RM6.5 juta lagi dalam pelaksanaan sekarang.

"Kita dapati projek pakej kedua itu sudah siap 90 peratus dan kita jangka dapat siap sepenuhnya dalam masa terdekat ini supaya dapat menyelesaikan masalah keperluan air bersih kepada peneroka di RKT terbabit," katanyadi RKT Kesedar Paloh, hari ini.

SELAMAT BERANGKAT PULANG TUANKU...

SULTAN Kelantan, Tengku Ismail Petra diiringi Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra selepas menerima rawatan di Singapura, di Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan, 21 Julai. – Gambar Utusan

Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra pulang hari ini setelah enam hari berada di Singapura untuk menjalani prosedur angiogram dan angioplasty di Hospital Mount Elizabeth.

Ketibaan baginda dengan pesawat khas di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa dekat sini pada pukul 1.20 tengah hari tadi disambut oleh pembesar-pembesar istana.

Baginda selamat menjalani prosedur itu pada Sabtu lalu.

Tuanku Ismail Petra yang mengalami masalah jantung dimasukkan ke Hospital Mount Elizabeth untuk menerima rawatan pada 24 Mei tahun lalu dan berangkat pulang ke Istana Mahkota di sini pada 4 Mac lepas.

Pada 18 Julai lalu, Tuanku Ismail Petra dilaporkan selamat menjalani rawatan susulan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura pada 17 Julai.

Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad berkata, Tuanku Ismail ketika ini masih lagi dirawat oleh pakar-pakar perubatan di hospital berkenaan.

“Alhamdulillah, baginda telah selamat menjalani prosedur Angiogram dan Angioplasty pada 17 Julai 2010,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.

Abdul Halim berkata, Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra akan mengatur penerbangan pulang ayahandanya itu seberapa segera walaupun pada mulanya Tuanku Ismail dijadual berangkat pulang pada 21 Julai ini (hari ini)

“Pemangku Raja Kelantan sentiasa mendoakan yang terbaik kepada ayahanda baginda.

Baginda Pemangku Raja Kelantan mengharapkan agar rakyat turut sama mendoakan yang terbaik agar Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan cepat sembuh daripada kegeringan,” katanya.

Abdul Halim berkata, Tengku Muhammad Faris juga telah mengatur solat hajat di beberapa buah masjid dan berharap ia dapat diteruskan oleh rakyat negeri ini.

Menurutnya, Sultan Kelantan telah berangkat ke Singapura menggunakan pesawat khas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada pukul 11 pagi, Khamis lalu dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa di sini, bagi mendapatkan rawatan susulan di hospital berkenaan.

Beliau sehubungan itu mengingkatkan semua pihak agar tidak mengambil kesempatan dengan membuat andaian atau kenyataan mengenai kesihatan Tuanku Ismail untuk kepentingan diri sendiri.

Semua pihak perlu mengambil langkah-langkah agar tidak mengaibkan keluarga diraja Kelantan, biarkan segala kemelut diselesaikan secara kekeluargaan. Berat mata kita memandang, berat lagi keluarga diraja memikul. Kita hanya mampu berdoa kepada Allah,” jelasnya.

TAHAP KESEDARAN PESAKIT BARAH DI KELANTAN MASIH RENDAH

Laporan penyakit barah payu dara dari 1999 hingga 2002, terdapat 370 kes dilaporkan berlaku di Kelantan dan 167 adalah dari jajahan Kota Bharu dan satu pertiga daripada mereka yang dirawat di peringkat akhir atau terlambat...

Tahap kesedaran pesakit barah di Kelantan untuk menerima rawatan awal dan segera di hospital kerajaan masih rendah kerana mereka lebih percaya kepada bomoh, kata Pengarah Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Datuk Dr Zaidun Kamari.

Beliau berkata, daripada sejumlah besar penghidap barah yang dikesan, hanya 3,000 mendapatkan rawatan susulan untuk menghalang perebakan barah di HUSM sejak Unit Onkologi kampus hospital itu ditubuhkan pada 1996.

Seramai 700 orang penghidap baru barah dikenalpasti setiap tahun di Kelantan.

"Ini menunjukkan tahap kesedaran penghidap barah di kalangan rakyat Kelantan untuk mendapat rawatan awal masih rendah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program "Cancer Survivor" anjuran Jabatan Perubatan Nuklear, Radioterapi dan Onkologi HUSM di Tok Bali, dekat Pasir Puteh, semalam.

Ini kali pertama program sempena Mesyuarat Selamatkan Barah ke-6 USM bertemakan "Bersama Meniti Harapan" diadakan di luar hospital itu sebagai pendekatan baru menangani pesakit berkenaan.

Hadir sama, Pakar Unit Onkologi HUSM, Prof Madya, Dr Biswa Mohan Biswal dan Pengerusi Program itu, Hasmat Zakaria.

Pada 12 Februari lalu, Dr Zaidun berkata, kes barah payu dara yang melibatkan wanita Kelantan amat membimbangkan, berikutan mangsa lambat mendapat rawatan dan pengesanan lebih awal.

Katanya, kajian laporan penyakit barah payu dara dari 1999 hingga 2002, terdapat 370 kes dilaporkan berlaku di Kelantan dan 167 adalah dari jajahan Kota Bharu dan satu pertiga daripada mereka yang dirawat di peringkat akhir atau terlambat.

"Keadaan ini amat membimbangkan kerana kes-kes yang datang untuk mendapat rawatan di hospital berada pada tahap 4 iaitu sudah terlewat untuk dirawat," katanya selepas majlis perasmian Pusat Sumber Kanser Payu Dara HUSM, Kubang Kerian.


Dr. Zaidun berkata, kelewatan wanita mendapat rawatan penyakit barah payu dara di hospital adalah disebabkan sikap mereka sendiri yang kurang mendapat maklumat sebenar mengenai penting mencegah penyakit itu di peringkat awal lagi.

"Kadang-kadang mereka mendapat maklumat daripada mereka yang kurang arif mengenai penyakit itu serta takut dan malu kepada masyarakat umum," kata Dr. Zaidun.

Katanya, matlamat kerajaan untuk meningkatkan lagi tahap kesedaran di kalangan mereka apabila HUSM menyediakan Pusat Sumber Kanser Payu Dara pertama di Pantai Timur hasil kerjasama syarikat Avon, yang menyediakan peralatan rawatan dan pengesanan di pusat itu.

Sementara itu, Dr. Mafauzy dalam ucapannya berkata, syarikat Avon menyumbangkan sebanyak AS$100,000 kepada HUSM bagi menyediakan segala kemudahan di pusat sumber itu.