Saturday, October 18, 2008

APA NAK JADI DENGAN PEMUDA UMNO KELANTAN?

Malu sungguh menyaksikan gelagat sebahagian pemimpin dan ahli pergerakan pemuda UMNO Kelantan akhir-akhir ini.

Kijang tidak tahu mana mahu letak muka kalau Kijang ahli UMNO.

Sudah pasti tindakan-tindakan ini ditertawakan penyokong Pas kerana musim pilihan raya mereka berdepan dengan kalangan Pemuda UMNO, pada musim pemilihan UMNO, mereka berdepan sesame sendiri.
Kelmarin beberapa ahli Pemuda UMNO Bahagian Kubang Krian melakukan protes di hadapan Pejabat Perhubungan UMNO Kelantan di Kota Bharu.
Mereka melakukan itu kononnya menuntut keadilan dan membantah keputusan Ketua Pemuda bahagian berkenaan.

Semalam pula persidangan perwakilan Pemuda Umno Bahagian Rantau Panjang kecoh apabila sekumpulan individu bertindak agresif dengan menjerit dan melaungkan rasa tidak puas hati bagi membantah jumlah perwakilan yang didakwa tidak sah.

Suasana kecoh itu bermula pada 9.30 pagi apabila mesyuarat berkenaan bermula di Sekolah Kebangsaan Seri Kiambang di sini dan berikutan keadaan itu berlarutan selama sejam, Polis Daerah Pasir Mas terpaksa menggunakan Unit Tindakan Ringan Antirusuhan untuk mententeramkan keadaan.

Suasana tegang itu berlaku apabila Pengerusi Tetap mesyuarat berkenaan Nordin Ibrahim mengumumkan seramai 461 perwakilan daripada 144 cawangan layak mengundi.

Sejurus selepas pengumuman itu, seorang wakil dari kumpulan membantah itu, yang juga merupakan Ketua Cawangan Umno Taman Seri, mendakwa jumlah perwakilan berkenaan tidak sah kerana kemungkinan wujudnya anggota hantu.

Beliau yang dikenali sebagai Suhaimi Che Hussin juga mendakwa jumlah berkenaan mungkin tidak betul memandangkan masih ada bantahan terhadap mesyuarat cawangan yang belum selesai seperti Cawangan Tepi Sungai.

Laporan Bernama menyebut, Ketua Pemuda Umno Rantau Panjang, Affendi Yusof cuba mententeramkan keadaan dengan menjelaskan perkara berkenaan tidak seharusnya timbul kerana jumlah perwakilan itu telah disahkan oleh Jawatankuasa Pemilihan dan Pemantau Badan Perhubungan Umno Kelantan.

Affendi berkata, kekecohan berkenaan sudah dijangka memandangkan beliau sendiri sudah maklum dengan perancangan dan strategi yang dilakukan oleh pihak tertentu untuk mengganggu mesyuarat.

"Saya sudah jangka perkara ini akan berlaku terutamanya setelah empat anggota Umno Rantau Panjang digantung keahliannya," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya bersyukur kerana tidak berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini walaupun penyokong beliau cuba diprovokasi oleh pihak yang tidak berpuas hati.

Ketua Umno Bahagian, Abdullah Mat Yasin ketika ditemui menyifatkan kekecohan berkenaan hanya kerana salah faham memandangkan ada anggota yang tidak tahu cawangan mereka bertukar perwakilan.

"Ada sesetengah cawangan terpaksa diadakan mesyuarat sebanyak dua kali dengan mesyuarat kali kedua dikendalikan oleh Jawatankuasa Pemantau," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Abdullah berkata, jumlah 461 perwakilan berkenaan adalah betul dan telah disahkan oleh Badan Perhubungan Umno Negeri.

"Masalah ini kita percaya wujud kerana penyokong bekas Ketua Bahagian dulu yang tidak berpuashati dengan tindakan Lembaga Disiplin Umno yang mengantung keahlian beliau," katanya.

Mesyuarat berkenaan kemudiannya disambung selepas solat Jumaat ini.
Persidangan itu bagaimanapun sebulat suara mencalonkan Ahli Parlimen Rembau yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin untuk bertanding jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO pada pemilihan parti Mac depan.

Pemuda bahagian itu juga mencalonkan Ketua Pemuda UMNO Kepala Batas, Datuk Reezal Merican Naina Merican untuk bertanding jawatan Naib Ketua pergerakan itu.

KENAPA NIK AZIZ INTIM DENGAN ANWAR?

Apa yang membuatkan Murysidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat begitu taksub dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga terus begitu yakin bahawa Penasihat PKR itu akan menjadi Perdana Menteri?

Jelas sekali di kalangan pemimpin Pas, Nik Azizlah orang yang paling memuja Anwar.
Malah, beliau yang mengetuai Kelantan sejak 1990, masih tetap yakin Pakatan Rakyat akan mengambil alih kerajaan pusat.

Apakah ada apa-apa antara mereka yang menyebabkan Anwar sering menerima layanan istimewa di Kelantan?

Angin bertiup kencang kononnya Anwar ‘menderma besar’ untuk menjamin kerajaan Pas tidak ditumbangkan pada pilihan raya lalu.

Yang mungkin tahu perkara ini pun antara mereka berdua dan mungkin orang ketiga ialah Datuk Husam Musa.

Ditanya tentang peluang dan kemungkinan Pakatan Rakyat membentuk kerajaan pusat, Nik Aziz berkata: "Kami mesti ambil alih kecuali dia (kerajaan) kacau, diguna ISA, ditangkap, itu lainlah."

Tambah beliau, jika demokrasi dilaksana dengan sepenuhnya, sudah lama Umno digantikan dengan kerajaan baru.

"Kami yakin, syaratnya demokrasi diberi peluang penuh, tiada gangguan ISA, tiada ditangkap, kecuali dia ditangkap macam komunis," katanya.

Sambil itu beliau menekankan bahawa pihaknya akan tetap memilih Anwar sebagai Perdana Menteri jika pembangkang berkuasa di peringkat persekutuan.

Keputusan memilih Anwar itu, kata Nik Aziz, kerana sudah lama dipersetujui oleh pembangkang.

Mengenai perbezaan pandangan dan tidak puas hati dalam isu pembentukan kerajaan oleh Pakatan Rakyat dan diketuai Anwar jika menjadi, Nik Aziz berkata, masalah itu tidak wujud secara keseluruhan.

Beliau akui wujud sedikit perasaan ragu-ragu memandangkan Anwar dituduh liwat sedangkan mahkamah tuduhan kali pertama mahkamah sudah lepaskan beliau.

Anwar, kini Ketua Pembangkang di Parlimen, pernah berhadapan dengan kes liwat 10 tahun lalu tetapi dibebaskan dan berhadapan dengan tuduhan buat kali kedua Ogos lalu.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, pembangkang telah memutuskan memilih Anwar ketika pihaknya bersetuju untuk mewujudkan barisan alternatif sembilan tahun lalu.

"Cerita Anwar (dipilih sebagai Perdana Menteri) sudah lama... belum pada ini kita ada APU (Angkatan Perpaduan Ummah), lepas itu Barisan Alternatif, masa kita buat (bentuk) BA, kita dah buat keputusan, Perdana Menterinya Anwar... bukan cerita baru," kata beliau.

Barisan alternatif dibentuk oleh pembangkang ketika menghadapi pilihan raya umum 1999 dan 2004.Matlamatnya memang pilihan raya dan menggantikan BN.

Selepas pilihan raya umum Mac lalu pihaknya menamakan ikatan pembangkang sebagai Pakatan Rakyat.

Nama itu diumumkan pada 1 April lalu dengan menyasarkan 16 September bagi membentuk kerajaan baru persekutuan.

Bagaimanapun pada tarikh tersebut kerajaan baru tidak dibentuk, sebaliknya Anwar selaku Ketua Umum Pakatan Rakyat meminta diadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Malah Anwar juga meminta supaya diadakan sidang khas Parlimen untuk membincangkan sokongan anggota Dewan Rakyat pada 23 September lalu.
Kedua-dua permintaan itu telah ditolak oleh Abdulllah.