"Saya hendak rakyat Malaysia berlaku adil. TPPA ada baik dan buruk dan kita. Kemudian kita bawa pergi ke Parlimen untuk dipertimbang. Jangan kita perlekehkan ahli Parlimen dengan pelbagai tuduhan seperti kena cucuk hidung dan sebagainya."
MUKADIMAH:
MALAYSIA tidak memerlukan
kelulusan Parlimen sebelum tandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik
(TPPA) yang melibatkan 11 negara lain iaitu Australia, Brunei Darussalam,
Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, dan Vietnam, selain
Amerika Syarikat (AS).
Namun, memandangkan isu
tersebut begitu kontroversi dan mendapat perhatian ramai, sebagai kerajaan yang
bertanggungjawab, maka Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memutuskan
membawa perkara itu ke Parlimen untuk dibentangkan, dibahaskan sebelum
dijalankan pengundian sama ada bersetuju atau menolak perjanjian dagangan
terbesar dunia itu.
Perkara tersebut
dinyatakan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, DATUK SERI MUSTAPA MOHAMED ketika diwawancara selama
sejam oleh wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID, AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI dan ZUNAIDAH ZAINON bersama jurugambar JEFFRI IRAN di pejabat beliau di Kompleks Bangunan
Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, Kuala Lumpur Khamis lalu.
Dalam pertemuan itu,
beliau turut menjawab pelbagai dakwaan yang dilontarkan oleh pihak-pihak yang
membantah perjanjian TPPA termasuk kedudukan syarikat bumiputera dalam tender
pemerolehan kerajaan, harga ubat-ubatan generik, sijil halal, kesediaan
syarikat tempatan bersaing dengan syarikat multinasional asing dan apakah
perjanjian ini akan merugikan negara. “Kita jangan tengok orang “makan” kita. Petronas, Khazanah, dan Sime
Darby duk “makan” di luar negara. UE ada di Melbourne, Australia. Tan Chong
Motor Holdings, Berjaya dan Parkson ada di Vietnam. “Makanlah” itu. Kita perlu
tengok kedua-dua belah atau situasi menang-menang bagi semua,” ujar beliau.
MINGGUAN: Banyak pihak
mempersoalkan tentang cara rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik
(TPPA) dijalankan kerana butiran tidak dimaklumkan kepada Parlimen atau umum.
Komen Datuk Seri?
MUSTAPA: Perkara
ini tidak keluar kerana ia berubah setiap hari. Kalau keluar, nanti kecoh
seluruh dunia. Baru hendak bincang, sudah berubah. Macam di Atlanta, Amerika
Syarikat (AS), ia sudah berubah kerana di saat-saat akhir macam-macam perkara
berlaku. Dokumen ini kita jangka siap pada hujung bulan ini, ada juga bulan
hadapan. Kita beri kepada pasukan pengkaji kerana perlu tengok dahulu. Kalau
tidak ada dokumen, ia sekadar spekulasi atau rambang sahaja. Ini belum siap
lagi kerana rundingan belum selesai. Secara keseluruhannya, sudah hampir
selesai tetapi ada tiga isu yang perlu kita maklumkan balik kepada 11 buah
negara. Kita sudah beritahu pendirian kita dan ada draf kita, tetapi tertakluk
kepada persetujuan kita sendiri. Dalam dua tahun ini, kita sudah beritahu
pendirian kita, secara umumlah dan bukan secara terperinci. Macam soal
bumiputera, kita beritahu pendirian kerajaan begini. Tentang tekstil AS dan
alam sekitar pun kita beritahu tetapi secara umum. Sebab perkara itu belum
selesai lagi. Kita sentiasa maklumkan perkembangan terkini kepada ahli Parlimen
tetapi tidak secara terperinci. Itupun belum 100 peratus (muktamad) sebab sudah
keluar dokumen nanti barulah 100 peratus.
Apakah tiga isu yang masih
belum selesai itu?
MUSTAPA: Tiga
isu yang kita minta tempoh itu antaranya melibatkan Khazanah Nasional Berhad
(Khazanah), Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Kementerian Kewangan. Kita
minta tempoh kerana Khazanah dan Petronas ada peraturan. Kalau hendak buat
sesuatu, mereka perlu bawa ke lembaga pengarah. Itu pun belum selesai lagi,
jadi kita minta tempoh. Kita jangka ia akan dimuktamadkan dalam tempoh
terdekat. Kalau kita beri kepada Price Waterhouse Coopers (PWC) yang buat kajian
tetapi perkara itu belum selesai, tidak ada maknalah. Jadi, sebaik-baik sahaja
dokumen itu lengkap, maka kita akan beri kepada Institut Kajian Antarabangsa
dan Strategik (ISIS) dan PWC. Memang sukarlah. Inilah dalam hidup saya terlibat
dalam satu projek begitu lama iaitu lima tahun. Kedua, banyak tekanan seperti
jumpa banyak orang, media, media sosial, individu dan organisasi.
Pada pandangan Datuk Seri,
kenapa TPPA mencetuskan banyak bantahan dan kontroversi?
MUSTAPA: TPPA
menjadi kontroversi kerana ia lebih. Kalau dahulu, barangan, perkhidmatan dan
pelaburan. Tetapi sekarang ada pemerolehan kerajaan, buruh, alam sekitar dan
hak harta intelek (IPR). Macam IPR ini sudah ada tetapi dalam perjanjian
dagangan, ini adalah antara yang utama. Ia kontroversi kerana liputan lebih
luas. Tetapi pandangan mengatakan, perjanjian dagangan ini akan meliputi
benda-benda lebih besar lagi.
Dalam ASEAN pun,
unsur-unsur TPPA pun ada masuk. Sepuluh negara ASEAN dengan enam buah negara
iaitu Jepun, Korea Selatan, China, India, Australia dan New Zealand. Antaranya,
isu buruh. Kalau amalan buruh itu dilihat sebagai menekan buruh, maka
syarikat-syarikat besar tidak akan beli barangan daripada sesuatu negara.
Sebelum membeli barangan, syarikat ini juga akan pergi memeriksa apakah ia
menepati standard amalan buruh. Kalau kita hendak jadi sebahagian daripada
perdagangan antarabangsa, kita perlu ikut standard antarabangsa. Umpamanya
beberapa syarikat di Bangladesh dikenakan sekatan sampai sekarang sebab
standard amalan buruhnya rendah. Apabila standardnya rendah, mereka boleh
hasilkan pada kos murah. Jadi, tidak adil kepada orang lain yang mempunyai kos
yang mahal disebabkan perlu mematuhi pelbagai peraturan seperti alam sekitar.
Kita lihat isu Volkswagen.
Syarikat itu didapati menipu dalam emisi karbon dan mereka pun sudah mengaku.
Walaupun Volkswagen adalah syarikat gergasi dunia, mereka terpaksa memakai
standard AS. Ekoran isu itu, harga saham Volkswagen jatuh 40 peratus. Contoh
ini menunjukkan bagaimana standard alam sekitar terpaksa kita pakai.
Jadi, isu standard ini
isu yang semakin penting. Dalam standard buruh, kita perlu ikut peraturan AS
sebab kita hendak jual barang seperti kelapa sawit, getah dan elektronik. Melainkan
kita tidak mahu pelaburan AS dan berdagang dengan AS, bolehlah kata tidak mahu
ikut peraturan AS. Tetapi hakikatnya, AS merupakan pelabur kedua terbesar
selepas Jepun di negara kita. Jadi, kalau kita hendak pelaburan AS, terpaksa
kita ikut peraturan negara itu. Pelaburan AS sudah ada di Pulau Pinang, Johor,
Kulim dan Shah Alam. Dari segi kesatuan pekerja pun, apa salah kita layan
pekerja dengan baik. Apa salahnya umpamanya kalau kita jaga Cameron Highland.
Ini termasuk menjaga alam sekitar. TPPA juga bercakap tentang ketelusan. Apa
salahnya kalau perkara itu baik.
Apakah perkara-perkara dalam
Perlembagaan seperti Artikel 153 tentang hak keistimewaan orang Melayu dan
bumiputera serta kedudukan agama Islam akan tergugat sekiranya Malaysia
menyertai TPPA?
MUSTAPA: Kita
ada Perlembagaan dan dasar bumiputera. Kita akan pertahankan. Bukanlah sampai
kita hilang kedudukan Islam sebagai agama rasmi atau bukan bermakna kita boleh
benarkan perkahwinan sejenis. Walau apa pun kita buat, mesti berdasarkan
Perlembagaan. Kita juga teruskan dasar 30 peratus bumiputera dalam pemerolehan
kerajaan.
Itu penting dan kalau
tidak, kita tidak masuk TPPA dan mereka semua terima. Di negara lain tidak ada.
Kalau syarikat kita hendak berniaga di Vietnam, negara itu tidak ada dasar
bumiputera. Jadi, mereka faham dan terima dasar bumiputera dalam pemerolehan
kerajaan dipertahankan. Cuma, kita hendak pastikan ia benar-benar diterima.
Selain itu, dasar kereta kita tidak diganggu dan diteruskan.
Antara isu yang dibangkitkan
ialah tentang soal keselamatan makanan negara. Ada dakwaan mengatakan industri
beras tempatan akan terancam kerana beras import dari AS akan lebih murah
dengan penghapusan duti import?
MUSTAPA: Kita
boleh teruskan dasar kita. Sekarang ini duit import beras sebanyak 40 peratus,
sudah kita mansuhkan. Dalam TPPA, kita dikehendaki menurunkan duti import beras
tetapi sekarang sudah kosong peratus. Kita sudah mansuhkan duti import untuk
menjaga harga beras tempatan. Kita ada monopoli beras oleh Padi Beras Nasional
Berhad (Bernas). Jadi, dalam beras dan padi, kita teruskan dasar beras yang ada
dengan Bernas dan tidak diganggu. Sebab itu, saya rasa kita telah buat yang
terbaik dan kita dapat pertahankan beberapa dasar kita. TPPA hendak kita
turunkan duti import beras perlahan-lahan kepada kosong. Kita hendak beritahu,
sekarang ini pun sudah kosong, tidak ada duti import.
Bagaimana pula kedudukan
piawaian sijil halal yang dikeluarkan oleh Malaysia. Apakah selepas menyertai
TPPA, kita perlu tunduk kepada piawaian yang ditetapkan oleh AS?
MUSTAPA: Halal
diiktiraf sebagai pengiktirafan Malaysia dan mengikut piawaian kita. Itu dari
awal lagi rundingan, perkara pertama saya selesaikan adalah halal. Bukan halal
AS atau Vietnam tetapi kita teruskan menggunakan sijil halal kita.
TPPA dikatakan menggugat
kedaulatan undang-undang negara kerana Malaysia boleh disaman berbilion dolar
AS jika mengadakan peraturan baharu yang boleh menjejaskan jangkaan keuntungan
syarikat-syarikat gergasi dari AS selepas termeterainya TPPA.
MUSTAPA: TPPA
ini antaranya tentang saingan, alam sekitar dan perlidungan hidupan liar.
Sesetengahnya tidak ada masalah. Apa salahnya kita jaga alam sekitar dan
hidupan liar. Kalau kita pinda undang-undang yang memberikan kebaikan kepada
buruh misalnya, kenapa tidak boleh. Kalau soal kedudukan bumiputera, Islam dan
semua itu, tidak berbangkit sebab kita pertahankan dan sudah jaga.
Satu lagi tuduhan ialah TPPA
ini merugikan negara dan hanya menguntungkan syarikat-syarikat gergasi
multinasional dan transnasional terutamanya dari AS yang dikatakan akan
“menelan” syarikat-syarikat kecil yang ada di negara ini.
MUSTAPA: Syarikat
besar sudah ada di negara ini. Syarikat-syarikat gergasi ini sudah bertapak
lama di Malaysia seperti di Pulau Pinang dan Shah Alam. Ini bukan benda baharu.
