Sunday, September 5, 2010

DINAR - KALAU SEKADAR 'SUKARELA', APA SANGAT ISTIMEWANYA?

Sebelum ini 'geger' satu Malaysia.

Dinar dan dirham kononnya nak dijadikan mata wang alternatif. Boleh digunakan untuk perdagangan dan bayar gaji.

Tetapi semalam Kelantan Golden Trade Sdn Bhd, agensi kerajaan negeri Kelantan yang bertanggung jawab terhadap penjualan dinar emas dan dirham perak, menegaskan bahawa syiling berkenaan bukan satu wang sah.

Kalau sudah demikian halnya, kenapa Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Exco kanannya, Datuk Husam Musa begitu beria-ia mengatakan ia sebagai pengganti (alternatif) kepada mata wang sedia ada?

Dalam soal seperti ini pun mahu dijadikan isu politik? Jika awal-awal mengatakan ia hanya sebagai sesuatu yang 'sukarela', keadaan menjadi lebih mudah.

Atau Nik Aziz sendiri tidak tahu dinar dan dirham ini boleh dijadikan mata wang pilihan? Atau Nik Aziz dibekalkan maklumat salah?

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Kelantan Golden Trade, Umar Ibrahim Vadillo berkata penggunaan dinar dan dirham Kelantan semata-mata berdasarkan sukarela.

"Tiada siapapun dipaksa menggunakan atau membeli syiling itu seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak media. Orang ramai membeli syiling itu secara sukarela dan kedai-kedai yang menyertai jaringan itu juga dilakukannya secara sukarela," katanya pada satu taklimat media mengenai perkembangan terbaharu dinar emas dan dirham perak di sini.

Katanya Perbadanan Menteri Besar Kelantan, Kelantan Golden Trade dan agensi kerajaan yang lain juga bersetuju membenarkan warga kerja masing-masing yang mahu sebahagian gaji mereka dibayar menggunakan dinar dan dirham, diberikan syiling berkenaan atas permintaan mereka sendiri dan berasaskan sukarela.

Katanya beliau kecewa dengan sesetengah media, mengenai cara ia dilaporkan.

Media lagi yang silap?

Bagi saya yang silap ialah apabila pemimpin PAS merasakan perkara ini sebagai pencapaian yang terlalu besar untuk Kelantan selain menguji Kerajaan Pusat sama ada ia boleh digantikan ringgit.

Nawaitu sudah tidak betul. Jangan salahkan media dalam soal ini. Media tidaklah sebodoh atau bebal mengenai dinar dan dirham.

"Isu wang sah jelas tiada kena mengena dengan kami," katanya semasa ditanya sama ada beliau kecewa dengan laporan media yang menyatakan bahawa negeri itu cuba menggunakan syiling itu sebagai wang sah.

Umar berkata syarikat itu memahami sepenuhnya bahawa hanya Bank Negara Malaysia berhak di bawah undang-undang untuk mengeluarkan mata wang di Malaysia dan ringgit adalah satu-satunya mata wang yang merupakan wang sah bagi pembayaran barangan dan perkhidmatan di negara ini.

Umar menjelaskan bahawa pengenalan dinar emas dan dirham perak di Kelantan bukan idea baharu atau satu eksperimen tetapi ia adalah pertama kali dalam sejarah bahawa rakyat diberi pilihan untuk menggunakan syiling bagi pembayaran zakat dan perkhidmatan.

Kerajaan negeri Kelantan telah memperkenalkan dinar emas dan dirham perak bernilai RM2.0 juta bagi rakyat di negeri itu pada 12 Ogos tahun ini.

Sehingga ini, dinar emas bernilai kira-kira RM1.5 juta telah terjual. Nilai dinar emas dan dirham itu adalah berasaskan harga pasaran.

Sehingga semalam. harga satu dinar ialah kira-kira RM592 dan RM13 bagi dirham.

Umar berkata kerajaan negeri merancang menggandakan operasi modal syarikat itu daripada RM2.0 juta kepada RM4.0 juta bagi membolehkan pengeluaran lebih besar syiling itu.

Kelantan Golden Trade turut merancang menambah pengeluaran syiling itu pada kemudahan menempa kedua di Pulau Pinang bersama-sama dengan Public Gold Sdn Bhd.

Pengeluaran pertama dilakukan oleh Emirates Gold di Dubai.

