Monday, August 9, 2010

JEANS LEVI'S BERNILAI RM36,000 DIRAMPAS

Pasukan Gerakan Am (PGA) Kelantan merampas 360 helai seluar jeans jenama Levi's bernilai RM36,000 yang diseludup dari negara jiran di dua lokasi berasingan berdekatan Pangkalan Haram Tok Awang dan Pangkalan Haram Haji Ghani di Rantau Panjang hari ini.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion Kelapan Supt Rooslan Radzi berkata rampasan pertama pukul 7.30 pagi melibatkan 200 helai seluar jeans di Pangkalan Haram Tok Awang manakala rampasan kedua pukul 9 pagi membabitkan rampasan 160 helai seluar.

Ketika ditemui pemberita di Rantau Panjang, beliau berkata sebelum itu, PGA yang membuat rondaan biasa terlihat sekumpulan lelaki sedang mengangkut keluar bungkusan yang mengandungi seluar dari bot yang terletak di pinggir Sungai Golok berdekatan pangkalan itu.

Apabila didekati, katanya kumpulan lelaki itu melarikan diri ke negara jiran dengan menaiki bot yang terletak di pinggir sungai itu.

"Hasil pemeriksaan mendapati bungkusan yang ditinggalkan oleh lelaki terbabit mengandungi seluar jeans jenama Levi's yang diseludup masuk ke negara ini," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata tiada tangkapan dibuat dan semua suspek yang dipercayai rakyat negara jiran berjaya melepaskan diri.

Sementara itu, Rooslan berkata PGA merampas 47 gulung kain putih yang cuba diseludup ke negara jiran di pangkalan haram Jitong, Jeram Perdah di sini yang dianggarkan bernilai RM28,200 dan ditinggalkan di tebing sungai itu pada Ahad.

Beliau berkata gulungan kain putih sepanjang 60 meter setiap satu itu dipercayai untuk diproses di negara jiran sebelum dibawa pulang ke negara ini untuk pasaran tempatan.

Tiada tangkapan dibuat dan semua barang rampasan diserahkan kepada Bahagian Pencegah Kastam dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk tindakan lanjut, katanya.

SKM SASAR 300 SEKOLAH DI KELANTAN SERTAI KOPERASI

Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) mensasarkan 300 sekolah rendah di Kelantan menyertai SKM.

Pengarah SKM negeri Wan Mohamad Sabri Wan Harun berkata mengikut akta SKM, sekolah yang mempunyai anggota koperasi seramai 50 ke atas diwajibkan berdaftar dengan suruhanjaya itu.

"Sehingga ini kesemua 540 sekolah menengah, termasuk sekolah menengah agama kerajaan di negeri ini telah menubuhkan kedai koperasi dan ini suatu perkembangan yang menggalakkan," katanya kepada Bernama selepas majlis perasmian Konvensyen Koperasi Sekolah peringkat negeri di Kota Bharu, hari ini.

Beliau berkata ada antara koperasi sekolah mencatatkan keuntungan lebih RM100,000 setahun melalui aktiviti perniagaan yang dijalankan.

Terdahulu, ketika berucap merasmikan majlis itu, Ketua Penolong Pengarah (Sektor Pembangunan Kemanusiaan), Jabatan Pelajaran Kelantan Siti Mariam Mohamed berkata, penyertaan pelajar dalam gerakan koperasi bukan sahaja meningkatkan pengetahuan mereka dalam ilmu keusahawanan tetapi mendidik mereka berdisiplin dan melaksanakan aktiviti berfaedah.

"Ini secara tidak langsung memberi keuntungan balik kepada warga sekolah untuk mendapatkan barangan secara mudah dengan harga murah," katanya.

RM15j WANG IHSAN UNTUK 70,899 PELAJAR

Jawatankuasa Pengagihan Wang Ihsan Kelantan memperuntukkan antara RM14 juta hingga RM15 juta daripada RM25 juta wang ihsan yang diberikan Kerajaan Pusat untuk diagihkan kepada kira-kira 70,899 pelajar serta murid di negeri ini tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Dr Awang Adek Hussin, berkata daripada jumlah itu, 58,974 adalah pelajar tingkatan enam, manakala 11,925 orang lagi adalah murid sekolah rendah yang tidak mendapat bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) dengan masing-masing menerima RM200.

“Tumpuan wang ihsan kali ini kepada pelajar Tingkatan Enam untuk memberikan semangat kepada mereka supaya belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya ke institusi pengajian tinggi (IPT),” katanya.

Beliau menyatakan perkara ini selepas menyempurnakan majlis pengagihan wang ihsan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Long Yunus, dekat Bachok semalam.

Majlis berkenaan adalah pengagihan wang ihsan terbesar pernah diadakan, membabitkan 1,303 pelajar Tingkatan Enam dari enam sekolah dari daerah ini.

Mengenai saranan supaya wang ihsan turut digunakan bagi membantu pelajar yang menghidap sakit kronik, Awang Adek berkata, jawatankuasa pengagihan akan mengadakan mesyuarat untuk membincangkan cadangan berkenaan.

Beliau berkata, baki wang ihsan iaitu kira-kira RM5 juta akan digunakan sebagai bantuan kepada mangsa bencana seperti kebakaran, kematian akibat bencana alam atau kemalangan yang membabitkan ramai kematian dalam keluarga.

"Jawatankuasa juga merancang untuk menyediakan wang ihsan bagi kemudahan pelajar negeri ini melanjutkan pelajaran ke universiti tempatan kerana banyak permintaan diterima dari golongan ini. Ia mungkin dilaksanakan tahun depan," katanya.

TANPA TOPI KELEDAR....

Beberapa pelajar perempuan ini mengabaikan keselamatan mereka sendiri dengan tidak memakai topi keledar ketika menunggang dan membonceng motosikal pulang dari sekolah, di Kota Bharu, Kelantan, 8 Ogos. – Gambar Utusan

HAKIM SYARIAH AKAN MENGHADAP SULTAN

Hakim Mahkamah Tinggi Syariah di sini Abdullah Man akan menghadap Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra setelah menerima dua pucuk surat daripada Nik Rorhana Wan Abdul Rahman, yang mendakwa surat itu daripada Sultan Kelantan berkaitan lafaz cerai isteri kedua Baginda.

Abdullah, yang mendengar perbicaraan kes itu secara tertutup, membuat keputusan tersebut setelah menerima surat-surat berkenaan daripada plaintif, Nik Rorhana,60, hari ini semasa perbicaraan lafaz cerai Sultan Kelantan terhadap isteri kedua Baginda, Cik Puan Elia Suhana Ahmad di Mahkamah Tinggi Syariah, di Kota Bharu.

Peguam Elia Suhana, 31, Fakhrul Azman Abu Hasan ketika ditemui di luar mahkamah berkata kedua-dua pucuk surat tersebut dikatakan mengandungi titah Sultan Kelantan yang telah melafazkan talak terhadap Elia Suhana, manakala surat kedua mengarahkan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK), Datuk Azamli Jamaluddin mendaftarkan perceraian Baginda.

Beliau berkata Abdullah memutuskan untuk menghadap sendiri Sultan Kelantan bagi mendapatkan pengesahan kandungan kedua-dua pucuk surat tersebut pada tarikh yang akan ditentukan kemudian selepas mendapat kelulusan daripada pihak istana.

Nik Rorhana diwakili peguam syarie, Zainul Rijal Abu Bakar dan Halim Bahari hadir pada perbicaraan itu.

Pada 30 Jun lalu, mahkamah tersebut menangguhkan perbicaraan pengesahan lafaz cerai Sultan Kelantan terhadap Elia Suhana selepas plaintif membuat permohonan pindaan penyata tuntutan berhubung lafaz cerai tersebut.

Bagaimanapun pada 25 Julai lalu, mahkamah tersebut menolak permohonan plaintif tersebut dengan alasan proseding pengesahan lafaz cerai pasangan tersebut masih didengar di mahkamah tersebut.

Nik Rorhana telah memfailkan permohonan pengesahan cerai talak tiga oleh Tuanku Ismail terhadap Elia Suhana pada 9 Mac lalu.

Sultan Kelantan didakwa menjatuhkan talak itu pada 12 Feb lalu di hadapan beberapa orang saksi ketika dirawat di Hospital Mount Elizabeth, Singapura.

Tuanku Ismail telah berkahwin dengan Elia Suhana pada 23 Dis 2007.

194 AHLI PAS PENGKALAN CHEPA SERTAI UMNO

KETUA Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed (dua kiri) diiringi Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, Dali Hussin bersalaman dengan ahli-ahli Pas yang menyertai UMNO dalam satu majlis, di Kg. Pulau Tukang Dollah, Pengkalan Chepa, Kelantan, 7 Ogos. Gambar Utusan

Seramai 194 ahli Pas mengambil keputusan menyertai UMNO kerana terkilan dengan sikap pemimpin parti itu yang didakwa gagal membawa perubahan selain enggan berjuang untuk penyatuan orang Melayu di negara ini.

Mereka merupakan ahli Pas di tiga buah kampung di Pengkalan Chepa dekat sini iaitu Kampung Tukang Dollah, Kampung Pantai Cahaya Bulan dan Kampung Tok Betek.

Ketiga-tiga Kampung tersebut sebelum ini mendapat gelaran 'kawasan hijau' berikutan sokongan fanatik penduduknya kepada Pas.

Kesemua ahli Pas terbabit telah menyerahkan borang permohonan keahlian kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed sempena ceramah `Selamat Tinggal Pas' di Kampung Tukang Dolah di Pengkalan Chepa, malam tadi yang dihadiri oleh lebih 2,000 penduduk.

Turut hadir memberikan ceramah adalah Ketua UMNO Bahagian Pengkalan Chepa, Dali Hussin dan Mudir Pondok Pok Krau Tumpat, Mohammed Zainal Abidin.

Mustapa dalam ucapannya mengisytiharkan gerakan habis-habisan untuk memastikan UMNO dan Barisan Nasional dalam merampas kembali Kelantan pada pilihan raya umum akan datang.

