Saturday, September 18, 2010

DAGANGAN MALAYSIA-THAI BOLEH CECAH AS$20b

Perdagangan dua hala Malaysia-Thailand boleh mencecah AS$20 bilion sekiranya momentum semasa berterusan sehingga akhir tahun ini, kata Duta Malaysia ke Thailand Datuk Husni Zai Yaacob hari ini.

Beliau yang akan menamatkan tugasnya di negara itu tidak lama lagi berkata kedua-dua negara mencatatkan jumlah dagangan sebanyak AS$7.2 bilion daripada Januari hingga April tahun ini, satu peningkatan sebanyak 45 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Pemulihan ekonomi di kedua-dua negara, permintaan dalam negara yang lebih besar di negara masing-masing serta Kawasan Perdagangan Bebas Asean merupakan faktor utama yang menyumbang kepada angka yang lebih tinggi, kata beliau kepada Bernama.

"Warga Thai perlu menunggu selama tiga bulan untuk mendapatkan Proton Exora mereka berikutan penggunaan domestik yang meningkat dalam negara ini sekarang ini," katanya.

Eksport Malaysia ke negara berkenaan terdiri daripada barangan elektrik dan elektronik, petroleum mentah, produk kimia dan bahan kimia, jentera, perkakasan dan peralatan.

Malaysia pula sebaliknya mengimport barangan elektrik dan elektronik, peralatan automotif dan automotif serta getah dari Thailand.

Perdagangan dua hala antara kedua-dua negara berjumlah US$16 bilion semasa krisis ekonomi tahun lepas dan US$18 bilion pada 2008.

Malaysia kini merupakan pelabur kelima terbesar di Thailand selepas Jepun, Amerika Syarikat, Singapura dan China serta kedua terbesar dalam Asean selepas Singapura.

Husni berkata firma Malaysia melabur 1.1 bilion Baht dalam negara itu pada empat bulan pertama tahun ini, peningkatan 60 peratus daripada tahun sebelumnya.

"Secara keseluruhan, perkembangan politik di negara ini tidak memberi kesan yang besar terhadap perdagangan dan pelaburan kedua-dua negara," kata beliau yang merujuk kepada kemelut politik yang melanda negara itu baru-baru ini.

Demonstrasi jalanan secara aman bermula pada 12 Mac dan berakhir dengan keganasan pada 19 Mei dengan 91 maut dan lebih 1,800 cedera.

Dalam sektor pelancongan, Husni berkata 940,000 rakyat Malaysia melawat negara itu manakala 700,000 warga Thai mengunjungi Malaysia bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

"Perkembangan politik seperti tunjuk perasaan Baju Merah di negara ini juga telah memberi kesan yang sedikit terhadap jumlah rakyat Malaysia melawat Thailand," kata beliau.

Mengenai hubungan dua hala, beliau berkata kedua-dua negara menikmati hubungan yang kukuh dan substantif.

"Ia merupakan hubungan terbaik dalam lima tahun lepas kerana hubungan ekonomi yang kukuh dan hubungan politik yang teguh dengan kedua-dua perdana menteri mempunyai perhubungan yang erat," katanya.

Husni berkata terdapat juga kerjasama yang kukuh antara kedua-dua negara di sempadan. Untuk pertama kalinya, Lima Dasar Strategi akan diperkenalkan bagi menggalakkan kerjasama antara lima negeri di Malaysia dan lima wilyah di Thailand dalam lima bidang.

Negeri-negeri berkenaan ialah Kelantan, Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak manakala wilayah Thailand yang terlibat ialah Yala, Narathiwat, Patani, Songkhla dan Satun dan bidang tersebut ialah perdagangan dan pelaburan, pelancongan, logistik, industri halal dan pendidikan.

Mereka akan mengadakan sidang kemuncak, ekspo dan program padanan perniagaan di Haadyai mulai 22 hingga 26 Sept.

Husni yang akan menamatkan tugasnya selama 22 bulan di negara itu pada 20 Sept ini, menyifatkan tugas beliau memberi kepuasan dan menarik memandangkan beliau dapat mencapai kejayaan dalam banyak perkara termasuk peningkatan kerjasama dalam ekonomi, perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.

Husni tiba di ibu negara berkenaan pada November 2008 bagi memulakan tugas barunya sebagai Duta ke negara itu dan pada hari berikutnya Lapangan Terbang Suvarnabhumi ditutup susulan rampasan oleh penyokong Baju Kuning.

"Ia merupakan satu pengalaman yang amat berguna dalam pengurusan krisis. Kita tidak pasti dengan hasilnya (rampasan) dan rakyat di negara kita serta warga Malaysia di sini bimbang dan memerlukan nasihat kami," katanya.

Satu lagi krisis utama yang dikendalikannya ialah demonstrasi Baju Merah dan kemuncaknya, kedutaan membuka pusat operasinya 24 jam sehari bagi memberi bantuan dan nasihat kepada rakyat Malaysia.

Bagaimanapun, perkara berkenaan bukan suatu yang baharu bagi diplomat itu yang mempunyai 30 tahun pengalaman dan pernah melalui krisis lain termasuk revolusi di Filipina pada 1986 serta pencerobohan Amerika Syarikat di Iraq semasa beliau menjadi duta ke Kuwait. Pada masa ini Iraq melepaskan beberapa roket ke Kuwait.

Beliau berkata pengajaran paling penting yang boleh diperoleh semasa berkhidmat di Thailand ialah pelan luar jangka yang baik dan perancangan untuk sebarang kemungkinan.

"Perlu juga bekerja rapat dengan kakitangan kedutaan, Dewan Perniagaan Malaysia-Thailand dan Kelab Malaysia kerana perlu mempunyai pelan untuk keselamatan keluarga dan harta mereka serta bekerja rapat dengan kerajaan negara ini dalam mengendalikan krisis."

Adalah penting untuk menganalisis krisis secara terperinci sebelum membuat sebarang keputusan, sebagai contoh ialah untuk melihat sama ada penunjuk perasaan menyasar orang asing, kata Husni yang akan kembali bertugas di Wisma Putra.

FAM PATUT KENAKAN TINDAKAN TERHADAP KAFA

Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu mengenakan tindakan tegas terhadap Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dalam isu tindakan liar penyokong Kelantan seperti membaling mercun semasa berlangsung perlawanan.

Kecuali KAFA sendiri sanggup memberi jaminan kejadian seumpama itu tidak akan berulang, kata Shabery kepada pemberita di Kemaman hari ini.

Beliau melahirkan rasa kesal dengan sikap segelintir penyokong Kelantan yang membaling mercun ketika perlawanan Kumpulan A Piala Malaysia, menentang Negeri Sembilan di Stadium Sultan Muhammed IV, Selasa lepas.

Shabery berkata, penyokong Kelantan bagaikan tidak serik walaupun KAFA kerap didenda dan dikenakan pelbagai hukuman oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM musim lalu, angkara kelakuan penyokong Red Worriors.

"Saya anggap penyokong pasukan Red Warriors sebagai model kerana dari pasukan yang serba kekurangan mereka berjaya bangunkan sukan itu sebagai satu industri dengan menjual pelbagai barangan pasukan Red Worriors," kata Shabery.

Insiden semasa perlawanan yang berkesudahan dengan kemenangan 1-0 kepada pasukan Negeri Sembilan itu bermula selepas pengadil, Yusof Mat Karim memberikan tendangan penalti apabila pertahanan tuan rumah, S Subramaniam menjatuhkan Idris Karim di dalam kotak penalti.

Keputusan pengadil itu mengundang 'kemarahan' penyokong Red Warriors, menyebabkan ada yang membantah dan bertindak membakar dan membaling mercun. KAFA pernah didenda sebanyak RM50,000 gara-gara tindakan liar penyokong Kelantan pada perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan di Stadium Nasional, Bukit Jalil November tahun lepas.

PERMOHONAN HABEAS CORPUS BEBAS TUANKU ISMAIL 21 OKTOBER

Permohonan writ habeas corpus bagi pembebasan bekas Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra yang ketika itu dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian akan didengar Mahkamah Khas pada 21 Oktober ini.

Pendaftar Mahkamah Khas, Harmi Thamri Mohamad menetapkan tarikh berkenaan dalam kamar, di Putrajaya semalam, apabila permohonan itu disebut di hadapannya bagi pengurusan kes.

Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Tuanku Ismail Petra ketika ditemui pemberita berkata, mahkamah juga menetapkan 14 Oktober ini bagi pengurusan lanjut kes berkenaan.

Permohonan habeas corpus itu difailkan 7 Mei lalu bagi mendapatkan pembebasan Tuanku Ismail Petra dari HUSM dan membolehkan baginda mendapatkan rawatan perubatan mengikut pilihannya.

Permohonan itu yang menamakan baginda sebagai plaintif turut disokong oleh afidavit putera ketiga, Tengku Temenggong Tengku Muhammad Fakhry Petra. Ia menamakan lima defendan iaitu Ketua Polis Kelantan, Ketua Polis Negara, Pengarah HUSM, Ketua Pengarah Kesihatan dan Kerajaan Malaysia.

Isnin lalu, Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan yang baru menggantikan ayahandanya.

Sementara itu, Gobind berkata, pihaknya akan membalas afidavit responden dengan memasukkan fakta serta perkembangan terbaru bagi membolehkan mahkamah membuat keputusan.

Turut mewakili Tuanku Ismail Petra, peguam Malik Imtiaz Sarwar dan Datuk Haaziq Pillay, Adam Abdullah mewakili Ketua Pengarah Kesihatan dan Pengarah HUSM, manakala Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Kamaluddin Md Said mewakili Ketua Polis Kelantan, Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia.

PENGURUSAN UMNO RANTAU PANJANG AKAN DISERAH SEMULA AWAL TAHUN DEPAN

UMNO Bahagian Rantau Panjang dijangka menguruskan sendiri bahagiannya pada awal tahun depan, yang kini diuruskan oleh Badan Perhubungan UMNO Kelantan apabila semua isu dalamannya selesai sebelum tempoh itu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata jika semuanya selesai pihaknya bersedia untuk memaklumkan kepada Majlis Tertinggi (MT) UMNO bagi urusan penyerahan semula urusan pentadbiran itu.

"Sejak 21 Julai lalu, MT telah membuat keputusan agar Badan Perhubungan UMNO Kelantan mengambil alih pentadbiran bagi menyelesaikan kemelut dalaman UMNO Bahagian Rantau Panjang itu.

"Alhamdulillah dalam tempoh dua bulan itu usaha penyatuan antara puak berbalah hampir selesai dan mereka bersedia berkompromi dan jika semuanya selesai urusan pentadbiran itu akan diserahkan semula yang dijangka pada awal tahun depan," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat UMNO
Turut hadir Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, Ketua UMNO Bahagian Abdullah Mat Yassin dan bekas ketua bahagian Datuk Mohd Zain Ismail.

Isu dalaman membabitkan Abdullah dan Mohd Zain timbul apabila kedua-dua mereka telah mengadakan mesyuarat perwakilan berasingan baru-baru ini menyebabkan ia mendapat perhatian MT.

Mengulas isu itu, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata pada mesyuarat tersebut semua pihak bersetuju agar Badan Perhubungan UMNO negeri itu terus mengendali semua urusan bahagian tersebut sehingga tempoh penyerahan semula berlangsung.

"Ini sebagai tempoh peralihan dan kita berharap semua pihak perlu beri kerjasama agar usaha pemulihan berlangsung dalam suasana penuh harmoni," katanya.

Beliau berkata kerusi Parlimen Rantau Panjang dan Dewan Undangan Negeri dalam kawasan Parlimen itu berpotensi untuk dimenangi Barisan Nasional (BN) dan sebab itu UMNO perlu memastikan mereka mampu menawan semua kerusi terbabit pada pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu dalam ucapan sambutan Aidilfitri, Abdullah berkata apa yang berlaku di Rantau Panjang merupakan suatu rahmat yang kini semua pemimpin bahagian tersebut telah kembali bertaut dan berjanji untuk memastikan UMNO kembali kuat.