Tan Sri Muhyiddin Yassin bergambar bersama peniaga kecil selepas merasmikan program Himpunan Usahawan Mikro, Kecil dan Sederhana serta melancarkan Skim Pembiayaan PKS Patuh Syariah di Padang Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Perdana, Bachok semalam.
Barisan Nasional (BN) akan menyediakan manifesto khas pilihan raya untuk Kelantan, yang mengandungi janji-janji 'hitam putih' yang akan dikotakannya jika negeri ini kembali diterajui BN, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata manifesto itu akan diperincikan dengan mengambil kira semua kehendak rakyat Kelantan, yang gagal dilaksanakan PAS sejak memerintah negeri ini pada 1990.
"Kita akan bincang setiap perkara (untuk dimasukkan dalam manifesto). Manifesto ini secara hitam putihnya yang akan BN laksanakan bila menang di Kelantan.
"Ini tidak seperti manifesto pembangkang yang hanya pandai berjanji tetapi tidak pernah lakukan apa yang dijanjikan itu," katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat, warga pendidik, anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Chabang Empat di Tumpat.
Kira-kira 10,000 warga pendidik, anggota Rela, SRS dan masyarakat pelbagai kaum menghadiri majlis itu. Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi BN, berkata terdapat sisi kosong yang boleh dimajukan di Kelantan jika BN menguasai negeri ini selaras dengan hasrat BN membawa Kelantan menjadi negeri maju bersama negeri lain dalam tempoh lapan tahun lagi.
"Negara sudah berganjak menjadi negara paling pesat membangun dan kira-kira lapan tahun lagi kita akan menjadi negara maju dan semua negeri adalah sebahagian untuk bersama-sama merealisasikannya.
"Ini soal bersama. Kita tidak mahu ada negeri yang ketinggalan dan sebab itu saya mahukan Kelantan bersama-sama kita yang seiring dengan aspirasi iaitu di bawah BN," katanya.
Beliau berkata ramai rakyat Kelantan yang menemuinya bertanya bila pilihan raya akan diadakan kerana mereka mahu memilih BN untuk melaksanakan pembangunan dan kemajuan yang gagal dilakukan PAS.
"Lihatlah apa yang berlaku sejak 21 tahun ini. Banyak masalah tanah, air, surau, pelaburan dan perniagaan yang gagal dilakukan," katanya.
Beliau memuji kesungguhan Mustapa, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, yang disifatkannya sebagai individu yang sangat sibuk menguruskan Kelantan semata-mata tidak mahu melihat negeri itu mundur dan membawa rakyat kembali memilih BN.
Sementara itu, Muhyiddin menyelar PAS yang sanggup bersekongkol dengan individu yang sama sekali mempunyai nilai bertentangan dengan agama Islam seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk S. Ambiga.
"Puak-puak ini sudah bercanggah dengan nilai Islam dan kenapa PAS mahu bersama jamaah ini. Ini jamaah songsang namanya.
Jangan kerana politik kita ketepikan agama dan kerajaan BN sama sekali tidak berkompromi dengan individu begini," katanya.
Beliau berkata PAS perlu sedar siapa Anwar, yang kini ditentang habis-habisan oleh rakan karibnya sendiri, yang sudah tentu mempunyai bukti jelas apa yang dilakukan pemimpin pembangkang itu selama ini.
Pada majlis itu,Muhyiddin turut mengumumkan peruntukan RM75,000 kepada Rela Kelantan, SRS Kelantan (RM50,000), Majlis Permuafakatan Guru-guru Tumpat (RM30,000) dan menaik taraf padang Sekolah Menengah Kebangsaan Chabang Empat (RM300,000).
2 comments:
Ingat satu perkara. Jika kita menang bersumpahlah bahawa kita akan jadi UMNO yang benar-benar baik dan berakhlak mulia...jauh lebih Islamik dari PAS dan kita akan laksanakan pemerintahan Islam jauh lebih baik dari parti pengkhianat Islam itu.
BERIKRARLAH ADUHAI semua PEMIMPIN UMNO BAHAWA KEJATUHAN PAS KALI INI DIKELANTAN AKAN DIGANTIKAN DENGAN UMNO YANG SEBENAR. YANG TIDAK MELUPAKAN NASIB RAKYAT,YANG AKAN MEMELIHARA AKHLAK ISLAM, YANG TIDAK BERDENDAM DENGAN PENYOKONG PAS,YANG BAKAL MELETAKKAN AKHLAK ISLAM LEBIH TINGGI DARI KEPENTINGAN DUNIAWI...
INSYAALLAH PAS AKAN TERSUNGKUR...
Post a Comment