Ada kilang First Solar yang terbesar di Kulim dan ada kilang Western Digital di
Pulau Pinang. Kalau hendak kata TPPA ini hendak “makan” kita, sudah 40 tahun
syarikat-syarikat gergasi ada di Malaysia. Memang dasar kita tentang perolehan
bumiputera sudah ditetapkan. Yang syarikat multinasional ini, itulah
kebimbangannya tetapi jawapannya sudah ada di sini. Kita pun hendak mereka
kerana peluang pekerjaan dan sebagainya. Macam kita sekarang ini, kita hendak
seimbangkan. Dalam pengilangan, jumlah pelaburan langsung asing (FDI) adalah 60
peratus manakala domestik sebanyak 40 peratus. Domestik ini seperti Kumpulan
Berjaya dan Kumpulan YTL banyak buat pasar raya dan hartanah. Dalam sektor
pengilangan, pelaburan sebahagian besar disumbangkan oleh pelabur asing. Yang
pertama adalah Jepun dan kedua, AS. Kena ingat Jepun pun ada dalam TPPA. Kalau
hendak kata mereka “makan”, mereka sudah lama “makan”. Bukan kata mereka
“makan”, tetapi tugas saya menarik mereka datang melabur ke sini bagi
memberikan peluang pekerjaan kepada rakyat.
TPPA dikatakan bakal menyebabkan
kenaikan harga ubat-ubatan sehingga 80 peratus kerana syarat ketat akan
dikenakan kepada pengeluar ubat generik. Tindakan ini dibuat bagi menjaga
kepentingan syarikat dari AS selaku pengeluar ubat-ubatan terbesar di dunia.
MUSTAPA: Dalam
hal ini ada dua perkara. Yang pertama perlindungan paten dan dasar ini tidak
berubah iaitu 20 tahun. Ada orang kata TPPA akan menambah lagi, tidak ada.
Dasar kita sekarang ini 20 tahun dan akan terus 20 tahun sama ada ada TPPA atau
tidak. Yang kedua, ubat ini ada dua jenis iaitu berasaskan kimia dan biologi.
Jadi, ubat yang biasa berasaskan kepada kimia. Itu dasar paten kita tidak ubah,
tetapi kekal 20 tahun. Perlindungan 20 tahun itu dasar semasa. Bukan kita
naikkan sampai 30 tahun selepas TPPA. Satu lagi dipanggil konvensional.
Sekarang kita beri lima tahun perlindungan di bawah data eksklusif tetapi
perlindungan paten masih 20 tahun. Maknanya, data ini tidak boleh diberikan
kepada orang lain (generik) selama lima tahun. Itu dasar kita. Jadi, tidak ada
perubahan dalam dasar dan kita pertahankan. Bukan hanya Malaysia tetapi enam
buah negara. AS memang hendak tempoh ini dipanjangkan kerana mereka adalah
pengeluar utama ubat. Jadi, hendak lagi lama lagi bagus. Tetapi enam buah
negara pertahankan. Maknanya, dasar kita tidak berubah dari segi paten dan data
eksklusif. Kalau kita tidak masuk TPPA, tidak semestinya harga akan turun atau
stabil dan tidak semesti harga akan naik juga. Ubat generik ini benda sensitif
dan amat penting bagi kita semua. Kita lawan habis-habisan. Memang
syarikat-syarikat besar hendak ditambahkan tempoh tetapi dasar perlindungan
paten kita tidak berubah. Jadi, masuk atau tidak
masuk TPPA pun, dasar kita tidak berubah.
Bagaimana kesediaan
syarikat-syarikat tempatan untuk bersaing dengan syarikat-syarikat gergasi dari
luar negara sekiranya TPPA dimeterai kelak?
MUSTAPA: Sekarang
ini, syarikat Malaysia yang melabur di luar negara mempunyai nilai pelaburan
sebanyak RM522 bilion. Duit orang luar melabur dalam kilang-kilang dalam negara
adalah sebanyak RM470 bilion. Maknanya, kita jangan tengok orang “makan” kita.
Petronas, Khazanah, dan Sime Darby duk “makan” di luar negara. UE ada di
Melbourne, Australia. Tan Chong Motor Holdings, Berjaya dan Parkson ada di
Vietnam. “Makanlah” itu. Kita perlu tengok kedua-dua belah atau situasi
menang-menang bagi semua. Kalau kita berpakat dan harmoni, kita boleh buat
lebih lagi. Dahulu kita pelabur kecil tetapi sekarang syarikat kita ada banyak
pelaburan besar di luar negara. Jadi, jangan ingat hanya AS akan “makan” kita.
Jangan ingat hanya orang lain besar. Syarikat kita seperti Petronas pun besar.
Orang lain pun fikir macam itu terhadap kita. Kita kena keluar daripada
kepompong dan lihat situasi menang-menang. Sebab itu Sabah dan Sarawak masuk
Malaysia. Ini bagus untuk kita jadi makin besar. Kita lihat gambaran lebih besar.
Negara-negara yang menyertai
rundingan TPPA mengeluarkan 40 peratus jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar
(KDNK) dunia dan ini merupakan perjanjian dagangan terbesar dunia. Apakah ini
menunjukkan penyertaan dalam
TPPA memberikan kebaikan kepada
negara?
MUSTAPA: Saya
hendak tekankan sekali lagi, bukan semuanya bagus. TPPA pun ada banyak buruk
tetapi kita seimbangkan. Ada buruk ada baik. Kalau baik lebih banyak daripada
buruk, kalau kita tidak buat, rugilah kita. Saya hendak rakyat Malaysia berlaku
adil. TPPA ada baik dan buruk dan kita. Kemudian kita bawa pergi ke Parlimen
untuk dipertimbang. Jangan kita perlekehkan ahli Parlimen dengan pelbagai
tuduhan seperti kena cucuk hidung dan sebagainya.
Apabila dibentangkan dokumen
TPPA di Parlimen nanti, apakah kerajaan masih boleh meminda butiran yang telah
dipersetujui dalam rundingan perjanjian itu?
MUSTAPA: Secara
keseluruhan. Maknanya, sama ada mahu atau tidak. Kita buat pertimbangan.
Misalnya, tekstil dan kelapa sawit dapat masuk pasaran. Kita undi mahu atau
tidak sahaja. Kalau tolak, maka tolak semualah. Kalau pinda, kita perlu ubah
semua, sebab rundingan ini melibatkan 12 buah negara. Umpamanya kalau kita
pinda, negara lain pun terlibat dan semua kena pinda. Maknanya, kita kena mula
dari awal baliklah.
Andai kata majoriti ahli
Parlimen menolak dan Malaysia tidak menyertai TPPA, apakah ini akan memberikan
kesan kepada negara kita?
MUSTAPA: Kesannya,
pelabur tidak mari. Mungkin pelabur-pelabur yang ada dalam negara cabut lari
dan akan memberikan kesan kepada syarikat-syarikat kita yang banyak melabur di
luar negara.
Negara-negara lain yang
terlibat dalam rundingan TPPA juga dikatakan tidak bersetuju dengan beberapa
perkara. Apakah perkara-perkara itu?
MUSTAPA: Di
Jepun, Perdana Menteri, Shinzo Abe dan partinya, Demokratik Liberal (LDP)
menyokong TPPA. Mengikut kefahaman saya, peringkat awal, orang politik LDP
sokong tetapi petani ramai tidak sokong, namun keresahan itu sudah reda
sedikit. Cabaran utama Jepun ialah pertanian dan kedua, negara itu mahu pasaran
untuk kereta negara itu bertambah baik.
Di New Zealand, negara
itu kecil dan eksport utamanya adalah susu. Orang New Zealand amat tidak
berpuas hati kerana mereka melihat mereka tidak mendapat akses yang baik untuk
tenusu. Mereka sudah dapat tetapi tidak sebanyak seperti yang mereka hendak.
Sekarang, sudah puas hatilah. Di Australia, antara isu yang dibangkit adalah
kos ubat. Begitu juga dengan Peru dan Chile. Macam Vietnam, dua perkara iaitu
buruh dan syarikat-syarikat kerajaan. Singapura tidak ada masalah besar kerana
negara itu sudah terbuka.