Tuesday, October 26, 2010

BAIKNYA HATI RAIS - RUANG KEMPEN & AKTIVITI PEMBANGKANG

Bermula Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, kempen dan aktiviti pembangkang akan diberi liputan dan disiarkan di saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM), kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Menyedari mengenai pemikiran baik daripada pembangkang, beliau berkata, pihaknya memutuskan memberi ruang tersebut tetapi berita yang dikeluarkan perlu berkaitan masyarakat majmuk dan isu-isu nasional yang mampu menjana kebaikan bersama.

"Bermula pilihan raya ini sehingga mana-mana pilihan raya selepas ini RTM akan teruskan format ini dengan memberi ruang dan jendela kepada pembangkang untuk mendapat liputan.

"Kita sudah sedar dan kita harus ambil berat. Masa sudah sampai kita ada lunas keberkesanan untuk kepentingan ramai. Sebelah sana pun pemikiran baik," katanya di perkarangan Pejabat Tanah dan Daerah Gua Musang selepas penamaan calon hari ini.

Mengenai jangka masa penyiaran berita itu, Rais berkata, ia bukan soal minit dan sekiranya berita itu penting dan memberi satu dedahan yang baik kepada rakyat, ia harus diambil saja tanpa mengira jangka masa.

Sementara Rais mengumumkan Gua Musang menjadi jajahan pertama di Kelantan menerima perkhidmatan melayari internet tanpa wayar secara percuma melalui program “Kampung Wifi” melibatkan 30 buah kampung dalam jajahan itu.

Katanya, selaras dengan usaha kerajaan memberi kemudahan itu kepada semua lapisan masyarakat termasuk di luar bandar, kementeriannya akan melaksanakan Kampung Wifi secara berperingkat dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata perkara itu sudah dirancang lebih awal lagi kerana kerajaan mahu rakyat di semua peringkat sama ada di bandar atau luar bandar menikmati kemudahan terbabit secara sama rata.

"Buat kali pertama di Kelantan kita lancarkan dahulu Kampung Wifi di Gua Musang kerana ramai penduduk menunggu-nunggu perkhidmatan itu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Kampung Wifi di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Sungai Terah, hari ini.

Turut hadir calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Galas, Abdul Aziz Yusoff, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Khalid Ramli dan ADUN Paloh, Datuk Nozula Mat Diah

No comments: