Friday, December 19, 2008

TV3 MINTALAH MAAF

Siapa tak marah. Laporan sedemikian banyak kesan negatifnya.

Kerana itu menurut Berita Harian, hari ini gan Negeri (DUN) Terengganu panas seketika semalam, apabila Menteri Besar, Datuk Ahmad Said mendakwa TV3 cuba menjatuhkannya dengan melaporkan fakta yang salah mengenai beberapa anak syarikat kerajaan negeri yang mengalami kerugian dalam slot Buletin Utama kelmarin.

Beliau berkata, Buletin Utama yang melaporkan kenyataan bahawa tiga anak syarikat kerajaan negeri iaitu Golden Pharos Bhd, Permint Sutera Semai Sdn Bhd dan Syarikat Percetakan Yayasan Islam Terengganu Sdn Bhd akan ditutup adalah tidak benar.

"Ini syarikat ada kepentingan awam, saya tak mahu ulas panjang. Tetapi, semalam (kelmarin) TV3 salah lapor, kata saya nak tutup Golden Pharos... saya sedih. TV3 memang nak buat saya sokmo (selalu).. dari dulu lagi ada agenda.

"Saya ingin jelaskan di dalam dewan ini, TV3 mempunyai niat jahat terhadap saya, termasuk ketika krisis pelantikan saya sebagai Menteri Besar (MB) dulu, keluar berita Badan Pencegah Rasuah (BPR) siasat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal. Apabila Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) kata Ahmad dipilih sebagai MB, keluar pula berita Adun Kijal disiasat BPR.

"Kemudian, apabila Majlis Tertinggi (MT) Umno mengesahkan Ahmad Said sebagai MB, keluar lagi saya warning (beri amaran) dia (TV3), kalau keluar lagi saya saman, sedangkan BPR tak pernah siasat saya berkenaan kes itu (enam projek termasuk tiga projek menambak tanah di Kemaman)," katanya ketika sesi soal jawab pada persidangan DUN di sini, semalam.

Serentak itu, Yang Dipertua DUN, Datuk Tengku Putera Awang mengesahkan bahawa laporan dikeluarkan TV3 mengenai kedudukan anak syarikat kerajaan negeri itu mengelirukan serta tidak selaras dengan kenyataan Ahmad dan meminta pihak media mengambil perhatian serius.
Sambil menyatakan kekesalan dengan kesilapan laporan dan fakta mengenai isu terbabit, Ahmad menjelaskan, beliau cuma menyebut beberapa contoh anak syarikat yang mengalami kerugian dan menyatakan kemungkinan anak syarikat yang tidak menghasilkan keuntungan untuk jangka masa terlalu lama akan ditutup.

Bagaimanapun katanya, sebelum tindakan itu dilaksanakan, langkah pemulihan akan dilakukan dengan meletakkan semua entiti perniagaan milik kerajaan negeri di bawah 'Management Holding Company', iaitu Terengganu Incorporated (TI) serta menstruktur semula sistem pengurusan, garis panduan, dasar, mekanisme pemantauan dan kaedah yang selaras bagi menjana keuntungan kepada rakyat.

Ahmad berkata, walaupun jumlah terkumpul untung rugi anak syarikat terbabit menunjukkan kerugian, jumlahnya semakin berkurangan dan ia adalah satu perkembangan baik apabila jumlah untung bersih diperoleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dari 2004 hingga 2007 meningkat 17.68 peratus atau RM27.4 juta.