Oleh Zaid Ibrahim
(Bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri)
Orang Melayu sebenarnya lebih bangga apabila mereka
dikenali sebagai orang negeri dari mana mereka berasal. Mereka tidak begitu
bangga dipanggil orang Malaysia, tapi suka disebut orang Johor, Perak dan
sebagainya.
Orang Johor bangga dengan ciri keunikan Bangsa Johor;
Pulau Pinang dengan keunikan budaya campuran, makanan mamak , “hawker food” dan
sebagainya.
Orang Kelantan pun ada keunikannya, yang bangga dengan
loghat dan kebudayaannya.
Ciri yang paling terserlah ialah kesanggupan mereka
melawan arus politik demi mempertahankan pendirian dan pandangan mereka.
Mereka “gedeber”, kata orang.
Selama 25 tahun mereka mengundi PAS kerana mereka tidak
rela UMNO, pembuli besar, menjadi parti yang terus-menerus membuli mereka.
Walaupun PAS tidak dapat menyelesaikan masalah ekonomi
rakyat, mereka bertahan dengan Allahyarham Tok Guru Nik Aziz, demi maruah
politik Kelantan yang tidak boleh dibeli dengan “dedak” dan tidak serik atau
takut kepada penindasan.
Hari ini mereka sudah tidak ada lagi Tok Guru Nik Aziz
untuk memberi rangsangan dan semangat kapada mereka. Perjuangan “spiritual” dan
etika sudah lesap.
Hari ini PAS adalah parti politik Melayu yang tidak
berguna lagi kapada orang Kelantan. Mereka tidak ada pemimpin yang
memperjuangan sesuatu yang murni; dan yang lebih teruk ialah tidak ada juga
pemimpin teknokrat, yang telus, yang boleh menyelesaikan masalah ekonomi dan
kesengsaraan rakyat.
Mereka tidak tahu bagaimana nak selesaikan masalah
banjir, lalu mereka cuba menyediakan tugu peringatan banjir.
Mereka tidak mampu mengutip sampah, dan tidak mampu
menyediakan air bersih yang cukup, lalu mereka jual agama Islam seperti mahukan
“hudud” dan tangkap wanita cantik berbaju kemas.
Mereka tidak tahu membangunkan negeri, lalu mereka jual
balak kepada tauke-tauke Cina. Mereka adalah sebenarnya parti yang tak berguna.
Sebab itulah saya meramalkan rakyat Kelantan jati akan
bangkit sekali lagi menentang arus. Mereka tidak lagi mahu terus dipermainkan.
Dalam pilihan raya akan datang saya percaya mereka akan
bersatu bersama kepimpinan AMANAH di bawah Datuk Husam Musa dan kepimpinan
parti Bersatu untuk merubah dan menggantikan pemimpin PAS yang ada dengan
mereka yang boleh memberi pembelaan kapada rakyat jelata.
Malah saya meramalkan PAS yang dipimpin oleh mereka yang
hanya boleh berceramah dan berfatwa, akan menjadi parti yang tewas teruk pada
pilihanraya akan datang.
Kelantan memerlukan orang politik yang boleh
menyelesaikan soal ekonomi dan sosial rakyat. Mereka sudah tentunya perlu
memahami keperluan agama, tetapi tidak cukup jika kita mahu memerintah negara
dengan menjual hadis dan ayat Al-Quran.
Rakyat Kelantan bukan seperti yang difikirkan oleih
pemimipin PAS. Mereka sekian lama mengundi PAS kerana Allahyarham Nik Aziz,
bukan kerana mereka sayang kapada pemimpin yang ada sekarang.
Parti Bersatu dibawah Kamaruddin Mat Noor, Dr Zayadi
Awang Noh dari Bachok dan Sazmi Miah dari Machang misalnya, boleh berkerjasama
dengan Datuk Husam dan merampas Kelantan dari parti yang tak berguna ini.
Selamat Berjuang!
Orang orang UMNO pun sepatutnya cepat-cepat berhijrah.
Bila Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin
dan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersatu dengan AMANAH, UMNO mesti tewas kerana
perhitungan mereka bahawa PAS akan dapat menolong mereka tidak mungkin akan
berhasil.
Saya juga menyeru penyokong Timbalan Presiden PAS, Datuk
Tuan Ibrahim Tuan Man agar cepat-cepat berhijrah kepada AMANAH kerana beliau
tidak akan kekal lama dalam PAS.
PAS sebagai parti yang tak berguna ini akan cuba
membersihkan semua pemimpinnya yang mahu kepada kerjasama dengan parti
pembangkang demi kebaikan negara; dan orang seperti Tuan Ibrahim tidak akan
selamat.
Pemimipin PAS sudah silap perkiraan, mereka jangka
Perdana Menteri akan kekal lama, tetapi ahli-ahli PAS yang mahu bersama-sama
mereka sudah banyak berkurangan.
Tak lama lagi yang tinggal dalam PAS hanyalah Datuk Seri
Abdul Hadi Awang, Nik Abduh, Datuk Nik Amar Abdullah beserta Mursyidul Amnya
sahaja.