Wednesday, April 22, 2009

POLITIK TERENGGANU - MAKIN BENGONG DIBUATNYA

Mana satu yang betul?

Kijang naik pening dengan politik negeri jiran. Terengganu.

10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kata Menteri Besar tidak dapat sokongan.

Tetapi lain pula kenyataan Badan Perhubungan UMNO Terengganu.

Malas nak komen, bacalah laporan Malaysiakini ini.

Tujuh ketua Umno sokong MB T'ganu

Muda Mohd Noor | Apr 21, 09 3:15pm

Tujuh daripada lapan ketua bahagian Umno di Terengganu menyatakan sokongan mereka terhadap Menteri Besar, Datuk Ahmad Said untuk terus menerajui kerajaan negeri itu.

Hanya ketua bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh - salah seorang daripada 18 ADUN di Terengganu yang mendesak Ahmad meletak jawatan - tidak menyokongnya.

Bagaimanapun, ketua Wanita, Pemuda dan Puteri Umno bahagian Besut turut menyokong kepimpinan Ahmad (foto).

Perkara ini dinyatakan oleh Setiausaha badan perhubungan umno negeri, Datuk Rosli Mat Hassan ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Katanya, mereka menyatakan sokongan kepada Ahmad dalam perjumpaan anjuran Umno negeri di Kuala Terengganu, Sabtu lalu.

Daripada 24 ADUN BN di Terengganu, hanya tiga orang - Idris (Besut), Ahmad (Kemaman) dan Yahya Khatib Mohamad (Marang) - merupakan ketua bahagian

Kemelut politik

Bagaimanapun, katanya, ketua Puteri Kuala Terengganu, Nordiana Shafie tidak hadir dalam perjumpaan tersebut kerana baru bersalin.

“Manakala kesemua mereka yang hadir pada hari itu telah menyatakan sokongan kepada Datuk Ahmad sebagai menteri besar.

“Kita (Umno Terengganu) akan menghantar laporan ini kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya.

Rosli mengulas kemelut politik di Terengganu sekarang, selepas 18 ADUN BN mendesak Ahmad meletak jawatan menteri besar.

Mengenai bantahan ADUN-ADUN terbabit terhadap pelantikan Ketua Wanita Umno bahagian Dungun, Zainon Abu Bakar sebagai Senator, Rosli berkata:

“Pelantikan tersebut dibuat setelah dibincangkan oleh ketua-ketua bahagian Umno di seluruh negeri.

Lantikan senator

“Tetapi Idris tidak datang dalam perbincangan tersebut,” katanya.

Rosli menambah, Zainon dipilih kerana beliau layak menjadi senator berdasarkan kesetiannya kepada parti.

Katanya, Zainon mempunyai kelulusan diploma dan juga sudah 25 tahun bersama Umno.

“Oleh kerana jarang Umno wanita di Terengganu bertanding dalam pilihanraya, maka jawatan senator sesuai untuk beliau,” katanya.

Mengenai rungutan bahawa ADUN tidak dilantik sebagai pengerusi penyelaras DUN masing-masing, Rosli berkata, ketua Umno bahagian diberi mandat untuk melantik siapa sahaja yang boleh menjalankan tugas tersebut.

Katanya, ini kerana ketua Umno bahagian yang lebih tahu perkembangan di kawasan masing-masing.