Sunday, July 19, 2009

Hindraf pun tak harapkan Pakatan Rakyat?

Sumber: mStar

Harapan terhadap PKR, DAP dan PAS berkecai!

Ini sebahagian daripada luahan perasaan pemimpin pertubuhan Hindraf, P. Uthayakumar dalam tulisannya yang dikeluarkan dalam bentuk buku setebal 114 halaman hari ini.

Kata beliau, ketiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat itu kini mula mengabaikan kepentingan masyarakat India kerana dilihat sudah tiada kekuatan politik.

"Inilah hakikat politik yang kita lalui sekarang," kata beliau dalam bukunya bertajuk Malaysian Indian Political Empowerment Strategy: The Way Forward yang dilancarkan sempena pengumuman penubuhan Parti Hak Asasi Manusia.

Kandungan buku itu dihasilkan ketika beliau berada dalam tahanan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri selama 514 hari di Kamunting, Taiping.

"Adalah jelas dan ketara bahawa apa yang PKR, DAP dan PAS mahukan daripada kita ialah hanya undi semata-mata.

"Ahli politik adalah ahli politik! Sejauh mana bezanya lima kerajaan negeri pimpinan PKR, DAP dan PAS berbanding bekas kerajaan negeri diterajui Umno ataupun kerajaan pusat Umno bagi (kepentingan) masyarakat India?" katanya.

Beliau memuatkan kekecewaan dengan prestasi Pakatan Rakyat yang didakwa tidak membantu masyarakat India dalam 10 halaman.

Katanya, selepas pilihan raya umum 2008 ketiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat yang sepatutnya dilihat sebagai "parti pelbagai kaum" telah mengabaikan kepentingan masyarakat India.

"Kini kita berhadapan dengan keadaan sebenar dan sudah bersedia untuk bercakap mengenai realiti politik.

"Kita perlu berhadapan dengan fakta ini. Sebagai contoh salah satu daripada 18 perkara yang dituntut ialah kesemua 523 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, kuil, krematorium, lokasi pengebumian dan kawasan setinggan diduduki masyarakat India diberikan tanah kerajaan dan diwartakan dengan sewajarnya," katanya sambil menambah, keadaan sebaliknya berlaku sekarang.

Tambah beliau, "nampaknya PKR, DAP dan PAS tidak berminat untuk menyelesaikan mana-mana perkara yang dituntut itu walaupun beberapa bidang terletak seratus peratus di bawah kerajaan negeri".

Hindraf mengadakan perhimpunan di ibu negara dalam usaha mengetengahkan 18 tuntutan itu pada 25 November 2007 - lima bulan sebelum pilihan raya umum ke-12.

Gelombang kemarahan itu digunakan sebagai modal kempen oleh Pakatan Rakyat ketika pilihan raya umum Mac 2008 dan dilihat telah menyumbang kepada prestasi baik pembangkang yang menawan lima kerajaan negeri dan menindakkan majoriti dua pertiga BN di Parlimen.

CHUA TIPU ORANG CINA

Tidak usah diratap atau disedihkan.

Lepas dan biarkan bekas Naib Presiden MCA itu, Datuk Chua Jui Meng sesat jalan dengan memilih parti perkauman seperti PKR untuk meneruskan sisa politiknya.

Lagipun, dia merasa sudah cukup menabur bakti sebelum ini.

Namun yang pasti Chua tipu orang Cina yang menyokong Barisan Nasional (BN) kerana sehari sebelum itu beliau bersandiwara mengatakan untuk memberikan ruang kepada orang lain apabila beliau meletakkan jawatan dalam bahagian.

Apapun, Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat sedih dengan tindakan Datuk Chua Jui Meng meninggalkan MCA untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Menurut Menteri Pengangkutan itu, walaupun sedih, beliau menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka kerana melihat tindakan itu sebagai perkara biasa dalam politik.

''Saya sedih kerana beliau merupakan orang lama dalam parti. Saya harap keputusan ini adalah untuk kebaikan rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan MCA di semalam.

Ditanya adakah keputusan bekas Menteri Kesihatan itu memberi kesan kepada MCA, Tee Keat berkata, setiap hari akan ada orang yang masuk dan keluar parti.

''Inilah politik. Sesiapa sahaja berhak untuk menyertai mana-mana parti," ujarnya.

Tee Keat berkata, hubungan persahabatan antara mereka tidak pernah terjejas walaupun kedua-duanya bertanding pada pemilihan parti yang diadakan tahun lalu.

Berhubung soalan adakah keputusan Jui Meng menyertai PKR disebabkan perasaan tidak puas hati terhadap kepimpinannya, Tee Keat berkata, isu itu tidak timbul kerana Jui Meng sebelum ini meminta pengikutnya terus menyokong kepimpinan beliau.

Sementara itu, Naib Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai kecewa dengan tindakan bekas Menteri Kesihatan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PRK) semalam.

Katanya, beliau pernah berhubung dengan Jui Meng baru-baru ini dan tiada sebarang petanda yang menunjukkan bekas Naib Presiden MCA itu akan keluar parti untuk menyertai pakatan pembangkang.

"Saya pernah cakap beberapa hari lalu bahawa saya yakin Jui Meng akan kekal dalam MCA kerana parti ini ada banyak ruang untuk beliau meneruskan kerjanya.

"Jui Meng mungkin mempunyai cita-cita dan matlamatnya tersendiri sehingga mendorong beliau mengambil keputusan untuk menyertai PKR," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Kesejahteraan Energy TSM Wellness Sdn. Bhd. di Plaza Damas, Sri Hartamas semalam.

Khamis lalu, Jui Meng mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ketua MCA Bahagian Bakri, Johor yang disandangnya sejak 23 tahun lalu.

Beliau menyerahkan kepimpinan MCA bahagian itu kepada timbalannya, Sia Ka Tuan dan berharap peralihan kuasa itu dapat menyelesaikan masalah dalaman di bahagian berkenaan.
Bagaimanapun, Jui Meng hari ini mengisytiharkan menyertai PKR dalam satu forum anjuran PKR.

Menurut Tiong Lai, pucuk pimpinan MCA amat berharap semua pemimpin parti bersatu padu membantu mengukuhkan parti khususnya apabila ia sedang melalui saat-saat getir selepas pilihan raya umum lalu.

Jui Meng menyandang jawatan Menteri Kesihatan dari 1995 hingga 2004 dan beliau bertanding dua kali pada 2005 dan 2008 bagi jawatan Presiden MCA namun tewas kedua-duanya kepada Tan Sri Ong Ka Ting dan Datuk Seri Ong Tee Keat.

APAKAH YANG SEBENARNYA TERJADI DI SELANGOR?

Daripada Parpukari

Wee Chee Keong di dalam blognya mendedahkan yang ada ah li exco dalam Selangor yang bela gangster. Bukan itu sahaja, malah beliau menambah lagi, kebanyakan ah long dan tauke rumah-rumah urut ini juga di bela oleh Ahli Exco terbabit. Baca Selanjutnya...

Tiba-tiba Ronnie Liew dan Teresa Kok berbunyi dan mengamuk, malah mereka mengecam ahli Parlimen Wangsa Maju ini supaya jangan menuduh yang bukan-bukan, dalam jawapan balas Wee Chee Keong kepada dua ADUN DAP Selangor itu, beliau terkejut mengapa mereka mengamuk? Sebabnya YB Wee tidak menyebut nama sesiapapun!

Pelik bukan? Ya, begitu juga perasaan Ahli Parlime Wangsa Maju tersebut, malah beliau telah menulis di dalam blognya, 'SIAPA MAKAN CILI DIA RASA PEDAS!'

Tiba-tiba pulak hari ini kita mendengar berita kematian seorang pembantu kepada Exco Selangor, tak cukup dengan itu, dia mati bersebelahan bangunan SPRM! Pelik bukan?

Cubalah anda fikirkan dengan akal yang waras, kalaulah SPRM terllibat dalam insiden ini, adakah mereka begitu bodoh sekali sehingga mahu melakukan sesuatu di tempat mereka sendiri? Adakah mereka akan melakukan semasa mereka menjalankan siasatan?

Kenapa kita terlalu mudah mempercayai sebuah parti yang ada kaitan dengan 'underworld'? Jika anda membca posting sebelum ini, soal-siasat tersebut selesai jam 3.45 pagi! Tetapi si mati itu masih tidak mahu pulang dan beliau berada di situ hingga jam 6 pagi!

Apakah dia tidak ada kenderaan sendiri? Adakah dia sedang menunggu untuk pengangkutan awam beroperasi di awal pagi baru dia mahu pulang? Bukankah dia memiliki kenderaan sendiri? Mengapa dia buat begitu? Dimanakah dia sehingga waktu kejadian? Apa yang berlaku sebenarnya?

Saya tiada jawapannya dan saya percaya anda pun tiada jawapannya! Yang tinggal hanyalah andaian-andaian liar, bagaimana perkara ini boleh terjadi? Mungkinkah dia bunuh diri kerana terlampau banyak rahsia yang sudah terbongkar?

Mungkingkah dia bunuh diri atau di bunuh untuk menjadikan perkara ini satu isu besar? Mungkinkah dia bunuh diri supaya dia bunuh diri kerana pihak yang terlibat sudah tahu mengenai 'pembocoran rahsia' kegiatan mereka?

Sebenarnya ada banyak kemungkinan, kalau pembaca sekalian lihat semua artikel di atas dan membuat rumusan sendiri, apakah yang dapat anda rumuskan? Sememangnya pelbagai andaian yang boleh dibuat!

Kalau tidak ada angin tak akan pokok bergoyang bukan? Mahu tak mahu perkara ini sudah pun berlaku maka sebaiknya kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk membuat penyiasatan lanjut, saya percaya bangunan-bangunan ini semua mempunyai CCTV!

Kepada pihak berkuasa, siasatlah perkara ini dengan teliti, sekiranya terdapat perbuatan khianat maka seharusnya ianya dibongkarkan untuk pengetahuan umum! Tidak kira pihak mana yang terlibat! Kami mahukan kebenaran!

Sedikit renungan untuk anda semua! Seburuk-seburuk kerajaan BN dulu pun, rumah urut hanya sekitar 700 sahaja, sekarang dengar khabarnya sudah ada sekitar 4000 rumah urut, belum lagi kita sebut tentang kedai perjudian, kedai lumba kuda dan pelbagai lagi!

Apa nak jadi dengan negeri yang terkaya di Malaysia ini ya? Saya sedih melihat keadaan di negeri Selangor ini, kepada yang mengundi pembangkang pada PRU12 tempohari, adakah anda gembira dengan pentadbiran Selangor sekarang?

Janganlah disebabkan dapat air yang murah maka kita ditipu oleh mereka yang tidak bertanggungjawab ini untuk merampok harta negeri Selangor? Berbaloikah mereka menjadi kerajaan? Kalau benarlah dakwaan YB Wee, apa peranan PAS di Selangor sebenarnya?

Cukup setakat ini dulu, anda bebas memberi pendapat disini, cuma satu yang saya pinta, janganlah kita menjadi hakim atau polis, janganlah pulak kita memandai-mandai jatuhkan hukuman, biarlah pihak yang berkuasa menyiasatnya!

Ya Allah Ya Tuhanku, Selamatkanlah negeri Selangor Darul Ehsan! Amin