Tuesday, October 1, 2013
Kerajaan BN Komited Tunai Aku Janji Sedia Satu Juta Rumah Mampu Milik
Kerajaan Barisan Nasional (BN) komited menunaikan akujanji menyediakan sehingga satu juta rumah mampu milik untuk rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah di seluruh negara selepas diberikan mandat pada pilihan raya umum ke-13 Mei lepas.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan telah diminta berbincang dengan kerajaan-kerajaan negeri bagi mengenal pasti tapak tanah yang sesuai selain menentukan dana diperlukan untuk tujuan itu.
"Cabaran utama kita ialah untuk mendapatkan tanah yang strategik, dan dalam hal ini, kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri sangat penting bagi merealisasikan wawasan kerajaan itu. "Kerjasama seumpama ini sudahpun dibuat sebelum ini, namun keadaan sekarang agak kritikal kerana kerajaan mahu membina lebih banyak rumah mampu milik untuk faedah rakyat," katanya.
Beliau menyatakannya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah Program Perumahan Rakyat (PPR) di Kepayan Ridge, dekat Kota Kinabalu hari ini.
Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Yahya Hussin, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Seri Salleh Tun Said, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Hajiji Noor.
Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas perancangan kerajaan untuk menyediakan sehingga satu juta rumah mampu milik untuk rakyat seluruh negara seperti yang terkandung dalam manifesto BN pada pilihan raya umum lepas.
Terdahulu, dalam ucapannya, beliau berkata kerjasama kerajaan negeri penting bagi menyediakan tapak tanah yang sesuai agar pembinaannya dapat dirancang dengan baik.
"Dalam manifesto kerajaan BN pada pilihan raya lalu, antara aspek yang diberikan perhatian ialah penyediaan rumah mampu milik yang harus dibina untuk rakyat di seluruh negara. "Jumlahnya hampir satu juta yang harus dibangunkan dalam tempoh tahun-tahun akan datang," katanya sambil menegaskan ia memerlukan suatu komitmen yang besar. Muhyiddin berkata walaupun peruntukan disediakan oleh kerajaan Persekutuan namun "kalau tapak membina rumah itu tidak ada atau perlu dibiayai dengan mengambil wang yang disediakan untuk membina rumah untuk membeli tapak tanah, pastinya sasaran itu tidak akan terlaksana".
"Maka itu, kita harap pihak kerajaan negeri boleh menyediakan tapak, bukan sahaja di kawasan Kota Kinabalu tetapi di kawasan lain di seluruh Sabah," katanya. Beliau berkata Sabah akan diberikan keutamaan untuk membina rumah mampu milik, sekali gus memberi manfaat kepada ramai golongan berpendapat rendah.
"Di mana rumah diperlukan, maka di situlah kita bina supaya rakyat yang menunggu sekian lama dapat memiliki atau menyewa rumah dengan kadar yang berpatutan. Ini salah satu daripada agenda besar kerajaan BN untuk menyediakan rumah yang mampu dimiliki oleh rakyat," katanya.
Muhyiddin berkata peningkatan mendadak harga rumah dalam tempoh setahun lalu yang menyaksikan sebahagian besarnya dijual dengan harga lebih setengah juta ringgit, menyukarkan rakyat memiliki rumah. "Misalnya, kalau dahulu harganya RM140,000 hingga RM200,000 (seunit) tetapi kini sudah meningkat hampir setengah juta.
Siapa yang mampu membeli rumah semahal itu, walaupun mungkin pendapatan mereka RM10,000 dengan tanggungan tertentu tidak mungkin mereka mampu membayar balik pinjaman bank yang tentunya setiap bulan jumlahnya juga besar.
"Maka ini sudah menjadi perkara yang perlu kita beri perhatian. Dengan adanya program PPR dan juga peruntukan besar yang kerajaan pusat sediakan untuk Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, didukung bersama oleh pihak-pihak kerajaan negeri untuk menyediakan tapak dan prasarana utama yang diperlukan, saya kira masalah kritikal itu dapat kita atasi dalam tempoh akan datang," katanya.
Muhyiddin berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak begitu berani dan tegas untuk melaksanakan program transformasi negara walaupun keadaan ekonomi global tidak menentu.
Katanya dalam keadaan di negara-negara lain berhadapan dengan kemelut dan kemerosotan ekonomi, tiada peluang pekerjaan dan pendapatan rakyat tidak meningkat, ekonomi Malaysia masih mampu berkembang antara 4 hingga 5 peratus.
"Selain itu, peluang pekerjaan juga banyak kita sediakan sehingga orang asing datang ke Malaysia untuk mencari nafkah kerana di Malaysia ada peluang untuk mereka hidup dan mendapat pendapatan," katanya.
Mengenai projek PPR di Kepayan Ridge, Muhyiddin berkata kerajaan akan membelanjakan RM80 juta bagi pembinaan 500 unit rumah yang dijangka bermula awal tahun depan dan siap tahun 2017 di tapak seluas kira-kira 2.7 hektar.
Keluasan setiap unit rumah adalah 700 kaki persegi dengan tiga bilik tidur, dua bilik air, ruang tamu, ruang makan, dapur dan ruang jemuran kain.
Projek itu bertujuan menyediakan kemudahan perumahan kepada warganegara Malaysia berpendapatan rendah yang belum memiliki rumah kos rendah dengan pendapatan isi rumah tidak melebihi RM2,500 sebulan dan golongan setinggan di sekitar Kota Kinabalu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment