Wednesday, October 27, 2010

BATU SAPI, GALAS - PEMBANGKANG TIDAK PERNAH BERSATU

Daripada http://hambali1.blogspot.com/

Mungkin sedikit kekurangan pada dua calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil negeri Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas dan kawasan Parlimen Batu Sapi namun, persoalan lebih besar ada pada tiga calon pembangkang.

Apa kekurangannya? Calon BN Abdul Aziz Yusoff mungkin sekadar berkelulusan SPM dan di Batu Sapi Datin Linda Tsen Thau Lin – ada sebilangan penyokong BN dikatakan tidak bersetuju dengan beliau. Yang lain tiada cacat celanya. Kedua-duanya muka baru.

Tahniah Barisan Nasional (BN) kerana berani meletakkan muka baru - bukan calon kiter semula!

Seperti kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Abdul Aziz, 49, mempunyai kelebihan tersendiri selaku anak tempatan dan sudah lama berkhidmat dengan masyarakat di Gua Musang terutamanya kawasan Galas.

Ini bermakna perbezaan latar belakang pendidikan antara calon BN dengan calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed, diyakini tidak akan menjejaskan peluang BN untuk merampas semula kerusi DUN Galas.

BN sudah menafikan tohmahan kononnya calon BN –Linda di Batu Sapi - itu tidak tahu berbahasa Melayu serta kurang pengalaman pentadbiran. Tuduhan itu andaian semata-mata oleh pihak yang belum mengenali Linda.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam berkata BN ada strategi tertentu yang akan disusun supaya pengundi Batu Sapi lebih yakin calon terbaik adalah Datin Linda (Tsen Thau Lin) dan mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di kawasan itu.

"Bagi saya, Datin Linda adalah calon terbaik untuk bertanding di pilihan raya kecil Batu Sapi dan yakin dengan keputusan memilih beliau," katanya.

Sebaliknya di pihak pembangkang, calonnya juga banyak kekurangan. Zulkefli belum mampu meyakinkan kepada rakyat di Galas mengenai tuduhan peribadi terhadapnya.

Keraguan tetap timbul apabila calon PAS Dr. Zulkefli Mohamad menerima penentangan oleh segelintir pihak dalam PAS sendiri kerana Dewan Pemuda PAS Gua Musang mahukan Ketua Dewan Pemuda mereka, Abdullah Hussain pilih sebagai calon.

Malah ada juga di kalangan pembangkang yang berpendapat pemilihan Dr Zulkefli tidak tepat kerana beliau sudah dua kali kalah di Gua Musang selain bukan anak tempatan Galas. Dengan kata lain dengan meletakkan calon kitar semula, seolah-olah PAS tandus dengan calon anak tempatan.

Memanglah Dr. Zulkefli sudah menjawab segala tohmahan yang beliau pernah ditangkap basah. Persoalan baru apakah beliau masih bujang?

Seperti disebut oleh Kickdefella: “Pihak media juga kebingungan dengan status perkahwinan Dr. Zulkefli kerana menurut mereka yang hadir sewaktu pengumuman nama calon PAS minggu lepas, Dr. Zulkefli dikatakan sebagai seorang bujang. Tetapi di dalam sidang media menafikan beliau pernah ditangkap basah, Dr. Zulkefli dikatakan menyebut nama seorang perempuan sebagai isterinya.”

Di Batu Sapi pula, amat jelas pembangkang tidak boleh duduk semeja untuk bertanding sama dan membiarkan satu lawan satu. Amat jelas Parti Keadilan Rakyat (PKR) terus tamak dan tidak beri laluan mudah kepada Yong Teck Lee (SAPP) dan Linda Tsen (BN-PBS).

PBS melalui Ansari Abdullah mengemukakan borang untuk bertanding keseriusan parti itu untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi menjadi tanda tanya kelmarin apabila parti itu belum membayar wang deposit kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hingga pukul 2.30 petang. Calon yang bertanding bagi Pilihan Raya Parlimen Batu Sapi perlu membayar deposit RM15,000 termasuk deposit untuk berkempen sebanyak RM5,000.

Menghairankan juga , walaupun 26 borang pencalonan Parlimen Batu Sapi telah dijual kepada parti-parti politik dan individu tiada calon bebas bertanding. Empat parti yang membeli borang iaitu Barisan Nasional (BN), SAPP, PKR dan Bersekutu.

Masalah pembangkang khususnya PKR jika menurut analogi Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin - PKR bukan sahaja menghadapi masalah dalaman yang serius di Sabah malah parti itu kini sedang berada di ambang kehancuran."Saya rasa parti pembangkang yang patut bertanding di Batu Sapi adalah SAPP kerana ia parti tempatan dan lebih mengetahui masalah penduduk di situ berbanding PKR. PKR merupakan parti yang hendak mati, yang hendak hancur. Jadi berilah peluang kepada parti lain untuk bertanding," katanya kelmarin.

Yong Teck Lee pula adalah bekas Ketua Menteri BN Sabah dari 1996 hingga 1998, peguam dan ahli politik adalah bekas ADUN Likas antara 1985 dan 2002 juga Ahli Parlimen antara 1999-2002. Peguam yang berasal dari Lahad Datu itu menghadapi perbicaraan Mahkamah Pilihan Raya apabila didakwa terbabit melanggar peraturan semasa kempen pilihan raya.

Perbicaraan itu berlarutan selama beberapa tahun sehinggalah Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Teck Lee untuk mendapatkan kebenaran merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang memutuskan beliau bersalah.
Beliau diharamkan daripada bertanding dalam pilihan raya selama lima tahun bermula 2001 dan tempoh itu telah berakhir pada Jun tahun 2006. Beliau sebelum itu bertanding bagi kerusi DUN Likas terpaksa mengosongkan kerusi tersebut bersama kerusi Parlimen Gaya (sekarang Sepanggar) serta tidak dibenarkan bertanding dalam pilihan raya selama lima tahun.

Teck Lee yang tidak pernah dicabar bagi jawatan Presiden SAPP yang disandangnya itu sehingga 2010 dan bertanding pada pilihan raya umum 2004. Bagaimanapun, beliau yang menamatkan tempoh larangan itu pada 2007 membuat keputusan untuk terus tidak bertanding pada pilihan raya umum 8 Mac 2008.

Peristiwa mengejutkan BN ialah pada 18 Jun 2008, Teck Lee yang menjadi Presiden SAPP mengatakan mereka hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan bersedia untuk menyokong sebarang undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri. Ketika itu, SAPP mempunyai dua ahli parlimen iaitu Ahli Parlimen Tawau, Datuk Dr. Chua Soon Bui dan Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Eric Enchin Majimbun yang menang atas tiket BN pada pilihan raya umum 8 Mac 2008.

Mengenai tindakan SAPP mengisytiharkan telah hilang kepercayaan terhadap Abdullah Ahmad Badawi, pada esoknya 19 Jun 2008, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menganggapnya sebagai tindakan tikam belakang yang dilakukan oleh orang yang kecewa. Bagaimanapun, Nik Aziz berkata, tindakan SAPP itu merupakan “titik pertemuan” SAPP dengan parti pembangkang dalam pakatan pembangkang.

Namun kata-kata Nik Aziz itu tidak benar kerana SAPP tetap bertanding dan PKR juga tidak member laluan.

Tokoh kontroversi ini akan menguji pengundi di Batu Sapi apakah boleh menerimanya setelah beliau pernah ‘kencing’ PBS dengan bertindak keluar daripada PBS dan diikuti oleh beberapa wakil rakyat PBS lain yang menyertai UMNO akhirnya menumbangkan kerajaan PBS pada 1994.

PKR juga menghadapi masalah kelmarin apabila hampir separuh penyokong pakatan pembangkang yang kebanyakannya ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) keluar Dewan Haka di Sandakan sebaik sahaja nama Ansari Abdullah diumumkan sebagai calon parti itu pada Pilihan Raya Kecil Batu Sapi 4 November ini.

Kebanyakan ahli PKR mengharapkan Pengerusi PKR Sabah, Ahmad Thamrin Jaini dicalonkan, sebaliknya Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan nama Ketua Cabang PKR Tuaran itu. Menurut penyokong parti itu, Thamrin merupakan pilihan utama kebanyakan ahli pakatan pembangkang.

"Saya ialah anak Sabah dan calon pakatan. Kami mahu menjadikan Batu Sapi sebagai batu loncatan ke Putrajaya," katanya.

Amat jelas kini pada ketika calon BN, Abdul Aziz dan Linda mahu memberikan bakti kepada rakyat di kawasannya selain memperkukuhkan 1 Malaysia, tiga calon pembangkang pula mempunyai keinginan berlainan – dua untuk kembalikan maruah diri (Zulkefli dan Teck Lee) sementara seorang lagi berusaha menempah laluan menakluki Putrajaya.

Apakah keinginan dan cita-cita mereka itu akan menjadi kenyataan dan mengatasi usaha dua anak tempatan yang berusaha menabur bakti membangunkan rakyat di kawasan yang akan mereka wakili selepas pilihan raya kecil ini?

No comments: