"UMNO@BN pasti mendapat kemenangan 2/3 majoriti di Parlimen dan akan merampas kembali Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan. Kerusi Melayu semua selamat berdasarkan peranan dan kewibawaan yang ditunjukkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor, Dato Nazri Aziz dan KJ. Kata-kata hikmat mereka “Bila UMNO tolak dan jauhi PERKASA yang berjuang untuk Melayu, maka berduyung Cina dan India akan menyokong BN. Ini kerana PERKASA lebh kuat daripada DAP , PKR dan PAS. Pasti Soi Lek, Tsu Koon dan Samy akan menang besar tanpa PERKASA. Dan semua ahli UMNO akan undi BN,”. Kajian oleh Pakar Oxford.”
Ini SMS yang saya terima daripada seseorang yang menamakannya Ibrahim Ali semalam (11 September 2010) jam 15:58 ( 3.58 petang).
Sama ada mesej ini benar-benar daripada Datuk Ibrahim Ali, Presiden PERKASA atau orang lain tidak penting tetapi apa yang tersirat daripada nukilan dalam mesej itu mengundang banyak persoalan.
Nampaknya ‘perang antara PERKASA dengan beberapa pemimpin tertinggi UMNO’ kini bermula.
Ia gara-gara kenyataan Setiusaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dalam temu bual dengan The Malaysian Insider Selasa lalu, Tengku Adnan menegaskan, UMNO tidak akan menyokong Ibrahim jika bertanding dalam pilihan raya umum ke-13 sebagai calon Bebas.
Mengapa UMNO harus sokong dia? UMNO patut meletakkan calon di Pasir Mas. Kami akan bertanding di Pasir Mas,” kata Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung BN.
Ibrahim yang dipecat dari UMNO pada 2004 memenangi kerusi Parlimen pada 8 Mac 2008 menggunakan lambang PAS.
“Sebagai Setiausaha Agung (UMNO) saya boleh memberitahu anda, kami tiada apa-apa kaitan dengan Perkasa dan sesetengah perkara yang dilakukan oleh Perkasa, kami tidak gembira kerana mereka menghakis sokongan kepada kami,” kata Tengku Adnan apabila diajukan soalan bahawa kebanyakan ahli Perkasa adalah dari UMNO.
Malah beliau juga menolak tanggapan kebanyakan pihak bahawa UMNO menjalin kerjasama ataupun memihak perjuangan PERKASA pimpinan Ibrahim.
Malah, dikatakan juga bahawa pemimpin tertinggi UMNO mula mempersoalkan perjuangan Ibrahim dan PERKASA yang dilihat akan mengancam sokongan kepada UMNO.
Perkasa ditubuhkan dua tahun lalu, selepas pilihan raya umum Mac 2008.
Semalam, Ibrahim mencabar Tengku Adnan supaya menegaskan dengan jelas sama ada kenyataan beliau mengenai PERKASA baru-baru ini pandangan peribadinya atau pendirian rasmi Majlis Tertinggi (MT) UMNO.
Menurut Ibrahim, lazimnya isu yang dibincang dan diputuskan oleh MT UMNO akan diumumkan oleh Presiden UMNO dan oleh itu, kini timbul keraguan sama ada Setiausaha Agung UMNO itu seiring dengan pendirian parti ataupun sebaliknya.
“Jika ia kenyataan peribadi, adakah ia bermakna Tengku Adnan mengatasi kedudukan Majlis Tertinggi UMNO,” kata Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas itu pada sidang media di rumahnya di Pasir Mas.
Reaksi Ibrahim ini muncul ketika pemimpin-pemimpin UMNO dan komponen BN yang lain mempertikaikan PERKASA secara terbuka selain meluahkan ‘protes’ terhadap hala tuju perjuangannya yang dilihat akan menghakis sokongan kepada BN.
Pada saya, pertelingkahan terbuka ini tidak akan berlaku jika UMNO sedikit ‘terbuka’ dengan duduk semeja dengan pemimpin PERKASA yang rata-ratanya juga adalah orang UMNO.
Ramai juga pemimpin PERKASA adalah pemimpin UMNO. Jangan ‘cepat sisih’ PERKASA begitu sahaja.
Belajarlah daripada rakan BN dan parti pembangkang yang mempunyai NGO yang agak agresif saling membantu parti mereka membuat desakan.
PERKASA tidak akan bergerak cergas seperti sekarang kalau Pergerakan Pemuda UMNO memainkan peranan mereka seperti diharapkan.
Yang nyata, Pemuda UMNO kini tidak lagi menjadi ‘kumpulan pendesak’ dalam isu-isu membabitkan kepentingan Melayu dan Islam.
Pemuda UMNO hari ini sudah malap api perjuangan mereka menegakkan kepentingan orang Melayu dan Islam.
Malah, ciri-ciri kepimpinan golongan muda dalam UMNO kini seolah-olah tidak lagi mempunyai cita-cita dan perjuangan membela orang Melayu. Arah dan hala tuju mereka bagaikan bahtera yang hanyut di lautan luas tanpa adanya pangkalan.
Orang Melayu memerhatikan bagaimana Hindraf memainkan peranannya menggembleng sokongan orang India dengan tuntutan ‘melampau’ mereka. Walaupun MIC menyisihkan diri daripada pergerakan itu, namun ‘keakraban’ Hindraf dan MIC tidak boleh dipandang remeh.
Bagaimana pula pergerakan persatuan guru sekolah Cina seperti Dong Jiao Zhong dengan MCA dan Gerakan?
Lihatnya betapa eratnya persatuan itu dengan parti Cina. Ia adalah kumpulan pendesak yang aktif dan peranan PERKASA dalam konteks kepentingan Melayu hari ini tidak jauh bezanya dengan Dong Jio Zhong.
UMNO perlu melihat kehadiran PERKASA dalam suasana yang orang Melayu sedang bertahan kerana diasak dalam pelbagai sudut.
Persoalannya, apakah UMNO mampu menjadi benteng dalam perkara yang mungkin sensitif kepada parti komponen BN lain sedangkan perkara itu benar-benar penting untuk orang Melayu dan Islam?
Benar seperti apa yang dikatakan oleh ‘Ibrahim Ali’ melalui SMS di atas bahawa kalaupun PERKASA tidak wujud atau disisihkan tidak bermakna sokongan kepada UMNO atau BN akan bertambah dengan banyak.
Ibrahim membidas Tengku Adnan dengan mengatakan: "Bila kita minta sokongan Umno?" soalnya.
Sehubungan itu, Ibrahim menjelaskan bahawa PERKASA adalah sebuah NGO yang tidak ada kena mengena dengan Umno.
"Hanya kerana mereka tidak akan menyokong kami, itu tidak bermakna kami tidak mempunyai sokongan sama sekali," tambahnya.
Malah bagi saya pula, ada atau tidak ada PERKASA, tidak bermakna sokongan orang Melayu kepada UMNO dan BN akan bertambah.
Biarlah PERKASA dengan peranannya sebagai NGO yang memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam.
http://hambali1.blogspot.com/
No comments:
Post a Comment