Thursday, November 5, 2015

Husam Bimbang Elaun & Gaji Naik Tetapi ‘ YB Tak Buka Pintu’


Isu kenaikan elaun dan gaji wakil rakyat Kelantan semakin ‘panas’ kerana kenyataan Datuk Husam Musa diulas oleh tiga pemimpin PAS, termasuk Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad.

Dua ulasan oleh pemimpin PAS  iaitu  Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah mempertahankan kenaikan elaun dan gaji wakil rakyat di Kelantan.

MohdAmar berkata tidak wujud sebarang paksaan atau ugutan sebagaimana yang didakwa di sebalik kenaikan elaun wakil rakyat yang diluluskan sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan, 2 November (Isnin lalu).

Menurutnya, dakwaan yang dinyatakan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor itu tidak benar, malah semua wakil rakyat yang hadir tidak menolak cadangan kenaikan tersebut.

“Tidak ada pun, dakwaan itu serius , tidak ada paksaan untuk bersetuju. Kalau tidak mahu, tulis surat kepada kerajaan, tidak masalah, bagi pada rakyat dan sebagainya,” katanya.

Mohd Amar berpendapat, tidak sesuai dengan masa sekarang hanyalah pandangan peribadi bekas exco kerajaan negeri itu dan perkara tersebut sebenarnya telah dibincangkan sejak zaman keberadaan arwah Tok Guru Nik Aziz lagi.

NikAbduh turut mempertahankan tindakan kerajaan negeri Kelantan menaikan elaun ADUN, Exco, Timbalan, Menteri Besar dan Speaker Kelantan yang berkuat kuasa Januari tahun hadapan.

Menerusi posting di laman Facebook miliknya, Nik Abduh yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, semua kenaikan gaji yang diluluskan di Parlimen dan dewan-dewan negeri adalah betul.

"Yang tak betul ialah gaji tak naik-naik. Hanya kerajaan gila sahaja naikkan gaji sesama mereka tanpa naikkan gaji kakitangan awam,' tulisnya.

Pertentangan pendapat antara Husam dan Idris pula berlaku apabila ADUN Salor itu menolak logik Idris yang mempertahankan kenaikan elaun wakil rakyat Kelantan.

Husam terus bersikap sinis dengan berkata beliau tidak sangka Idris seorang yang “melucukan dan sangat pro kenaikan gaji wakil rakyat”.

“Dasar kesederhanaan pemimpin yang dianjurkan oleh PAS nampaknya dah sirna belum sepenggal bergelar YB.

“Gaji wakil rakyat besar, senanglah rakyat - itu logik YB Bukit Gantang (Idris). Ya kah begitu?

“Ada sesetengah wakil rakyat, pintu pagar rumahnya pada kebanyakan masa berkunci.
Bila gaji sudah naik, pintunya akan terbuka?” soal Husam, seorang naib presiden PAS sebelum Idris.

SinarOnline semalam melaporkan Idris sebagai berkata kerajaan Kelantan sudah mengambil kira pelbagai faktor sebelum menaikkan elaun ADUN, exco, timbalan, menteri besar dan speaker yang berkuat kuasa Januari depan.

Beliau berkata wang yang diperoleh itu akan turut berakhir di tangan rakyat, antaranya melalui bantuan kepada golongan susah.

Ulasan oleh Teganuku mengenai isu ini juga menarik. Dengan tajuk ‘Jangan susah hati Husam…kenaikan gaji selepas semua pertimbangan’ menyebut, bukan Kelantan sahaja gaji wakil rakyat naik.

 Jiran sebelah, Terengganu dan Pahang pun mengalami kenaikan juga, malah lebih besar!

Di Pahang, gaji ADUN naik 167 peratus.

Pada 29 Mei lalu, sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ni meluluskan kenaikan gaji 42 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada RM4,112 kepada RM11,000 sebulan, berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Kenaikan itu juga membabitkan gaji Speaker DUN daripada RM6,109 kepada RM14,000 sebulan dan Timbalannya (RM2,662 kepada RM7,000 sebulan).


Sementara itu, gaji Menteri Besar pula dinaikkan kira-kira 110 peratus daripada RM14,175 kepada RM30,000 sebulan manakala Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (RM6,109 kepada RM14,000 sebulan) dan gaji Setiausaha Politik Menteri Besar (RM3,993 kepada RM9,000 sebulan).

Gaji Menteri Besar Kelantan yang diluluskan oleh sidang DUN Kelantan pada 2 November itu bukan besar pun berbanding gaji Menteri Besar Pahang  dan Terengganu.

Elaun menteri besar Kelantan naik daripada RM12,800 kepada RM15,000 sebulan tetapi di Terengganu, enakmen yang diluluskan oleh persidangan DUN Terengganu pada 8 September lalu ialah Menteri Besar kini menerima gaji RM30,000 sebulan berbanding RM14,000 sebelum itu.

Yang Dipertua Dewan dan Exco Terengganu menerima gaji RM14,000 sebulan berbanding RM6,100 sebelum ini.

Kesemua 32 ADUN kini menerima gaji RM11,000 sebulan berbanding RM4,112 sebelum ini.

Dalam kenyataannya di Facebook hari ini, Husam, anak didik ikon perjuangan PAS allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat, berhujah isu kenaikan gaji sebenarnya masih boleh disemak selepas ini kerana pada Mac depan DUN Kelantan akan bersidang lagi.

Ketika itu, katanya, sebahagian besar isu yang dibangkitkannya mungkin telah diselesaikan.

“Lima bulan sahaja untuk bersabar berbanding sudah sepuluh bulan lebih rakyat dilanda bah menunggu. Itulah pengorbanan, kalau pun hendak dikira sebagai berkorban. Dengan itu, imej pejuang Islam di mata rakyat tidak rosak,” katanya.

Beliau mengingatkan bahawa PAS mengajar untuk mengutamakan kewajipan kepada rakyat terlebih dahulu.

Bagi Husam,  beliau membangkitkan isu kenaikan itu ketika banyak lagi perkara belum selesai.

Husam antaranya membangkitkan soal banyak lagi rumah yang dihanyutkan banjir besar tahun lalu belum terbina, selain beberapa bayaran tertunggak kerajaan negeri.

“Tunggakan guru YIK (Yayasan Islam Kelantan) belum berbayar sejak 16 bulan. Bayaran pencarum kifalah juga tertunggak. Peserta Ladang Rakyat belum menerima dividen,” kata bekas exco ekonomi negeri itu.


Malah, soalan menarik untuk Husam yang belum dijawab oleh beliau seperti yang disebut oleh Teganukini ialah: “Kita tunggulah, sama ada Husam akan tolak kenaikan itu atau 'enjoy' dengan kenaikan yang tidaklah setara dengan kenaikan ADUN di Terengganu dan Pahang.”