SATU LIANG LAHAD...

Mohd Yusof Awang Besar membacakan surah yasin di pusara isterinya, Norliza Ishak dan anaknya, Amirul Ayman yang dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pinang, Tumpat, Kelantan, 4 Sept. Kedua beranak itu mati selepas dibunuh di rumahnya di Port Dickson, Negeri Sembilan. - Utusan

Norliza Ishak,35 dan anak lelakinya Amirul Ayman Mohd. Yusof, 10,kelmarin ditemui mati dibunuh dengan kaki dan tangan terikat serta kepala mangsa dibalut kain sarung dalam kejadian di sebuah flat di Jalan Sutera Lama berhampiran Pasar Besar di Port Dickson.

Mangsa mengajar di Sekolah Kebangsaan Port Dickson dan berasal dari Kampung Pulau Kerbau, Palekbang, Kelantan.

Ketika kejadian, dia hanya tinggal bersama anak lelakinya kerana suaminya menguruskan perniagaan di Kaherah, Mesir.

“Norliza sepatutnya naik bas malam semalam(Jumaat) untuk pulang menyambut Aidilfitri di Kelantan. Dia menunjukkan tiket bas kepada saya dan saya berjanji menghantarnya ke stesen bas,” kata Norhayati Zainuddin, 25, rakan Norliza.

Norhayati berkata, dia berjanji menghantar Norliza, guru agama dan Amirul Ayman ke stesen bas Terminal One, Seremban kerana dua beranak itu dijadual menaiki bas jam 10 malam.

“Arwah nampak seronok ketika beritahu mahu pulang ke kampungnya di Pulau Kerbau, Palekbang, Tumpat, kerana dia dapat cuti agak lama tahun ini,” kata Norhayati.

Menurutnya, dia sempat keluar bersama Norliza di sekitar Port Dickson membeli-belah sebelum menghantarnya pulang ke rumah, petang kelmarin.

“Pagi ini (kelmarin) saya tak nampak anaknya di kelas menyebabkan saya tak sedap hati, lalu saya cari Norliza yang mengajar di sekolah sama. Tetapi rakan beritahu mereka juga tidak melihatnya.

Saya menelefon Norliza dan anaknya, namun kedua-duanya tiada jawapan,” katanya.

Norhayati berkata, dia mengambil keputusan pergi ke rumah mangsa, namun mendapati ia berkunci menyebabkannya pulang semula sebelum memberitahu Guru Besar Sekolah Kebangsaan Port Dickson (SKPD), Maimunah Samek.

“Saya dan beberapa guru pergi semula ke rumah mereka sebelum menemui dua beranak itu dalam keadaan menyayat hati di dalam bilik air,” katanya.

WABAK DEMAM DENGGI MAKIN SERIUS DI KELANTAN

Wabak demam denggi di Kelantan semakin serius dengan peningkatan 136 peratus, dengan purata tujuh kes dilaporkan setiap hari, kata Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Wan Mansor Hamzah.

Beliau berkata, sehingga akhir minggu ini, sebanyak 852 kes dikesan dengan sembilan kematian, dan antara jajahan paling serius ialah Kota Baharu (677 kes), Pasir Mas (604) serta Tanah Merah (168).

"Peningkatan ini membimbangkan dan langkah-langkah segera diambil bagi mengatasi masalah itu daripada berterusan,” katanya ketika menyampaikan taklimat kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industr,i Datuk Seri Mustapa Mohamed yang melawat mangsa demam denggi di Hospital Pasir Mas, Lati semalam.

Dr. Wan Mansor berkata antara langkah pencegahan dan kawalan yang dilakukan ialah memusnahkan tempat pembiakan nyamuk di kawasan air bertakung, memutuskan kitaran hidup nyamuk dengan semburan kabus, selain menggalakkan masyarakat mengamalkan kebersihan.

"Pihak kami juga sudah membentangkan wabak kes demam denggi ini kepada Jawatankuasa Bencara dan Wabak Negeri dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Aiseri Alias pada 18 Ogos lepas.

"Selain itu, kita juga mengatur program pendidikan dengan mengadakan 776 ceramah, 231pameran, 147 gotong royong di samping mengenakan 1,188 kompaun terhadap mereka yang melakukan kesalahan berkaitan kes (pembiakan nyamuk aedes) itu,” katanya