Tuesday, August 3, 2010

MAIK PERKENAL 'WAAD' UNTUK PEMBAYAR ZAKAT

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) memperkenalkan kaedah 'Waad' iaitu memberi hak kepada pembayar zakat untuk mengagihkan sebahagian wang zakat kepada umat Islam yang tergolong dalam lapan asnaf.

Timbalan Yang Dipertuanya Datuk Kamaruddin Mohd Zin berkata kebanyakan pembayar zakat harta itu terdiri daripada badan-badan swasta, golongan korporat dan orang perseorangan.

"Menerusi kaedah ini, MAIK membenarkan 25 peratus daripada jumlah keseluruhan zakat yang dikeluarkan kepada MAIK diagihkan sendiri mengikut kemahuan pembayar zakat kepada golongan terbabit menerusi suatu perjanjian aku janji bertulis," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini pada Selasa.

Dalam perkembangan berkaitan, Kamaruddin berkata MAIK tahun lepas berjaya memungut RM66.5 juta zakat harta berbanding RM58 juta pada tahun sebelumnya.

Menurutnya peningkatan pungutan zakat harta itu menunjukkan kesedaran umat Islam terhadap kewajipan mengeluarkan zakat harta walaupun dalam keadaan ekonomi merudum kerana menyedari wang zakat tersebut akan diagihkan kepada mereka yang layak.

Katanya sebagai contoh, MAIK telah membina 501 unit rumah rakyat miskin di seluruh negeri berharga antara RM28,000 hingga RM30,000 seunit sejak 2004 hingga tahun ini.

No comments: