Saturday, February 4, 2012

Umno Akan Minta Pandangan Ku Li Untuk Rampas Kelantan



Umno bukan parti 'kacang lupakan kulit'. Ia tetap menagih pandangan mereka yang lebih berpengalaman.

Kerana itu Umno Kelantan akan meminta pandangan Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dalam usaha memastikan Barisan Nasional (BN) kembali memerintah Kelantan pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata Tengku Razaleigh mempunyai pengaruh yang sangat besar dalam politik negara dan Kelantan dan sebab itu pandangan tokoh Umno itu diperlukan dalam usaha menawan kembali negeri itu daripada PAS.

"Kita akan meminta nasihat Ku Li (Tengku Razaleigh) bagaimana untuk menjalankan gerak kerja Umno dengan lebih mantap dan berkesan dalam usaha merampas Kelantan daripada tangan PAS," katanya selepas menutup Ekspo Usahawan Mara di Tok Bali di Pasir Puteh, hari ini.

Mengulas kehadiran Tengku Razaleigh pada mesyuarat badan perhubungan itu dua hari lalu, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata ia memberi impak dan semangat kepada anggota Umno untuk bekerja keras dalam menghadapi pilihan raya umum itu nanti.

Beliau berkata Umno Kelantan akan menjadikan amanat Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melawat Kelantan dua hari lalu sebagai perangsang untuk terus melipatgandakan usaha menawan Kelantan.

"Saya ada berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri tentang beberapa perkara seperti sokongan golongan muda yang perlu diberi perhatian termasuk kawasan-kawasan tertentu," kata Mustapa.

Beliau berkata Umno Kelantan akan bekerja lebih keras dan tidak akan mudah berpuas hati dengan sokongan yang dikatakan begitu meningkat terhadap Umno ketika ini.

"Saya memang gembira dengan peningkatan sokongan yang begitu meningkat tetapi saranan Timbalan Perdana Menteri untuk terus bekerja kuat akan dijadikan azimat kepada anggota Umno di Kelantan," katanya.

Mengulas desakan agar Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak bertanding pada pilihan raya umum akan datang, Mustapa berkata Umno Kelantan sama sekali tidak akan mencampuri urusan parti lain.

"Terpulanglah kepada Nik Abdul Aziz membuat pendirian berdasarkan tahap kesihatannya yang pastinya akan dinilai rakyat," katanya.

Sementara itu, Mustapa berterima kasih kepada Majlis Amanah Rakyat (Mara)yang telah banyak berjasa kepada rakyat dalam usaha membantu golongan Bumiputera berjaya dalam pelbagai bidang termasuk melahirkan usahawan baru.

No comments: