Monday, March 3, 2014

Pembinaan Lebuhraya Kota Baharu-Kuala Krai Diteruskan April Depan

Kerja-Kerja pembinaan Fasa 1B Lebuhraya Kota Baharu-Kuala Krai sejauh 7 kilometer di Kelantan membabitkan kos RM168.5 juta dijangka bermula April depan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata kerajaan pusat telahpun mengeluarkan surat melaksanakan projek fasa 1B dari Pasir Hor ke Kadok  kepada sebuah syarikat tempatan.

"Masih terdapat beberapa masalah teknikal yang perlu diselesaikan dan saya dimaklumkan bahawa syarikat berkenaan akan memasuki tapak pada 7 April ini," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Inisiatif Wisma Persekutuan Bebas Asap Rokok (Wisbar) di Kota Bharu, semalam.

Mustapa, yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan, berkata projek itu dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

Beliau berkata pihaknya akan berusaha mempercepat proses fasa 2A iaitu pembinaan lebuh raya dari Kadok ke Ketereh, sejauh 6.4 kilometer.

"Kita tengah berusaha supaya tender dapat dikeluarkan lebih awal kerana kita tahu yang walaupun tender dikeluarkan awal, tetapi keputusan mungkin tahun depan," katanya.

Mustapa, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, berkata pihaknya akan mencari jalan bagi membina lebuh raya itu, keseluruhannya sepanjang 74 kilometer, yang menghubungkan negeri Terengganu.

"Kita akan berusaha bersungguh-sungguh kerana kita tahu yang lebuh raya ini merupakan projek yang penting dan setakat ini ada dua fasa, projek ini tidak berakhir di sini sahaja," katanya.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Datuk Makhtar Mustapha, Pengarah Kesihatan Kelantan Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Maher dan Timbalan Ketua Polis Negeri Kelantan Datuk Mazlan Lazim.