Wednesday, August 4, 2010

MUSTAPA TUMPU PULIHKAN UMNO RANTAU PANJANG

"Suatu masa dahulu Rantau Panjang merupakan kubu kuat Barisan Nasional di Kelantan dan kita rasa ada potensi sekiranya pihak-pihak yang bertelagah dapat bekerja sebagai satu pasukan," - Mustapa Mohamed


Ketua Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed akan mempengerusikan mesyuarat UMNO bahagian Rantau Panjang pada Sabtu ini.

Ia yang pertama sejak badan perhubungan itu diminta mengambil alih pentadbiran bahagian itu oleh Majlis Tertinggi UMNO ekoran masalah kepimpinan di bahagian itu.

Mustapa berkata antara perkara yang akan diberi tumpuan dalam mesyuarat itu ialah mengukuhkan perpaduan anggota dan merangka program-program bagi mengembalikan kekuatannya dalam usaha memenangi pilihan raya umum akan datang.

"Suatu masa dahulu Rantau Panjang merupakan kubu kuat Barisan Nasional di Kelantan dan kita rasa ada potensi sekiranya pihak-pihak yang bertelagah dapat bekerja sebagai satu pasukan," katanya kepada pemberita di akhir lawatan tiga hari ke Indonesia di Jakarta.

Mustapa, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berada di sini dalam rangka lawatan menarik pelaburan Indonesia ke Malaysia selain membincangkan isu-isu dua hala berkaitan perdagangan dan pelaburan.

Perpecahan dalam kalangan pemimpin UMNO bahagian Rantau Panjang yang berlarutan sejak sekian lama telah menyebabkan dua kumpulan pimpinan mengadakan mesyuarat perwakilan bahagian secara berasingan pada Jun lepas.

Satu mesyuarat dijalankan oleh ketua bahagian Abdullah Mat Yassin manakala satu lagi oleh bekas ketua bahagian itu Datuk Mohd Zain Ismail pada hari yang sama. Berikutan itu Majlis Tertinggi UMNO membuat keputusan meminta Badan Perhubungan UMNO Kelantan mengambil alih pentadbiran bahagian itu.

Mustapa berkata beliau telahpun mengadakan pertemuan dengan biro politik badan perhubungan, dan juga mengadakan perjumpaan dengan ketua bahagian Rantau Panjang.

Katanya mesyuarat pada Sabtu ini juga akan menentukan kedudukan Abdullah sebagai Ketua UMNO Bahagian Rantau Panjang.

Menurut Mustapa, mesyuarat perwakilan UMNO bahagian Rantau Panjang yang dijalankan oleh Abdullah adalah sah dan tidak menjejaskan status perwakilan yang dipilih ke Perhimpunan Agung UMNO.

Apa yang berlaku pada masa itu, katanya, ialah satu lagi kumpulan anggota bahagian itu yang tidak mempunyai locus standi telah mengadakan mesyuarat berasingan, "barangkali untuk menunjukkan kekuatan".

"Mesyuarat itu tidak diiktiraf oleh ibu pejabat UMNO. Yang diiktiraf ibu pejabat cuma satu iaitu jawatankuasa yang dipilih pada pemilihan parti 2008 yang lalu," katanya.

No comments: