Seorang penggiat makyong terkenal di Kelantan meminta kerajaan negeri itu mengkaji semula larangan persembahan kesenian tersebut yang terkandung di dalam Enakmen Hiburan dan Kawalan Tempat-tempat Hiburan 1998 Kelantan.
Rohani Mat Zain, 55, yang dianggap sebagai primadona makyong selepas era Allahyarham Khadijah Awang berkata ini kerana persembahan kesenian itu tidak lagi mengamalkan aspek pemujaan seperti sebelum ini.
"Kami kini sudah memulakan persembahan dengan membaca doa selamat dan tidak lagi ada unsur pemujaan seperti dulu.
"Cuma kami akui artis yang mempersembahkan teater makyong ini adalah campuran lelaki dan perempuan bagi menghidupkan watak-watak tertentu dan juga pemuziknya adalah lelaki," katanya di Jeli semalam.
Sejak PAS mentadbir Kelantan pada 1990, beberapa persembahan kebudayaan negeri itu beransur-ansur dilarang daripada dipersembahkan secara terbuka kerana didakwa mengandungi unsur khurafat serta melibatkan pergaulan lelaki dan perempuan.
Larangan itu termaktub dalam Enakmen Hiburan dan Kawalan Tempat-tempat Hiburan 1998 Kelantan yang turut meliputi peresembahan menora, wayang kulit tradisional, main puteri, tinju siam dan melaga haiwan.
Namun selepas pengubahsuaian beberapa persembahan seperti wayang kulit , tinju siam termasuk snuker telah kembali dibenar diadakan secara terbuka di negeri itu.
Makyong antara kebudayaan Kelantan tertua di negeri itu yang telah diiktiraf sebagai warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).
Baru-baru ini Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Datuk Norliza Rofli meminta kerajaan Kelantan melonggarkan syarat persembahan kesenian makyong di Taman Budaya Negeri apabila pusat kesenian pertama di Kelantan yang bernilai RM15 juta itu siap dan beroperasi sepenuhnya September ini.
Norliza dilapor berkata jika syarat itu tidak dilonggarkan ianya akan membantutkan usaha pihak jabatan untuk mengetengahkan kesenian tersebut sebagai warisan dunia.
Mengulas lanjut, Rohani berkata sebagai warisan dunia, makyong tidak seharusnya sepi di tempat sendiri sedangkan di negara luar persembahan kebudayaan itu dikagumi masyarakat antarabangsa.
Pernah mengadakan persembahan di beberapa negara asing, Rohani yang kini mengetuai Kumpulan Warisan Sari menyatakan kesanggupannya untuk bertemu sendiri Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung perkara itu.
"Saya sanggup bertemu Datuk Nik Aziz bagi menyatakan harapan kami agar persembahan ini dibenar dipentaskan secara terbuka dan menarik semula larangan itu," katanya.
Beliau juga bimbang persembahan itu akan pupus memandangkan ada ibu bapa melarang anak-anak mereka daripada mempelajari seni tersebut.
Sementara itu, kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan untuk membenarkan persembahan makyong diadakan secara terbuka sekiranya tokoh budaya dan seni mampu membuktikan persembahan kesenian itu tiada unsur khurafat yang bercanggah dengan hukum Islam.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata beliau pernah meminta tokoh budaya dan seni agar memberikan input bahawa kandungan seni seperti menora, main puteri dan makyong tidak bercanggah dengan hukum Islam.
"Kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk bersikap adil kepada penggiat seni di negeri ini dan keputusan larangan persembahan kesenian tersebut sebelum ini tidak dibuat sewenang-wenangnya sebaliknya ia berdasarkan fatwa yang dikeluarkan yang menyatakan persembahan itu didapati mengandungi unsur yang bercanggah dengan Islam," kata beliau.
"Sebagai contoh persembahan yang ada jampi, kalau boleh dibuktikan bahawa ia bukan satu pemujaan dan satu benda yang tidak bercanggah, kita boleh pertimbang balik," katanya di Kota Bharu semalam.
Menurutnya kerajaan negeri bersedia mengadakan perbincangan dan mendengar hujah daripada tokoh budaya berhubung perkara itu.
"Secara peribadi saya pun tidak faham apa maksud jampi serapah itu, bagaimanapun saya cuba mengambil contoh orang main bola, kena pemanasan dulu, boleh jadi, apa yang dianggap jampi itu adalah sebagai pemanasan (dalam persembahan makyong) untuk hilangkan gemuruh sebelum membuat persembahan," kata Takiyuddin.
Kerajaan negeri sentiasa bersikap adil dalam memastikan seni itu kekal apa lagi seni makyong yang sememangnya sudah lama wujud dan bertapak di negeri ini, tetapi jangan ada elemennya yang bercanggah dengan hukum Allah tegasnya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan beberapa penggiat makyong Kelantan semalam yang meminta kerajaan negeri mengkaji semula larangan persembahan kesenian tersebut yang terkandung dalam Enakmen Hiburan dan Kawalan Tempat-tempat Hiburan 1998 Kelantan.
Larangan itu termaktub dalam Enakmen Hiburan dan Kawalan Tempat-tempat Hiburan 1998 Kelantan yang turut meliputi persembahan menora, wayang kulit tradisional, main puteri, tinju siam dan melaga haiwan.