"Beberapa bulan lalu ketika di Pasir Mas ada penyokong setia Pas termasuk pemimpin mereka menyertai UMNO dan malam ini sekali lagi anda semua telah membuat satu keputusan yang betul.

"Di sinilah kita bermula, saya mengisytiharkan gerakan habis-habisan untuk kita bersama-sama menumbangkan Pas Kelantan dan merampas semula negeri ini," jelas beliau sambil mendapat sorakan padu penduduk yang hadir.

PETUGAS JABATAN PERSEKUTUAN DIMINTA PERJELAS DASAR KERAJAAN

Kira-kira 70,000 petugas Jabatan Persekutuan yang berkhidmat di negeri ini diminta memainkan peranan menerangkan dasar-dasar kerajaan dalam menangani isu-isu semasa, termasuk penyelarasan subsidi kesannya kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, penjelasan itu penting bagi menepis tohmahan parti lawan yang menjadikan isu penyelarasan subsidi kononnya membebankan rakyat.

"Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab kita sentiasa berhemah dalam menguruskan perbelanjaan kewangan negara. Ini selaras dengan dasar Model Ekonomi Baru yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, sebelum ini demi kebahagiaan rakyat dan negara,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kelantan berkata demikian kepada pemberita selepas berucap pada majlis perhimpunan Perkhidmatan Awam Persekutuan di Kota Bharu, semalam.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Persekutuan (JPP), Makhtar Mustapha dan Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Wisma Persekutuan, Wan Mohamad Sabri Wan Harun.

ADUN GALAS DIBENAR PULANG

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Che Hashim Sulaima yang dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Pakar Perdana di Kota Bharu sejak 26 Julai lalu telah dibenarkan pulang.

Pegawai khasnya, Tuan Hassan Tuan Sulaiman berkata, Che Hashim telah dibenarkan pulang ke rumahnya di sini tengah hari semalam.

"Alhamdulillah keadaan YB sudah semakin sihat dan telah dibenarkan pulang ke rumahnya di Kampung Kerinting semalam menggunakan ambulans hospital.

"YB sendiri yang memohon untuk pulang bagi berehat di rumah. Tekanan darah dan jantung YB sudah stabil dan doktor telah membenarkan YB pulang,” katanya.

Tuan Hassan berkata, mereka akan sentiasa berhubung dengan pihak Hospital Gua Musang dan Hospital Pakar Perdana jika berlaku sebarang masalah selepas ini.

Che Hashim yang menghidap barah usus dimasukkan ke Hospital Pakar Perdana selepas tiga hari pulang daripada membuat rawatan kimoterapi di China selama 10 hari.

Beliau disahkan menghidap penyakit tersebut sejak Mei tahun lalu selepas batuk mengeluarkan darah.

Susulan itu beliau menjalani pembedahan di The First People’s Hospital Fu San, Beijing selepas menerima rawatan di salah sebuah hospital di Kuala Lumpur selama tiga bulan.

SKUAD BOLASEPAK KELANTAN TUNAI UMRAH

Harakahdaily

Kerajaan negeri Kelantan memperuntukkan sejumlah RM245 ribu bagi membiayai 35 pemain dan pegawai Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) bagi menunaikan umrah kali ini.

Ia ditunaikan selepas kerajaan negeri berjanji untuk membawa pemain negeri ke Mekah setelah berjaya menduduki naib johan Piala FA tahun lepas.

Pemergian rombongan tersebut malam tadi turut disertai oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri, Abdul Fattah Mahmood.

Abdul Fattah berkata, walapun terdapat beberapa pemain yang tidak ikut serta rombongan itu, mereka tidak akan diberi wang tunai sebagai gantinya kerana hasrat kerajaan ialah untuk membawa menunaikan umrah.

“Kerajaan negeri sebelum ini telah menjelaskan bahawa akan menaja 34 pemain dan pegawai dan ketua jurulatih Sathianathan pula akan mendapat wang yang sama jumlahnya dengan kos umrah iaitu RM7 ribu,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan majlis penutup Konvesyen Belia 2010 di Balai Islam, semalam.

Abdul Fattah berkata terdapat empat pemain yang tidak ikut serta iaitu Indra Putra Mahyuddin, Halim Napi, Safwan Ibrahim dan Khalid Jamlus dan tempat mereka telah diganti dengan Ahli Lembaga Kafa sendiri termasuk Timbalan Presiden FAM yang juga Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa.

Menurut beliau lagi, sehingga kini beliau tidak mengetahui alasan sebenar kenapa mereka tidak ingin sertai rombongan tersebut dan cuma dimaklumkan bahawa Safwan mempunyai masalah ibunya yang sedang sakit.

Beliau juga berharap dengan tertunainya hasrat kerajaan itu dapat meningkatkan lagi semangat pemain.

Menyentuh janji tahun ini, Abdul Fattah berkata setakat ini tidak dapat diputuskan lagi dan akan melihat perkembangan semasa bolasepak Kelantan.